THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, April 14, 2010

BIODATA DAN BIOGRAFI DATUK MOHD ZAID IBRAHIM

Nama: Mohd. Zaid Ibrahim

Umur:
Lahir pada tahun 1951 di Kelantan

Pendidikan: Ijazah Undang-Undang, LLB Hons (1974) Barrister at Law Inner Temple 1975

Kerjaya: Bersara (100% Ahli Politik Sekarang)

Website: http://myzaidibrahim.wordpress.com/

Twiter: http://twitter.com/zaidibrahim

Facebook: Datuk Zaid Ibrahim

Sejarah pembabitan dalam politik

Mula berkecimpung di bidang politik pada tahun 1986 melalui UMNO, walaupun mula aktif hanya selepas tahun 1990.

2001: Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.

2003: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO.

2004-2008: Ahli Parlimen BN Kota Bharu, yang pertama sejak 1990.

2005: Digantung dari jawatan Ketua Bahagian dan digugurkan sebagai calon 2008.

Mac 2008: Dilantik sebagai Senator di Dewan Rakyat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang & reformasi badan kehakiman).

Sept 2008: Meletakkan jawatan Senator dan Menteri sebagai protes penggunaan ISA ke atas 3 rakyat Malaysia.

Dec 2008: Dipecat dari UMNO kerana menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang pendiriannya mengenai ISA.

Jun 2009: Menganggotai PKR. Seterusnya dilantik sebagai menjadi anggota Majlis Tertinggi PKR, AJK Biro Politik PKR dan Penyelaras Pakatan Rakyat.

Dalam masa 25 tahun bermula 1987 - Datuk Zaid berjaya menubuhkan syarikat guaman Zaid Ibrahim & CO dari hanya mempunyai saorang peguam hinggalah melebehi 140 orang pada tahun 2008 menjadikan firma itu yang terbesar di negara. Beliau bersara dari syarikat tersebut bila menerima jawatan Menteri pada tahun 2008.

Keadilan untuk Semua

Datuk Zaid Ibrahim memberikan perhatian berat terhadap aspek sistem perundangan kita yang tidak adil, termasuklah penggunaan ISA dan keperluan reformasi badan kehakiman. Beliau percaya keadilan adalah untuk semua dan menolak politik perkauman.

Beliau berhasrat mempertingkatkan ketelusan dalam Kerajaan – dari memperbaiki ketelusan dalam pentadbiran Petronas dan FELDA sehinggalah usaha untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan.

Datang dari keluarga yang miskin, beliau juga amat prihatin terhadap masalah kemiskinan, hak tanah dan kebajikan rakyat, termasuklah tanah adat Orang Asal.

Datuk Zaid juga aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di luar arena politik.

Beliau berhasrat untuk mengembalikan politik Malaysia sebagai politik yang berbincang tentang dasar dan kebajikan rakyat dan politik yang memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat.

Kerja-kerja kebajikan & penerbitan

Pengasas Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), 1998.
Pengasas MyFuture Foundation, yayasan mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia, 2008.

Buku

Dari Hati yang Ikhlas, 2007 & Saya pun Melayu, 2009

Turut terlibat dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan.

Latarbelakang Keluarga & Pendidikan Awal

Datuk Zaid Ibrahim dilahirkan di Kampung Chap - Bachok, Kelantan pada tahun 1951 dalam sebuah keluarga kampung biasa di kawasan pedalaman. Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran dengan kampungnya, di mana beliau terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah

Menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Sultan Ismail, apabila keluarganya berpindah di kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah beliau, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di pasar besar Kota Bharu.

Semasa berada dalam darjah lima, beliau menerima Biasiswa Kecil Persekutuan sebanyak RM15 sebulan berdasarkan prestasi baik pelajaran beliau dan kesulitan kewangan keluarganya, “saat paling menggembirakan dalam hidup saya” kerana tanpa bantuan tersebut, beliau berkemungkinan tidak dapat meneruskan persekolahannya.

Dengan tekad usahanya menumpukan perhatian terhadap pelajaran di samping mengembangkan minat membaca di masa lapang di perpustakaan awam di Kota Bharu, Datuk Zaid akhirnya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu iaitu Kolej Sultan Ismail.

Kemahuan beliau untuk menimba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM5 dari ayahnya, Datuk Zaid berpindah ke Johor Bharu atas pilihannya sendiri untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bharu.

Walaupun latarbelakang keluarganya jauh berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan pelajar-pelajar di Maktab tersebut, dan ada merasa sedikit terpinggir sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu, dengan galakan dari guru-gurunya, Datuk Zaid berjaya memupuk bakat berpidatonya sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris.

Selepas di Johor Bharu, Datuk Zaid meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana beliau mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.

Pendidikan Tinggi

Datuk Zaid akhirnya melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, Datuk Zaid meneruskan minatnya dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar. Selepas menerima ijazah beliau tiga tahun kemudian, beliau bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarganya dahulu di kampung.

Beliau kemudiannya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar. Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, menyebabkan beliau terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, beliau berjaya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.

Kerjaya Guaman

Selepas pulang ke tanah air, Dato Zaid memulakan latihan chambering beliau dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok, syarikat guaman terbesar di Malaysia pada masa itu. Dari 1976-1979, beliau memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.

Pada tahun 1987, Datuk Zaid nekad untuk menubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.

Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, Datuk Zaid Ibrahim melepaskan kepentingannya di dalam ZICO.

Politik

Pendedahan politik awal Datuk Zaid mula semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayahnya mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat. Dato Zaid mula menjadi ahli UMNO Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihanraya 1990.

Pada tahun 2001, beliau berjaya menjadi Ketua Cawangan UMNO Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada tahun 2003. Kerana dilihat telah mempersoalkan kuasa pemimpin UMNO, pada tahun 2005, beliau digantung dari jawatan Ketua Cawangan Kota Bharu. Namun, beliau masih terpilih menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu dari 2004-2008.

Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya 2008, dan menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju Barisan Nasional dan masalah kepemimpinan di dalam UMNO sejurus selepas Mar 8, 2008, Datuk Zaid ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk “untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman”.

Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, Datuk Zaid memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka walaupun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam UMNO.

Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menjadikannya Menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan Menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, Dato Zaid Ibrahim akhirnya dipecat dari UMNO pada Disember 2008.

Pada bulan Jun 2009, Datuk Zaid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman. Datuk Zaid Ibrahim sekarang merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR dan berperanan sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat.

Kerja-kerja Kebajikan dan Sosial

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai keprihatinan yang tinggi terhadap masalah kemiskinan dan kebajikan rakyat biasa. Seawal tahun 1998, Dato Zaid dan isterinya telah menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Pengkalan Chepa untuk memberikan perkhidmatan kepada terutamanya warga emas yang kurang upaya seperti melibatkan mereka dalam kegiatan riadah dan berkebun.

Kini YOKUK menawarkan khidmat kebajikan dan pemulihan percuma kepada lebih 2,500 warga kurang upaya tanpa mengira kaum, usia ataupun jenis ketidak upayaan mereka. Antara khidmat yang diberikan YOKUK termasuklah pelbagai jenis terapi dan perkhidmatan pengangkutan. YOKUK juga merancang untuk menyediakan/memperbaiki 500 rumah warga kurang upaya yang memerlukan bantuan di Kelantan.

Pada tahun 2008, beliau menubuhkan MyFuture Foundation, sebuah yayasan yang bergiat untuk mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia. Beliau juga telah menulis dua buah buku, Dari Hati yang Ikhlas dan Saya pun Melayu, yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan milik keluarganya, yang ditubuhkan untuk menggalakkan budaya penerbitan tempatan.

Selain daripada itu, Dato Zaid Ibrahim juga aktif dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan kerana beliau percaya kebudayaan warisan turun-temurunlah yang dapat memberi pengisian terhadap jatidiri anak bangsa.

Datuk Zaid Ibrahim juga menulis di blognya di http://myzaidibrahim.wordpress.com/ dan berkomunikasi melalui http://twitter.com/zaidibrahim dan di Facebook.

Menyumbangkan Tenaga dan Khidmat untuk Rakyat

Matlamat Datuk Zaid Ibrahim ke Parlimen adalah untuk menyumbangkan tenaga beliau kepada negara yang kita cintai dan melihara kepentingan rakyat dan demokrasi di mana “rakyat dapat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi”.

Beliau mahu membantu memastikan yang undang-undang negara mesti berteraskan keadilan dan tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi kepentingan elit di negara kita yang sudah merugikan rakyat berbilion-billion ringgit selama ini. Penyelewangan kuasa dan rasuah dan penggubalan dasar-dasar yang tidak adil Kerajaan BN telah banyak merugikan dan memiskinkan rakyat, yang dapat dilihat dari masalah tanah yang tidak selesai ke persoalan perumahan dan pendidikan sehinggalah ke pengurusan Petronas yang tidak telus.

Beliau yakin rakyat Malaysia tiada sebab untuk tidak dapat hidup dengan selesa dengan limpah kurnia kekayaan negara ini melainkan disebabkan pilihan-pilihan politik yang buruk dan kerakusan pemimpin memperkayakan diri dan kroni-kroni mereka. Datuk Zaid amat prihatin terhadap nasib masyarakat yang terpinggir, samada disebabkan oleh kemiskinan, masalah kurang upaya ataupun penindasan sistematik yang meminggirkan kaum petani, buruh ladang dan Orang Asal yang masih berleluasa di negara kita.

Datuk Zaid Ibrahim sudah sering mengutarakan bahawa politik di Malaysia sudah lama ‘sakit’ dan harus diangkat mertabatnya. Kita harus berpindah dari kata nista dan serangan berbentuk pribadi, atau tindakan-tindakan yang berbaur perkauman yang melambangkan percaturan politik yang dangkal pemerintah BN, kepada perdebatan tentang dasar dan halatuju negara kita. Tanpa dasar-dasar yang baik, rakyat tidak kira kaum dan budaya akan merasa terpinggir di negara sendiri.

Keadilan dan Kebajikan untuk Semua

Penglibatan aktif Datuk Zaid Ibrahim dalam kerja-kerja kebajikan, keterbukaannya dalam mengkritik dasar-dasar Kerajaan BN yang tidak adil walau ketika beliau masih lagi bersama BN, keberaniannya sebagai Menteri yang mengusulkan proses meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat oleh kerajaan pada tahun 1988 dan Menteri yang meletakkan jawatan atas dasar prinsip menentang konsep penahanan tanpa bicara menunjukkan ketulusan beliau untuk menjaga proses demokrasi, keadilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.

Malah, Datuk Zaid Ibrahim telah memaklumkan dengan jelas bahawa beliau telah menerima tawaran menjadi Menteri undang-undang atas prinsip mahu membantu Kerajaan BN untuk berubah, menghentikan penyalahgunaan kuasa perundangan dan memperbaiki ketelusan dalam proses kehakiman negara. Beliau akhirnya melepaskan jawatan tersebut sambil meminta maaf dengan rendah hati kepada rakyat atas “kegagalan merubah BN”.

0 comments: