THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, March 28, 2010

SENGIT DI HULU SELANGOR

Pilihanraya Kecil yang bakal berlaku di Parlimen Hulu Selangor sedikit masa lagi merupakan Pilihanraya yang paling sengit selepas beberapa siri Pilihanraya Kecil pada dua tahun sebelum ini kerana majoriti kemenangan calon PKR-Pakatan pada 2008 lalu yang diwakili oleh Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad hanyalah 198 undi. Begitu rapat dan saya melihat bahawa kedua-dua pihak (Pakatan-BN) mempunyai peluang yang seimbang.

Paling menarik, Pakatan menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor tetapi dalam masa yang sama tiga DUN didalamnya-Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu dikuasai oleh BN dengan majoriti yang agak besar.

Perlu juga diperhatikan bahawa jumlah undi rosak 1,466 sebagai satu ancaman dan peluang kerana jumlah itu tidak jauh bezanya dengan jumlah semasa PRU 11-2004 yang berjumlah, 1406. Ini bermakna lebih 1,000 pengundi tidak tahu memangkah dengan betul disana.

Seterusnya kita melihat dari segi jumlah pengundi mengikut kaum. Jumlah pengundi pada 2008 adalah 63,593 pengundi di mana Melayu adalah 53.94%, Cina 26.67%, India 18.98% dan Lain-lain 0.41%. Ini bermakna pengundi bukan Melayu dan Melayu tidak berbeza besar. Cuma berdasarkan kesedaran politik dan kesedaran untuk keluar mengundi, kaum bukan Melayu dilihat begitu proaktif berbanding Kaum Melayu dan menjadikan mereka penentu kepada keputusan pengundian sebenar.

Walau bagaimana pun kemenangan Allahyarham Datuk Dr Zainal membuktikan bahawa calon Melayu juga mampu diterima rakyat di sana.

Jadi terpulanglah pada Pakatan sama ada mahu meletakan calon Melayu atau bukan Melayu di sana. Apa yang penting adalah gerak kerja turun ke dalam masyarakat di mana kawasan berkenaan juga mempunyai pengundi kalangan orang asli. Dan sentimen pro-Pakatan bukan Melayu khususnya kaum Cina juga begitu kuat.

Dengan keadaan MCA sekarang, maka peluang besar untuk Pakatan meraih sokongan kaum Cina. Tetapi Pakatan tidak boleh pandangan ringan dengan pengaruh MIC dan Umno di sana, terutamanya dalam keadaan Najib yang begitu ghairah dengan program mesra rakyat dan 1 Malaysia sekarang.

Secara kasarnya, Pakatan boleh bersatu untuk mengempurkan Parlimen berkenaan berdasarkan pembahagian DUN seperti semasa Pilihanraya lalu, di mana PAS tumpu di Hulu Bernam, PKR tumpu di Batang Kali dan DAP tumpu di Kuala Kubu Bharu.

Saya berani mengatakan bahawa Kuala Kubu Bharu berpontensi untuk meraih undi yang lebih banyak bagi Pakatan tetapi di Hulu Bernam dan Batang Kali, Pakatan perlu menguasai undi Melayu juga bagi memastikan BN dapat dikalahkan kerana di sana sokong Melayu kepada BN begitu kuat dan Umno sekarang cuba melobi untuk meletakan calon mereka untuk menafikan peluang Palanieval kembali ke Parlimen.

Jika ini berlaku, dan Umno diberikan peluang maka cabaran buat Pakatan agak getir. Pada saya berhadapan dengan MIC atau MCA sekarang agak mudah sedang Umno kita masih 50/50 kerana undi Melayu boleh jadi penentu dalam pertembungan.

Kita tidak boleh menafikan semangat dan sentimen rasis ataupun kebangsaan dalam pilihanraya kecil ini. Walaupun kita berjuang atas semangat semua kaum, tetapi identiti dan resam hidup masyarakat di Parlimen ini masih terikat pada paksi perkauman dan jika diasak, semangat rasis itu akan menjadi kuat dan di sana peluang Umno lebih baik.

Umno pastinya akan sedaya upaya menarik pengundi Melayu keluar bagi mengatasi pengaruh sokongan bukan Melayu pada Pakatan dan pengundian tidak mustahil akan pecah dua di mana kaum Melayu 70% undi BN, Cina 80% bersama Pakatan dan India akan melihat kepada siapa yang mampu berikan jaminan jangka panjang pada mereka jika menang- Maknanya India juga boleh jadi penentu.

Saya sendiri sukar untuk memikirkan siapa yang layak untuk jadi calon atau parti mana yang akan menang. Pakatan pasti akan bertahan habis-habisan dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh kerana kemenangan dalam Pilihanraya kali ini menjadi benchmark kepada kekuatan pengaruh semasa Pakatan atau BN.

Kita menerima hakikat bahawa pengaruh Pakatan sedikit tercalar selepas beberapa insiden terutamannya tindakan beberapa wakil rakyat yang lompat parti yang majoritinya dari PKR. Modal ini pastinya menjadi lauk buat BN dan tidak mustahil wakil rakyat Bebas ini akan turun menyokong dan berkempen untuk calon BN bagi mempengaruhi pengundi.

Apa yang penting dalam hal ini, PKR, PAS dan DAP perlu berbincang tentang siapakah calon yang paling layak tanpa mengira mereka dari parti mana kerana rakyat mahu seorang calon yang boleh diterima oleh semua kaum dan mempunyai keperibadian yang kuat serta dihormati.

Dan saya amat berharap juga agar calon yang dipilih nanti adalah mereka yang benar-benar taat dan hormat pada parti dan Pakatan keseluruhannya.

0 comments: