THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, August 1, 2009

UNTUK PENGUNDI PERMATANG PASIR

Takziah kepada keluarga Allahyarham YB. Dato’ Mohd Hamdan Abd Rahman, ADUN N.11 PAS Permatang Pasir. Dengan pemergian Dato’ Mohd Hamdan, satu pilihanraya kecil (PRK) akan diadakan. Mengikut peraturan yang sedia ada, PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari. DUN ini yang terletak dalam parlimen Permatang Pauh mempunyai 20,350 pengundi. PAS sudah tentu akan mempertahankan kerusi yang dimilikinya manakala UMNO B-end telah mengumumkan akan menyertainya. Dengan ini telah terdapat 2 calon yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Pada PRK DUN Penanti (dalam Parlimen Permatang Pauh) yang lalu, UMNO B-end tidak bertanding dengan alasan tidak mahu membazirkan wang rakyat, tumpuan hendak diberikan kepada kerja-kerja untuk rakyat, dan kekosongan kerana Parti Keadilan (Rakyat) hendak menyelesaikan masalah dalaman. Hampir semua puak-puak UMNO B-end berpendapat keputusan yang dibuat oleh Najib itu menepati konsep 1 Malaysia yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi. Tetapi semalam Presiden UMNO B-End, Najib menyatakan keputusan untuk bertanding dibuat kerana kekosongan itu adalah mengikut keperluan Perlembagaan. Kriteria lain seperti pembaziran dan tumpuan bagi kerja-kerja yang lebih afdal untuk kebaikan rakyat dan negara telah dilupakan. Ekonomi negarapun tidak perlu dipulihkan lagi kerana PRK Permatang Pasir ini sebab PRK ini lebih penting dan tumpuan mesti diberikan pada PRK Permatang Pasir.

Seperti biasa beberapa hari lagi sehingga PRK berakhir, ramailah pemimpin-pemimpin UMNO B-end akan meninggalkan tanggungjawab hakiki sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha kementerian dan sebagainya untuk ke Permatang Pasir bagi bertemu dengan rakyat yang banyak masalah dan tmenghadapi tekanan hidup seharian. Sumbangan kewangan akan diberikan bukan sahaja kepada OKU, rakyat miskin, orang yang kena bencana tetapi juga pengundi-pengundi di DUN ini.

Tidak cukup dengan wang, RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan lain-lain media utama datang untuk beri liputan berhubung semua kebaikan yang dilakukan oleh UMNO B-end dan mencela PAS dan PR. Setiap hari macam-macam berita akan dikeluarkan dengan agenda yang sama iaitu PAS atau Pakatan Rakyat tidak boleh dipercayai, melakukan penyelewengan, tidak cekap, berpecah, ahli PR masuk UMNO B-end dan sebagainya. RTM pula bukan setakat buat liputan tetapi juga buat program “bersama rakyat”. Belanja rakyat makan dan buat karnival kemudian panggil menteri dan calon UMNO B-end bagi ceramah. Puak-puak UMNO B-end ini lupa, duit RTM tu adalah duit rakyat.

Tidak ketinggalan agensi-agensi kerajaan lain. Tidak dapat agensi kerajaan negeri (kerana P. Pinang bawah Pakatan Rakyat) maka digunakan nanti agensi kerajaan pusat. Pegawai dan kakitangan KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Hal Ehwal Khas, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan lain-lain. Polis merupakan nombor wahid yang akan digunakan atas alasan keselamatan. Kalau ada “jambatan” nak bina, UMNO B-end akan arahkan jentera-jentera berat dari Angkatan Tentera untuk laksanakannya. Tetapi jentera-jentera berat ini diletakkan ditepi jalan dulu. Kalau UMNO B-end menang baru boleh buat “jambatan” itu. Kalau kalah, jentera-jentera ini akan dihantar balik sebab polis dan tentera ini milik UMNO B-end bukan milik rakyat. Puak-puak UMNO B-end ini lupa polis dan tentera adalah agensi kerajaan yang berbelanja atas duit pembayar cukai, duit rakyat bukan duit UMNO B-End.

Tidak cukup dengan polis dan tentera, pemimpin UMNO B-end akan guna helikopter sebab sibuk dan banyak perkara nak cepat. Guna kenderaan-kenderaan rasmi agensi kerajaan untuk kempen UMNO B-end. Duit kerajaan dia buat macam duit UMNO B-end.

Setelah guna wang, agensi kerajaan dan harta kerajaan, pemimpin dan puak UMNO ni pula akan membeli jiwa rakyat. Kalau rakyat duduk bersila, mereka akan duduk bersila. Kalau rakyat potong getah, merekapun akan pergi potong getah. Walhal mereka ini tidak pernahpun buat kerja-kerja itu. Mereka hidup mewah dengan kediaman berharga berjuta-juta, makan selalu di hotel terlebih 5 bintang, bercuti mesti ke luar negara dan segala macam kemewahan.

UMNO B-end ini memang pandai berjanji. Dari ketua cawangan hinggalah pemimpin tertingginya. Duit yang digunakan adalah duit pembayar cukai. Pembayar cukai itu rakyat tapi dia janji macam duit dia. Akhir sekali UMNO B-end akan guna tektik mengugut pengundi. Kalau tidak undi UMNO B-end, kerajaan tidak akan buat projek di kawasan ini. Kerajaan sepatutnya buat projek mengikut keperluan bukan ikut suka apa nak buat.

Lagi saya nak ingatkan warga Permatang Pasir. Kalau ada puak-puak UMNO B-end ini nak sewa rumah, pastikan ambil bayaran penuh termasuk bil letrik dan air. Kalau janji RM3,000.00, ambil terus RM3,000.00, kalau RM5,000.00, ambil terus RM5,000.00 sebelum mereka gunakan rumah kita. Jangan tunggu lepas pilihanraya sebab kemudian akan dapat RM300.00 atau RM500.00 saja. Lebih-lebih lagi bila UMNO B-end ni kalah. Hati-hatilah dengan puak-puak UMNO B-end ni.

SELAMAT MENGUNDI


Friday, July 31, 2009

CERITA SEPUPU PUAN LAILA

"PUAN Laila, sepupu saya juga pernah ditahan di bawah ISA. Kasihan pada anak isterinya ...," kata Puan J dalam nada suara yang amat perlahan, separuh sebak, air mukanya kelihatan keruh.

Dalam siri jelajah perkongsian mangsa ISA, saya berkesempatan bertemu wanita-wanita yang tinggal di pedalaman Kedah, Johor dan Pahang. Rupa-rupanya ramai lagi rakyat Malaysia yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi penahanan itu tidak direkodkan kerana pelbagai sebab antaranya, tahanan tidak mahu menghebohkan penahanan itu, mungkin kerana mematuhi arahan pegawai penyiasat cawangan khas dan mungkin juga rasa malu kerana ditahan di bawah ISA yang amat ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Bicarakanlah dia ...

"Kenapa saya tidak pernah jemu memberitahu supaya Abah Suhaib dibicarakan? Kerana saya mahu ada pendakwaan oleh pendakwa raya, bukti-bukti dikeluarkan selari dengan tuduhan dan akhirnya, hakim yang membuat keputusan di mahkamah itu. Jika hakim menyatakan beliau tidak bersalah, nama baik beliau dapat dibersihkan.

"Namun jika beliau bersalah dan terpaksa menjalani hukuman, sekurang-kurannya saya tahu tarikh akhir pemenjaraannya dan beliau sendiri tahu tarikh tetap untuk keluar daripada kehidupan sebagai seorang banduan," kataku kepada semua yang hadir ke sesi perkongsian itu.

Semua tahanan ISA dinafikan proses mahkamah dan mereka tidak pernah mengetahui tarikh akhir berada di Kem Kamunting. Kehidupan mereka berada dalam keadaan tidak pasti sepanjang masa.

Bezanya ISA dengan akta lain ialah, dalam ISA seseorang pesalah itu tidak dibenarkan mendapatkan peguam untuk mewakili dirinya, tiada pendakwaan oleh pendakwa raya, tahanan tidak boleh diikat jamin, tiada bukti yang dikeluarkan selari dengan tuduhan, tiada proses perbicaraan, tiada hakim dan tiada mahkamah yang menjadi tempat segala proses perbicaraan.

Peguambela, pendakwaraya, bukti-bukti, hakim dan mahkamah semuanya berada di tangan Menteri Dalam Negeri yang kuasanya terlalu besar. Menteri ini pula biasanya tidak tahu apa-apa mengenai mangsa ISA. Menteri Dalam Negeri bebas menjatuhkan hukuman melanjutkan penahanan setelah mendapat laporan daripada polis cawangan khas (Special Branch).

Wanita adalah mangsa utama ISA

"ISA sebenarnya bukan saja akta zalim tetapi juga akta yang menindas golongan wanita kerana mereka (isteri)lah yang akan menerima kesannya ketika suami tiada di rumah.

Perasaan isteri amat tertekan dengan penahanan suami, namun terpaksa juga keluar mencari nafkah untuk menyara anak-anak dan meladeni mereka yang pastinya akan bertanya setiap hari, bilakah ayah mereka akan pulang ke rumah.

"Selain menjalankan kewajipan menguruskan anak-anak, wanita malang ini juga terpaksa bersusah payah membawa anak-anak bermusafir beratus-ratus kilometer dari tempat tinggal mereka ke Kem Kamunting.

"Di Kem Kamunting, mereka kemudian terpaksa melalui pemeriksaan di tiga pintu utama dan berpuas hati dengan pertemuan selama 45 minit ...," kata saya lagi.

Tiada siapa yang akan menyangkal dakwaan ini, hatta Menteri Dalam Negeri sekalipun kerana saya sudah mengalaminya lebih tujuh tahun ... dan hingga saat ini, saya masih didiskriminasikan dalam setiap perjumpaan.

Dari tahun 2002 hingga kini, saya dan Suhaib hanya dapat bertemu Mat Sah @ Abah Suhaib selama 45 minit saja. Walaupun beliau, iaitu Abah Suhaib telah ditahan lebih tujuh tahun, tiada sebarang tanda simpati pihak kem kepada kami berdua.

Sewaktu tahanan Hindraf belum dibebaskan, mereka berpeluang bertemu di tempat terbuka antara sejam setengah hinggalah dua jam. Mereka boleh bersalam, bersentuhan dan boleh makan bersama.

Begitu juga dengan tahanan ISA yang dituduh sebagai ahli 'Jemaah Islamiyyah' (JI) yang ditahan selama dua tahun di kem, mereka dan isteri serta anak-anak dapat bertemu di tempat terbuka selama sejam setengah, suami dapat bersalam dengan isteri dan anak-anak serta berpeluang makan bersama.

Tetapi aku dan Suhaib, walaupun status kami dengan tahanan JI lain serta Hindraf adalah sama iaitu sebagai tahanan ISA, kami tetap dianak-tirikan oleh pengurusan kem yang sering berselindung di sebalik kata-kata, "kami hanya mengikut arahan orang atas".

Derita tujuh tahun ...

"Jika puan mahu suami segera dibebaskan, tulislah surat pada Tuan Ayub dengan segera. Tuan Ayub adalah pegawai tertinggi SB yang menjaga semua tahanan ISA. Puan tulislah surat dan merayu pada Tuan Ayub bahawa puan dan suami memang benar-benar bersalah dan mohon dimaafkan segala kesalahan itu.

"Dengan permohonan maaf tersebut, rasanya hati Tuan Ayub akan lembut dan akan segera memberi cadangan supaya Mat Sah dibebaskan," kata seorang SB kepada saya.

"Saya mohon maaf dan mengaku bersalah? Apa yang telah saya lakukan? Orang yang ditahan di bawah ISA ialah suami, kenapa saya pula yang kena mohon maaf bagi pehak dia?" saya bertanya semula pada SB tersebut.

Abah Suhaib ditahan lebih tujuh tahun, tidak pernah dibicarakan dan kini, untuk melihat dia bebas, saya pula yang terpaksa menulis surat memohon maaf. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa bapa.

Tujuh tahun kami berdua terpaksa menerima herdikan pihak tertentu yang tidak memahami ISA. Tujuh tahun Suhaib membesar tanpa sebarang nafkah, kasih sayang, bimbingan dan perhatian daripada bapanya.

Sepanjang tujuh tahun itu, apabila mata Abah Suhaib rabun, sayalah yang terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli cermin mata baru.

Ketika lutut beliau terseliuh ketika bermain, saya juga yang terpaksa membelikan 'braces' yang agak mahal untuk digunakan di lutut yang cedera itu.

Apabila gigi beliau rosak dan perlu dibuang, saya juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gigi palsu.

Dan setiap bulan, saya juga terpaksa memberi wang poket supaya beliau berpeluang untuk membeli makanan selain daripada yang disediakan oleh Kemta seperti biskut kering, gula-gula dan kacang. Abah Suhaib juga punya keinginan untuk membaca majalah dan buku-buku dari luar. Sayalah juga yang menyediakan segala keperluan itu.

Ketika ditahan di bawah ISA pada tahun 2002 dulu, beliau dikatakan bersalah kerana menjadi ahli JI, dan kini, setelah tujuh tahun, saya pula yang terpaksa menulis surat mohon maaf kepada SB sekiranya saya ingin melihat beliau kembali ke pangkuan keluarga.

Saya terpinggir

"Nama saya Suhaib. Kini saya berusia 16 tahun. Hampir separuh usia saya membesar tanpa abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan pertemuan selama satu jam setengah dalam sebulan. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kiriman beliau.

"Jika terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju dan guna kain pelikat milik abah. Saya letak gambar Abah di dompet duit. Sejak berusia 9 tahun, saya tidak pernah solat dan baca Quran bersama Abah. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama.

"Namun, satu perkara yang amat memedihkan ialah apabila saya melihat Abah di sebalik cermin kaca. Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca.

"Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya ... hatiku memang pedih yang teramat sangat. Walaupun sudah tujuh tahun saya dipisahkan daripada Abah, tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan.

"Walaupun ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di media dan akhbar, namun Abahku masih dinafikan pembebasannya. Saya yakin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk Abah kerana dia terus menerus dizalimi.

"Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa terpinggir. Saya juga ingin meneruskan kehidupan sama seperti orang lain yang punya keluarga yang lengkap. Saya tetap berdoa supaya Abah segera dibebaskan ..."

Saya benar-benar tersentak dengan testimoni Suhaib yang ingin diluahkan di hadapan Vijay, salah seorang wartawan Malaysiakini. Suhaib kelihatan tenang dan bersahaja namun tidak disangka, luahan hati beliau amat pilu untuk dibaca ...

Ikutilah jalan Allah

Allah mencipta kita sebagai insan yang bebas dan merdeka. Allah telah menurunkan al-Quran dan mengutus rasul serta nabi untuk dijadikan contoh supaya menjalani kehidupan yang sempurna. Allah telah menggariskan supaya manusia menjadikan keadilan sebagai neraca hidup dan mengelakkan menzalimi sesama manusia.

Tetapi ... kenapa mesti ada peraturan buatan manusia yang menafikan hak dan kebebasan manusia lain sampai begitu rupa? Lupakah kita pada satu ayat 113 dalam Surah Huud yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim ..."

Ingatlah pada ayat 58 dari Surah An-Nisa yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum sesama manusia agar menetapkan dengan adil ..."

Allah menyediakan syurga dan neraka sebagai hadiah dan pembalasan kepada makhluk ciptaan-Nya, namun sebelum seseorang itu dihantar ke syurga atau neraka, semua makhluk akan melalui proses perbicaraan di padang Mahsyar.

Allah Maha Besar, Maha Kuasa, Maha Pencipta, Maha Mengetahui, menyediakan 'trial' atau perbicaraan ke atas semua makhluknya di akhirat nanti. Kenapa ISA , akta tahan tanpa bicara masih dihalalkan? Siapakah yang menjadi ikutan? Allah ataupun syaitan?

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman, marilah sama-sama serlahkan perasaan itu dengan menghadiri himpunan aman MANSUH pada 1 ogos nanti.

Pada sesiapa yang tidak dapat menghadiri kerana ada sebab-sebab peribadi, cubalah juga luahkan dalam bentuk lain seperti mengibarkan bendera separuh tiang, berpakaian hitam ketika keluar rumah dan sebagainya.

MANSUHKAN ISA, BEBASKAN TAHANAN ISA dan TUTUP KEM KAMUNTING!

SUMBER DARI HARAKAHDAILY.NET

MENGUNDI DI PERMATANG PASIR

Berikutan kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, ADUN Permatang Pasir satu pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Datuk Mohd Hamdan telah menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999. Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6.30 pagi ini kerana sakit jantung.

Pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, Datuk Mohd Hamdan telah memenangi kerusi Permatang Pasir dengan memperolehi 11,004 undi dengan menewaskan calon B-end dari Umno, Ahmad Sahar Shuib yang hanya memperolehi undi sebanyak 5,571 undi. Majoriti ialah 5,433 undi. Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi.


Pada ketika ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu dari Speaker DUN Pulau Pinang. Surat makluman itu dijangka akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain pula masih menunggu sijil kematian Datuk Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR. SPR akan mengadakan satu mesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN ini.

ALFATIHA UNTUK ADUN PERMATANG PASIR

YB Datuk Hamdan Abd Rahman, ADUN Permatang Pasir telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara awal pagi tadi. Jenazah beliau di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir. Allahyarham telah seminggu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang yang berjaya mempertahankan kerusi itu 3 sesi berturut-turut iaitu sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999. Pada Pilihan raya ke 12, beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Allahyarham telah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71 baru-baru ini.

Apakah janji UMNO B-end lagi pada PRK ini? Ada jambatan yang nak dibina lagikah di Permatang Pasir?

Thursday, July 30, 2009

KISAH SUHAIB MAT SAH

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya. Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu
Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah... Bagaikan binatang di zoo.

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.
Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....
Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Dipetik daripada blog merdekareview - azm

SUMBER DARI HARAKAHDAILY.COM

PARENT'S WISH

It is not about children, it is ABOUT US! Written to our adult children asking for their attention, care and concern as we go through the aging process.

For those of us who have watched parents age and even pass away, this takes on great meaning. It applies not only to a parent child relationship but to all who know or visit elderly family and friends. I guess that none of us are too old to be reminded that aging does not have to mean loss of dignity, and if we've taught our children what is right, then we, too, will benefit from our earned respect.

We all need this kind of reminder from time to time. Just hope our kids, or nieces or nephews, or care givers take these thoughts to heart when its time..... unknown. If you don't open and view anything else today, please open and view/hear this! You won't be sorry, you will be a little wiser for it though! If you have children, I would expect you'll want them to see this too!

The singer is Josh Groban and he is absolutely marvelous. It's on Full Screen...really NICE!
Click here: PARENT'S WISH http://parentswish.com/site01/big.html>

This is the lyrics for the song.

You Raise Me Up
When I am down and, oh my soul, so weary;
When troubles come and my heart burdened be;
Then, I am still and wait here in the silence;
Until you come and sit awhile with me.

You raise me up, so I can stand on mountains;
You raise me up, to walk on stormy seas;
I am strong, when I am on your shoulders;
You raise me up… To more than I can be.

Thanks for listening/viewing.

Wednesday, July 29, 2009

JOURNEY TO ISLAM

29 Julai 2009 - 11.50 pm

Saya telah menghadiri jemputan dari seorang rakan untuk 'dinner and talk' anjuran Kelab Anggota Kor Jurutera Letrik dan Jentera DiRaja sebentar tadi di Dewan Perdana Felda, K. Lumpur. Ceramah disampaikan oleh Bro. Idris Tawfiq bertajuk "Journey to Islam". Beliau merupakan bekas padri Roman Katolik (berkhidmat selama 20 tahun sebagai padri) sebelum memeluk Islam.

Ceramah yang diberikan adalah berkaitan dengan pengalaman hidup beliau sehingga memeluk Islam dan pandangannya berkaitan dengan Islam. Apa yang menarik perhatian saya ialah seruan beliau agar kita menyayangi sesama insan tanpa mengambilkira agama masing-masing. Menurut beliau lagi, "tiada apa yang perlu disembunyikan tentang Islam dan tiada apa yang hendak ditakuti demi kebenaran serta keadilan".

Apabila beliau menyebut menyayangi sesama insan, fikiran saya teringatkan mendiang Teoh Beng Hock yang mungkin dianiaya. Apapun punca kematiannya, kita sebagai manusia mesti memastikan beliau mendapat keadilan dengan memastikan punca malang yang berlaku.

Sebagai seorang Islam, kita juga mesti memastikan segala hak kita sebagai rakyat dinikmati sepenuhnya. Perkara atau peraturan yang tidak adil perlu dihapuskan. Segala kezaliman mesti ditentang. ISA yang zalim mesti dibuang, Untuk itu kita mesti berani.

FIKIRAN ABAD 21

Dalam abad ke 21 ini tidak disangka masih terdapat manusia yang berfikiran “siapa kuat dia berkuasa”. Mereka ini berfikir macam “beruk” tanpa sedar bahawa peraturan dan undang-undang tidak pernah dipisahkan dari kehidupan manusia. Berfikiran seperti dalam hutan, siapa gagah dia berkuasa. Kalau gajah kuat, dia berkuasa. Kalau harimau kuat, dia berkuasa, Kalau singa kuat, dia berkuasa. Itulah cerita tentang binatang.

Nak berhimpun tak perlu sebarang plan. Itu cara Pewaris berfikir. Buat perhimpunan biar bertembung dengan kumpulan lain yang tidak sealiran tapi kata “tiada niat untuk bertembung”. Macam mana tidak bertembungpun saya tidak tahu kerana tarikh dan masa serta tempat ditujupun sama. Itu tentang Pewaris.

Yang PERKASA pulak nak ikut Pewaris. Perkasa kata kalau GMI tidak menarik balik hasrat berhimpun, dia akan turut serta walaupun boleh timbulkan huru hara. Kalau macam ni dia nak pertahankan Akta ISA atau hendak wujudkan huru hara. Presiden Perkasa ingat Timbalan Presidennya Fuad Hassan maka Perkasa tu kebal. Mungkin dia tahu Musa Hassan (IGP) tidak akan tangkap Fuad Hassan sebab kedua mereka adik beradik. Jadi dia boleh ikut sekali kebal.

KISAH CN AL-AFGHANI

MENGHARUNGI kehidupan di bawah kongkongan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu lama, bukanlah sesuatu yang diimpikan sebelum ini. Namun, inilah yang dikatakan ISA. Siapa pun boleh menjadi mangsanya dengan hanya disyaki mengancam keselamatan negara. Jantung anda akan terhenti seketika apabila secara tiba-tiba rumah anda diserbu dan digeledah oleh orang-orang yang bersenjata.

Lebih tragis lagi apabila anda dibawa keluar dengan tangan bergari secara kasar di hadapan anak isteri. Tentu anda dapat bayangkan betapa hancurnya hati ahli keluarga mangsa ISA itu. Ataupun pada suatu ketika, sewaktu anda dalam perjalanan ke tempat kerja atau mahu pulang ke rumah, tiba-tiba kenderaan anda dipintas. Kunci kenderaan anda dirampas dan secara kasar anda diseret ke sebuah kereta lain.

Tangan digari dan anda dimaklumkan yang anda ditahan atas mengancam keselamatan negara. Bagaikan gasing fikiran anda berputar mencari apakah kesalahan yang telah anda lakukan sehingga mengancam keselamatan negara itu. Tekanan fikiran ini akan bermain sejak anda ditahan hingga ke lokasi rahsia di mana anda ditempatkan.


Lokasi rahsia
Seterusnya hinggalah ke sesi soal siasat selama dua bulan di lokasi rahsia tersebut. Dalam sesetengah kes tekanan perasaan ini berterusan hingga beberapa tahun anda ditahan di Kem Tahanan Kemunting (Kemta). Inilah peristiwa hitam yang pernah dan sedang dilalui oleh ratusan tahanan ISA.

Inilah keperitan saya alami sejak ditahan pada 2001 yang deritanya membekas hingga hari ini. Sama ada yang dituduh sebagai kumpulan Al-Maunah, Reformasi, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Daulah Islamiah (DI). Hingga kini masih terdapat tahanan yang ditahan menjangkau lapan tahun. Saya pernah bersama mereka di Kemta. Dr Abdullah bekas pensyarah dan Mat Shah Satray, bekas juruteknik di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-duanya terkenal di kalangan orang tahanan sebagai tahanan berakhlak, sopan santun dan tidak membuat masalah pada orang lain juga kepada penguasa kem. Tetapi kenapa mereka ditahan begitu lama?

Inilah kezaliman ISA yang amat sukar fahami kerana ia satu tahanan tanpa bicara. Mereka boleh menahan sesiapa saja yang disyaki, tanpa membawa ke muka pengadilan. Dan mereka boleh menahan mangsa selama mana yang dikehendaki. Bukan atas keselamatan negara, sebaliknya atas prinsip tahanan yang tidak mahu tunduk kepada kezaliman ISA itu. Sebagai contoh, Dr Abdullah amat tegas apabila berhadapan dengan anggota Cawangan Khas (SB) yang turun memantau tahanan setiap enam bulan sekali. Ia mengambil kesempatan setiap pertemuan itu berhujah dengan SB berdasarkan fakta al-Quran dan hadis. Beliau antara tahanan yang banyak bertukar SB, kerana mereka tak sanggup mendengar apa yang disifatkan sebagai ceramah oleh SB.


Belum insaf
Lalu beliau dianggap tahanan yang masih belum insaf. Begitu juga dengan Mat Shah yang tidak berminat bertemu dengan SB kerana dianggapnya tidak memberi faedah. Dia didera atas sikap itu. Juga dikatakan sebagai satu tindakbalas pihak berkenaan terhadap isterinya, Norlaila Othman yang menjadi aktivis dalam Gerakan Mansuh ISA (GMI). Ramai beranggapan tahanan ISA akan mendapat sedikit keselesaan pada zaman Abdullah Ahmad Badawi. Bukan sahaja sebagai Menteri Dalam Negeri, dia juga sebagai Perdana Menteri. Sifat lemah-lembutnya dan juga ilmu agama yang dimilikinya diharapkan keadaan tahanan, khususnya kebajikan keluarga mereka diambil perhatian. Rupa-rupanya keadaan sebalik berlaku, malah lebih teruk daripada era sebelumnya, ketika Dr Mahathir Mohamad berkuasa. Abdullah sudah tentu tahu, dalam Islam antara golongan yang perlu mendapat perlindungan pemerintah adalah wanita dan kanak-kanak di samping lelaki tua. Dalam satu kes, Abdullah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB.


Menangis keseorangan
Isteri muda ini ditangkap di dalam rumahnya di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebih kurang empat tahun. Ketika si ibu dibawa pergi di tengah-tengah malam, anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas. Anda bayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa. Hampir 60 hari dia ditahan untuk soal siasat oleh Bukit Aman. Setelah dibebaskan, dikenakan pula tahanan daerah selama enam tahun. Suatu sekatan semata-mata untuk menyusahkan pergerakannya mencari nafkah, juga melawat suaminya di Kemta.

Satu peristiwa berdarah dalam Kemta yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 Disember 2004. Ia berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia, Filipina dan Malaysia. Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang, Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di Kemta. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah Kemta ketika itu, sempat saya mengingatkan beliau jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang, bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.


Berkebun sayur
Pagi 8 Disember 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging, main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebih kurang jam 9.00 pagi, semua wardar yang bertugas di semua blok (enam blok) diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa diawasi. Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni wardar tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA, segala-galanya boleh berlaku.

Ringkas cerita di ruangan yang terhad ini, pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih 100 UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan, merempuh masuk menyerang OT. Dalam insiden itu semua OT dipukul semahunya, hingga ada yang pengsan, patah jari, cedera di kepala, betis dan anggota badan lain. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 100 meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok, bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan.

Hampir semuanya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang. Pada malam baru seorang demi seorang dibawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut, doktor yang merawat OT, amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.


Degil
Tak cukup di situ, esoknya operasi berjalan pula di blok-blok lain. Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter. Sepanjang perjalanan itu, mereka dipukul, sepak terajang, maki hamun hingga ada yang mencabar 'Allah turun bantu OT'. Terdapat juga wardar Kemta yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang dibawa melintasi mereka. Paling menyedihkan, terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz, dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok.

Mungkin sukar untuk anda percaya, tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk daripada pihak Kemta dengan alasan mereka mendapat arahan daripada KDN. Begitulah sekelumit daripada segunung kezaliman ISA. Kami yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik, adil, bertanggungjawab dan tahanan kami ini adalah wajar. Jika tidak, kami dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun. Keadaan ini mengingatkan saya apa yang sering disebut oleh Allahyarham Presiden PAS, Ustaz Fadzil Nor dalam mengulas isu ISA ini. Menurut beliau, "apakah adil pada kamu apabila menangkap orang, diikat kaki tangan, dipukul, disepak, diterajang, dikilas tangan dipijak sampai patah kaki, sumbat mulut lalu ditanya orang itu, sakit atau tidak. Sudah tentulah pelaku-pelaku ini terdiri dari orang-orang yang tidak waras."

Beberapa hari sebelum bebas, saya didatangi oleh salah seorang pegawai kanan Bukit Aman. Dia berpesan pada saya agar memaklumkan kepada pihak tertentu atau NGO yang berusaha menghapuskan ISA, bahawa ISA ini tidak akan dihapuskan walaupun terdapat 1,000 NGO membantah.


Harungi kezaliman
Sehingga ini tak ada mana-mana pihak yang saya maklumkan kecuali pada Saari Sugaib yang menziarahi saya setelah dibebaskan. Sepanjang pengalaman 1893 hari mengharungi kezaliman ISA itu, saya yakin apa yang dkatakan pegawai berkenan benar. Ini kerana, yang menguasai isu ISA ini, sama ada daripada KDN atau Bukit Aman, terdiri daripada mereka yang hatinya keras tidak lut dengan nasihat agama dan hilang kemanusiaan mereka. GMI, NGO dan parti politik pembangkang sememangnya tidak mampu untuk menghalang keegoan pemerintah. Hanya kebangkitan rakyat sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Rakyat yang tidak mempunyai maklumat atau memandang remeh isu ini, tak akan bersuara, apatah lagi ke jalanan membuat bantahan. Terutama pada saat ini, masih menjadi bualan Perdana Menteri baru membebaskan 13 tahanan sebaik saja menganti Abdullah. Rakyat tentu tak tahu bahawa ini satu sandiwara. Mereka diperjudikan semata-mata untuk kepentingan PM baru, Najib Razak.

Tentu kita masih ingat, tiga minggu selepas Abdullah ambil alih kuasa 15 orang tahanan anggota Al-Maunah telah dibebaskan sehari menjelang Aidilfitri pada November 2003. Desas-desus pembebasan mereka ini telah kami dengar tiga bulan sebelum itu. Namun mereka dikambinghitamkan untuk kepentingan politik Abdullah. Dua minggu selepas itu, saya didatangi SB dari Bukit Aman. Antara perbualan kami menyentuh isu pembebasan anggota Maunah itu.


Sambut raya
Disebutkan pada saya antaranya: "Cuba hang fikir, apabila mereka balik menjelang raya, bukan saja tangan mereka, tapi tangan isteri, anak-anak dan ahli keluarga masing-masing akan angkat doa berterima kasih pada Abdullah kerana dapat menyambut raya bersama keluarga di rumah. Tentu mereka kata Abdullah baik." Sandiwara ini berulang lagi pada giliran Najib. Tetapi cacat lakonannya kerana tidak semua anggota Hindraf dan JI dibebaskan. Namun Makkal Sakthi yang ditunjukkan oleh masyarakat India berjaya memberi tekanan hingga semua anggota Hindraf dibebaskan. Tinggal lagi anggota JI dan DI.

Semasa muktamar PAS yang lalu, saya bertemu dengan Norlaila, isteri Mat Shah. Menurutnya ketika itu, seminggu lagi beliau akan ke Geneva atas urusan merayu pihak antarabangsa membebaskan suaminya. Dia yakin suaminya akan dibebaskan penghujung Jun yang lalu. Itulah antara kezaliman ISA, isteri dan anak-anak diberi janji-janji manis. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kehampaan.

Tidak lengkap isu ini tanpa menyentuh keadaan anak isteri sepanjang kami ditahan. Sebaik saja ditahan, rumahtangga menjadi kelam kabut, khususnya isteri menjadi tidak tentu arah. Mana nak melayan kerisauannya, terpaksa pula memujuk hati anak-anak kecil yang merindui ayah mereka, juga kejutan anak-anak remaja yang terpaksa menghadapi masyarakat yang pelbagai ragam. Cuba bayangkan, bagaimana anak-anak remaja ini, khususnya kami daripada KMM yang dituduh membunuh dan merompak. Media membesarkan tajuk ini dengan menyiarkan gambar-gambar kami selaku penjenayah sepanjang Ogos hingga hujung tahun 2001. Waktu ini ada anak-anak kami menghadapi peperiksaan UPSR ,PMR, SPM, STPM dan di pusat pengajian tinggi.


Mohon cerai
Terdapat dalam beberapa kes di mana isteri terpaksa memohon cerai atas tekanan pihak tertentu. Anak remaja yang meninggal kampung kerana tak selesa tinggal lagi dengan fitnah terhadap ayah mereka. Tak kurang pula anak-anak ini yang terpaksa tangguh pengajian kerana masalah ekonomi dan tekanan perasaan. Paling menyedihkan apabila pihak berkuasa langsung tidak mempedulikan kebajikan keluarga tahanan. Malah terdapat kes di mana pihak tertentu diarah menghalang individu memberi sumbangan wang pada keluarga tahanan. Pada awal tangkapan ramai yang simpati hulur sumbangan sama ada ketika datang ziarah atau memasukkan wang dalam akaun bank. Dengan halangan itu, akhirnya tak ada lagi sumbangan individu, kecuali NGO atau saluran politik pembangkang. Ada juga yang simpati, lalu bantu membawa keluarga tahanan ke Kemta seminggu sekali. Dengan halangan daripada pihak tertentu, akhirnya terpaksa menaiki bas ke Kemta. Lebih menderita jika isteri tinggal jauh. Ada dari Sabah. Teringat saya pada seorang rakan tahanan yang terkenal dengan kesabarannya. Selalunya, apabila pulang daripada bertemu isteri, wajahnya ceria dengan pelbagai cerita baru yang dibawanya.


Air mata mengalir
Suatu hari dia pulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah Zuhur saya ke biliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya, dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah datang menemuinya sewaktu dia baru 10 hari melahirkan anak lelaki. Kerana tahu suami berhajatkan anak lelaki, dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia.

Tidak ada lagi orang yang mahu menghantarnya, lalu isterinya naik bas dari Banting seawal pagi menuju ke KL. Kemudian ambil bas dari Puduraya ke Kamunting. Makan masa hampir enam jam. Di pintu utama masuk kem, dia terpaksa pula jalan kaki hampir satu kilometer ke tempat pendaftaran pelawat. Usaha mengumpulkan ratusan ribu rakyat mengadakan protes memansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 ini wajar dipandang serius oleh semua pihak. Masih banyak lagi babak-babak kezaliman di sebalik tabir ISA. Memang benar jumlah tahanan sekarang kurang 10 orang, tetapi amaran daripada Menteri Dalam Negeri baru-baru ini kepada pihak tertentu, membayangkan Kemta bakal dipenuhi penghuni lagi.

Seperti dikatakan, tidak ada kuasa yang boleh menyelesaikan isu ini melainkan kuasa rakyat. Kita lakukan ini bukan untuk kita, tetapi buat generasi akan datang. Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia. Bekas tahanan seperti saya dan rakan-rakan lain masih lagi dibimbangi dengan pantauan seolah ugutan. Kehidupan harian kami tidak selesa seperti dulu, terutama perbualan telefon kami dirakam. Ada yang dipaksa memaklumkan pada Bukit Aman jika menerima panggilan dari luar negara. Tak kurang pula yang ditahan pasport oleh KDN juga sukar membuka akaun bank.

Ramai antara kami yang keluar terpaksa terkapai-kapai mencari nafkah hidup. Pekerjaan dulunya telah hilang. Yang terlibat dalam perniagaan, terbantut bisnes. Saya umpamanya, terpaksa menanggung hutang hampir RM200,000 akibat projek ternakan ayam yang tersadai sebaik ditahan lebih lima tahun. Bukan senang bagi saya untuk mengumpul wang dengan jumlah sebegitu banyak dalam usia separuh abad ini. Apa yang dialami oleh mangsa ISA, terutama mereka yang lebih daripada tiga tahun dalam tahanan, gelora hidup keluarga mereka seharusnya mengamit simpati daripada kita.


Bebas suami tercinta
Bayangkan Norlaila sanggup pergi ke Geneva semata-mata dengan hasrat membebaskan suami tercinta, juga menyatakan kezaliman ISA di mata dunia, mengapa kita tidak sanggup beberapa jam sahaja menyambut seruan pihak tertentu untuk memberi sokongan dalam usaha menghapuskan ISA.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengingatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu roma, setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak. Justeru, sedikit masa dan keringat kita semasa perhimpunan itu tentunya akan dipetanggungjawab juga hadapan Allah kelak. Bukan sahaja memberi sokongan kepada kegigihan Norlaila serta keluarga Dr Abdullah, lebih jauh daripada itu adalah kita bersama-sama dengan golongan yang menentang kezaliman.

Dalam satu himpunan, satu langkah, satu hasrat dan satu suara rakyat Malaysia.
HAPUSKAN ISA!



SUMBER DARI HARAKAHDAILY.NET