THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Friday, May 20, 2011

ZAHID DAN JENAYAH UGUT

Dari Merdeka Review

Sekaligus, isu ini bakal mencetus persoalan ke manakah arah Malaysia apabila isu keselamatan "dipolitikkan". Dalam kata lain, bias-politik partisan yang menjerumus kita kepada diskriminasi tertentu dalam ruang-ruang tertentu membawa kepada persoalan: Adakah keselamatan rakyat samada berada dalam lingkung penguatkuasa mahupun di luar kurang terjamin? Ditambah pula dengan kes jenayah yang semakin membimbangkan saban hari sehingga menimbulkan tandatanya.

Antaranya adalah kes kematian Ahmad Sharbani dan Teoh Beng Hock yang ketika itu dalam proses siasatan SPRM. Pada masa yang sama kita juga dikejutkan dengan laporan mangsa tembakan Polis terhadap Shahril Azlan Ahmad tahun lalu dan kes kematian Aminulrasyid yang juga ditembak Polis.

Justeru, semua kecelakaan ini membawa kita kepada persoalan pokok; bagaimana undang-undang dilaksanakan dan apakah yang menyebabkan "kesilapan-kesilapan" ini berlaku? Mungkin, kita boleh letakkan sikap dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas sebagai perkara yang sangat mempengaruhi atau sebarang campur tangan politik-sentimen mampu menggugat pelaksanaan keadilan dengan baik?

Hak Perlindungan: Rasional Zahid Hamidi?

Kali ini kita akan menyentuh sedikit mengenai tugas dan tanggungjawab kerajaan dalam menjamin hak keselamatan bagi rakyat yang sememangnya termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (Kebebasan Asasi) yang menyatakan, "Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang." Di dalam negara ini, semua orang dilindungi undang-undang. Persoalannya, adakah undang-undang itu dilaksanakan dengan adil?

Saya merujuk kepada kes Nurul Izzah yang menerima dua SMS ugutan untuk menculik anaknya dari individu yang tidak dikenali sekiranya terus menyokong ayahnya Anwar Ibrahim dan agar mendesak beliau bersara dari politik. Lalu, satu laporan Polis telahpun di buat dan pendakwaan boleh didasarkan kepada Seksyen 503, Seksyen 120A, dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan.

Selaku Menteri Pertahanan, walaupun berada diluar bidang KDN yang mempunyai kuasa mengurus hal ehwal keselamatan dan kepolisan - apakah rasional Zahid Hamidi memandang remeh ugutan culik Nurul Izzah dengan menyifatkan dakwaan tersebut untuk "menarik simpati"?

Ternyata, kenyataan Zahid bukan suatu yang wajar malah ia mencemar kredibiliti kerajaan amnya. Secara ringkas, isu yang melibatkan keselamatan nyawa yang dilindungi undang-undang telah diperkecilkan semata-mata atas kecenderungan politik tertentu dan bertentangan dengan prinsip luhur perlembagaan pada Perkara 5 (1) yang menyatakan, "Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang." Zahid perlu cermat ketika membuat sebarang kenyataan.

Tanpa mengira batas politik. Kita sebagai warga yang prihatin harus bersimpati dengan apa yang menimpa Nurul Izzah apatah lagi, beliau seorang Ahli Parlimen yang diberi majoriti oleh rakyat.

Kecekapan Polis: Jangan ada prejudis

Mari kita ambil contoh kecekapan Polis dalam menyelesaikan kes ugutan bunuh yang melibatkan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz pada Mei 2010. Tanpa sebarang prejudis dan campur tangan politik, pihak Polis telah berjaya menahan suspek seorang Pemuda UMNO bernama Mohd Safuan Hilmi di Butterworth Pulau Pinang.

Sebagai seorang menteri, Zahid seharusnya bersikap profesional dan terbuka dan menggesa pihak terlibat agar siasatan dilaksanakan sebaik mungkin. Kita tidak mahu kenyataan Menteri Pertahanan ini akan mempengaruhi proses penyiasatan Polis terhadap kes ini.

Malah siapapun yang menerima ugutan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang cepat dan adil dalam menjalankan siasatan terhadap laporan yang telah dibuat.

Pada masa yang sama, kita juga ingin mengetahui apakah yang akan berlaku sekiranya isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menerima ugutan sepertimana yang diterima oleh Nurul Izzah?

Zahid Hamidi, Amir Bazli dan Nurul Izzah

Walau apapun tanggapan anda, secara peribadi, saya sinikal dengan kenyataan Zahid tersebut berdasarkan rekod lampau beliau sekitar tahun 2006 melibatkan kejadian yang pernah berlaku kepada seorang pemuda bernama Amir Bazli Abdullah yang mendakwa beliau telah dipukul oleh orang-orang suruhan (samseng) Zahid Hamidi sehingga menyebabkan kecederan dan mengakibatkan kecacatan kekal. Isu ini telah pun mendapat liputan media pada ketika itu.

Hal ini didakwa berlaku semata-mata disebabkan Zahid Hamidi tidak merestui perhubungan anaknya Nurulhidayah dengan pemuda tersebut.

Laporan telah dibuat pada 20 Disember 2006, malah untuk mendapat pembelaan yang adil terhadap dirinya, Amir Bazli Abdullah turut menghantar laporan ini kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Musa Hassan, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi dan DYMM Sultan Perak. Beliau juga turut memohon Ketua Unit Pendakwaan Selangor untuk mengetahui perkembangan laporan.

Biarpun kejadian pukul ini berlaku pada tahun 2006, ia masih belum selesai. Walau bagaimanapun, sehingga April 2010 yang lalu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan tersebut untuk membatalkan saman malu yang difailkan Ahmad Bazli.

Amir Bazli masih menantikan pembelaan yang wajar dan adil dari pihak berkuasa, Zahid Hamidi, orang yang telah didakwa terlibat dalam jenayah "gangterisme"; dari seorang yang memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, kini telahpun memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan Malaysia sekaligus menyebabkan kita tertanya-tanya; apakah yag menyebabkan kes ini tidak lagi selesai dan memakan masa yang terlalu lama? Mungkinkah berlaku campur tangan politik dalam kes ini? Dan paling menarik untuk difikirkan bersama- apakah wajar Zahid Hamidi dilantik sebagai Menteri Pertahanan sedangkan beliau punya kes yang sangat kuat untuk tidak dilantik ke jawatan tersebut - gangterisme yang mengancam nyawa rakyat Malysia?

Kembali kepada kes ugutan yang melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah. Rakyat akan menunggu, melihat dan terus menilai integriti pihak Polis dalam melaksanakan siasatan dan tanggungjawab mereka. Kita juga menantikan apakah akan ada tindakan tegas dan adil dari pihak Polis terhadap ugutan yang diterima Nurul Izzah atau berjaya dipengaruhi sentimen Zahid? Kita harap kes ini tidak dibakul sampahkan hanya kerana dianggap bahawa ianya adalah mainan politik PKR.

Oleh Hafiz Zainuddin