By Zaid Ibrahim
Kalau anak-anak kita berniat atau bercita-cita mahu menjadi peguam, maka syarat kelayakan perlu diberitahu kepada mereka terlebih dahulu. Selain dari mendapat ijazah undang-undang, mereka mestilah mempunyai rekod yang menunjukkan mereka adalah “a fit and proper person”. Peguam mestilah seseorang yang tidak melakukan perkara jenayah, tidak muflis dan tidak menipu. Malah dia tidak boleh melakukan apa-apa saja perbuatan yang boleh dianggap cemar atau menunjukkan buruk pekerti. Oleh kerana kerjanya melibatkan orang ramai, maka kepercayaan orang ramai kepadanya mestilah kukuh dan tidak terjejas. Dia tidak boleh pecah amanah. Itulah syarat-syarat asas nak jadi peguam .
Lainlah kalau anak-anak kita bercita-cita nak jadi wakil rakyat Barisan Nasional. Untuk mencapai cita-cita itu, dia tidak memerlukan rekod yang baik atau bersih dalam hal urusannya dengan orang ramai. Lihat sahajalah calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, iaitu Rohaizat Othman, yang telah digugurkan dari menjadi peguambela dan peguamcara oleh Majlis Peguam kerana syarikat guamannya menggunakan wang kliennya, sebuah koperasi, kira-kira RM160,000. Peguam tidak boleh menggunakan wang pelanggan mereka selain dari tujuan asal wang itu diberi kepada peguam tersebut untuk disimpan.
Orang kuat UMNO Zahid Hamidi, yang kini menjadi Pengerusi UMNO Pulau Pinang, dan Ketua Penerangannya menganggap Rohaizat sebagai ‘hero” telah mempertahankan Rohaizat sebagai pilihan terbaiknya. Tak mahu ketinggalan, Muhyiddin Yassin turut menyokong Zahid. Apa lagi mereka nak buat, dah tak ada calon lain. Lalu mereka berkata kesalahan calon itu sebenarnya isu persepsi semata-mata. Mereka tuduh bekas rakan kongsi Rohaizat bernama Yusri yang bersalah. Tak pasal-pasal orang lain kena.
.
Begitulah UMNO. Kepada mereka, orang yang tak layak jadi peguam, masih layak untuk menjadi wakil rakyat. Nampaknya soal amanah dan akauntabiliti kepada rakyat sudah tidak penting lagi buat UMNO. Itulah nilai politik parti keramat ini. TPM Muhyiddin Yassin, yang mulakan kempen tuduh Anwar Ibrahim pengkhianat, sekarang pula membelasah Majlis Peguam, kononnya badan itu ada agenda sendiri untuk membantu pihak pembangkang. Sedangkan Majlis Peguam hanya menjelaskan keputusan yang diambil oleh mereka mengikut lunas undang-undang. Mahkamah Tinggi pun sudah setuju dengan Majlis Peguam. Agaknya dalam pemikiran Muhyiddin, Mahkamah Tinggi juga ada agenda lain. Bagitulah UMNO, selagi kita tak setuju dengannya, semua pihak dianggap ada muslihat menentangnya. UMNO kini hidup dalam ketakutan. Semoga orang Permatang Pasir sudah bersedia untuk memberi pengajaran kepada UMNO.
0 comments:
Post a Comment