Oleh Zulkifli Yahaya
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan kerusi Dun Kota Seputeh kekal milik Dato' Abu Hassan Sarif dari BN.
Perkara 51, Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah menyebut bahawa seseorang ADUN yang tidak hadir dua mesyuarat berturut-turut membolehkan kerusi yang disandang dikosongkan. Abu Hassan telah dua kali berturut-turut tidak hadir sidang Dun iaitu 19 pada April dan 9 Ogos 2009.
SPR yang menerima notis kekosongan kerusi Kota Siputeh dari Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail, terpaksa bermesyuarat sehingga lewat petang untuk mencari alasan bagaimana pilihanraya tidak boleh diadakan.
Alasan diberikan SPR ialah: "Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (... mana-mana ahli dewan yang tidak hadir ke mesyuarat dewan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, maka kerusinya hendaklah dikosongkan) tidak boleh disabitkan ke atas Abu Hasan kerana dua kali ketidakhadiran itu berlaku dalam dua penggal berlainan bukan dalam satu penggal yang sama."
Sementara itu, SPR turut menerima bukti surat sakit Adun tersebut sebagai alasan ketidakhadirannya ke sidang Dun.
Tugas asal SPR ialah mengadakan pilihan raya selepas menerima notis kekosongan dari speaker. Tapi di zaman Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, speaker menjalankan tugas mahkamah iaitu mentafsir undang-undang. Undang-undang pula ditafsir supaya memenuhi selera nafsu serakah pemimpin BN.
Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah langsung tidak menyebut "... melainkan ketidakhadiran itu berlaku dalam dua penggal berlainan." Di mahkamah semua tafsiran hakim terhadap fasal dalam undang-undang adalah muktamad. Tetapi hakim hanya mentafsir berdasarkan undang-undang yang tertulis, dibaca dan difahami. 'Hakim' SPR ada 'keistimewaannya'. Mereka bebas menokok sendiri fasal dalam perlembagaan.
Cuba andaikan dalam fasal tersebut menyebut "... sekalipun ketidakhadiran itu berlaku dalam dua penggal berlainan" maka SPR akan mencari alasan lain pula. Mungkin SPR akan berkata, "walaupun berturut-turut tapi bulannya berlainan". 1001 alasan loyar buruk boleh diberikan oleh SPR, asalkan ia memenuhi kehendak BN.
SPR pernah dilihat tidak adil apabila enggan menerima notis kekosongan dua Adun Perak (Changkat Jering dan Behrang) pada 3 Februari 2009 lalu. SPR melakukan kerja tambahan iaitu dengan menyiasat kedua-dua Adun tersebut. Keputusannya, tidak kosong kerusi kerana surat perletakan jawatan yang ditulis lebih awal dan sekarang mereka sudah berubah fikiran.
Walhal, dalam kes di Kota Siputeh SPR tidak pula menyiasat kesahihan surat cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan. Sebuah ahkhbar harian melaporkan Abu Hassan mempunyai satu program lain pada 9 Ogos. Jika benar, bermakna dakwaan sakitnya adalah palsu. Di negara ini amalan membeli sijil cuti sakit dari doktor adalah perkara biasa.
Cuba andaikan Adun Kota Siputeh adalah wakil PAS. Tentulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa disuruh-suruh akan pergi berjumpa doktor yang memberi surat cuti sakit tersebut. Doktor itu akan disiasat habis-habisan sampai berjam-jam.
Surat cuti sakit biasanya mempunyai nombor siri. Jika tarikh surat dikeluarkan terkebelakang dari tarikh surat yang sebelumnya, maka jelas berlaku penipuan. Penat jugalah doktor itu hendak menjelaskan, walaupun mungkin tidaklah sampai ke peringkat doktor itu terjun melalui tingkap pejabat SPRM.
Itu andaian kalau wakil Pakatan sandang ADUN Kota Siputeh. Tapi oleh kerana ADUN itu dari BN, maka tengok SPRM macam buat-buat pekak badak saja.
Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah bangkitkan di Parlimen perihal SPRM yang menyiasat peristiwa tokoh BN sogok wang kepada Adun KeADILan disebuah hotel di Perai. Kononnya SPRM ada bukti rakaman. Tapi sampai sekarang senyap sepi. Yang didengar ialah penafian SPRM kononnya menukar pegawai yang menyiasat kes tersebut.
Begitu juga dengan Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh, waktu jadi Exco heboh dalam media kononnya beliau telah lakukan penyelewengan dalam tuntutan dan sedang disiasat SPRM. Mungkin sepatutnya berita yang kita dengar selepas itu ialah Radzhi diheret ke mahkamah. Tapi babak itu tidak berlaku, sebaliknya beliau isytihar keluar parti dan sokong Najib. Apakah bermakna siasatan SPRM pun selesai di situ?
Isu lain yang dipanaskan oleh ahli-ahli politik ialah isu lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan berakhir 14 September ini.
Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, "Yang di-Pertuan Agong berkuasa penuh untuk menolak cadangan ini. Yang Dipertuan Agong pernah menolak cadangan Perdana Menteri sebelum ini untuk menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara."
Katanya, gesaan itu dibuat berikutan kegagalan pihak polis menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini. Itu alasan kuat untuk penyingkiran Musa. Tapi alasan tersirat ialah Musa menjadikan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bekerja untuk kepentingan BN. Polis bertindak agresif terhadap 100,000 rakyat (majoritinya penyokong pembangkng) yang menyertai Himpunan Membantah ISA 1 Ogos lalu. Tetapi begitu lunak terhadap penyokong Umno yang berarak ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mengusung dan memijak kepala lembu. Tiada tembakan gas pemedih mata dan semburan Water Cannon terhadap mereka walaupun provokasi keagamaan yang dilakukan sangat keterlaluan.
Dr Mohd Hatta Ramli menang dalam samannya terhadap PDRM kerana menghalang ceramah yang diadakan di markas PAS Muazam Shah. Hakim membuat keputusan bahawa himpunan yang diadakan di markas itu tidak menyalahi undang-undang. Bermakna sejak berpuluh tahun PDRM mencabuli undang-undang apabila bertindak sewenang-wenangnya terhadap ceramah yang diadakan di markaz PAS atau rumah persendirian. Mereka bekerja untuk kepentingan politik BN.
SPR, SPRM dan PDRM adalah gabungan tiga serangkai yang dilihat menjadi perkakas BN dalam mempertahankan kuasa. Tindakan mereka selari dengan kehendak BN, bukan hanya kebetulan. Kenyataan-kenyataan yang menyokong tindakan mereka pula banyak yang melucukan. Nampak dibuat-buat. Teringat komedi klasik The Three Stooges, buat lawak asyik-asyik ketuk kepala dan sepak punggung kawan. Macam orang bodoh.
0 comments:
Post a Comment