THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, August 25, 2009

UMNO TERSUNGKUR KALI KE 7

"Angin perubahan" yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika berkunjung di Permatang Pasir pada hari ini, rupa-rupanya lanjutan daripada tsunami 8 Mac, 2008. Calon UMNO dari Barisan Nasional, Rohaizat Othman ditewaskan oleh calon PAS dari Pakatan Rakyat, Mohd Salleh Man dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh Man memperolehi 9,618 undi, sementara Rohaizat Othman mendapat 5,067 undi, selain undi rosak sebanyak 83 undi. Undi majoriti berkurang, selaras dengan penurunan peratusan pengundian kepada 73.1%, berbanding 82.57% pada tahun lalu.

Mengimbas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, bekas ADUN PAS, Allahyarham Hamdan Abdul Rahman berjaya mempertahankan kubu dengan 11,004 undi, memandangkan calon UMNO ketika itu, Ahmad Sahar Shuib hanya memperolehi 5,571 undi. Majoriti yang diraih ialah 5,433 undi, dengan 227 undi rosak.

Kekal rekod tewas di Semenanjung

Keputusan malam ini memperlihatkan BN mengekalkan rekod kekalahannya dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia, selepas PRU ke-12. BN hanya menang di pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan tidak bertanding untuk pilihan raya kecil Penanti, Pulau Pinang, 31 Mei 2009.

Sebelum ini, "angin perubahan" lebih kencang apabila pilihan raya kecil kawasan parlimen Permatang Pauh menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan majoriti yang lebih besar. Malah, Kuala Terengganu yang sebelum ini dimiliki UMNO, ditembusi calon PAS dari PR.

Seterusnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau juga menyaksikan kemenangan yang memihak kepada Pakatan Rakyat, dengan majoriti yang lebih besar.

Keadaan menjadi "reda" buat UMNO apabila membuat kejutan di pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan dengan menghakis majoriti calon PAS, sehingga PAS hanya menang tipis dengan 65 undi majoriti di kubu sendiri. Walaupun UMNO-BN dilihat cuba mengekalkan, malah memacu momentum selepas "kekalahan tipis" tersebut, namun hasrat BN akhirnya tidak tercapai.

Lim Hong Siang merdekareview

0 comments: