Oleh Nasruddin Hassan
1. Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitulah keputusan di dalam kes Semakan Kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung isu kedudukan ADUN Kota Siputeh, Kedah dan juga kes Saman yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
2. Keputusan dari kedua-dua kes tersebut, yang berakhir dengan ketewasan di pihak SPR dan SPRM yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan kehendak undang-undang yang sebenar hingga memalukan dan menjejaskan imej kerajaan..
3. Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya, meskipun jelas tindakan tersebut menyalahi peruntukan undang-undang bertulis. Lihat sahajalah bagaimana nasihat yang diberikan oleh kepada SPR berkaitan dengan pentafsiran Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut sudah sebegitu jelas dan terang di mana seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua-dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.
4. Meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia . Maka, di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta.
5. Di dalam amalan biasa, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anakguamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anakguam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit. Namun, di dalam situasi yang membabitkan Peguam Negara ini, sekiranya Peguam Negara enggan melepaskan jawatannya, maka DPPP mendesak supaya Peguam Negara dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama sebagaimana proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan.
Disediakan oleh
NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
0 comments:
Post a Comment