By Zaid Ibrahim
Muhyiddin Yassin sekali imbas nampak seperti seorang yang tenang dan tidak gopoh-gapah. Dia berusaha keras untuk menaikkan imejnya sebagai bakal Perdana Menteri. Pakaiannya sekarang pun nampak lebih bergaya dan ada stail berbanding dahulu. Sayangnya, usaha beliau untuk memperbaiki imej itu sia-sia sahaja bila dia akhirnya menampakan sikap ekstremnya yang lama terpendam. Entah apa tujuannya, dengan tak semena-mena dia menuduh Anwar Ibrahim sebagai seorang pengkhianat kepada bangsa Melayu. Itu satu tuduhan liar dan tidak sepatutnya dibuat oleh seorang ahli politik yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri. Lagi pun dulu Anwar itu pemimpin pujaan Muhyiddin sewaktu dalam Team Wawasan. Siapa agaknya pengkhianat? Alangkah baik Muhyiddin bentang tindakan kerajaan mengatasi wabak selsema A(H1N1) yang lebih berkesan dari melaung kosong.
Anwar Ibrahim kini adalah Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Ketua Pembangkang ada peranan yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen. Secara langsung, beliau mewakili separuh daripada jumlah pengundi Malaysia (4 juta) yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu. Sepatutnya Anwar diberi penghormatan yang sewajarnya kerana kedudukan beliau yang sah dalam Parlimen negara kita. Di negara-negara yang lebih faham tentang selok-belok demokrasi, yang tahu tata susila politik moden, yang tahu erti peranan yang berbeza di antara kerajaan dan pembangkang, Ketua Pembangkang amat dihormati. Malah Perdana Menteri di negara-negara yang matang demokrasi sentiasa menjemput Ketua Pembangkang untuk membincangkan hal-hal negara demi kepentingan umum. Mereka ketepikan politik kepartian demi rakyat dan negara. Ketua Pembangkang tidak dianggap sebagai musuh yang mesti dimaki dan cerca setiap masa. Cuma di Malaysia dan Myanmar, pemerintah ghairah nak tangkap pemimpin pembangkang.
Sejak dulu sampai sekarang, UMNO menganggap rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, adalah kurang cerdik. Sebab itu macam-macam tuduhan dan fitnah dibuat terhadap Pakatan Rakyat, dengan harapan rakyat akan percaya bulat-bulat. Saya ingin bertanya, bagaimana Anwar mengkhianati orang Melayu? Yang saya tahu Anwar telah berusaha keras untuk membuka mata Melayu tentang kepincangan dalam dasar UMNO atau lebih tepat lagi, dasar UMNO Baru. Hari demi hari makin ramai orang Melayu memahami apa yang Anwar sampaikan. Kerana inilah Muhyiddin dan pemimpin UMNO lain mula takut.
Nasihat saya kepada Muhyiddin dan pengikut-pengikutnya ialah kalaupun huraian Anwar mengenai UMNO tidak disetujui, sila jawab hujah-hujah Anwar. Tak payah nak jadi hero Melayu dengan menuduh Anwar pengkhianat bangsa. Takkanlah kerana takut atau malu nak jawab hujah, terus tuduh orang secara liar. Kita tahu memang susah untuk Muhyiddin menjawab hujah-hujah Anwar kerana kelemahan orang Melayu timbul daripada berbagai sebab dan punca. UMNO yang memerintah sekian lama tidak boleh lari dari bertanggung jawab dalam hal ini. Ada baiknya Muhyiddin baca tulisan Suflan Shamsuddin di Malaysia Today mengenai siapa yang menjadi “pengkhianat” kepada Melayu.
Nasib kita di Malaysia malang sekali. Pemimpin kerajaan BN takut benar hilang kuasa. Takut kalau rakyat akan memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Mereka takut kepada Anwar Ibrahim sehinggakan menuduhnya pengkhianat dan “sodomist”. Mereka hanya tahu buat tuduhan liar. Ini kerana mereka tak mampu nak lawan dasar dan politik mesra rakyat yang dibawakan oleh Ketua Pembangkang secara hujah dan fakta dengan sopan dan tertib. Muhyiddin dan para pemimpin UMNO tidak faham yang orang lain juga ada pandangan dan pendirian politik yang tersendiri. Mereka hanya mahu orang Melayu ikut telunjuk UMNO sahaja. Ketakutan itulah yang membuat Muhyiddin dan hulubalang-hulubalangnya berteriak “pengkhianat” apabila berdepan dengan Anwar. Mereka sangka rakyat akan percaya fitnah ini untuk membolehkan mereka mengguna apa cara sekalipun termasuk kekerasan untuk menahan kemaraan Anwar yang membawa politik telus dan mesra rakyat.
Pilihan raya kecil Permatang Pasir akan menjadi kayu pengukur sejauh mana “kejayaan” taktik kotor UMNO dan BN yang selalu digunakan terhadap lawannya. Selepas pilihan raya kecil Manik Urai, UMNO kini kembali sombong seperti dahulu; mereka yakin ada peluang yang baik. Mereka ada “formula Manik Urai” yang akan digunakan di Permatang Pasir. Kita semua tahu “formula” ini dan saya harap pengundi Permatang Pasir cukup matang untuk menerima atau menolak “formula” UMNO dan BN nanti. Tetapi jangan sekali-kali tukar pilihan hati sanubari kita.
Jika kita mahu kepada kebenaran, keadilan dan ketelusan, ingatlah bahawa PAS adalah rakan Pakatan Rakyat. Pilihlah calon PAS untuk pilihan raya kecil ini. Saya yakin segala masalah remeh antara parti-parti dalam Pakatan akan diselesaikan dengan baik. Semua ahli parti harus bekerjasama demi kepentingan rakyat. Semoga PAS dan Pakatan Rakyat akan berjaya. Ini adalah antara langkah awal kita untuk menolak UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, demi demokrasi dan negara yang lebih bermaruah, aman dan makmur tidak lama lagi.
SUMBER DARI
0 comments:
Post a Comment