THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, September 19, 2009

POLARISASI KAUM MASIH WUJUD DI MALAYSIA

Oleh Chan Wei See

Setahun yang lalu, setelah kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, dengan megahnya Anwar Ibrahim berdiri di atas pentas, disambut keghairahan penyokongnya dengan air mata yang bersinar. Orang ramai menyanyikan lagu Negaraku, dengan tabah dan lantang, seolah-olah merekalah tuan tanahair ini.

Demikianlah harapan rakyat terhadap 16 September yang dijanjikan Anwar Ibrahim.

Sememangnya rakyat menanti-nantikan Anwar untuk mengotakan janjinya yang berbunyi "hari ini bentuk kerajaan, esok turunkan harga minyak". Namun, faktor lain yang mendorong harapan rakyat adalah, mereka sudah muak dengan regim BN yang korup, slogan PM "cermelang, gemilang, terbilang" yang berakhir dengan temberang, perkongsian kuasa BN yang tidak seimbang...

Pemerintahan 50 tahun BN menyempitkan ruang demokrasi, semangat perkauman mendadak, kekayaan negara dipunggah... Rakyat yang terangsang dengan "makkal sakti" dalam tsunami politik 8 Mac 2008, mula mencari jalan keluar untuk mengubah nasib sendiri.

Setahun yang lalu, harapan "tukar kerajaan" seolah-olah dikongsi bersama oleh semua. Setahun sudah berlalu, kita mendapati wujudnya jurang antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Mungkin bukan Melayu menganggap bahawa "kesamarataan antara semua kaum" adalah sesuatu yang mustahil dalam model BN yang didominasi sesebuah parti, lantas menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat.

Walaupun hujah sesetengah pemimpin PAS dilihat agak konservatif, ditambah pula pentadbiran kerajaan Kedah yang kucar-kacir, lebih-lebih lagi desas-desus wakil rakyat PR melompat parti tersebar luas, tetapi masyarakat bukan Melayu tetap mengharapkan PR bakal menggantikan BN sebagai kerajaan.

Namun, masyarakat Melayu yang berpaksikan politik perkauman dan agama selama ini memperlihatkan sesuatu yang berbeza. Setelah Najib Razak mengambil alih pucuk kerajaan daripada bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, mereka yang duduk atas pagar mula kembali ke pangkuan BN.

Mungkin masyarakat Melayu lebih selesa dengan berpayungkan sebuah parti Melayu yang kuat, berbanding dengan perubahan yang tidak menentu. Psikologi ini timbul daripada monopoli UMNO dalam saluran infomasi bahasa Melayu.

Fenomena "polarisasi"

Walaupun sinar Anwar Ibrahim menjadi malap ekoran kegagalan perancangan "tukar kerajaan" pada 16 September, namun masyarakat bukan Melayu masih menaruh harapan pada PR. Soal selidik baru-baru ini memperlihatkan kebanyakan bukan Melayu masih menyokong PR, walaupun sedikit penurunan dalam sokongan masyarakat India.

Vox Malaysia, sebuah pusat kaji selidik yang baru ditubuhkan, telah menjalankan satu soal selidik dengan sampel 1,000 orang pengundi berdaftar pada pertengahan Ogos 2009. Hasil soal selidik tersebut memperlihatkan 45% yakin dengan pimpinan BN, sementara hanya 21% yakin terhadap PR dan 28% tidak yakin dengan kedua-dua gabungan politik ini.

Walaupun sokongan terhadap BN kelihatan mengatasi PR, namun soal selidik ketika PRU dan PRK di Semenanjung Malaysia yang lepas menyaksikan responden yang tidak menunjukkan pendirian yang jelas, berkecenderungan untuk mengundi pembangkang. Misalnya di Permatang Pasir, hanya 16% responden Cina yang akan menyokong calon PAS menurut keputusan soal selidik, tetapi peti undi menunjukkan 75% undi Cina tercurah kepada Salleh Man.

Oleh itu, 28% responden yang tidak menunjukkan sikap yang jelas, mungkin menyokong PR di sebaliknya.

Perlu diambil perhatian bahawa wujudnya perbezaan antara kaum yang ketara dalam hasil soal selidik ini. 63% responden Melayu yakin kemampuan BN untuk mentadbir, hanya 16% percaya bahawa PR mampu mentadbir. Sebaliknya, hanya 11% orang Cina dan 14% orang India menganggap BN berkebolehan mentadbir, sementara 31% Cina dan 28% yakin PR boleh mentadbir. Di samping itu, terdapat 46% Cina dan 47% India tidak menunjukkan pendirian yang nyata.

"Polarisasi" suara rakyat telah wujud. Masyarakat bukan Melayu lebih toleransi terhadap ketirisan dalam pentadbiran PR, menaruh harapan kepada PR untuk menggulingkan BN, di samping masyarakat Melayu pula menganggap negeri pentadbiran PR kucar-kacir, malah sanggup kembali ke bawah naungan BN. Fenomena ini berkait rapat dengan infomasi yang diterima oleh audien yang berbeza bahasa pengantar.

Artikel ini diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

SUMBER DARI http://www.merdekareview.com/

0 comments: