THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, June 28, 2010

AZMIN NAFI BANTAH MB SELANGOR

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujud kumpulan lima belas Ahli Parlimen KEADILAN yang akan mengadakan protes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Politik beliau yang baru, Faekah Husin.

Spekulasi dalam media timbul setelah beliau menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Rabu lalu.

"Saya jelaskan di sini bahawa berita yang disiarkan di dalam 'The Star Online' adalah tidak benar, kenyataan tersebut hanyalah spekulasi pihak tertentu yang dikaitkan dengan perletakkan jawatan saya dalam PKNS.

"Apa yang pasti maklumat ini adalah baru dan saya akan berjumpa dengan kesemua rakan-rakan saya untuk mendapat maklumat yang penuh terhadap dakwaan tersebut, kita akan meneliti setiap alasan yang diberikan kalau betul timbul rasatidak puas hati mungkin saya boleh menjadi wakil kepada rakan-rakan di dalam KEADILAN untuk meluahkan pendapat tersebut kepada Menteri Besar.

"Apa yang pasti saya tidak terlibat dalam spekulasi itu dan jangan buat andaian yang tidak betul," jelas Azmin ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Azmin juga ditanya media pendapat beliau berhubung perlantikan Faekah.

"Keputusan perlantikan tersebut sudah tentu terletak kepada budi bicara Menteri Besar, bagi saya perlantikan Faekah adalah satu penghormatan yang diberikan kepada seorang wanita dan ini menunjukkan dalam politik Pakatan Rakyat kita tidak meminggirkan peranan wanita untuk menyumbang kepada parti," kata beliau.

Tambah Azmin, beliau tahu isu tersebut akan diperbesarkan oleh Umno dan juga media arus perdana tetapi baginya isu itu tidak menjadi perhatian serius kepada pimpinan KEADILAN.

"Kita tahu kesempatan akan digunakan untuk membesarkan isu tersebut dan bagi saya itu bukan perkara yang perlu kita fikirkan, Umno akan menggunakan isu itu sebagai senjata mereka menyerang KEADILAN.

"Dari sudut politik kita melihat ini sebagai satu langkah positif dan keterbukaan kita membuat sebarang kritikan kepada pemimpin jika berlaku sesuatu yang kita rasa perlu ditegur.

"Jangan jadi seperti Umno ataupun parti komponen Barisan Nasional yang lain, orang bawahan tidak boleh menegur kesilapan pemimpin atasan. Politik mereka jelas mengamalkan sikap kuku besi jika ada yang menegur maka tindakan akan diambil samada dipecat atau dipinggikan terus," tegas Azmin lagi.

Azmin juga mahu Abdul Khalid mengambil serius spekulasi liar yang disebarkan sesetengah media dan berharap tindakan segera diambil agar ia tidak terus menjadi isu besar.

Beliau yakin dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor dan usahanya untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di negara ini.

SUMBER http://wargamarhaen.blogspot.com/

0 comments: