Oleh Hishamuddin Rais Saya telah mengikuti perkembangan Parti Keadilan Nasional (PKN) dari dulu lagi. Dalam sejarah awalnya, parti ini ditubuhkan di Hotel Renaisance Kuala Lumpur pada tahun 1998. Pelancaran PKN ini berlangsung disebuah hotel yang agak chic dan mahal. Babak petama di Hotel Renaissance ini berlangsung ketika ramai penyokong Anwar Ibrahim menganggap tidak lama lagi Anwar akan menjadi perdana menteri. Maka mereka pun melabur. Melabur untuk parti politik ini adalah teras hegemoni budaya Gerombolan United Malays National Organistion.
Saya tidak masuk pun ke dalam dewan hotel itu. Saya hanya berlegar di tepi jalan di hadapan hotel. Saya ternampak ramai lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang keluar masuk dalam hotel. Saya berdiri di tepi jalan sebagai pemerhati dari jauh.
Dalam pilihan raya tahun 1999 - ramai juga lelaki berperut gendut dan berbaju batik yang menampil diri dan melabur lagi. Perlaburan mereka jatuh meleset. Maka berakhirlah zaman ‘pink form Anwar Ibrahim'. Maka bermulalah zaman realis bahawa kuasa bukan di tangan individu atau kerana retorik individu tetapi dengan penyusunan ombak rakyat yang kompak untuk mendobrak kerajaan zalim BN.
Saya datang ke kongres parti hanya untuk melihat. Bukan untuk mendengar ucapan atau untuk mendengar gebang ahli-ahli politik. Sekali sekala saya mendengar juga. Tapi ini bukan tujuan asal. Saya menghadirkan diri untuk memerhatikan apakah yang dipakai oleh orang yang datang ke perhimpunan tersebut. Atau apa baju dan kasut yang di pakai oleh ahli-ahli parti. Untuk saya ini lebih penting dari seribu ucapaan.
Ketika Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan PKN bercantum pada tahun 2002 - satu upacara telah di adakan di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur. Ketika itu saya datang menebeng dan melihat dari jauh. Saya perhatikan dewan besar tidak penuh - banyak kerusi kosong. Lelaki berperut gendut dan berbaju batik hampir pupus.
Ada muka-muka baru yang saya lihat ramai - apek China memaki baju-t berkolar dan berselipar. Ini pendatang baru. Lalu saya mengambil kesimpulan bahawa si apek yang berselipar ini pastilah datang dari PRM. Yang berkopiah putih tidak bagitu ramai. Yang berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok langsung tidak kelihatan. Mak cik bertudung labuh pun tidak kelihatan. Anak muda kelihatan ramai.
Kongres di tokong amat radikal
Dari pemerhatian ini saya mengambil kesimpulan bahawa satu budaya baru telah muncul di dewan perhimpuan Cina ini. Malah satu sejarah terlakar kerana percantuman dua parti politik yang berasaskan warga Melayu telah diadakan di dewan perhimpuan Cina dan dihadiri oleh ramai apek Cina dan anak muda. Selipar Jepun dan baju-t Pagoda telah diterima untuk masuk ke persidangan.
Zaman berarak dan beredar. Satu lagi kongres PKR telah diadakan. Kali ini di Ipoh. Saya juga datang menumpang untuk melihat siapa yang datang dan apa pakaian yang akan dipakai. Dalam negara kuku besi seperti Malaysia ini bukan senang sebuah parti pembangkang untuk mendapat tempat mengadakan persidangan.
Jika hotel dilamar - hotel ini akan diberi amaran. Dewan milik orang ramai yang bersepah-sepah tidak mungkin dibenarkan untuk dipakai oleh parti pembangkang. Puak gerombolan akan menindas dengan pelbagai cara untuk memastikan kuasa terus di tangan mereka. Akhirnya kongres PKR di Ipoh telah diadakah di sebuah tokong.
Nah! Ini satu sejarah lagi. Bayangkan kongress PKR diadakan di Tokong Cina. Rasa kekok orang Melayu di dalam dewan tokong Cina tidak wujud lagi. Ini satu pembudayan yang amat radikal. Kalau dahulu di dewan perhimpunan Cina - kali ini di Tokong Cina. Kini PKR telah bergerak jauh dari hegemoni budaya gerombolan.
Ketika kongres di tokong ini berjalan saya perhatikan lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang tidak seramai di Hotel Renaisance dahulu. Ramai yang datang berpakaian agak lekeh dan sempoi. Untuk saya ini satu petanda yang amat membanggakan. Selipar dan baju-T pagoda sekali lagi menjadi trend di Ipoh.
Saya perhatikan yang datang ke tokong itu terdiri dari mak cik dan pak cik yang datang dengan bas dari Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Memang dari wilayah yang jauh mereka datang. Mungkin kerana berita telah tersebar Anwar Ibarahim yang telah bebas akan datang ke kongres di Ipoh.
Saya tidak muncul di kongres Pulau Pinang dan di Seremban. Saya terlupa sebab apa saya tidak datang. Jadi saya tidak ada catitan jenis pakaian apa yang terdapat di kongres tersebut. Apa yang saya amat yakin ialah lelaki berperut gendut dan berbaju batik mula berkumpul kembali. Mereka datang kerana Anwar Ibrahim telah di bebaskan. Mereka menunjukkan muka sekali lagi. Ini juga sebagai pelabur saham. Budaya germbolan datang sekali lagi dalam PKR.
Minggu lepas saya ke Kota Bahru. Saya datang menebeng dan tumpang melihat kongress ke-6PKR. Kali ini semuanya telah berubah. Kongres kali ini diadalah sesudah 8 Mac 2008 - ertinya satelah mendapat kemenangan dan wujudnya Pakatan Rakyat.
Hilang indentiti
Kongres Angkatan Muda Keadilan diadakan di satu tempat peranginan di Pantai Cahaya Bulan. Saya sampai awal pagi. Ketika saya sampai, apa yang saya dengar hanya desiran ombak. Esoknya saya lihat tempat bersidang yang agak lumayan berbanding dengan tokong di Ipoh dahulu. Lebih tersusun dan teratur. Para perwakilan ada bilik dan tempat penginapan. Ini lumayan.
Untuk saya gerakan anak muda ini paling penting. Anak muda adalah nadi sesebuah organisasi politik. Tanpa tenaga muda tidak mungkin ada parti politik yang boleh berkembang. Bila saya menjenguk muka ke dalam dewan persidangan AMK - saya senang hati kerana hampir 400 orang anak-anak PKR muda sedang berdebat dan berbincang.
Kemudian saya terlihat ramai perwakilan di dalam dewan yang memakai baju biru. Mungkin ini baju rasmi AMK. Ini satu kesilapan besar. Anak muda yang berseragam sampai dunia kiamat pun tidak akan dilihat cool. Anak muda cool pemecah ruyung tidak akan mengikut arahan bagaimana harus berbaju atau berseluar. Yang suka berseragam adalah mereka yang suka ditarik hidung. Pakaian seragam diwujudkan agar individu hilang identiti diri. Saya hanya tersenyum - bermula dengan berbaju biru dan mungkin akan berakhir dengan berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang.
Esoknya saya masuk ke Dewan Kelantan Trade Center. Saya pun tidak faham kenapa bangunan ini dipanggil Kelantan Trade Center. Apakah dengan pengunaan bahasa Inggeris ini akan membuktikan bahawa kerajaan Kelatan ini hebat dan berwibawa. Jika ini hujah nya maka ini samalah seperti drama swasta yang menggunakan "I" dan "You" untuk membuktikan bahawa para pelakon drama ini berilmu.
Dalam dewan saya perhatikan bahawa tradisi lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang semakin berkurang. Lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang ini ramai telah keluar dari PKR. Tetapi jangan silap baca masih ramai lagi lelaki jenis ini menjalar dalam PKR. Tetapi buat sementara waktu mereka tidak memakai baju batik dan telah cuba mengempiskan perut.
Kenapa saya memperlekehkan lelaki berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang? Jawabnya cukup senang. Perhatikan muka yang telah lari meninggalan PKR. Perhatikan perut mereka. Semuanya gendut dan boroi. Mereka juga sering dilihat memakai baju batik berlengan panjang.
Untuk saya baju batik berlengan panjang muncul dari hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation. Saya anggap perkara yang paling bodoh yang kita lakukan ialah meniru apa yang dilakukan oleh musuh kita. Menerima apa yang dibudayakan oleh musuh membuktikan kita tidak memiliki fikrah untuk melakonkan yang baru.
Kita bukan sahaja wajib menolak parti gerombolan. Kita juga wajib menolak budaya yang disebarkan oleh gerombolan. Berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang adalah budaya gerombolan. Ini wajib dilupuskan. PKR wajib melahirkan seni dan budaya sendiri. Jangan jadi malas hanya dan menerima baju batik berlengan panjang sebagai budaya. Kerana malas, maka perut jadi gendut.
Sunday, June 6, 2010
LELAKI GENDUT KEMBALI KE PKR
Posted by pondokmaya at 11:41:00 AM
Labels: politics
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment