THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, August 29, 2009

DEMO KUIL DI SEKSYEN 23

Pemindahan kuil Sri Maha Mariaman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di Shah Alam telah mendapat bantahan dari penduduk setempat walaupun beberapa perbincangan dengan pihak kerajaan negeri telah diadakan. Satu perarakan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 telah diadakan selepas solat Jumaat lepas. Perarakan penduduk ini telah dilakukan dari Masjid Negeri menuju ke Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah. Pengerusinya, Ahmad Mahayuddin Manaf berkata, "tindakan Khalid dan Kerajaan Negeri yang selama ini mengabaikan hak dan kepentingan orang Islam mendorong penduduk mengadakan bantahan bagi memperjuangkan hak mereka."

Penggunaan kepala lembu (masih berdarah) dalam demonstrasi yang diadakan telah mengundang kontroversi dan mendapat ulusan dari pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Najib membuat tanggapan bahawa penggunaan kepala lembu itu sebagai simbolik kepada tindakan Khalid, Rodziah dan Kerajaan Negeri yang dianggap seperti 'dicucuk hidung' apabila meluluskan pembinaan kuil di kawasan perumahan majoriti penduduk beragama Islam.

Umumnya penganut Hindu menganggap lembu sebagai binatang suci dan diharamkan untuk memakannya. Bagi penganut agama Hindu terdapat roh-roh suci menempati tubuh lembu. Kepercayaan mereka mesti dihormati seperti kita mahukan mereka menghormati agama kita.

Saya percaya Islam melarang kita bermusuhan dengan penganut agama lain. Surah Al An’am 108, Allah berfirman, “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Quran dan sunnah menggariskan amalan mendorong manusia berbuat baik sesama manusia.

Berbagai alasan dan persepsi dijelaskan berhubung 'lembu' ini tetapi saya beranggapan 'orang Melayu' di Shah Alam yang menggunakan kepala lembu itu seharusnya sensitif kerana isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan rumah ibadat iaitu kuil yang secara spesifik berhubung dengan sesuatu kepercayaan. Ianya berbeza dengan persoalan lain walaupun ada kaitan dengan lembu. Saya percaya tindakan ini bukanlah tindakan yang diterima oleh agama kita. Islam menggalakkan kita menghormati kepercayaan orang lain. Janganlah isu kuil ini menyebabkan keamanan yang dikecapi hilang.

0 comments: