23 September 2011 Saya amat terkejut membaca berita bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu ini telah mengarahkan penyiar tempatan supaya berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (public service announcement, PSA) “Undilah” yang diterbit saudara Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia yang baru lepas. PSA ini, yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak (non-partisan) untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita. Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong. Di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal “demokrasi terbaik” di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya. Saya memohon SKMM untuk menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan, malah memohon agar SKMM menterbalikkan arahan tersebut dan mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi di negara tercinta ini. Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanah air. Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan
Naib Presiden KEADILAN
Friday, September 23, 2011
NURUL IZZAH : UNDILAH DAN SKMM
Posted by pondokmaya at 2:50:00 PM 0 comments
Labels: politic
HUDUD : JERAT UMNO
Pemimpin-pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang. Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat. “Isu ucapan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu, isu bendera (Jalur Gemilang), isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang. “Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalih perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini. Beliau juga menggariskan terdapat banyak isu lain iaitu warga asing diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-13, undang-undang baru bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). “Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” katanya. Selepas isu membabitkan Mohamad yang dikenakan tuduhan di mahkamah baru-baru ini, sejak kelmarin PAS diselubungi kontroversi berkaitan hukum hudud. Ia turut mengheret sekali DAP. Kata Tuan Ibrahim, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka. Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini. “Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya Pakatan Rakyat terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit,” kata beliau. Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum. Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang. “Ia (Pakatan) seharusnya berupaya untuk kekal fokus dengan isu-isu, ia akan membantu kami keluar daripada serangan dan menghadapi pilihan raya... kita ada tugas penting untuk memenuhi pengharapan rakyat sekarang... menghadapi pilihan raya umum dan menang,” kata beliau sambil menyifatkan dua isu yang dilihat akademik iaitu negara Islam dan hukum hudud boleh dibincangkan kemudian. “Kita tidak wajar berdebat atau membincangkan isu-isu bersifat akademik ini pada waktu genting menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya. “Kita tahu apa yang difikirkan oleh musuh-musuh kami, jadi mereka akan menggunakan isu seperti ini, hudud dan negara Islam untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah, “isunya bukan sangat menguasai kerajaan pusat, tetapi lebih daripada itu ialah mewujudkan sistem dua parti di negara ini... untuk itu kita kena kekal kukuh dan mantap dalam Pakatan.” Dengan turut merujuk kepada pendirian PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno tahun lalu, wakil rakyat penggal pertama ini berharap kepimpinan perikatan dengan segera menyelesaikan isu terbaru ini. “Malah isu ini telah disentuh oleh (Pengerusi DAP) Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan tahun lalu dan semuanya berjalan lancar, dan tiba-tiba menjadi isu semula sekarang,” katanya agak kecewa dengan perkembangan semasa. Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan isu ini akan dibangkitkan semula, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata: “Saya memang sudah menjangkakan isu ini (hudud) akan berkembang jadi rumit macam hari ini.” “Sebab itu, saya memaklumkan Setiausaha Agung (PAS, Datuk Mustafa Ali) dan mengadakan satu sidang media semalam,” kata beliau, yang sidang media semalam mendakwa kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Tanjong Malim kelmarin bertujuan menggugat kedudukan Pakatan Rakyat. Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu. Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam. Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu. Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia. Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Tengah hari semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat. Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.
Posted by pondokmaya at 12:20:00 PM 0 comments
Wednesday, September 21, 2011
LEBIH KEJAM DARI ISA?
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001. Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”.
Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan. Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.
Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.
Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.
Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.
Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.
Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.
Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998.
Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.
Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.
Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.
Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.
Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat.
Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.
Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Malaysia
Posted by pondokmaya at 2:11:00 PM 0 comments
Labels: law