THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, May 29, 2010

PKR PERKETAT PILIH CALON

Proses pemilihan wakil rakyat PKR perlu lebih ketat untuk mengelakkan kejadian lompat parti, kata presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Katanya, wakil rakyat sebegitu juga sebaiknya disingkirkan daripada parti sekiranya dikesan lebih awal.

"Jika demikian watak wakil rakyat (kita), bukankah lebih baik mereka disingkir dan bersama dengan parti wang dan kontrak (oleh) Umno (dan) BN.

"Apakah perkembangan tersebut mampu memantapkan Parti Keadilan Rakyat? Ya, kerana bukan saja parti diselamatkan dari anasir negatif, tetapi ia adalah pengajaran buat kita, katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di kongres parti itu hari ini.

Katanya lagi, bakal calon juga perlu mengikuti program tarbiah atau latihan sebagai pelapis bagi pemimpin sedia ada

"Apakah mampu dipertahankan tokoh lama yang kurang wibawa? Atau mestikah kita sekadar memilih (pemimpin) yang telah kenal aspirasi perjuangan parti," soalnya.

Beliau juga menyifatkan wakil rakyat yang bertindak melompat parti itu "dijangkiti" amalan daripada pemimpin Umno dan BN.

Katanya, "pekung busuk" itu kini telah terhidu dan parti itu akan mendedahkan fakta berhubung upah sebanyak RM2 juta ringgit dan jua imbuhan kontrak sebagai upah bagi ahli parlimen yang yang lompat parti.

"Demikian telatah pengkhianat – bicara soal prinsip tetapi isi tembolok sendiri," katanya.

Dalam soal itu, katanya, pimpinan parti itu juga sewajarnya mendengar pandangan daripada parti manakala rakyat pula harus membuat penilaian.

Sehubungan itu juga ahli majlis kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan ini perlu meningkatkan prestasi mereka.

Tumpuan perlu diberikan dalam soal "pembangunan dan pengagihan kekayaan kepada rakyat serta kepedulian terhadap permasalahan."

Wan Azizah turut menggariskan lima fokus utama yang perlu ditumpukan oleh kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan keputusan kerajaan yang perlu dipercepatkan, di samping memastikan kelicinan pentadbiran.

"Kenal pasti undang-undang, dasar dan arahan pekeliling yang menjadi punca kepada kelewatan dan birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan," katanya.

Selain itu, perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan negeri juga perlu dipastikan supaya sampai ke peringkat terbawah, katanya lagi.

Tambahnya, pelan pembangunan ekonomi negeri juga perlu berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia, selain memenuhi kehendak masyarakat dalam perkhidmatan kerajaan tempatan.

"Penghulu, JKKK, ahli majlis dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan penting kerana anda adalah wakil kita dengan rakyat.

"Program-program untuk meningkatkan keberkesanan mereka perlu dilaksanakan dengan segera," katanya lagi.

Tambahnya, jentera penerangan kerajaan negeri juga perlu digembleng bagi memastikan polisi dan maklumat kerajaan sampai ke golongan sasaran.

"Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi," tegasnya.

Wan Azizah juga yakin, pentadbiran negeri Pakatan berasaskan prinsip urustadir yang baik mampu memastikan pentadbiran yang "cekap, telus dan amanah."

Beliau seterusnya mencadangkan supaya Selangor mengadakan Indeks Tadbiran Baik setiap tahun bagi membolehkan masyarakat menilai pencapaian kerajaan negeri itu.

Katanya, cadangan tersebut berdasarkan laporan Ketua Audit Negara pada dua tahun lalu yang mencatat rekod bersih bagi kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak.

SUMBER http://www.malaysiakini.com/

MEM DIKRITIK

Kongres Ekonomi Bumiputera di ibunegara hari ini panas apabila Model Ekonomi Baru (MEB) yang disusun oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negera (MPEN) telah dikritik oleh dua bekas pegawai tinggi kerajaan pusat kerana "tidak mengutamakan agenda bumiputera".

Mereka ialah bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Senator Datuk Akbar Ali dan bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE) Datuk Halipah Esa.

"Model ekonomi baru adalah dokumen MPEN yang belum diterima oleh kerajaan.

"Ia menyerang bangsa Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB)... MPEN kena berpegang kepada kekuatan sendiri, bukan kelemahan orang lain," kata Akbar disambut laungan beberapa peserta "bakar buku itu" dan "buang buku itu".

Modul itu kini dibukukan sebagai cadangan kepada kerajaan dan kulitnya berwarna merah.

Akbar mengulas pembentangan kertas kerja oleh Ketua Setiausaha MPEN, Prof Dr Normah Mansor bertajuk "Agenda Melayu Dalam Model Baru Ekonomi" di Dewan Tun Hussein PWTC.

Kongres anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta hadir yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Normah mengakui kekurangan dasar-dasar khusus untuk bumiputera dan Melayu dalam model ekonomi baru tersebut.

Berikutan itu, katanya, MAPEN mahu mendengar dari kongres tersebut mengenai agenda Melayu dan bumiputera kerana ia tidak dirumuskan dalam MEB.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh ahli akademik Datuk Kamaruddin Kachar yang meminta ahli panel supaya jangan takut untuk berterus terang mengenai MEB kerana mereka membela hak semulajadi orang Melayu.

Selain Akbar dan Halipah ialah seorang ahli akademik Rajini Ramlan dan profesor sejarah, Datuk Ramlah Adam.

Akbar (kiri) berkata, MPEN perlu bersikap adil kepada DEB agar tidak mengutuk atau menyalahkan DEB untuk menggalakkan model baru ekonomi.

Katanya MEB adalah pandangan MPEN dan beliau bimbang sekiranya modul tersebut digunakan sebagai senjata untuk menumbangkan kerajaan dan menjadi alat baru untuk menjajah bumiputera.

Sehubungan itu, Akhbar menggariskan langkah dengan menjadikan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber penggubalan MEB demi menjamin kesejahteraan dan kualiti rakyat.

Beliau juga mencadangkan agar dihapuskan diskriminasi terhadap bumiputera dan menyusun semula guna tenaga dan kekayaan negara.

Manakala Halipah yang turut membahaskan kertas kerja tersebut, juga mengkritik modul MEB.

"Saya tidak nampak agenda bumiputera (dalam MEB). Tidak diberi tempat.

"Dalam lapan SRI (strategic, reform, initiative) dalam MEB, tidak letak agenda bumipoutera sebagai keutamaan," katanya.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi hari ini, Halipah (kiri) menggesa agar agenda bumiputera perlu dizahirkan dengan meningkatkan kapasiti dan kebolehan yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, MEB dan Rancangan Malaysia ke-10 perlu lebih perkasa dengan menitikberatkan pendidikan dan latihan serta kouta biasiswa perlu diteruskan.

Sementara itu, pengerusi MPM, Datuk Ibrahim Ali ketika ditemui pemberita berkata agenda bumiputera mesti diutamakan dan menjadi agenda nasional.

"Kedua pembahas menimbulkan kesangsian (terhadap) model ekonomi baru.

"Agenda bumiputera tidak dijelaskan atau kabur dan tidak dititikberatkan, seolah-olah menyalahkan dasar kerajaan itu tidak benar," katanya.

SUMBER http://www.malaysiakini.com/

MP PKR PERLU BUKTIKAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar ahli-ahli Parlimen yang telah keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menafikan yang mereka tidak menerima sebarang ganjaran sama ada dalam bentuk wang ataupun kontrak kerajaan.Anwar membuat cabaran itu beberapa jam selepas mengeluarkan satu kenyataan di ibu negara bahawa pihaknya ada bukti wakil-wakil rakyat yang keluar PKR sejak setahun lalu ada menerima RM2 juta dan kontrak bernilai berjuta-juta ringgit.

Penasihat PKR itu mengeluarkan kenyataan itu ketika pemerhati dan pemimpin parti itu melihat isu melompat parti dijangka akan menjadi tumpuan kongres tahunan kali ini.

Malah parti itu dijangka keluar dengan satu mekanisme untuk mengawal keadaan itu pada masa depan.

Ketika berucap pada ceramah di sini malam tadi, menjelang Kongres Nasional Keenam PKR, Anwar yang juga penasihat parti itu berkata, beliau berharap wakil-wakil rakyat yang telah keluar itu agar menyahut cabaran tersebut.

“Petang tadi saya ada keluarkan kenyataan ahli-ahli Parlimen yang keluar ini menerima (ganjaran) wang RM2 juta, kita ada bukti... kita akan keluarkan dalam waktu terdekat ini.

“Sebelum kita keluarkan, kita minta mereka menafikan (yang tidak terima ganjaran,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sambil menambah, orang ramai akan terkejut dengan maklumat itu dikeluarkan.

“Saya nak tunggu apa mereka hendak kata,” katanya lagi.

Kata Anwar, kenyataan-kenyataan bahawa mereka tidak percaya dan kecewa dengan kepimpinan parti dan Pakatan Rakyat hanyalah alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka keluar parti.

“Mereka keluar dengan kata Anwar khianat, tetapi alasan sebenar kita akan keluarkan bukti... biar rakyat yang buat penilaian,” katanya.

Turut berucap pada ceramah itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Kita ada maklumat, paling kurang (mereka terima RM2 juta)... saya ada bukti, dalam waktu singkat (akan umumkan),” katanya.

SUMBER http://www.themalaysianinsider.com/

ISU LESEN JUDI BOLA

Judi adalah jelas hukumnya disisi Islam. Allah SWT telah mengharamkan judi melalui firman-Nya di dalam Surah Al Maidah, Ayat 90 :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

Begitu juga surah Al-Baqarah, ayat 219 :

Maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya"

Sesiapa yang beriman dengan Al-Quran, wajib baginya beriman dengan haramnya judi walau apa pun bentuk dan namanya. Begitu juga, tidak ada mana-mana agama di dalam dunia ini yang menghalal dan menggalakkan amalan berjudi yang sentiasa menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan sosial umat manusia.

Langkah kerajaan Malaysia yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato' Dr. Awang Adek yang memberi lesen perjudian bolasepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita.

Saya percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya. Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi.

Oleh itu saya ingin memberi nasihat kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia supaya dapat menarik balik lesen perjudian bolasepak tersebut dengan serta merta. Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, saya percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan. Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Di samping itu, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian. Kita juga akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara.

Terima kasih.

NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Bachok
27 Mei 2010

ORANG TERKAYO DI MALAYSIA

Sementara Ketua Eksekutif PEMANDU Jabatan Perdana Menteri Idris Jala membeliakkan mata rakyat dengan ramalan bahawa negara bakal menyusul jejak Greece untuk menjadi negara muflis seandainya subsidi tidak dikurangkan, Forbes Asiapula mengumumkan perangkaan bahawa jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia telah bertambah sebanyak 42%, berikutan perkembangan ekonomi negara.

Menurut "Malaysia Rich List 2010" yang diumumkan oleh Forbes Asia, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia telah bertambah dari USD 36 bilion pada tahun 2009, kepada USD 51 bilion pada tahun ini, malah memecah rekod USD 46 bilion yang dicapai pada tahun 2008.

Selain daripada itu, mereka yang memiliki jumlah kekayaan melebihi USD 1 bilion di Malaysia telah bertambah dari 9 orang pada tahun lalu, kepada 10 orang pada tahun ini.

Menurut Forbes Asia, pertumbuhan kekayaan secara keseluruhannya orang kaya di Malaysia ini selari dengan pasaran saham yang melonjak 32% sepanjang 12 bulan yang lalu, dan kadar pertambahan nilai mata wang ringgit yang melambung 11% pada masa yang sama.

Robert Kuok terkaya

Orang terkaya di Malaysia, Robert Kuok (gambar kiri) kekal sebagai orang terkaya di Malaysia, dengan harta bersih bernilai USD 12 billion pada tahun 2010, USD 3 bilion bertambah jika dibandingkan dengan tahun lepas. Robert Kuok kekal pada kedudukan orang terkaya di Malaysia sejak Forbes Asia mula menyusun senarai ini pada tahun 2006.

Ananda Krishnan pula menyusul di belakang, sebagai orang kedua terkaya dengan harta bersih bernilai USD 8.1 bilion, pertambahan USD 1.1 bilion berbanding tahun lalu. Syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia, MAXIS yang dikuasai Ananda Krishnan menjadi syarikat tersenarai semula pada tahun lalu, berjaya mengumpulkan USD 3.4 bilion, lantas menjadi Initial Public Offering (IPO) yang terbesar di Malaysia.

Lee Shin Cheng menduduki tempat ketiga dengan harta bersih USD 4.6 bilion, bertambah satu kali ganda daripada USD 3.2 bilion pada tahun lalu. Kumpulan IOI yang dikuasai Lee Shin Cheng merupakan antara syarikat pemprosesan kelapa sawit yang terbesar di dunia.

Selain tiga orang terkaya di atas, jumlah harta 27 orang terkaya di Malaysia juga bertambah dalam masa setahun ini. Antaranya, Goh Peng Ooi yang menduduki tempat ke-16, kekayaannya melonjak secara mendadak dengan kadar 280% pada tahun 2010, dari USD 112 juta pada tahun 2009 kepada USD 425 juta tahun ini.

Muka baru orang terkaya

Biarpun secara puratanya jumlah kekayaan 40 orang terkaya telah bertambah, tetapi penyusutan juga berlaku pada sesetengah orang terkaya ini. Antaranya, kekayaan tycoon judi Chen Lip Keong menyusut dari USD 195 juta pada tahun 2009 kepada USD180 juta pada tahun ini, malah jatuh dari tangga ke-21 kepada ke-29. Selain daripada itu, Lee Swee Eng yang menguasai kumpulan KNM, juga tersusut nilai harta kekayaannya dari USD 190 juta pada tahun lalu kepada USD 150 juta pada tahun ini.

Muka baru yang berjaya memasuki senarai 40 terkaya termasuklah adik beradik Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura Group, berkongsi ranking ke-23 dengan jumlah kekayaan USD 270 juta.

Selain daripada itu, A K Nathan buat pertama kali memasuki senarai 40 terkaya, dengan USD 250 juta pada ranking ke-24. Syarikat Eversendai yang dikuasai A K Nathan terlibat dalam projek pembinaan bangunan terkenal, termasuk menara tertinggi di dunia yang terletak di Dubai.

Selain daripada itu, tiga orang terkaya yang terkeluar dari senarai ini, kembali semula pada tahun ini. Antaranya, adik Perdana Menteri, Nazir Razak (gambar kiri) tersenarai semula dengan USD 145 juta pada kedudukan ke-32.

* Ditulis oleh Neo Chee Hua, Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.


SUMBER http://www.merdekareview.com/

Friday, May 28, 2010

ANTARA KUASA MENTERI DENGAN PBT

Cabaran umNo telah mula dijawab oleh negeri Pakatan Rakyat. Perkasa yang macam pondan sebelum ini turut menumpang mencabar Kerajaan dikuasai Pakatan Rakyat mengharamkan judi. Walaupun semua sindiran dan cabaran itu meminta diharamkan judi namun di sebaliknya adalah sokongan kepada judi tersebut. Ini kerana mereka tidak menyanggah judi sebaliknya mencemuh pemimpin Pakatan yang menentang judi.

Hari ini suara itu akan mula diam.....Beberapa majlis tempatan di Selangor akan bertindak membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan.

Bermula dengan Majlis Badaraya Petaling Jaya pada Selasa lalu, gerakan berkenaan menjalar ke Selayang, semalam dan hari ini Ampang Jaya pula mengambil tindakan yang sama.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat majlis berkenaan, ahli majlis, Latheefa Koya berkata mereka bertindak mengikut Seksyen 101, Akta Kerajaan Tempatan yang meliputi isu berhubung kesihatan, keselamatan dan keselesaan.

Latheefa, yang juga ketua penerangan PKR berkata judi sukan memudaratkan kesihatan mental dan menjadikan sukan sebagai aktiviti yang tidak menyihatkan.

Menurut ahli majlis Selayang, Lee Khai Loon, mereka boleh menghalang aktiviti perjudian dengan mengawal pengeluaran lesen premis perniagaan, yang mensyaratkan jenis perniagaan yang mereka jalankan.

"Premis perjudian seperti Sports Toto menyenaraikan loteri sebagai item perniagaan mereka, justeru, pertaruhan sukan bukan dalam senarai itu.

"Untuk menyenaraikan pertaruhan sukan sebagai antara item perniagaan, pengendali perlu membuat permohonan kepada majlis tempatan dan pendirian kami adalah untuk menolak permohonan seumpama itu,” katanya sambil menambah keputusan mereka adalah sebulat suara.

Malah menurut Khai Loon, yang juga adalah ketua penerangan Pemuda PKR, pihak majlis tempatan tidak akan teragak-agak menutup premis yang menawarkan judi sukan.

"Kita mempunyai 24 ahli majlis dan dengan bantuan orang ramai yang juga akan menjadi mata dan telinga untuk Majlis Perbandaran Selayang," katanya.

SUMBER http://anaksengat.blogspot.com/

Thursday, May 27, 2010

PBT TAK AKAN KELUAR LESEN OPERASI JUDI BOLA

PAS menyokong keputusan dan tindakkan yang diambil oleh PBT Petaling Jaya, Selayang dan Ampang Jaya yang tidak akan membenarkan premis pengoperasian judi bola sepak Piala Dunia oleh Syarikat Ascot Sport anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corp yang mendapat lesen judi tersebut dari Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Menteri Kewangan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini. Keputusan dan tindakkan tersebut menunjukkan satu keberanian dan ketegasan PBT yang memahami kesan yang bakal dihadapi negara dari amalan perjudian.

Apa yang boleh dilakukan oleh PBT ialah pertamanya tidak mengeluarkan lesen premis judi bola sepak ini kepada Syarikat Kumpulan Berjaya Corp yang mendapat lesen untuk mengendalikan perjudian ini. Kedua ialah sepertimana kenyataan yang dibuat oleh Berjaya bahawa mereka akan menggunakan premis dan kemudahan Sport Toto yang sedang beroprasi secara sah untuk dijadikan pusat pengoperasian kegiatan judi bola sepak, maka pihak PBT boleh menarik balik lesen premis yang telah dikeluarkan oleh PBT sebelum ini kepada Sport Toto kerana menjalankan penambahan aktiviti judi tanpa kebenaran PBT.

PBT juga hendaklah menolak sebarang permohonan penambahan aktiviti judi yang dikendalaikan dipremis Sport Toto. Dengan ini kita dapat menghalang kegiatan judi yang sangat besar tranksaksinya yang dijangka RM2 bilion dalam sehari. Dengan ini dapat mengelak dari berlakunya peningkatan gejala jenayah seperti curi, rompak, ragut dan kegiatan pinjaman along untuk berjudi yang akan menyebabkan berlakunya keberentakkan rumahtangga dan mengujudkan masalah sosial pada negara.

Tahniah kepada Ahli Majlis PBT Selangor yang menggunakan kuasa yang ada pada mereka menghalang gejala keburukan judi ini. Saya menyeru semua kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan ini sebagai satu permulaan yang baik kearah menghentikan amalan buruk ini. Saya menyeru semua Ahli Majlis PBT di negeri PR mengambil langkah dan tindakkan yang sama dalam menghalang kegiatan judi bola sepak yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Saya akan menghubungi Pimpinan PR untuk membolehkan satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan PR diadakan dalam kadar yang segera untuk mengambil ketetapan supaya semua kerajaaan negeri dan PBT di negeri PR memerintah mengambil keputusan yang sama bagi menghalang pengoperasian judi bola sepak yang dilesenkan oleh Datuk Seri Najib kepada Berjaya Corp.

DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS