Pakatan Rakyat bukan tempat untuk mencari habuan peribadi dan mereka yang mengimpikan sedemikian harus beralih ke Umno-Barisan Nasional dengan segera.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata gagasan itu tidak akan teragak-agak untuk memecat sesiapa yang mencabar dan menggugat idealism perjuangan rakyat yang dibawa bersama oleh Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS.
Beliau berkata Pakatan akan sentiasa mengutamakan perjuangan untuk rakyat berbanding dengan kepentingan politik yang tidak berlandaskan kepada prinsip dan keadilan.
Anwar Ibrahim menyampaikan mesej tegas itu pada konvensyen pakatan rakyat Selangor di Shah Alam.
Pakatan Rakyat menamatkan majoriti dua pertiga Umno-Barisan Nasional di Parlimen di samping mengambil-alih Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor serta mengekalkan Kelantan.
Bermula dari detik itu, Umno dengan di terajui oleh Najib Razak melancarkan pelbagai asakan terhadap Pakatan Rakyat.
Umno dilaporkan mendalangi usaha membeli adun-adun di Perak sehingga kerajaan negeri pimpinan Nizar Jamaludin jatuh dan kini ahli ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat menjadi sasaran.
Anwar berkata dalil di sebalik asakan-asakan Umno, adalah jelas. Beliau merujuk kepada Selangor sebagai contoh.
Anwar berkata sepanjang dua tahun lalu, pakatan rakyat terpaksa berdepan dengan Umno yang semakin mengganas dan sanggup menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan politik.
Berdepan dengan cabaran sebegitu, PKR, Pas dan DAP tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan ahli di semua peringkat mendokong perjuangan pakatan rakyat agar terus menjadi benteng untuk menolak rasuah dan penyelewengan.
Dalam memberi keutamaan kepada perjuangan itu, parti komponen pakatan rakyat sanggup membuat keputusan-keputusan berani yang tidak berlandaskan kepada kepentingan politik sempit .
Datuk Seri Anwar mengakhiri ucapannya dengan mengingatkan ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa yang membezakan gagasan itu dengan Umno-Barisan Nasional ialah keikhlasan dan amanah.
SUMBER TV Selangor
0 comments:
Post a Comment