Rombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya.
Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan.
Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional.
Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.
Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.
WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
0 comments:
Post a Comment