Oleh Wartawan klpos.com
BEBERAPA tahun lalu saya pernah menulis begini, "Apabila menatap wajahnya kita akan tertanya-tanya, bahagian manakah warisan emaknya dan sudut mana milik ayahnya. Kedua-dua aspek bergabung secara simeteris dan gabungan seimbang sehingga melahirkan keindahan baru. Inilah yang menjadikan Nurul Izzah sebagai ikon untuk generasinya,". NURUL IZZAH ANWAR
Ketika itu, April 2003, saya baru tiga tahun bergelar wartawan dan berkerja di bawah seliaan Khalid Jaafar di majalah Siasah. Dan untuk isu majalah bulanan itu, kami memilih Izzah - begitu ia dipanggil, sebagai cover, dengan tajuk "Puteri di persimpangan jalan'.
Ada cerita mengapa Khalid menyuruh saya mencari Izzah waktu itu, saya ingat dengan jelas, ia merupakan minggu-minggu akhir sebelum Si Puteri dilamar jejaka kacak pilihannya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim. Sejak itu, saya jarang bertemunya, ada sekali dua di majlis, sekadar bertegur sapa. Saya lebih kerap menemui ayah mentuanya, yang merupakan tetangga, dan sering saya lihat beriadah di taman serta ke masjid di kejiranan kami.
Nama Izzah membesar bersama gelombang reformasi selepas ayahnya, Anwar Ibrahim, dipecat pada September 1998. Wajahnya muncul di TV kabel CNN dan BBC selepas berjaya menemui Presiden Filipina, Estrada minggu kedua ayahnya ditangkap dan dipenjara.
Footage itu diputar berulang kali sehingga tertacap kemas di fikiran ramai, bahawa inilah puteri sulung Anwar Ibrahim, berkelana mencari sokongan untuk sang ayah yang dizalimi. Namanya melonjak, naik mendadak, ketika itu usianya baru 18 tahun.
Rancak bercakap politik
Ketika klpos.com menemuinya baru-baru ini, kami bertanyakan pada beliau perbezaan perjuangan ketika itu dan kini, sewaktu badai melanda parti yang didokongi ayah dan ibunya, ramai yang dulu menyokong kini menentang, kes-kes keluar parti dan lain-lain.
Izzah tenang menjawab, katanya, "Saya akui setiap fasa perjuangan punya kompleksiti yang tersendiri, kini saya melihatnya dengan lebih jelas, mungkin sentimen rakyat tidak begitu memihak sekarang ini, tapi itulah cabarannya. "Kini kami berkerja lebih kuat lagi bagi memastikan rakyat faham bahawa perjuangan PKR tidak terhenti dengan pembebasan Anwar Ibrahim, Anwar hanya simbol, perjuangan sebenar adalah menegakkan keadilan itu sendiri di negara ini." katanya.
Meminati Wilfred Owen, penyair Inggeris yang menjadi korban di hari-hari terakhir perang dunia pertama pada usia muda, Izzah rancak apabila diajak berbual persoalan politik ketimbang hal peribadi.
Ada keyakinan dalam setiap patah perkataan yang diluahkannya, dan keyakinan itu tidak pula kita dengar seperti meninggi diri. "Saya melihat politik yang PKR perjuangkan adalah politik masa depan. Ia merupakan cita-cita besar rakyat yang berfikir luar dari kotak perkauman. Kita semua, saya percaya, mahu hidup harmoni dalam sebuah masyarakat majmuk." "Apabila kita menolong orang miskin, kita menolong kerana ia miskin, bukan kerana ia Melayu, Cina atau India, apabila kita bangun membela orang yang dizalimi, kita lakukan bukan kerana dia Islam, Buddha atau Hindu, kita bangun menentang kerana kita masyarakat yang bertamadun dan menentang kezaliman terhadap sesama insan," katanya.
Di dewasakan pengalaman
Saya kira kegetiran yang menimpa keluarganya, dan atas kedudukan beliau sebagai anak sulung banyak membantu proses pendewasaan Izzah dalam politik dan pergaulan seharian.
Sukar rasanya mencari, wanita berusia 27 tahun di Malaysia yang sudah menghadam novel tebal War and Peace karya sasterawan terkenal Rusia, Leo Tolstoy. Biarpun sudah bertahun membaca War and Peace, Izzah bahkan boleh mencerita kembali. "Saya rasa orang Rusia amat kaya dengan cara ia menggambarkan, baca sahaja kisah Prince Andre sedang parah dalam satu peperangan bagaimana ia melihat awan pada langit yang biru, dalam bab itu sahaja Tolstoy menulis dengan begitu cantik, halus sehingga kita dapat membayangkan apa yang dilihatnya."
Minatnya beragam dari politik, sastera hingga kepada musik. Beliau pandai bermain piano dan gitar. Dan juga peminat setia kumpulan Radiohead dari Britian, semua album kumpulan alternatif itu ada dalam simpanannya. Bekas pelajar aliran sains Sekolah Menengah Assunta Petaling Jaya ini juga pernah berlakon, ketika di sekolah gurunya memilih Izzah memegang watak Lady of Shalott dalam pementasan puisi Alfred Lord Tennyson.
Selepas bergelar isteri pada Mei 2003, dan ayahnya bebas pada September 2004, Izzah menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti John Hopkins, beliau mengambil bidang pengajian antarabangsa dengan pengkhususan kajian Asia Tenggara. Sebelum itu Izzah merupakan pelajar Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas sebelum bertukar ke Universiti Tenaga Nasional selepas ayahnya dipecat.
Di sebalik apa yang terjadi kepada keluarganya, Izzah merupakan antara pelajar terbaik di Uniten ketika tamat belajar. Jelas, beliau punya cita-cita politik. Ketika ditanya apakah beliau akan menggantikan ayahnya suatu hari nanti, Izzah terdiam seketika, beliau seperti memilih perkataan, lalu katanya. Tidak penting sama ada saya atau orang lain yang gantikan ayah, apa yang penting adalah kesinambungan perjuangan membela rakyat tertindas, melakukan perubahan sedaya upaya, dan memuliakan insan. "Pada saya bukan individu yang penting sebaliknya institusi perjuangan itu sendiri. Individu datang dan pergi, perjuangan yang benar akan bertahan selama-lamanya," katanya hemat.
Rasa rendah diri dan keyakinan berbaur sama rata dari kenyataannya itu. Saya memilih untuk tidak bertanya lanjut tentang pandangan politiknya, kerana saya dapat rasakan, soalan-soalan begitu merupakan 'makanannya'.
Kisah kenduri kahwin
Sengaja saya tanyakan beliau tentang pengalaman belajar di luar negara, soalan yang tidak penting bagi seorang ahli politik muda penuh semangat seperti Izzah, namun dia tenang menjawab. Kata Izzah beliau bersyukur kerana ditemani suami tercinta. Ini ketika belajar beliau tidak mempunyai banyak masa. "Saya perlu habiskan pengajian setahun setengah dalam masa setahun sahaja, bayangkan!". Ceritanya lagi, beliau bertuah kerana suaminya seorang penyabar, "Kami serasi, selalunya pendapat dia dan saya tidak sama, tetapi bila fikir balik, oh rupanya kami saling melengkapi."
Suaminya Raja Shahrir bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dan berkelulusan kejuruteraan dari Universiti Cambridge. Semasa temubual ini dibuat, Raja Shahrir ada tetapi tidak ikut serta. Beliau leka dengan laptopnya, adakalanya dahi dikerutkan, seperti menyiapkan sesuatu yang besar. Gerun juga saya mahu menegurnya ketika itu. Menurut cerita seorang rakan, Izzah mengenali Raja Shahrir ketika kedua-duanya menganggotai Unit Pendidikan Politik satu biro di bawah kumpulan pemikir yang dikaitkan dengan ayahnya Institut Kajian Dasar (IKD). Majlis perkahwinan mereka dibuat secara sederhana tapi meriah. Masih jelas pada ingatan saya bagaimana ketatnya kawalan ketika pihak penjara membawa pulang Anwar untuk mewalikan pernikahan Izzah. Hanya sebentar, ketika kenduri kawin Izzah, Anwar tiada, ramai VVIP datang termasuk Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, Tan Sri Hassan Merican, Datuk Seri Nazri Aziz bahkan kata orang Robert Kuok mewakilkan pada isterinya untuk ke kenduri Izzah dan Shahrir. Sultan Terengganu yang kini jadi Agung pun ada. Orang politik dan rakyat jelata jangan cakaplah. Berduyun-duyun. Terasa meriahnya sehingga kini.
Selepas empat tahun kawin, sudahkah Izzah pandai memasak? Dia ketawa bila ditanya soalan itu, jelas Izzah, "Untuk suami saya selalu masak nasi briyani dan ada kalanya masakan Perancis, Souffle, sejenis puding. Asal sedap dia tidak memilih sangat."
Kini Izzah perlu banyak berehat. Insyallah tidak lama lagi Anwar Ibrahim dan Wan Azizah akan dapat cucu pertama. Sejak mengandung anak sulung, Izzah setiap hari mengamalkan bacaan suruh Lukman. Kata Izzah, ibu mertuanya yang petuakan demikian dan apabila masa terluang beliau baca juga Surah Yassin dan suruh Yusuf.
Pada asalnya, saya mahu gunakan tajuk temubual ini sebagai, Nurul Izzah: Perempuan Melayu Terakhir, tapi dibisikkan seorang kawan, "Mana ada akhir, yang nak keluar pun perempuan juga," hehe pecah rahsia.
SUMBER DARI KLPOST.COM