THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Friday, July 16, 2010

BARANG NAIK - KENYATAAN DSAI

Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).

Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

BALA BERI KETERANGAN SELAMA 3 JAM

"Najib" dan "Rosmah Mansor" antara nama yang disebut oleh polis Perancis, dalam masa lebih daripada tiga jam ketika mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal. Malah, nama-nama seperti Abdul Razak Baginda, Deepak Dinesh, ASP Suresh dan beberapa nama baru yang belum dikenalpasti turut disebut sepanjang proses ini, menurut sumber maklumat.

Balasubramaniam ialah saksi penting dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tiba di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture pada pada jam 2.30 petang (waktu Perancis) Isnin lalu, ditemani peguamnya, Manjeet Singh Dhillon.

Menurut sumber maklumat, polis Perancis sendiri mengungkit nama Perdana Menteri Najib Razak (gambar kiri, kanan) dan isteri beliau, Rosmah Mansor (gambar kiri, kiri) ketika mengambil keterangan Balasubramaniam. Malah, nama tertuduh ketiga dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Abdul Razak Baginda; dan Deepak Dinesh (peniaga permaidani yang dituduh mengatur perjalanan Bala ketika melarikan diri) juga disebut sepanjang keterangan Bala diambil.

Dalam satu laporan eksklusif MerdekaReview pada 10 Julai 2010, Balasubramaniam (gambar kanan) yang melarikan diri ke London telah menerima panggilan rasmi daripada polis Perancis untuk memberi keterangan berhubung kes pengambilan komisen dalam urus-niaga pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis.

Selain itu, sumber maklumat juga memberitahuMerdekaReview, Balasubramaniam telah bertemu dengan peguam SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) di Perancis, Joseph Breham untuk dua jam, semalam. Beliau kini sedang merangka satu kenyataan untuk diedarkan pada hari esok, kata sumber maklumat itu.

JOM KUBUR KAN UMNO-BN

Ketika Muhyiddin dan Hishammuddin terdiam atas isu curi pasir di Selangor kerana terhentam dengan cabaran MB Selangor, kerajaan UMNO-BN men
aikkan harga bahan baka
r dan gula. Harus diingat bahawa gula telah mula disorok beberapa minggu yang lalu. Penyorok-penyorok tentunya mendapat untung yang berlipat ganda kerana kenaikkan ini. Yang nyata, rakyatlah akan sengsara dan terseksa.

Mahal untuk ke sana sini sekarang. Mahal untuk minum-minum di restoran. Kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan-bahan utama ini kerana kewangan negara telah merosot teruk akibat daripada sikap joli katak dan ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Jika mereka beringat, tidak membazir, tidak menyeleweng, dan sentiasa berjimat; semua ini tidak akan berlaku.

Kerajaan UMNO-BN lebih rela memilih untuk mengsengsarakan rakyat daripada memelihara kesejahteraan hidup mereka. Kenaikan harga terbaru ini akan mencengkam kehidupan rakyat terutamanya di luar bandar. Golongan inilah yang memberi sokongan padu kepada UMNO-BN. Inilah balasannya setelah mereka digula-gulakan dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

UMNO-BN tidak layak dikekalkan sebagai Kerajaan Persekutuan. Mereka tidak mentadbir negara dengan betul. Masa lebih banyak dicurahkan untuk menghentam Pakatan Rakyat. Kerja mutlak mereka diabaikan. Rakyatlah yang mampu membuat perubahan ini sebelum nasi menjadi bubur. Kita kuburkan UMNO-BN!!!

AMK SELANGOR BANTAH KENAIKAN HARGA BARANG

Angkatan Muda Keadilan Selangor ‘mengalu-alukan’ kenaikan harga petrol dan barang oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ‘amat prihatin’ dengan kesengsaraan rakyat. Kenaikan atas nama pemotongan subsidi akan membuatkan rakyat lebih marah, benci dan meluat terhadap tindakan UMNO-Barisan Nasional yang membuktikan rakyat didahulukan dalam segala segi tatkala pemborosan perbelanjaan kerajaan masih berlaku.

AMK Selangor yakin kenaikan minyak dan barang ini hanya akan menambahkan kebencian dan meluat rakyat kepada pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang seringkali melaungkan slogan ‘rakyat agar didahulukan’ dan ‘juara rakyat’. Tindakan kenaikan ini akan lebih memudahkan Pakatan Rakyat dalam usaha menawan Putrajaya semasa PRU-13 kerana rakyat semakin yakin BN adalah sinonim dengan ‘Barang Naik’.

Dalam situasi kuasa beli rakyat semakin menurun dengan kenaikan harga barangan sebelum ini,kesengsaraan rakyat bagaikan dilupakan oleh kerajaan yang perlu bergelut saban hari dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.Apakah ini hasil liberalisasi ekonomi dan program rakyat berpendapatan tinggi oleh Perdana Menteri? ,tatkala pada realitinya rakyat terus berhadapan dengan alasan pemotongan subsidi untuk kononnya penjimatan wang negara tetapi kerajaan terus boros dalam menguruskan perbelanjaannya.

AMK Selangor mempersoalkan jika untuk mengurangkan subsidi yang kononnya membebankan negara, mengapa tidak membuat pemotongan subsidi kepada pihak Independent Power Producers – IPP yang jumlah angka kos amat besar dan tinggi?. Apakah ini terjemahan rakyat didahulukan dengan menjadikan rakyat ‘dikorbankan’ dalam polisi baru kerajaan pusat?. Bagaimanakah pula dengan jumlah kos mendapatkan khidmat perunding APCO yang wang ratusan juta tersebut boleh dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat?.

Kita menggesa agar rakyat tidak terpengaruh dengan istilah pengurangan subsidi kerana realitinya adalah kenaikan kos yang perlu ditanggung rakyat. Suara rakyat perlu digemakan di seluruh negara tatkala UMNO-BN akan terus menaikkan harga barang dan petrol diambang pengenalan cukai GST.

Akhirnya, AMK Selangor yakin rakyat sudah membuka minda dan hati siapakah yang memperjuangkan nasib dan kesengsaraan rakyat serta memikirkan masa depan rakyat negara ini sebenarnya. Lakonan pimpinan UMNO-BN yang kononnya mendabik dada juara rakyat ini adalah hasilnya dengan akan berlaku berterusan kenaikan barang dan perkhidmatan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor