THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, November 21, 2009

UMNO MARAH MELAYU TERAJUI MPPP?

Oleh pendikar gunung kriang

Pada akhir tahun lepas, sekonyong-konyong politik Selangor digegarkan oleh isu perlantikan wanita Cina sebagai Pengurus Besar sementara PKNS. Yang menjadi isu besar bagi Umno Selangor dan NGO-NGO yang sewaktu dengannya ialah Pengurus Besar sebelum itu ialah orang Melayu (termasuk Jawa), tetapi mengapa Pengurus Besar Melayu digantikan oleh Pengurus Besar Cina (walaupun cuma Pengurus Besar sementara)? Lalu Menteri Besar Tan Sri Khalid sebagai seorang Melayu dituduh sebagai pengkhianat Melayu oleh Umno dan NGO-NGO sewaktu dengannya kerana melantik seorang Cina sebagai Pengurus Besar, sedangkan Pengurus Besar sebelum ini adalah Melayu dan secara tradisinya ia milik Melayu. Pas Selangor juga menyatakan tidak bersetuju dengan perlantikan wanita Cina yang bernama Low Siew Moi itu sebagai Pengurus Besar PKNS.

Dan kelmarin senario yang hampir sama berlaku di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang kelmarin telah melantik Patahiyah Ismail, seorang wanita Melayu, sebagai Yang Dipertua baru Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Perlantikan Patahiyah telah mencatatkan satu sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang menerajui sebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Jadi ia berita penting bukan sahaja untuk orang Melayu negeri itu, tapi juga wanita negara ini. Patahiyah akan mengantikan Yang Dipertua MPPP sekarang, Tan Cheng Chui, 54, yang memutuskan untuk bersara awal atas sebab-sebab kesihatan.

Yang menariknya di sini ialah jika di Selangor, Menteri Besar seorang Melayu tergamak melantik seorang wanita Cina memegang jawatan Pengurus Besar PKNS yang secara tradisinya adalah jawatan untuk Melayu, di Pulau Pinang pula Ketua Menteri seorang Cina tergamak melantik seorang wanita Melayu memegang jawatan Yang Dipertua MPPP yang secara tradisinya adalah jawatan untuk Cina (walaupun tidak semestinya begitu).

Saya sekarang sedang tertunggu-tunggu reaksi Umno Pulau Pinang sama ada ianya sama ketika isu perlantikan Pengurus Besar PKNS dahulu. Di Selangor dahulu, mungkin kerana desakan banyak pihak, terutama Umno,akhirnya Menteri Besar bersetuju melantik seorang Melayu sebagai Pengurus Besarnya bagi menggantikan Low Siew Moi. Saya hendak lihat sama ada Umno memegang prinsip yang sama bahawa bagi sesuatu jawatan penting di peringkat negeri, ia harus mengikut tradisi bahawa ia perlu dipegang oleh satu kaum tertentu.

Jika bagi PKNS jawatan Pengurus Besar secara tradisi dipegang oleh Melayu, maka Melayulah juga yang harus memegang jawatan itu sampai bila-bila (walaupun untuk jawatan Pengurus Besar sementara, seperti kes Low). Jika precedent ini diterima pakai oleh Umno, maka dalam kes Yang Dipertua MPPP, ia juga harus dipegang oleh seorang Cina. Dan ia diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa 14 daripada 24 Ahli Majlis MPPP sekarang adalah mereka dari kalangan bukan Melayu. Ahli Majlis MPPP dari kalangan Melayu pula cuma 10 orang (itu pun termasuk keturunan India Muslim yang mengaku sebagai Melayu). Lagi pun, majoriti penduduk di bawah kelolaan MPPP ialah orang Cina, maka tentu jawatan itu bagi Umno yang menjunjung prinsip 1Malaysia itu, wajar juga dipegang oleh seorang Cina.

Di Selangor dulu, Umno bukan main berang apabila Menteri Bear melantik seorang Cina sebagai Pengurus Besar sementara PKNS kerana ia tidak mengikut tradisi. Apakah Umno Pulau Pinang juga akan berang kerana Guan Eng melantik seorang Melayu untuk jawatan Yang Dipertua MPPP kerana ia juga tidak mengikut tradisi? Adakah Umno Pulau Pinang lepas ini akan mengadakan bantahan besar-besaran mendesak orang Cina menerajui MPPP dan menggerakkan NGO-NGO Melayu membuat kacau seperti di Selangor dulu?

Dan reaksi DAP? Dalam hati saya tidak yakin DAP akan menentang perlantikan Patahiyah sebagai Yang Dipertua MPPP hanya semata-mata kerana dia Melayu. Ini kerana saya yakin DAP lebih cerdik dalam permainan politik berbanding Umno!

Umno Pulau Pinang, apa lagi, pergilah berhimpun di depan Komtar atau di Padang Esplanade untuk mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang melantik seorang Cina sebagai Yang Dipertua MPPP! Jika Umno berani bertindak begitu, pasti parti itu akan dipuji sebagai parti yang memahami slogan 1Malaysia tajaan presiden terhormat mereka yang bernama Najib Tun Razak itu. Umno sepatutnya berani membuat desakan itu, kerana bukankah parti itu telah diminta oleh presiden parti untuk menjaga kepentingan orang Cina kerana kegagalan MCA melakukannya?

SUMBER http://budakbalun.blogspot.com/

AKUAN PERTAMA BALA SAH

Oleh GoMalaysia

"AKUAN BERSUMPAH"

Saya, Balasubramaniam a/l Perumal (K/P NO: xxxxxx-xx-6235), seorang warganegara Malaysia yang sudah dewasa dan tinggal di [dipadam], Selangor, menyatakan dengan tegas dan ikhlas seperti yang berikut:

1. Saya adalah pegawai polis dengan Polis Diraja Malaysia, yang mana saya menyertai pasukan polis sebagai konstabel pada tahun 1981, yakni bertugas dalam Pasukan Lapangan Polis. Saya kemudiannya dinaikkan pangkat kepada Lans Korporal dan akhirnya berhenti pada tahun 1998, iaitu ketika bertugas dalam Cawangan Khas.

2. Semenjak meninggalkan Pasukan Polis, saya bekerja sebagai Penyiasat Persendirian.

3. Antara bulan Jun dan Julai 2006, saya diupah oleh Abdul Razak Baginda bagi jangka masa 10 hari, yakni bagi melindunginya di pejabatnya di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara jam 8:00 pagi dan 5:00 petang setiap hari. Dia kelihatan seperti diganggu oleh pihak ketiga.

4. Saya melepaskan tugasan ini selepas 2 ½ hari kerana saya tidak menerima arahan yang tepat.

Bala Menegaskan Akuan Bersumpah Pertamanya dan Mengatakan bahawa Beliau Ditawarkan RM5 Juta untuk Menarik Balik Akuannya Itu.....

5. Saya kemudiannya diminta untuk kembali memberikan perkhidmatan saya pada 05-10-2006. Ini kerana dia menerima telefon daripada seorang lelaki Cina yang memanggil dirinya ASP Tan. Lelaki Cina itu mengugutnya dengan arahan supaya membayar hutang-piutangnya. Saya kemudiannya mendapat tahu bahawa lelaki itu sebenarnya adalah seorang penyiasat pensendirian bernama Ang yang diupah oleh seorang perempuan Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.


6. Abdul Razak Baginda bimbang bahawa seorang yang bernama Altantuya Shaariibuu, yakni seorang wanita Mongolia adalah dalang di sebalik ancaman itu dan bahawa dia akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan akan cuba menghubunginya.


7. Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa beliau khuatir akan hal ini kerana dia diberitahu bahawa Altantuya Shaariibuu telah diberikan kuasa oleh 'bomoh' Mongolia dan disebabkan ini, dia (Abdul Razak Baginda) tidak akan berupaya melihat wajahnya.

8. Apakah saya bertanya akan identiti wanita Mongolia itu, Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa dia adalah kawannya yang diperkenalkan kepadanya oleh seorang VIP. Menurutnya, VIP itu memintanya untuk memastikan segala keperluan kewangan wanita itu terjaga.

9. Saya menyarankannya untuk membuat laporan polis mengenai ancaman seorang Cina yang dikenali sebagai ASP Tan terhadapnya, tetapi dia menolak untuk berbuat demikian kerana menurutnya, individu berpangkat tinggi juga terlibat dalam permasalahan itu.


10. Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa Altantuya Shaariibuu adalah pembohong besar. Menurutnya, Altantuya suka mendesak dari segi kewangan dan bahawa dia (Abdul Razak Baginda) telah membiayai pembelian hartanah untuknya di Mongolia.

11. Abdul Razak Baginda kemudiannya membiarkan saya mendengar beberapa mesej suara melalui telefon bimbitnya, yang mana mesej itu memintanya untuk membayar sesuatu yang terhutang olehnya. Jika tidak, dia akan dicederakan dan anak perempuannya akan diganggu.

12. Jadi, selain dirinya, saya juga sepatutnya melindungi anak perempuannya, iaitu Rowena.


13. Pada 09.10.2006, saya menerima panggilan telefon daripada Abdul Razak Baginda pada sekitar 9:30 pagi. Dia memberitahu saya bahawa Altantuya berada di pejabatnya dan dia mahu saya datang dengan segera. Disebabkan saya sedang melakukan pengawasan, maka saya menyuruh pembantu saya, Suras untuk pergi ke pejabat Abdul Razak Baginda, manakala saya menyusul kemudian. Suras berjaya mengawal situasi dan memujuk Altantuya dan dua orang kawannya untuk meninggalkan tempat itu. Altantuya meninggalkan nota dalam Bahasa Inggeris, yang ditulis di atas kertas tulis Hotel Malaya. Dalam surat itu, dia meminta Abdul Razak Baginda untuk menelefon telefon bimbitnya (nombor diberikan). Dia turut menuliskan nombor biliknya.

14. Altantuya memperkenalkan dirinya sebagai 'Aminah' kepada Suras dan memberitahu Suras bahawa dia berada di situ untuk bertemu dengan teman lelakinya, Abdul Razak Baginda.


15. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga gadis Mongolia itu sekali lagi datang ke pejabat Abdul Razak Baginda di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang pada keesokan harinya, iaitu pada sekitar jam 12.00 tengah hari. Mereka tidak memasuki bangunan itu tetapi sekali lagi memberitahu Suras bahawa mereka ingin bertemu dengan teman lelaki Aminah, iaitu Abdul Razak Baginda.

16. Pada 11.10.2006, Aminah datang ke pejabat Abdul Razak Baginda secara bersendirian dan memberikan nota kepada saya, yakni untuk diserahkan kepada Abdul Razak Baginda. Saya menyerahkan nota itu kepada Abdul Razak Baginda. Abdul Razak Baginda menunjukkan nota itu kepada saya, yang mana Aminah memintanya untuk menelefonnya dengan segera.


17. Saya mencadangkan kepada Abdul Razak Baginda bahawa jika dia terus diganggu oleh Aminah, adalah langkah yang bijak bagi mendapatkan bantuan polis bagi menangkap wanita itu. Namun Abdul Razak Baginda menolak karena dia yakin bahawa Aminah akan pulang ke Mongolia apabila dia kehabisan wang.

18. Sementara itu, saya mengarahkan Suras untuk memgawasi Hotel Malaya, dengan tujuan memantau pergerakan 3 gadis Mongolia itu. Walau bagaimanapun, mereka berjaya mengecamnya. Rupa-rupanya, selepas kejadian itu, Suras menjadi kawan mereka, bahkan tidur selama beberapa malam di bilik hotel mereka.

19. Apabila Abdul Razak Baginda mendapat tahu bahawa Suras makin akrab dengan Aminah, dia meminta saya supaya tidak lagi menugaskan Suras untuk mengawasi Hotel Malaya.

20. Pada 14.10.2006, Aminah muncul di rumah Abdul Razak Baginda di Bukit Damansara, yakni ketika saya tiada di situ. Abdul Razak Baginda menelefon saya untuk memberitahu saya tentang perkara itu. Lalu, saya bergegas ke rumahnya. Apabila saya tiba di situ, saya ternampak Aminah di luar pintu pagar sambil berteriak "Razak, keparat, keluar kau dari rumah". Saya cuba menenangkannya tetapi gagal. Jadi, saya menelefon polis yang kemudiannya datang dalam dua kereta peronda. Saya menjelaskan mengenai situasi itu kepada polis, yang kemudiannya membawanya (Aminah) pergi ke Balai Polis Brickfields.

21. Dengan menggunakan teksi, saya mengekori dua kereta peronda itu ke Balai Polis Brickfields. Saya menelefon Abdul Razak Baginda dan peguamnya, Dirren, yakni supaya mereka membuat laporan polis. Tetapi mereka enggan melakukannya.

22. Ketika saya berada di Balai Polis Brickfields, Penyiasat Persendirian Aminah, iaitu En. Ang tiba dan kami berbincang. Saya disuruh menyampaikan tuntutan (Aminah) kepada Abdul Razak Baginda berupa USD$500,000.00 dan 3 tiket (penerbangan) ke Mongolia, iaitu sebagai komisen yang terhutang kepada Aminah ekoran urusniaga di Paris.

23. Disebabkan pada ketika itu, Aminah sudah pun beransur tenang, maka seorang polis wanita di Balai Polis Brickfields menyarankan supaya saya pulang dan menyelesaikan masalah itu secara baik.

24. Saya memberitahu tentang tuntutan Aminah kepada Abdul Razak Baginda. Saya juga memberitahunya bahawa saya sangat kecewa kerana tiada siapa yang setuju dengan syor saya supaya laporan polis dibuat. Kami berbincang panjang lebar tentang situasi itu. Saya langsung menyatakan bahawa saya ingin menarik diri dari tugasan itu.

25. Dalam perbincangan itu dan dalam usahanya untuk memujuk saya untuk terus memberikan perkhidmatan kepadanya, Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa:--

25.1. Dia telah diperkenalkan kepada Aminah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pameran berlian di Singapura.

25.2. Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Abdul Razak Baginda bahawa beliau mempunyai hubungan seksual dengan Aminah dan bahawa dia (Aminah) rentan terhadap seks anal.

25.3. Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Abdul Razak Baginda menjaga Aminah kerana dia tidak mahu Aminah mengganggunya, yang kini sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

25.4. Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdul Razak Baginda dan Aminah pernah menghadiri suatu majlis makan malam di Paris.

25.5. Aminah menuntut wang daripadanya kerana dia berasa bahawa dia berhak mendapat komisen USD$500,000.00 atas bantuan yang diberikannya bagi satu urusniaga kapal selam di Paris.

26. Pada 19.10.2006, saya tiba di rumah Abdul Razak Baginda di Bukit Damansara bagi memulakan tugasan malam. Seperti biasa, saya meletakkan kereta saya di luar. Saya kemudiannya melihat sebuah teksi Proton Perdana berwarna kuning berlalu. Terdapat 3 orang wanita di dalamnya, yang mana salah seorang daripadanya adalah Aminah. Teksi itu melakukan pusingan U, lalu berhenti di depan rumah. Kemudian, wanita-wanita itu menurunkan tingkap teksi dan mengucapkan "Selamat Deepavali”. Selepas itu, teksi berkenaan berlalu pergi.

27. Sekitar 20 minit kemudian, teksi yang sama kembali, tetapi dengan hanya Aminah di dalamnya. Dia keluar dari teksi dan berjalan ke arah saya, lalu mula bercakap dengan saya. Saya menghantar SMS kepada Abdul Razak Baginda, "Aminah ada di sini". Saya menerima SMS daripada Razak, "Tahan dia sampai orang saya datang".

28. Semasa kami berbual, Aminah memberitahu saya tentang perkara yang berikut:--

28.1. Bahawa dia bertemu dengan Abdul Razak Baginda di Singapura dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

28.2. Bahwa dia juga bertemu dengan Abdul Razak Baginda dan Datuk Seri Najib Tun Razak di suatu majlis makan malam di Paris.

28.3. Bahawa dia dijanjikan USD$500,000.00 sebagai komisen atas bantuannya dalam satu urusniaga kapal selam di Paris.

28.4. Bahawa Abdul Razak Baginda telah membelikan sebuah rumah di Mongolia untuknya, tetapi adik lelakinya telah membiayai semula rumah itu. Jadi, dia memerlukan wang bagi menebusnya (rumah itu).

28.5. Bahawa ibunya sakit dan dia memerlukan wang bagi menampung kos rawatan ibunya.

28.6. Bahawa Abdul Razak Baginda telah mengahwininya di Korea, yang mana ibunya berbangsa Korea sementara ayahnya adalah kacukan Mongol/Cina.

28.7. Bahawa jika saya tidak membenarkannya berjumpa dengan Abdul Razak Baginda, dapatkah saya membantunya untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

29. Setelah berbual dengan Aminah selama sekitar 15 minit, sebuah kereta Proton Aeroback berwarna merah tiba dengan seorang wanita dan dua orang lelaki. Saya kini tahu bahawa wanita itu adalah Lans Korporal Rohaniza, manakala dua orang lelaki itu adalah Azilah Hadri dan Sirul Azahar. Mereka semua berpakaian biasa. Azilah berjalan ke arah saya sementara dua yang lain menunggu di dalam kereta.

30. Azilah bertanya kepada saya sama ada wanita itu adalah Aminah dan saya berkata “Ya”. Dia kemudiannya berjalan pergi dan membuat beberapa panggilan dengan menggunakan telefon bimbitnya. Sepuluh minit selepas itu, sebuah Proton Saga biru yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berlalu dengan perlahan-lahan. Tingkap kereta itu diturunkan dan pemandunya memerhatikan kami.

31. Azilah kemudiannya memberitahu saya bahawa mereka akan membawa Aminah pergi. Saya memberitahu Aminah mereka akan menahannya. Kemudian, dua orang lain yang berada di dalam Proton merah itu bertukar tempat duduk. Ini dilakukan supaya Lans Korporal Rohaniza dan Aminah berada di belakang, manakala Azilah Hadri dan Sirul Azahar berada di depan. Mereka memandu pergi dan itulah kali terakhir saya melihat Aminah.

32. Semasa semua ini berlaku, Abdul Razak Baginda tiada di rumah.

33. Selepas 19.10.2006, saya terus bekerja untuk Abdul Razak Baginda di rumahnya di Bukit Damansara, iaitu antara jam 7:00 malam dan 8:00 pagi keesokan harinya. Ini kerana dia telah menerima beberapa SMS berbau ancaman daripada seorang wanita bernama 'Amy', yang tampaknya adalah sepupu 'Aminah’ di Mongolia.

34. Pada malam 20.10.2006, kedua-dua orang kawan Aminah datang ke rumah Abdul Razak Baginda bagi menanyakan tentang keadaan Aminah. Saya memberitahu mereka bahawa dia (Aminah) telah ditangkap pada malam sebelumnya.

35. Dua malam kemudian, kedua-dua gadis Mongolia itu, En. Ang dan seorang gadis Mongolia lain bernama 'Amy' datang ke rumah Abdul Razak Baginda bagi mencari Aminah. Mereka kelihatan yakin bahawa dia (Aminah) ditahan di dalam rumah itu.

36. Disebabkan kekecohan berlaku, saya menelefon polis. Tidak lama kemudian, sebuah kereta peronda tiba. Sebuah lagi kereta peronda sampai tidak lama kemudian, iaitu yang membawa pegawai penyiasat dari Balai Polis Dang Wangi. Pegawai itulah yang mengetuai siasatan berkenaan laporan kehilangan yang dibuat oleh salah seorang daripada gadis berkenaan. Saya percaya bahawa laporan itu dibuat oleh Amy.

37. Saya menelefon Abdul Razak Baginda yang pada masa itu berada di rumah bagi memberitahunya tentang peristiwa yang berlaku di depan rumahnya itu. Dia kemudiannya menelefon DSP Musa Safri. Selepas itu, dia menelefon saya semula dan memberitahu saya bahawa Musa Safri akan menelefon telefon bimbit saya, dan saya perlu menyerahkan telefon bimbit saya kepada inspektor dari Balai Polis Dang Wangi itu.

38. Saya kemudiannya menerima panggilan telefon daripada Musa Safri dan menyerahkan telefon bimbit saya kepada inspektor dari Balai Polis Dang Wangi itu. Perbualan itu berlangsung antara 3 dan 4 minit. Selepas itu, dia (inspektor) menyuruh gadis-gadis itu beredar dan datang menemuinya keesokan harinya.

39. Pada atau sekitar 24.10.2006, Abdul Razak Baginda menyuruh saya menemaninya ke Balai Polis Brickfields. Ini kerana dia dinasihatkan supaya membuat laporan polis berhubung dengan gangguan oleh gadis-gadis Mongolia tersebut.

40. Sebelum itu, Amy ada menghantar SMS bagi memberitahu saya bahawa dia akan ke Thailand untuk membuat laporan kepada Konsulat Mongolia mengenai kehilangan Aminah. Rupa-rupanya, dia menghantar SMS yang sama kepada Abdul Razak Baginda. Disebabkan itulah maka Abdul Razak Baginda dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

41. Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa DSP Musa Safri telah memperkenalkan DSP Idris kepadanya. DSP Idris adalah Ketua Bahagian Jenayah, Balai Polis Brickfields. Abdul Razak Baginda kemudiannya dirujuk oleh Idris kepada ASP Tonny.

42. Ketika Abdul Razak Baginda membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, iaitu di depan ASP Tonny, beliau diminta untuk membuat kenyataan. Tetapi beliau enggan kerana menurutnya, beliau akan berangkat ke luar negara. Namun begitu, beliau berjanji untuk menyediakan kenyataan dan menyerahkan thumb drive kepada ASP Tonny. Saya tahu bahawa ini tidak dilakukannya, sebagaimana yang diberitahu oleh ASP Tonny kepada saya.

43. Keesokan harinya, ASP Tonny meminta saya untuk memberikan kenyataan. Saya melakukannya.

44. Saya berhenti bekerja untuk Abdul Razak Baginda pada 26.10.2006 kerana itu adalah hari dia berangkat ke Hong Kong secara bersendirian.

45. Pada pertengahan November 2006, saya ditelefon oleh ASP Tonny dari IPK Jalan Hang Tuah. DIa meminta saya untuk berjumpa dengannya berhubung dengan kes Aminah. Sebaik sahaja saya tiba di situ, saya terus ditahan di bawah S.506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah.

46. Saya kemudiannya ditempatkan di dalam lokap dan direman selama 5 hari. Pada hari ketiga, saya dibebaskan dengan jaminan polis.

47. Pada akhir November 2006, Jabatan D9 IPK berkenaan menghantar seorang detektif ke rumah saya untuk mengiringi saya ke IPK Jalan Hang Tuah. Apabila saya sampai, saya diberitahu bahawa saya ditahan di bawah S.302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. Saya ditempatkan di dalam lokap dan direman selama 7 hari.

48. Saya dibawa ke Bukit Aman, di mana saya disoal siasat tentang SMS yang saya terima daripada Abdul Razak Baginda pada 19.10.2006, yang berbunyi, "Tahan dia sampai orang saya datang". Mereka memperoleh SMS ini dari telefon bimbit Abdul Razak Baginda.

49. Mereka kemudiannya merakam kenyataan saya dari jam 8:30 pagi hingga jam 6:00 petang setiap hari, yakni selama 7 hari berturut-turut. Saya memberitahu mereka segala-gala yang saya tahu, termasuklah pernyataan oleh Abdul Razak Baginda dan Aminah tentang hubungan mereka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi maklumat ini tiada apabila saya diminta menandatangani kenyataan saya.

50. Saya telah memberikan keterangan semasa perbicaraan yang membabitkan Azilah, Sirul dan Abdul Razak Baginda di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pendakwaan tidak mengajukan sebarang soalan berhubung dengan hubungan Aminah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun panggilan telefon yang saya terima daripada DSP Musa Safri, yang saya percaya adalah ADC bagi Datuk Seri Najib Razak dan/atau isterinya.

51. Pada hari Abdul Razak Baginda ditangkap, saya ada bersama dengannya di pejabat peguamnya pada pukul 6:30 pagi. Abdul Razak Baginda memberitahu kami bahawa dia telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam sebelumnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab dia akan ditahan. Walau bagaimanapun, SMS itu tidak dijawab.

52. Tidak lama kemudian, iaitu pada sekitar pukul 7:30 pagi, Abdul Razak Baginda menerima SMS daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan menunjukkannya kepada saya dan peguamnya. SMS itu berbunyi, "Saya akan berjumpa dengan IGP pada pukul 11.00 pagi hari ni... masalah ni akan diselesaikan... bawa bertenang.”

53. Saya mendapat maklumat bahawa Abdul Razak Baginda ditahan pada pagi yang sama di pejabatnya di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang.

54. Matlamat Akuan Bersumpah ini adalah untuk:--

54.1. Menyatakan kekecewaan saya pada standard penyiasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menyiasat pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

54.2. Membawa kepada perhatian pihak berkuasa yang berkaitan tentang kemungkinan besar bahawa ada orang lain selain ketiga-tiga yang tertuduh, yang telah memainkan peranan dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

54.3. Meyakinkan pihak berkuasa yang relevan untuk membuka semula siasatan bagi kes ini dengan segera, sehingga bukti baru dapat dikemukakan kepada Mahkamah sebelum penyerahan pada peringkat akhir kes Pendakwaan.

54,4. Menegaskan fakta bahawa selepas menjadi anggota Polis Diraja Malaysia selama 17 tahun, saya benar-benar yakin bahawa mana-mana pegawai polis pun tidak akan menembak seseorang di kepala dan meletupkan tubuhnya tanpa menerima arahan khusus daripada ketua mereka.

54.5. Menyatakan keprihatinan saya bahawa jika pembelaan tidak dipanggil dalam perbicaraan kes bunuh tersebut, maka Sirul akan Azilah tidak perlu bersumpah dan memberi keterangan tentang arahan yang mereka terima dan siapakah yang memberikan arahan itu.

55. Saya membuat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa yang disebut di dalamnya adalah benar dan menurut Undang-undang Surat Akuan 1960.


Diperbuat dan dengan sebenar-benarnya

Diakui oleh orang yang tersebut namanya di atas

Balasubramaniam a/l Perumal

1 Julai 2008

Di hadapan saya,


... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ....

Pesuruhjaya Sumpah
Kuala Lumpur

Terjemahan: http://gomalaysian.blogspot.com/2009/11/bala-menegaskan-akuan-bersumpah.html

Lebih Banyak Artikel Terjemahan: http://gomalaysian.blogspot.com/

IMPLIKASI KEPUTUSAN MAHKAMAH

Oleh Nasruddin Hassan

1. Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitulah keputusan di dalam kes Semakan Kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung isu kedudukan ADUN Kota Siputeh, Kedah dan juga kes Saman yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Keputusan dari kedua-dua kes tersebut, yang berakhir dengan ketewasan di pihak SPR dan SPRM yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan kehendak undang-undang yang sebenar hingga memalukan dan menjejaskan imej kerajaan..


3. Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya, meskipun jelas tindakan tersebut menyalahi peruntukan undang-undang bertulis. Lihat sahajalah bagaimana nasihat yang diberikan oleh kepada SPR berkaitan dengan pentafsiran Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut sudah sebegitu jelas dan terang di mana seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua-dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.


4. Meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia . Maka, di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta.


5. Di dalam amalan biasa, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anakguamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anakguam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit. Namun, di dalam situasi yang membabitkan Peguam Negara ini, sekiranya Peguam Negara enggan melepaskan jawatannya, maka DPPP mendesak supaya Peguam Negara dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama sebagaimana proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan.


Disediakan oleh

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Friday, November 20, 2009

RAKYAT MESTI BANGKIT

Kita mesti bangkit untuk menghancurkannya. Ya! Rakyat perlu bangkit untuk menghancurkan pertualang dan pengkhianat rakyat dan negara.

Siapakah pertualang dan pengkhianat itu? Hanya satu jawabannya = UMNO/BN.

Jangan ditanya apakah sumbangan rakyat kepada 'Wakil Rakyat' tetapi rakyat mesti bertanya apakah sumbangan bakti 'Wakil Rakyat' kepada rakyat.

Rakyat telah lelah mengangkat mereka menjadi wakil rakyat dan mereka memang berkeinginan untuk menjadi wakil dengan sejuta satu sumpah dan janji. Sekarang takta dan kuasa telah diberi, rakyat menanti, menunggu dan mengharap apakah janji tertunai? Apakah sumpah terlaksana?

Berita selanjutnya di http://kerajaanrakyat.blogspot.com/

CERAMAH ISU SEMASA

Ceramah Isu-isu semasa anjuran Parti KeADILan Rakyat Cabang Setiawangsa.

Penceramah :
1) Dato Seri Anwar Ibrahim
2) Dato Dr. Chua Jui Meng
3) YB. Saifudin Nasution

Tarikh : 24 November 2009 (Selasa)

Masa : 09.00 malam

Tempat :
No. 32, Jalan Megan Setapak
Megan Setapak
53300 Kuala Lumpur.

Orang ramai dijemput hadir.

Thursday, November 19, 2009

KOMEN DATUK MOHAMED AZIZ YANG MEMUALKAN

Program TV1 pagi tadi iaitu Siaran Lansung 'Dari Parlimen' dalam segmen wawancara telah menemuramah Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz. Apa yang aku nak ulas ialah tahap atau standard pemikiran Ahli Parlimen ini apabila mengeluarkan hujah. Beliau mengampu tentang badget 2010. Menunjuk ego mengatakan prasarana kawasan beliau sudah 100%. Lantak lah, OK lah tu, aku percaya !. Cuma kalau pun anda seorang Ahli Parlimen dipihak kerajaan dan ingin menyatakan sokongan kepada apa yang kerajaan buat, jangan lah sampai menggunakan hujah yang dangkal dan bodoh.


Hujah yang paling tidak cerdik ialah apabila beliau berkata " Tidak ada seorang pun yang tidak menerima budi dari kerajaan. Sudah lah menerima budi dan tak ucap terima kasih, lepas tu ada yang lawan kerajaan pulak". Lebih kurang begitu lah intipati yang membuatkan telinga aku berdesing. Hujah yang sama diguna oleh Tun Mahathir dulu.


Ini lah doktrin yang telah dipasak kedalam kepala atuk, nenek, bapa dan emak aku dan juga kepada rakyat lain nya ia itu Kerajaan Barisan Nasional (dulu Perikatan) buat segala nya untuk rakyat. Maka rakyat harus berterima kasih kepada Kerajaan dengan cara terus mengundi BN. Kalau ada rakyat yang tak undi BN, orang itu akan dikatakan menentang BN. Lebih parah lagi apabila kita tidak menyokong BN kita akan di samakan dengan pengkhianat negara.


Apa yang pemimpin BN seperti Datuk Mohamed Aziz tak bagi tau rakyat ialah apa saja yang dibuat oleh kerajaan untuk rakyat, duit atau dana itu datang nya dari rakyat. Duit itu datang dari berbagai bagai jenis cukai, duti, saman dan entah apa benda lagi. yang mesti dibayar oleh rakyat. Duit itu bukan datang dari Barisan Nasional. Kalau dah duit datang nya dari kocek rakyat, mengapa Datuk Mohamed Aziz bangga sangat dengan projek dan segala yang dibuat. Tak malu ke?.

Sepatut nya orang macam Datuk Mohamed Aziz dan ahli parlimen lain sama ada dari BN, PR atau bebas lah yang sepatut nya berterima kasih pada rakyat kerana kalau majoriti rakyat tak undi kamu semua, jangan harap kamu semua nak dapat semua kemudahan secara percuma. Datuk Mohamed Aziz perlu tahu bahawa kami rakyat yang mengundi kamu semua membayar hampir semua perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Oleh itu jangan ungkit. Ada faham !!!

SUMBER http://ahmadtarmizi.blogspot.com/

BILA MELAYU NAK SEDAR???

PROJEK PEMBODOHAN ORANG MELAYU

United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili Orang Melayu. Ini sebenarnya satu dongeng. Kesah dongeng ini sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.

Projek pembodohan Melayu ini adalah sebahagian dari strateji politik United Malays National Organisation. Selama lebih dari 50 tahun proses pembodohkan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Kalau di zaman fedual dahulu – orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini. Ini semuanya dongeng. Semua ini adalah sebahagian dari projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri dari gerombolan ini. Manusia yang berfikir akan berkeupayaan untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat. Ada pula projek ini yang amat jelas dapat dilihat. Projek pembodohkan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara Pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan ialah orang China. Orang-orang China akan dijadikan ‘hantu’ untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang China. Racun bencikan China ini telah memandulkan fikrah orang Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan yang maha intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong China.

Para cukong China yang membuat harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation. Kerjasama mereka seperti Abang dengan Adik.

Cuba kita kembali kepada kes Bank Bumiputera yang lingkup pada tahun 80’an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul. Ini akan diikuti dengan nama George Tan. Siapakah Loraine Osman ini? Maloan ini tidak lain dan tidak bukan ialah bendahari gerombolan sendiri.

Ini hanyalah satu contoh dari bejuta juta contoh yang lain. Ini belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun , Pewaja, Formula 1, Moonson Cup, KLCC – dimana wujud kerjasama antara gerombolan dengan ‘orang asing’ untuk menjarah negara.

Cara ke dua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang-orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan/menentang/mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab banyak raja-raja telah dicampakkan ke dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk dari Mesir, Raja Idris dari Libya, Raja dari Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi dari Iran – semuanya dihumbankan. Justeru – menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa : menjunjung ke bawah duli itu ertinya menjunjung tapak kaki. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa : pacal itu ertinya anak anjing.

Patek pacal yang hina menyembah duli tuanku bermakna : saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu. Bukankah ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri. Kenapa orang Melayu dibodohkan sebegini. Kenapa orang Melayu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan.

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion di katakan menentang Islam. Ini juga adalah projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkut pautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam telah wujud 1500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988 dahulu. Manusia Melayu telah menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malauys National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini adalah wakil tuhan di atas bumi ini. Ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan di atas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang Tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organistion untuk menjadi wakil. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik Pope, Sami, Dalai, Ayahtollah, Padri, Rabbai – untuk menjadi wakil.

Apa yang terjadi ialah para agamawan ini adalah orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran dari kitab-kitab suci. Semua mereka adalah manusia yang sama seperti Mak Cik dan Pak Cik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh befikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ini bererti ianya telah menjadi sebahagian dari proses budaya pemikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud telah diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media adalah dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu amat ketara bezanya. Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Bagitu kaedah pembelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru kerana itu ibu bapa dalam masyarakat China tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu. Mereka tidak mahu anak anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama, makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran China. Di sekolah aliran bukan Melayu masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar untuk berfikir bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil dari projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang hak dan apa yang batil. Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu.

Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah. Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh ini gagal melihat pembunuh, pencolek, pengambil rasuah – bukan satu pekerjaan salah. Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu baik dan suci kerana ianya dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation.

SUMBER http://tukartiub.blogspot.com/

Wednesday, November 18, 2009

ANTARA ELAUN RM1 DENGAN KERUGIAN PKFZ

Oleh Angkasanuri

Saya tak tahu apa dah jadi dengan negara ini selagi Umno@BN dibiarkan terus berkuasa. Apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dengan elaun RM 1 ramai yang anggap ia sebagai lawak dan sudah tandus idea untuk mendapat sokongan politik.

Tun Dr.Mahathir pula menyifatkan Anwar tidak pandai sangat ekonomi. Habis tu semasa beliau jadi PM lantik Anwar sebagai Menteri Kewangan adakah sesiapa yang paksa? Siapa yang tak pandai atau tak cerdik? Sekaligus sindiran Mahathir balik kena atas batang hidung sendiri.

Sebelum ini diumumkan kerugian Port Klang Free Trade Zone (PKFZ) mencecah berbilion ringgit tetapi ramai yang buat-buat pekak. Dari pemimpin Umno@BN yang atas-atas, SPRM semuanya macam buat-buat tak nampak.

Saranan siasatan dilakukan PAC diketuai Tan Sri Azmi Khalid agar semua dalang dan mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan dipandang sepi seolah-olah PKFZ cuma rugi seringgit dua. Tak perlu nak kecoh-kecoh. Kenapa jadi begitu?

Mudah je kerana ia melibatkan bekas dan pemimpin atasan kerajaan Umno@BN. Kalau seorang kena habis yang lain-lain terbongkar dan terjebak. Masing-masing cuba buat muka selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Jadi isu seperti lembu korban, kepala lembu dan elaun seringgit akan dijaja serata ceruk kampung supaya orang melupakan penyelewengan yang berlaku di era Umno@BN.

Maka ramailah terutama kaki ampu yang mengeleng-geleng kepala macam lembu yang menunggu masa untuk dikorbankan raya haji ni nanti!

SUMBER http://www.harakahdaily.net/v2/

WANG EHSAN ALAT POLITIK

Oleh Datuk Seri Abdul Hadi Bin Awang

Yang Berhormat Tuan Pengerusi saya ingin menyentuh yang pertama B.4, 010000 - Suruhanjaya Pilihan Raya, 010100, 010200.

Sebagaimana kita maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya tiap-tiap sepuluh tahun mereka membuat persediaan baru. Melihat kepada perkembangan semasa dan terkini, apa yang mendukacitakan tiga buah negeri di Utara dan Pantai Timur, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mengalami perubahan sebagaimana ianya berlaku dan tidak ada penambahan kawasan Parlimen.

Kawasan-kawasan di sana adakan juga satu kawasan Parlimen seperti Baling, Sik, Kuala Krai, Jeli, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman. Sebahagiannya sama besar dan lebih besar dari negeri Perlis. Akan tetapi tidak ada perubahan oleh kerana kita telah mengalami keadaan yang berubah, penduduk yang bertambah, menyebabkan mereka yang menjadi Ahli-ahli Parlimen mengalami kesukaran untuk melawat dan mengendalikan anak buah mereka dalam keadaan yang berubah.

Oleh kerana itu, sangat wajar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat kajian untuk membuat perubahan kepada kawasan-kawasan di negeri tersebut. Kedua, saya ingin menyentuh B.6, 020000 - Unit Perancang Ekonomi dan 020200 - Perancangan Ekonomi, sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan yang lain dalam perbahasan tadi bersabit dengan royalti petroleum yang dibatalkan di Terengganu pada tahun 2000 dan terkini di Kelantan.

Saya melihat ianya lebih bersifat politik daripada bersifat perundangan dan perjanjian yang sebenarnya berlaku, kita perlu kembali kepada kronologi bagaimana royalti itu berlaku kepada negeri-negeri di Sabah dan Sarawak dan diikuti oleh negeri Terengganu. Hasil dari perundingan antara Almarhum Perdana Menteri Tun Abdul Razak dengan kalangan perundangan dan kalangan ekonomi bagi menyelesaikan krisis di antara Malaysia Timur dan Barat pada masa itu.

Lalu mereka bersetuju menggubal dan meluluskan Akta Petroleum 1974 yang membawa kepada penubuhan Petronas. Maka Petronas telah mengadakan perjanjian dengan semua negeri-negeri, di mana ternyata dalam perjanjian itu, mana negeri yang ada hasil petroleum sama ada di laut ataupun di darat tanpa mengira berapa jaraknya di laut, maka diberi peruntukan royalti sebanyak 5%. Maka diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Negeri Terengganu berlangsung pada tahun 1978 sehingga tahun 2000, ertinya 20 tahun lebih sehinggalah kerajaan PAS memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di masa itu, maka berlaku perubahan.

Di mana kita melihat pemberian di negeri Terengganu sama dengan negeri Sabah dan Sarawak. Secara rasmi melalui kenyataan Perdana Menteri di masa itu.

Melalui jawapan-jawapan di Parlimen, melalui kenyataan bertulis dan kenyataan lisan semuanya menggunakan perkataan royalti. Ini secara rasmi dan kenyataan yang jelas dan nyata. Saya melihat perubahan berlakunya rampasan terhadap negeri Terengganu adalah kerana lebih berunsurkan politik, berunsurkan hilangnya semangat patriotisme dan hilangnya semangat persaudaraan di kalangan negeri.

Menganggap Pembangkang adalah musuh dan kita perlu ingat bahawa pembatalan ini berlaku hasil daripada peranan UMNO, tahun 2000. Apabila adanya cadangan dari UMNO, kalau tidak silap saya usul yang mendesak supaya dibatalkan royalti petroleum pada negeri Terengganu kerana diperintah oleh parti yang dianggap tidak sama dengan Kerajaan Pusat.

Maka berlakulah peristiwa yang malang dan mendukacitakan. Bertukar kepada duit ihsan, yang malangnya ihsan ini bukannya rakyat diutamakan. Akan tetapi kroni diutamakan. Kerana duit ihsan ini dikendalikan oleh tangan-tangan yang tertentu.

Sama ada tangan-tangan yang nyata atau tangan-tangan yang ghaib. Melalui projek-projek yang besar, projek-projek yang mewah, maka diutamakan kroni-kroni yang tertentu, hanya kuah yang sedikit turun kepada rakyat. Ini ternyata berlaku di negeri Terengganu yang menimbulkan krisis di antara istana dan di antara politik. Ini puncanya. Saya bimbang Kelantan akan mengalami nasib yang sama.

Yang ketiga, saya ingin menarik perhatian kepada 050000 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung dengan penguatkuasaan barangan halal. Barangan halal merupakan barangan yang menarik minat seluruh dunia, bukan sahaja dari kalangan orang Islam termasuk di kalangan orang yang bukan Islam. Kerana apabila sebut halal bukan sahaja berkat pada orang Islam, termasuklah bersih, adanya unsur-unsur kebersihan. Maka ia mendapat satu pasaran yang luas.

Apa yang membimbangkan, di sana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang menyalahgunakan sijil halal. Oleh kerana itu, satu peraturan yang tegas, satu tindakan tegas perlu diadakan supaya persijilan halal ini tidak menjadi bahan yang dipermainkan dan berlakunya penyelewengan.

Seterusnya ialah berkait dengan 010000 - Khidmat Sokongan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Di mana dalam bahagian 010400 - Kecemerlangan Dan Profesionalisme. Saya melihat ini berlaku kegagalan. Mengapa gagal? Walaupun kita telah berpuluh tahun mencapai kemerdekaan sedangkan indeks rasuah sangat menjunamkan negara kita ke suatu tahap yang sangat memalukan walaupun kita menobatkan dan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana tidak ada unsur Islam di dalam undang-undang pencegahan rasuah. Unsur perhitungan dosa dan pahala. Undang-undang yang tidak roh, undang-undang yang menganggap hanya pandangan mata manusia. Tidak melihat diketahui oleh Allah SWT sedangkan dari segi Islam rasuah adalah perkara dosa besar yang diberi amaran oleh Al-Quran, yang diberi amaran oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Dianggap amalan kaum Bani Israel, yang dilaknat oleh Allah SWT, mengapa roh ini tidak masuk dalam diri orang Islam? Sebabnya kerana kita tidak memperkasakan undang-undang itu berdasarkan kepada roh dan sifat yang sebenar, maka berlakulah double standard di dalam tindakan. Seperti disebut rakan-rakan tadi, maka ikan-ikan kecil sahaja yang ditangkap, ikan-ikan yang besar terlepas begitu sahaja, maka berlakunya tindakan yang terpilih.

Kerajaan mestilah merasa malu dan mestilah membuat muhasabah diri dalam menangani masalah dan saya mengharap Perdana Menteri yang baru ini akan membuat perubahan dengan cara yang sebaikbaiknya.

SUMBER http://www.tranungkite.net/v10/