Muhyiddin fitnah DAP lagi… Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagaimana yang dipetik oleh laporan Bernama semalam, “mengingatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan helah DAP yang didakwa bercadang meletakkan calon-calonnya di kalangan orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang”. Tidak ada salahnya kenyataan sedemikian kerana DAP sebagai parti yang menjunjung kebebasan bersuara sentiasa terbuka dalam menerima kritikan. Yang menjadi masalah ialah apabila Timbalan Presiden UMNO itu dipetik sebagai berkata “Tindakan DAP itu hanya untuk mengabui orang Melayu kerana hakikat sebenarnya ia adalah sebuah parti cauvinis yang tidak pernah memperjuangkan nasib orang Melayu. Saya hendak ingatkan orang Melayu, inilah parti (DAP) yang paling cauvinis. Dia berkata dia berjuang untuk Malaysian Malaysia tetapi sejarah perjuangan DAP dari dulu hingga sekarang saya tahu terlalu cauvinistik.” Muhyiddin: DAP parti cauvinis Dengan hentam keromo, beliau menggunakan istilah “cauvinis” yang antara maksudnya semangat berpuak yang keterlaluan atauassabiyah dalam bahasa Arab yang bermaksud fanatik terhadap kaum atau puak sendiri dalam membenarkan kezaliman. Tidak ada sebarang bukti jelas untuk menunjukkan DAP sebagai parti pelbagai kuam adalah parti cauvinis. Yang jelas UMNO, MCA dan MIC adalah parti-parti kaum (di mana kaum lain dilarang menyertai parti itu) yang boleh dianggap sebagai parti cauvinis, mengikut tafsiran Muhyiddin. Dalam desakan dan tuntutan UMNO melalui gagasan Ketuanan Melayu serta penggunaan media arus perdana untuk menakut-nakutkan rakyat, boleh dinilai siapa yang “cauvinis” dalam erti kata sebenar. Muhyddin: DAP tidak pernah meletakkan calon Melayu sebelum ini Jelas Muhyiddin menganggap rakyat, khususnya orang Melayu buta sejarah dan akan percaya bulat-bulat fitnah itu, kerana DAP sejak penubuhannya pada 1966 bukan sahaja telah meletakkan calon-calon Melayu dan kaum-kaum lain tetapi juga para perwakilan telah banyak kali memilih pemimpin Melayu untuk menduduki Jawatankuasa Pusat parti. Sebagai contoh, Haji Ibrahim Singgeh pernah menjadi wakil rakyat DAP bagi kawasan DUN Tapah Road (sekarang Air Kuning) di Perak pada pilihan raya 1969. Allahyarham juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung DAP. Calon wanita Melayu DAP Zaharah Ibrahim juga pernah bertanding melawan Menteri Besar Perak Tan Sri Ghazali Jawi bagi Dun Kenering walau pun tewas. Antara nama-nama besar pemimpin Melayu DAP adalah Mohd Nor Jettey sebagai antara mereka yang terawal bersama parti, Daing Ibrahim Othman, Salleh Nakhoda, Fadzlan Yahya, Mohd Asri Othman, Ahmad Nor, Ahmad Ton, Tunku Abdul Aziz dan ramai lagi. Muhyiddin: DAP tak pernah memperjuangkan (hak) Melayu, malah hanya mempertikaikan (dasar membantu orang Melayu) Tanpa perlu menghurai panjang tuduhan-tuduhan seperti itu yang dimulakan sejak 1966 lagi, pendirian DAP ialah memperjuangkan hak semua kaum termasuk Melayu dan DAP hanya mempertikaikan dasar-dasar yang membantu pemimpin dan kroni-kroni UMNO. DAP tidak rela melihat Melayu (dan kaum-kaum lain) diperdaya oleh para pemimpin mereka yang sendiri yang meniupkan semboyan kaum tetapi membolot hak dan kekayaan untuk diri dan keluarga mereka sahaja. Secebis kenangan, Lim Guan Eng terpaksa merengkok di penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu yang didakwa dianiaya oleh seorang pemimpin UMNO. Adakah itu caranya UMNO memperjuangkan Melayu atau apa ertinya pengorbanan Guan Eng yang memilih landasan politik keadilan untuk semua kaum? Muhyiddin: DAP adalah sebuah parti perkauman berbanding parti-parti lain, “ada rekod dan sejarahnya, memang begitulah” DAP tidak memperjuangkan ketuanan kaum, DAP tidak berat sebelah pada mana-mana kaum dan DAP tidak mendiskriminasikan mana-mana kaum atau individu berasaskan warna kulit atau kepercayaan agama. Semuanya jelas dalam Perlembagaan DAP yang menjadi amalan politik setiap anggota parti. Dalam soal “sejarah”, penguasaan UMNO dan BN menyebabkan “sejarah” di negara ini ditulis mengikut kehendak kerajaan pusat, dan tiada ruang media bebas dibuka untuk perbincangan serius yang berasaskan fakta dan maklumat benar. Jika DAP adalah “parti perkauman”, bagaimana status dan amalan UMNO, MCA dan MIC yang jelas hanya mementingkan satu kaum sahaja, malah mengharamkan penyertaan ahli dari kaum-kaum lain. Muhyiddin: “…sejarah telah membuktikan bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan nasib semua kaum berbanding Barisan Nasional yang telah lama memperjuangkannya Setiap rakyat prihatin ingin tahu di mana bukti-bukti sejarah dari semua pihak dan semua peringkat untuk membuktikan dakwaan yang dibuat secara sembarangan itu. Jika “sejarah” ditulis mengikut propaganda sendiri untuk memburukkan orang lain, maka itu tidak layak dijadikan bahan bukti. Dengan adanya negeri-negeri Pakatan sekarang, rakyat boleh menilai sendiri prestasi amalan cekap, telus dan akauntabel DAP bersama PAS dan PKR dalam pentadbiran bersih di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menjaga kebajikan semua kaum. Rakyat mampu menilai sama ada pentadbiran dan penjagaan kebajikan rakyat di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang itu adalah lebih baik, atau lebih buruk atau setara dengan Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang berada di bawah pemerintahan BN.
Thursday, May 26, 2011
MUHYIDDIN FITNAH DAP
Posted by pondokmaya at 8:28:00 AM
Labels: politics
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment