THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES �

Sunday, August 30, 2009

HISHAMMUDDIN HENDAK CARI GADUH

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung bendera UMNO yang dibaluti dengan kepala babi pada suatu ketika dulu merupakan sikap cuba melepaskan diri dan seolah-olah ingin membalas dendam serta membela orang Melayu yang membawa kepala lembu yang masih segar berdarah dalam bantahan membina kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Menurut Hishammuddin, "Membawa kepala lembu memang tidak sensitif tetapi harus diingat pernah ada satu insiden yang mana bendera UMNO telah digunakan membalut kepala babi dan kemudian ditinggalkan di depan bangunan UMNO".

Hishammuddin sering menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat khasnya kaum Cina dan India. Pada tahun 2005, Hishammuddin telah menghunus keris dalam Perhimpunan Agong UMNO. Peristiwa itu telah dipertikaikan oleh masyarakat bukan Melayu termasuk dari parti-parti komponen B-end sehingga seorang penganalisa politik Cina menyatakan "Awak kata keris itu simbol kebudayaan, tetapi ia suatu simbol kebudayaan yang mewakili keganasan."

Dalam isu 'kepala lembu' ini Hishammuddin menganggap ianya bukanlah suatu isu yang sensitif sedangkan rakyat melihat isu ini boleh membawa kekacauan kaum dan agama. Perdana Menteri Malaysia serta parti-parti politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang semuanya merasakan ianya boleh membawa kepada kecelakaan tetapi Menteri Dalam Negeri ini tidak sensitif terhadapnya. Adalah berbahaya jika Menteri Dalam Negeri tidak dapat mengenalpasti status sesuatu isu.

Hishammuddin yang dipandang sebagai ekstrimis Melayu beranggapan, disebabkan UMNO pernah dihina dengan kepala babi, maka tidak salah jika penganut agama Hindu pula dihina dengan kepala lembu. Inilah nampaknya yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri yang kita ada. Dengan ini Najib perlu menilai semula Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri bagi memastikan kemakmuran dan keamanan negara terjamin.

ISU MENGARAK KEPALA LEMBU

Oleh Dr. Muhd Nur Manuty

Adalah amat pelik dan mendukacitakan apabila melihat tindakan sekumpulan 50 penduduk mengarak kepala seekor lembu, melaungkan kata-kata provokatif dan bertakbir tidak pada tempatnya. Ia dilakukan pada hari (Jumaat) dan di bulan (Ramadan) yang cukup mulia bagi umat Islam.

Seharusnya, bulan Ramadan ini dapat melatih kita untuk menundukkan nafsu amarah yang merajalela dalam diri. Tindakan kumpulan ini adalah terasing dan bukan mewakili kehendak Islam. Agama mengajar kita agar menangani isu-isu seperti yang dihadapi dengan penuh kesabaran, bijaksana dan berhikmah.

Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Inilah iklim yang kita mahu demi membina masyarakat madani dan masa depan negara yang lebih gemilang. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Malah, lebih parah ia boleh menimbulkan tindakbalas anarki yang mungkin tidak mampu kita kendalikan lagi.

Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."(Al-An'am: 108).

Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?

Melihat kepada ironisnya peristiwa yang terjadi, kita mengesyaki bagaikan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memenuhi agenda politik tersirat yang telah dirancang lebih awal. Maka itu, semua pihak perlu berhati-hati dan berwaspada.

Dengan kejadian ini, kita menuntut agar tindakan segera hendaklah dilakukan oleh semua pihak berwajib - polis, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agama sendiri. Siasatan perlu perlu dibuat, siapa sebenarnya mereka (khususnya kewujudan individu yang tidak dikenali bersama kepala lembunya), siapa di belakang mereka dan apakah matlamat mereka sebenarnya.

Kita juga memohon kesabaran dan ketenangan semua pihak. Suasana dialog dan mesyuarah dalam menyelesai segala kemelut yang berlaku hendaklah disuburkan. Ini sudah pasti dapat meningkatkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya. Bukankah Islam itu agama yang membawa kesejahteraan?

Dr.Muhammad Nur Manuty (dr_manuty@hotmail.com)
Pengerusi
Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat
30hb.Ogos, 2009

Saturday, August 29, 2009

PESTA IBADAH DI KELANTAN

Oleh DINSMAN

Ramadan sebagai 'pesta ibadah'? Memang mengejutkan. Pertama kali mendengarnya disebut oleh seorang kawan di Kota Bharu, memang saya pun terkejut dengan istilah 'pesta' itu. Kami berbincang mengenai 'Ihya' Ramadan'. Bukan mengenai maksudnya tetapi mengenai program-program yang dibuat oleh kerajaan negeri di Kelantan, bagi menghidupkan bulan yang mulia dengan janji seribu rahmat dari Allah itu.

Dalam perbincangan itulah kawan saya menyebut bahawa Ramadhan di Kelantan, dengan pelbagai program Ihya' Ramadannya, menjadi umpama suatu 'pesta ibadah'.

Pesta ibadah? Ibadah pun boleh jadi pesta? "Umpama," katanya.
Kenapa umpama pesta? "Kerana meriahnya," jawabnya pula.

Meriah? Macam manalah meriahnya tu? Kalau suasana membeli-belah di bazar-bazar Ramadan untuk berbuka puasa, itu memanglah meriah. Tetapi itu bukannya pesta ibadah. Itu 'pesta makan'. Sesuatu yang tidak seharusnya menjadi kebanggaan kita untuk bulan Ramadan. Jadi, apakah yang dimaksudkan 'meriahnya ibadah' di bulan Ramadan itu?

"Pertama," kata kawan saya itu, "masjid-masjid dan surau-surau menjadi pusat tumpuan orang ramai. Baik di bandar mahupun di kampung. Selepas berbuka dan sebelum azan isya' berkumandang, mata kita akan sejuk melihat manusia lelaki perempuan, orang tua dan juga kanak-kanak, berduyun-duyun menuju ke masjid dan surau. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, bermotosikal, dan ada yang berkereta. Suasananya memang menyentuh sanubari."

"Dan suasana yang hampir sama begitu," katanya lagi, "boleh kita lihat dan rasai juga pada waktu malam menjelang subuh. Di banyak tempat. Terutama selepas pertengahan Ramadan. Mereka berkumpul di masjid untuk qiyamullail dan solat subuh. Sungguh syahdu."

Ya, betul, saya pun pernah menunaikan solat subuh di beberapa masjid di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tanah Merah dalam bulan Ramadan tahun-tahun yang lalu, memang kehadiran jemaahnya luar biasa ramai. Hampir seperti solat Jumaat.

Hari ketiga Ramadan tahun ini saya dan Qosim berjemaah subuh di Masjid Muhammadi (KB). Waktu kami tiba, masjid masih kosong. Tetapi ketika bangun untuk solat fardu subuh dan menoleh melihat ke belakang, Qosim terkejut kerana orang sudah penuh hingga ke saf belakang.

Selesai solat dia masih kehairanan memikirkan bagaimana hal itu boleh terjadi di Kelantan. Maka saya pun berkata: "Inilah hasil kegigihan dan kesungguhan Tok Guru mendidik dan mentarbiyah rakyat. Dia tak serupa dengan Perdana Menteri atau Menteri Besar lain.

"Orang lain mengutamakan urusan ekonomi dan pembangunan material, Tok Guru Nik Aziz lebih mengutamakan tugas dan tanggungjawab membetulkan akidah dan pemikiran manusia, terutama rakyat negerinya."

Berbalik kepada cerita 'pesta ibadah' kawan saya tadi. "Di Kelantan," katanya, "bila menyambut Ramadan, semua orang akan sentiasa berlumba-lumba untuk membuat ibadah. Semua orang akan berlumba-lumba bersedekah, berlumba-lumba nak menyumbang untuk juadah berbuka puasa, berlumba-lumba menjamu anak yatim, berzakat dan sebagainya."

"Di tempat lain," jelasnya lagi, "orang mungkin berasa seronok tibanya Ramadan kerana ia menandakan tak lama lagi akan tiba pula hari raya.

Tetapi di Kelantan tak begitu. Di Kelantan orang berasa gembira dan tak sabar-sabar menyambut Ramadan kerana Ramadan membolehkan kita berasa seronok membuat ibadah, berasa teruja untuk buat kebaikan, berasa gembira bila dapat bersedekah, dan rasa tak sabar-sabar untuk ke masjid berjemaah, tak kira zuhur, asar, maghrib, isya' mahupun subuh."

Ini benar-benar satu dimensi baru dalam ibadah, kata Qosim. Ramadan bukan lagi bulan puasa seperti yang kita faham selama ini. Ramadan ialah bulan 'pesta ibadah'.

Seperkara lagi, yang turut memeriahkan Ihya' Ramadan di Kelantan ialah tadarus al-Quran. Bukan tadarus sekadar membaca al-Quran beramai-ramai, tetapi membaca al-Quran dan memahami makna dan maksudnya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam pada setiap tahun menetapkan satu surah atau sejumlah ayat al-Quran pilihan, untuk dijadikan Ayat Tadarus rasmi bagi negeri Kelantan. Sebuah buku Tadarus yang mengandungi ayat Quran tersebut berserta tafsirnya, akan dicetak dalam jumlah yang banyak, untuk diberikan percuma kepada seluruh rakyat yang berkenaan.

Bayangkan setiap tahun kerajaan negeri mencetak sebanyak 50,000 naskah buku tersebut, yang tebalnya sekitar 40 halaman. Dan buku itu digunakan di seluruh ceruk negeri, di bandar dan di desa, oleh semua golongan masyarakat.

Mereka sedikit pun tidak menyebutnya sebagai kempen membaca. Tetapi sebenarnya itulah, mereka membuat kempen membaca yang cukup berkesan, tanpa perlu mengheboh-hebohkannya.

"Hasrat Tok Guru hendak melihat setiap rakyatnya menghidupkan Ramadan dalam erti yang sebenarnya. Dia hendak melihat rakyatnya sentiasa mengkaji ayat-ayat cinta daripada Tuhan Sekalian Alam, yang kadang-kadang kita alpa dan lalai.

"Biasanya ayat-ayat yang dipilih adalah berdasarkan suasana semasa, supaya rakyat terus kembali kepada Allah dalam apa jua keadaan." Demikian kawan saya di Kota Bharu itu menjelaskan.

SUMBER DARI http://www.detikdaily.net/v5/

KELAINAN RAMADHAN DI KELANTAN

Oleh LANJUSOH

SEKALI tengok macam di Padang Arafah. Ada khemah tempat orang beribadat. Ada pula alat penghawa dingin. Cuma apa yang membezakan di sini ada sebuah khemah besar boleh menampung 2,000 jemaah.Di Padang Arafah terdapat banyak khemah kecil. Di situlah bermula ibadat haji dengan bermalam di Mina. Ganjaran beribadat di Makkah tidak sama dengan tempat lain. Misalnya, ibadat umrah pada bulan Ramadan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, "Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai satu haji." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka mengambil kira kelebihan itulah, kerajaan Kelantan menjadikan Ramadan setiap tahun sebagai 'ibadat tourism'. Tahun lepas diisytiharkan Tahun Melawat Kelantan 2008. Suatu kelebihan yang tidak ada di tempat lain, apabila ada khemah khas disediakan sebagai tempat solat sunat tarawih.

Bermula pada awal 1990-an, apabila Jalan Tok Hakim yang ditutup kepada lalu lintas dan dijadikan Dataran MPKB. Di situlah didirikan khemah-khemah kecil yang dihimpunkan menjadi besar. Di bawahnya dipasang playwood dan di bahagian atas dihampar tikar. Di bahagian depan tempat imam dipasang dinding kayu.

Kedudukan dataran tersebut bersebelahan dengan stesen bas SKMK dan pasar malam Parit Dalam, dan tidak jauh dari Pasar Raya The Store. Disebabkan kedudukan yang strategik, khemah solat tarawih sentiasa menjadi tumpuan ramai. Lebih-lebih orang ramai yang menunggu bas ekspress ke destinasi luar Kelantan. Tidak kurang juga si bapa yang menunggu isteri membeli belah di pasar raya, mengambil peluang solat tarawih di situ.

Keistimewaan lain selepas selesai dua salam pertama tarawih, ada ustaz akan memberi tazkirah. Imam solat dijemput khas dari kalangan hafiz. Setiap malam khemah solat tarawih itu penuh sesak dengan kehadiran ramai jemaah. Tempat solat tarawih itu terus kekal di situ setiap kali tiba Ramadan. Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan jemaah, lokasi sedia ada tidak sesuai lagi.

Ekoran itu, pada 2006, lokasi tarawih dipindahkan ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV. Reka bentuk khemahnya hampir sama dengan di Dataran MPKB. Namun selepas Perbadanan Stadium menaiktaraf kawasan berkenaan, Dataran Warisan pula diwujudkan di situ. Ada pentas khas yang disediakan dan ruang kosong dipercantikkan dengan pemasangan bata berwarna. Lokasi itu turut diadakan pelbagai aktiviti pada bulan lain termasuk sambutan Hari Peladang peringkat negeri.

Dan sejak dua tahun lepas khemah lebih besar yang lengkap dengan alat penghawa dingin disediakan. Lokasi solat tarawih itu kini dikenali sebagai Qaryah Ramadan. Khemah tersebut ternyata memberi keselesaan kepada jemaah. Ketika hujan makmum tidak perlu lagi bimbang, tidak lagi basah seperti Ramadan sebelum ini.

Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Ustaz Rafei Hassan berkata, kelainan Qaryah Ramadan anjuran MPKB BRI kerana sendat dengan program agama sejak Asar sehingga solat Subuh. Katanya, pada sebelah petang tiga kali seminggu diadakan program khusus untuk golongan remaja termasuk persembahan nasyid, kuiz, interaktif audien dan menjemput tetamu undangan. "Program itu dikenali sebagai ambang Ifthor dikendalikan kumpulan Nasyid Advice, Elham, dan interaksi Nisa' yang bermula jam 5.45 petang," katanya, di sini.

MPKB BRI juga menyediakan 500 bungkus nasi bagi mereka yang tidak berkesempatan berbuka di rumah. Beberapa pihak menaja jamuan berbuka puasa termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, MSO Sdn Bhd, De Carpet. Selain itu Qaryah Ramadan juga menganjurkan program kebajikan bagi membantu penduduk miskin, anak yatim dan ibu tunggal. Dua program baru yang disusun khas tahun ini iaitu forum kemerdekaan pada 30 Ogos ini dan bicara ilmiah oleh pakar geologi, Dr Arif Kosmo, 7 September depan.

Solat tarawih tahun ini diimamkan Sheikh Ahmad Rejeb Yassin Saad dari Mesir. Ramadan ini merupakan kali kedua beliau didatangkan ke Kota Bharu. Beliau pernah menjadi imam tarawih di England, Afrika Selatan dan Hawai. Beliau turut dibantu Ustaz Said Hawa Al-Hafiz bekas pelajar Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Setiap kali selepas dua salam solat tarawih, para makmum berpeluang mendengar kupasan ayat-ayat yang dibaca imam oleh pengkuliah jemputan. Selepas solat tarawih kira-kira jam 10.15 malam, Sheikh Ahmed akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan berlagu.

Orang ramai juga berpeluang untuk membetulkan tajwid dengan qari tersebut. Kemudian mulai jam 12 pagi pula diadakan relay qiraatul Quran yang membabitkan kumpulan pelajar hafiz. Mereka akan bergilir-gilir memperdengarkan bacaan. Kemudian pada jam 4 pagi qiamulai diadakan dengan diimamkan Sheikh Ahmed. Pada jam 5 pagi makanan untuk bersahur disediakan percuma. "Selepas solat Subuh diadakan kuliah oleh ustaz jemputan," kata Rafei.

Mengambil kira begitu sendat program Ihya' Ramadan di Kelantan maka tidak hairanlah ramai pelancong Ramadan datang ke sini untuk menjalani ibadat puasa. Biar pun tidak berpeluang beribadat di Makkah, namun di Kota Bharu ada kelainan yang mereka dapat. "Tidak kurang 10 pelancong ibadat dari luar Kelantan datang ke sini setiap tahun. Tahun ini ada yang datang dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur di mana mereka tinggal dua hingga tiga minggu di sini. "Tahun lepas pelancong ibadat dari Melaka dan Johor menjadikan Qaryah Ramadan sebagai lokasi tumpuan mereka," katanya.

Selain itu, di Masjid Muhammadi Kota Bharu juga ada program khusus ihya' Ramadan. Tadarus di situ diadakan selepas solat Asar. Setiap petang kelihatan ramai yang datang berbuka puasa secara percuma yang disediakan. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) juga mengadakan program tadarus di peringkat jajahan membabitkan ketua-ketua jajahan. Tahun ini petikan surah an-Nahl ayat 120 hingga 128 dijadikan panduan bagi program tadarus al-Quran. Ramadan tahun ini merupakan kali ke-17 program tadarus diadakan di Kelantan. Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jaheaik, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, surah tersebut dipilih memandangkan minat orang bukan Melayu mengenali Islam semakin meningkat sekarang.

Dalam pada itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan juga mengadakan takzirah khas setiap hari selepas solat Zohor di Dewan Zulkifli Mohamad. Tadarus peringkat kawasan juga diatur. Manakala kebanyakan masjid jajahan dan mukim mengadakan tazkirah Ramadan selepas solat Jumaat.

Inilah fenomena yang sering dilihat di Kelantan setiap kali menjelma Ramadan. Kelainan itu sesungguhnya tidak terdapat di tempat lain.

SUMBER DARI http://www.detikdaily.net/v5/

KEPALA LEMBU SATU PROVOKASI DAN HASUTAN

Perarakan anjuran Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Kuil di Seksyen 23, Shah Alam telah disertai beberapa NGO dari luar yang tidak dikenali. Perkara ini telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Mahyuddin Manaf. Beliau juga menegaskan bahawa protes tersebut tidak berniat untuk mencetuskan ketegangan kaum tetapi sebaliknya untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengannya. Pihaknya juga tidak dapat memastikan pihak yang membawa kepala lembu yang masih berdarah ke dalam perhimpunan itu.

Pakatan Rakyat Selangor mendakwa perarakan 'kepala lembu' yang masih segar berdarah semalam adalah usaha terbaru 'pelampau Umno' untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.

Banyak pihak berpendapat bahawa apa yang dilakukan dalam perhimpunan ini bukan sahaja provokasi bagi menghina masyarakat India beragama Hindu tetapi telah juga melampaui undang-undang negara. Disamping itu, mereka juga dengan jelas membelakangi agama Islam. Rasulullah s.a.w tidak pernah menyuruh ummatnya berbuat demikian atas nama Islam.

Pada ketika kejadian, pihak polis juga didapati enggan bertindak terhadap perhimpunan itu kerana mereka percaya perhimpunan dan perarakan itu didalangi oleh Umno. Bagaimanapun pagi tadi, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Noor Azam Jamaluddin memohon maaf kerana tidak mengambil tindakan pantas sewaktu berlakunya protes dan perarakan. Perkara ini dimaklumkan kepada beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu pertemuan dengannya. Alasan yang diberikan adalah pegawai yang bertugas di tempat kejadian adalah seorang pegawai junior.

Bagaimanapun kita percaya, pihak polis Malaysia sesungguhnya cekap dalam menjalankan siasatannya dan yakin dapat mencari dan menghukum orang-orang yang bersalah. Terdapat banyak gambar-gambar kejadian tersebut yang boleh dijadikan bahan bukti. Orang yang melakukan jenayah dalam isu ini, bukan sahaja orang yang mambawa kepala lembu tersebut tetapi juga orang yang mengheret, menendang dan lain-lain perlakuan yang bersifat menghasut dan membuat provokasi perlu dihukum. Polis seharusnya bertindak pantas bagi menyelesaikan isu ini supaya tidak berlarutan dan disensasikan.

DEMO KUIL DI SEKSYEN 23

Pemindahan kuil Sri Maha Mariaman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di Shah Alam telah mendapat bantahan dari penduduk setempat walaupun beberapa perbincangan dengan pihak kerajaan negeri telah diadakan. Satu perarakan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 telah diadakan selepas solat Jumaat lepas. Perarakan penduduk ini telah dilakukan dari Masjid Negeri menuju ke Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah. Pengerusinya, Ahmad Mahayuddin Manaf berkata, "tindakan Khalid dan Kerajaan Negeri yang selama ini mengabaikan hak dan kepentingan orang Islam mendorong penduduk mengadakan bantahan bagi memperjuangkan hak mereka."

Penggunaan kepala lembu (masih berdarah) dalam demonstrasi yang diadakan telah mengundang kontroversi dan mendapat ulusan dari pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Najib membuat tanggapan bahawa penggunaan kepala lembu itu sebagai simbolik kepada tindakan Khalid, Rodziah dan Kerajaan Negeri yang dianggap seperti 'dicucuk hidung' apabila meluluskan pembinaan kuil di kawasan perumahan majoriti penduduk beragama Islam.

Umumnya penganut Hindu menganggap lembu sebagai binatang suci dan diharamkan untuk memakannya. Bagi penganut agama Hindu terdapat roh-roh suci menempati tubuh lembu. Kepercayaan mereka mesti dihormati seperti kita mahukan mereka menghormati agama kita.

Saya percaya Islam melarang kita bermusuhan dengan penganut agama lain. Surah Al An’am 108, Allah berfirman, “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." Islam sendiri membawa kepada prinsip berbaik-baik sesama manusia. Banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Quran dan sunnah menggariskan amalan mendorong manusia berbuat baik sesama manusia.

Berbagai alasan dan persepsi dijelaskan berhubung 'lembu' ini tetapi saya beranggapan 'orang Melayu' di Shah Alam yang menggunakan kepala lembu itu seharusnya sensitif kerana isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan rumah ibadat iaitu kuil yang secara spesifik berhubung dengan sesuatu kepercayaan. Ianya berbeza dengan persoalan lain walaupun ada kaitan dengan lembu. Saya percaya tindakan ini bukanlah tindakan yang diterima oleh agama kita. Islam menggalakkan kita menghormati kepercayaan orang lain. Janganlah isu kuil ini menyebabkan keamanan yang dikecapi hilang.

PRK KOTA SIPUTEH

Oleh Sofi Wahab

Mengapa begitu lama masa diambil SPR untuk menentukan kedudukan kerusi DUN Kota Seputeh sedangkan ianya sudah jelas kosong sebagaimana pemberitahuan dari Speaker DUN Kedah, Datuk Abdul Isa Ismail. Kelewatan SPR membuat pengumuman tentang kedudukan DUN tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi.

Apa yang ditakutkan SPR sehingga mengambil masa yang begitu lama?
Ada udang di sebalik mee ke?

Pengerusi SPR sila jawab persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat berhubung isu ini dengan segera. Apakah SPR mengambil kira perkara di bawah ini?

Mendapat lampu hijau dari BN.
Memberikan masa untuk BN bersedia.
Melakukan pelbagaikan persediaan untuk kepentingan BN????

Semuanya bermain di kepala rakyat.

SUMBER DARI http://www.detikdaily.net/v5/

SARANAN NAJIB YANG LUCU

Oleh Salmiyyah Harun

KUALA LUMPUR:Perdebatan berhubung hukuman sebatan terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno timbul apabila peruntukan di dalam Kanun Acara Jenayah yang dikuatkuasakan di Mahkamah Sivil dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang janayah Islam. Sedangkan adalah jelas dengan berdasarkan semangat dari Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apa jua keputusan dan perjalanan prosiding di Mahkamah Syariah adalah tidak tertakluk kepada mahkamah sivil.

Pengamal Undang-undang Abdullah Abdul Karim berkata, hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa iaitu Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali sebatan.

Katanya, mana-mana pihak yang menyatakan hukuman itu kejam, tidak berperikemanusiaan atau mendikskriminasikan wanita seperti yang dibayangkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil agar mencadangkan Kerajaan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional meminda atau memansuhkan peruntukan tersebut di Dewan Undangan Negeri Pahang. "Selagi peruntukan berkaitan dengan kesalahan meminum arak tersebut dan hukumannya tidak dipinda atau dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang, maka peruntukan di dalam enakmen tersebut adalah kekal menjadi undang-undang yang sah yang boleh dikuatkuasakan," tegas Abdullah yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada peruntukan terperinci di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, jelas menunjukkan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah berbeza dengan hukuman sebat di Mahkamah Sivil.

Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat itu adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan, katanya tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa:

1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.
4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk.
7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
8. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.
9. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.
10. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.

Bahkan, jelasnya, peruntukan Seksyen 125 jauh lebih mendalam dan terperinci berbanding dengan peruntukan berkaitan dengan cara perlaksanaan hukuman sebat yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah. Justeru, beliau berpendapat, segala kritikan dan kecaman yang dihamburkan kepada Mahkamah Syariah Kuantan dan juga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersabit dengan isu Kartika ini adalah lahir daripada sikap prejudis dan buruk sangka terhadap apa jua perkara yang berkait dengan perlaksanaan hukum Islam. Sedangkan katanya, hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika bukanlah hukuman yang menurut hukum Islam sebenar yang berkait dengan minum arak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam hukum hudud. "Sikap prejudis dan buruk sangka ini telah lama tertanam di dalam minda mereka yang anti kepada perlaksanaan hukum Islam ke atas umat Islam di negara ini dan pelbagai alasan dikemukakan bagi menggambarkan betapa zalim dan buruknya hukuman yang dibuat atas nama Islam," katanya.

Saranan Perdana Menteri supaya Kartika membuat rayuan, katanya ianya saranan yang melucukan dan 'ill advised'.

"Bagaimana Perdana Menteri boleh memberikan saranan sedemikian sedangkan Kartika sendiri memilih untuk tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah di atas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Jika beliau sendiri memutuskan untuk tidak merayu, maka kenapa Perdana Menteri pula yang sibuk-sibuk?" tambah Abdullah.

Oleh itu, Abdullah menggesa Mahkamah Syariah dan Hakim-Hakim Syarie supaya menjalankan tugas dengan adil dan amanah serta tidak tunduk kepada ‘serangan psikologi’ oleh pihak-pihak yang memang sentiasa bersikap prejudis terhadap hukum Islam dengan memberikan pelbagai gambaran negatif.

Katanya, dalam masa yang sama, usaha dakwah bagi memberi penerangan berkaitan dengan hukum Islam terus dijalankan bagi mendidik masyarakat dan menghapuskan sebarang kesangsian serta pandangan buruk mereka terhadap undang-undang Islam.

SUMBER DARI http://www.detikdaily.net/v5/

Friday, August 28, 2009

USTAZ ISMAIL KAMUS

Terdapat SMS yang menyatakan bahawa Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia. Cepat betul SMS tersebut tersebar. Ternyata SMS itu cuma khabar angin dan tak betul sama sekali. Berdasarkan satu sumber, menurut adiknya Mohamad Kamus, Ustaz Ismail Kamus berada dalam keadaan sihat waalafiat dan sedang mengerjakan umrah di Mekah.

Thursday, August 27, 2009

BEBERAPA KENYATAAN MENGHINA ISLAM

Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:


i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:


“(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.”


Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.


ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.


Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:


“Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”


Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia bo;eh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.


Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.


Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?


Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?


Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.


Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.


Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.


Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.


Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.


Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?


Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).



NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 5 Ramadhan 1430 / 26 Ogos 2009.

MUHYIDDIN PECAH TEMBELANG

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kecewa dengan kekalahan teruk Umno di Permatang Pasir memperjelaskan lagi sikap berdolak dalik dan ketidakikhlasan Umno dalam membantu rakyat.

Dalam kenyataan beliau yang dipetik Bernama, Muhyiddin memfitnah penduduk Permatang Pasir sebagai pengundi yang tidak mahukan perubahan dan menolak pembangunan.

Kenyataan berbaur dendam itu diluahkan setelah mengetahui Calon PAS-PAS, Ust. Mohd Salleh Man berjaya menewaskan Calon BN-Umno, Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi.

Semasa berkempen, Muhyiddin bersama jentera Umno menyatakan bahawa “Permatang Pasir anak Emas Kerajaan BN’. Merata ceramah dan poster-banner menggunakan slogan ini. Slogan yang sama digunakan di Manik Urai.

Namun, penduduk Permatang Pasir lebih cerdik dan membuat pilihan tepat dengan mengekalkan DUN berkenaan dibawah kepimpinan PAS dengan majoriti yang besar.

Setelah gagal dengan Slogan ‘Anak Emas’ kini, Umno memecahkan tembelang sebenar mereka dan menjadikan Permatang pasir sebagai ‘Anak Betong’ pula.

Begitulah tabiat buruk Umno yang tidak pernah Ikhlas untuk berjuang bagi kesenangan rakyat. Bila mahukan undi mereka tabur apa sahaja termasuk duit palsu dan janji palsu. Bila kalah mereka melatah dan memfitnah pengundi dengan bermacam-macam perkataan. Hakikatnya pengundi tolak BN-Umno bukannya tolak pembangunan.

Akhirnya janji pembangunan BN tidak ke mana. Mujurlah Permatang Pauh tidak jatuh pada BN-Umno. Pas mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang memberikan mandat kepada PAS dan seterusnya kepada para petugas yang bertungkus lumus membantu mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir untuk PAS dan rakyat.

SUMBER DARI http://www.detikdaily.net/v5/

Wednesday, August 26, 2009

ANALISIS DARI LIM HONG SIANG - PERMATANG PASIR

Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.

Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.

UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi). Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.

Pengundi muda tetap memihak PR

Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini. Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN "berjaya merapatkan jurang", golongan pengundi muda tetap bersama PR. Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.

Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

UMNO-BN dijangka tidak berubah

Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti. Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam" dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.

"Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya," jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.

Kelas pekerja bersama PR

Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.

Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR. Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.

Cuma, bagaimana pula dengan UMNO-BN?

Lim Hong Siang, Merdeka Review

GET-RICH-QUICK SCHEME

(BERNAMA) : TUMPAT, Aug 26 - Eleven investors in a worm rearing project have lodged a police report claiming losses of RM200,000 after the company failed to make monthly payments and dividends.

Mohd Fadil Mustafa, 29, and ten investors lodged the report at Wakaf Bharu police station today claiming that they had been cheated by a worm rearing company in Kadok, Kota Baru. He said they agreed to invest in the worm rearing project last year after the parties involved agreed that monthly dividends would be paid. "According to the agreement, the entrepreneur will return 70 per cent of the total investments after one month," he told reporters here today.

Mohd Fadil also said that based on the agreement, the entrepreneur promised to give second parties 12-16 per cent profit on investments monthly, for 12 months.

SALAH SIAPA?

Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir (N.11) telah tamat dan menyaksikan kemenangan calon Pakatan Rakyat dari PAS, Ustaz Mohd Salleh Man dengan mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi oleh Rohaizat.

Jika ditakdirkan UMNO B-end yang menang, sudah tentu pemimpin-pemimpin UMNO B-end akan mewar-warkan bahawa rakyat Malaysia telah menolak pembangkang dan mahukan pembangunan yang hanya boleh dibawa oleh UMNO B-end. Malangnya, UMNO B-end kalah kesemua 7 PRK yang dijalankan di Semenanjung. Kalimat yang sama telah dihamburkan apabila B-end menang di Batang Ai, Sarawak namun telah diimbangi dengan 2 kekalahan di Semenanjung pada masa yang sama. Jika tidak, sudah pasti pemimpin-pemimpin UMNO dan media arus perdana akan terus berkokok selama sekurang-kurangnya seminggu bagi menunjukkan kejaguhan mereka. Kemenangan dalam 1 PRK bagi UMNO B-end sudah mengambarkan seluruh rakyat Malaysia menolak pembangkang tetapi 7 kekalahan UMNO B-end tidak menjejaskan mereka malah kemerosotan undi yang diperolehi oleh pihak lawan dijadi modal 'kemenangan moral' UMNO B-end. Biarlah UMNO B-end ini menang moral selama-lamanya kerana untuk menang kerusi tidak penting lagi buat mereka.

Seperti biasa perangai orang Melayu UMNO, mereka akan mencari salah orang lain. Lihat sahaja sebaik selepas pengumuman kekalahan mereka, masing-masing menuding jari kepada pihak lain bagi melepaskan kelemahan diri sendiri.

Menurut Rohaizat (calon UMNO B-end), "Saya sedih dengan hakikat bahawa masyarakat Cina di sini gagal menunaikan janji mereka untuk menyokong." Dalam hal ini, dengan penuh kedangkalan, beliau menyalahkan kaum Cina dengan beranggapan bahawa kaum Cina bodoh sebab gagal memahami konsep pembangunan yang cuba dibawa oleh BN kepada rakyat. Beliau tidak sedar bahawa sikap, perangai dan kredibiliti yang rendahnya itu telah menyebabkan kaum Cina menolak beliau. Tahukah Rohaizat bahawa orang Cina merupakan rakyat yang pandai menilai pemimpin dan bukannya kaum yang taksub seperti Melayu UMNO. Dari dulu hingga kini, orang UMNO akan mengundi calon mereka walaupun diletakkan 'seekor monyet'.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak mahu menyalahkan diri sendiri kerana gagal memilih calon yang berwibawa, amanah dan mempunyai keperibadian yang mulia. Muhyiddin meletakkan kesalahan kepada calon yang dipilihnya sendiri. Muhyiddin mengaitkan isu Rohaizat sendiri sebagai faktor kekalahan BN.

Tidak kurang dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri telah menyalahkan rakyat di Permatang Pasir kerana menurut beliau "Penduduk memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan." Di sini mungkin Datuk Seri Dr tidak faham mesej rakyat. Rakyat sememangnya dahagakan perubahan bagi menolak UMNO B-end sepenuhnya dari menjadi pemerintah di Malaysia. Rakyat hendak perubahan dari B-end kepada Pakatan Rakyat (PR).

MUHYIDDIN BERDALIH

By Pak Tam Mat

Bagi sesiapa yang tonton Buletin Utama TV3 tadi tentu perasan bagaimana kecewanya Muhyiddin Yassin yang siang malam bertungkus lumus berkempen di Permatang Pasir, tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan kemenangan besar calon PAS.

Menariknya, dan itulah setiap kali dilakukan TV3 dan media talibarut Umno yang lain, bila mereka kalah, maka dicarilah segala daleh ke atas kekalahan mereka. Muhyiddin sebagai contoh menyalahkan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat, yang mengasak ke kampung-kampung yang ramai penyokong Umno sehingga penyokong Umno itu takut untuk keluar mengundi.

Bagi Muhyiddin, kalau penyokong Umno tidak dihalang daripada keluar mengundi sudah tentu BN dapat menang kali ini. Langsung tak masuk akal! Kalau Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri ada bukti bahawa penyokong PAS menganggu penyokong Umno untuk keluar mengundi, beliau sepatutnya membuat laporan polis pada petang tadi juga.

Kepada Muhyidin mengaku ajalah bahawa Umno-BN masih belum dapat dipulihkan. Rakyat tetap menolak dan mahukan Pakatan Rakyat terus memerintah. Bukankah sejak hari pertama lagi calon Umno sudah buat hal dengan begitu banyak masalah peribadi yang membelitnya? Seolah-olah Umno ketandusan calon berwibawa untuk bertanding dalam pilihan raya yang diakui cukup penting itu.


Satu lagi daleh Umno bila kalah ialah dengan membawa alasan kuno iaitu penyokong Pakatan Rakyat melakukan keganasan atau kekerasan kepada petugas BN. Maka ditunjukkan beberapa orang Pemuda Umno yang kena "belasah" oleh penyokong PAS sehingga berdarah-darah. Dan sewajibnya bekas darah itu akan difokuskan oleh kamera TV.


Penonton sudah muak dengan agenda yang sudah tidak laku ini. Kita belum lupa dengan peristiwa semasa Anwar Ibrahim bertanding di Permatang Pauh dulu. Macam itu jugalah media talibarut memainkan peranan mereka. Ditunjukkan berulang-ulang kali "kesamsengan" penyokong KeADILan tetapi akhirnya kalah lagi teruk juga calon Umno.


Kepada Muhyiddin, cukup-cukuplah bermain politik dengan daleh yang orang sudah naik muak. Mengaku ajalah kelemahan dan perbaikilah. Kalau tidak, Umno bukan saja terus kalah dalam siri pilihan raya kecil (setakat di Semenanjung 7-0), tetapi nasibnya dalam pilihan raya umum akan datang bertambah kritikal lagi.

SUMBER DARI http://www.tranungkite.net/v9/