THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, September 13, 2009

SERINGGIT BERBANDING BERBILION RINGGIT

Oleh Lau Weng San

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pernah berkali-kali menyatakan secara terbuka bahawa rasuah seringgit dengan rasuah berbilion-bilion ringgit tiada perbezaan bagi SPRM. Ini merupakan pendekatan yang silap.

Walaupun benar bahawa rasuah seringgit dan rasuah berbilion-bilion ringgit tiada perbezaan dari segi jenayah, tetapi ianya berbeza dari segi kesan dan impak negatifnya terhadap kerajaan, rakyat dan negara.

Kegagalan SPRM membezakan tahap keseriousan sesuatu jenayah rasuah merupakan satu kegagalan yang tidak boleh dimaafkan.

SPRM boleh mendakwa seorang yang bersalah kerana mengambil rasuah beberapa ratus ringgit, SPRM juga boleh berbuat demikian terhadap mana-mana individu yang merasuah berbilion-bilion ringgit. Tetapi dari segi impak negatifnya, SPRM perlu memberi lebih penekanan terhadap kes-kes berprofil tinggi dan kes-kes yang melibatkan amaun yang besar kerana kes-kes inilah yang akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi, pentadbiran dan pembangunan negara.

Apa yang dikesali ialah kegagalan SPRM atau yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan tindakan terhadap kes-kes yang melibatkan amaun yang besar. Apa yang saya maksudkan sebagai "tindakan" bukan setakat mendakwa mereka yang dituduh ke mahkamah, tetapi turut melibatkan pendekatan yang diambil oleh SPRM/BPR terhadap kes-kes ini, termasuk peruntukan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi dalam menyiapkan siasatan.

Ini adalah kerana dalam beberapa kes rasuah yang dibawa ke mahkamah Peguam Negara, hakim telah membuat keputusan untuk membebaskan defendan-defendan sebelum mereka dipanggil untuk menjawab dakwaan-dakwaan rasuah. Hal ini sedemikian kerana kertas-kertas penyiasatan SPRM tidak menyeluruh dan tidak memenuhi syarat-syarat yang diperlukan oleh mahkamah, seperti "beyond reasonable doubt". SPRM tidak mungkin melakukan kesilapan yang begitu besar kecuali mereka tidak mempunyai sumber tenaga manusia yang mencukupi untuk menyiapkan siasatan.

Apa gunanya kerajaan dan rakyat perlu menanggung beban berbangkit daripada rasuah berbilion-bilion ringgit biarpun mereka yang berasuah beberapa ratus ringgit ditangkap dan disabit bersalah? Hakikatnya kerajaan masih perlu menanggung impak negatif yang berpunca daripada rasuah yang besar ini.

Lebih-lebih lagi, SPRM memerlukan kes-kes berprofil tinggi ini untuk menegakkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap usaha-usaha mereka membanteras gejala rasuah. Jika tidak, SPRM akan dikatakan sebagai bias, berat sebelah, hanya mengambil tindakan terhadap "ikan bilis" tetapi tidak berbuat demikian terhadap mereka yang berpangkat serta berpengaruh tinggi dan bergelaran Dato’, Dato’ Seri dan Tan Sri.

Jikalau ini berlaku, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh SPRM kepada orang ramai, khususnya "ikan bilis" yang disiasat SPRM, yang kebanyakannya merupakan kakitangan-kakitangan awam kerajaan?

Justeru itu, adalah silap untuk SPRM mengatakan bahawa kes rasuah seringgit dan berbilion ringgit tiada perbezaan. Ianya sememangnya berbeza jika dibandingkan dari segi impak negatifnya.

*Kenyataan media oleh Lau Weng San, selaku Setiausaha DAP Selangor, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Petaling Jaya Utara dan ADUN Kampung Tunku.

0 comments: