23 September 2011 Saya amat terkejut membaca berita bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu ini telah mengarahkan penyiar tempatan supaya berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (public service announcement, PSA) “Undilah” yang diterbit saudara Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia yang baru lepas. PSA ini, yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak (non-partisan) untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita. Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong. Di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal “demokrasi terbaik” di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya. Saya memohon SKMM untuk menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan, malah memohon agar SKMM menterbalikkan arahan tersebut dan mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi di negara tercinta ini. Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanah air. Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan
Naib Presiden KEADILAN
Friday, September 23, 2011
NURUL IZZAH : UNDILAH DAN SKMM
Posted by pondokmaya at 2:50:00 PM 0 comments
Labels: politic
HUDUD : JERAT UMNO
Pemimpin-pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang. Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat. “Isu ucapan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu, isu bendera (Jalur Gemilang), isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang. “Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalih perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini. Beliau juga menggariskan terdapat banyak isu lain iaitu warga asing diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-13, undang-undang baru bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). “Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” katanya. Selepas isu membabitkan Mohamad yang dikenakan tuduhan di mahkamah baru-baru ini, sejak kelmarin PAS diselubungi kontroversi berkaitan hukum hudud. Ia turut mengheret sekali DAP. Kata Tuan Ibrahim, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka. Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini. “Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya Pakatan Rakyat terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit,” kata beliau. Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum. Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang. “Ia (Pakatan) seharusnya berupaya untuk kekal fokus dengan isu-isu, ia akan membantu kami keluar daripada serangan dan menghadapi pilihan raya... kita ada tugas penting untuk memenuhi pengharapan rakyat sekarang... menghadapi pilihan raya umum dan menang,” kata beliau sambil menyifatkan dua isu yang dilihat akademik iaitu negara Islam dan hukum hudud boleh dibincangkan kemudian. “Kita tidak wajar berdebat atau membincangkan isu-isu bersifat akademik ini pada waktu genting menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya. “Kita tahu apa yang difikirkan oleh musuh-musuh kami, jadi mereka akan menggunakan isu seperti ini, hudud dan negara Islam untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah, “isunya bukan sangat menguasai kerajaan pusat, tetapi lebih daripada itu ialah mewujudkan sistem dua parti di negara ini... untuk itu kita kena kekal kukuh dan mantap dalam Pakatan.” Dengan turut merujuk kepada pendirian PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno tahun lalu, wakil rakyat penggal pertama ini berharap kepimpinan perikatan dengan segera menyelesaikan isu terbaru ini. “Malah isu ini telah disentuh oleh (Pengerusi DAP) Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan tahun lalu dan semuanya berjalan lancar, dan tiba-tiba menjadi isu semula sekarang,” katanya agak kecewa dengan perkembangan semasa. Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan isu ini akan dibangkitkan semula, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata: “Saya memang sudah menjangkakan isu ini (hudud) akan berkembang jadi rumit macam hari ini.” “Sebab itu, saya memaklumkan Setiausaha Agung (PAS, Datuk Mustafa Ali) dan mengadakan satu sidang media semalam,” kata beliau, yang sidang media semalam mendakwa kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Tanjong Malim kelmarin bertujuan menggugat kedudukan Pakatan Rakyat. Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu. Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam. Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu. Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia. Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Tengah hari semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat. Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.
Posted by pondokmaya at 12:20:00 PM 0 comments
Wednesday, September 21, 2011
LEBIH KEJAM DARI ISA?
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001. Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”.
Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan. Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.
Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.
Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.
Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.
Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.
Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.
Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998.
Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.
Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.
Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.
Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.
Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat.
Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.
Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Malaysia
Posted by pondokmaya at 2:11:00 PM 0 comments
Labels: law
Saturday, August 13, 2011
AZAN DI P.P DENGAN DAP
Kenyataan Media
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang
YB Abdul Malik Kassim, 12 Ogos 2011
PIMPINAN KERAJAAN NEGERI TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAJLIS FATWA NEGERI BERHUBUNG ISU LARANGAN PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH
Pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Sahibul Samahah Datuk Seri Haji Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulamak, professional agama, serta wakil daripada istana.
Saya hanya mengetahui keputusan Majlis Fatwa berhubung larangan menggunakan pembesar suara sebelum subuh, berdasarkan laporan akhbar yang disiarkan pada hari ini.
Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.
Namun begitu, kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bil. 2/2011 yang bersidang pada 7 April 2011, mengenai hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara.
Mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011, yang dipengerusikan Mufti Negeri Pulau Pinang kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut Hukum Syara'.
Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.
Sungguhpun begitu, sebagai pentadbir institusi agama, mereka sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah. Ini berdasarkan hadis dan dalil yang berkaitan, bermaksud…
"Daripada Abi Sa'id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat." ( sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis)
Keputusan tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya.
Saya yakin, demi kepentingan politik sempit pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan majlis fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.
Dalam semangat Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.
Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama.
Posted by pondokmaya at 11:22:00 AM 0 comments
Labels: religion
Thursday, May 26, 2011
MUHYIDDIN FITNAH DAP
Muhyiddin fitnah DAP lagi… Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagaimana yang dipetik oleh laporan Bernama semalam, “mengingatkan orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan helah DAP yang didakwa bercadang meletakkan calon-calonnya di kalangan orang Melayu pada pilihan raya umum akan datang”. Tidak ada salahnya kenyataan sedemikian kerana DAP sebagai parti yang menjunjung kebebasan bersuara sentiasa terbuka dalam menerima kritikan. Yang menjadi masalah ialah apabila Timbalan Presiden UMNO itu dipetik sebagai berkata “Tindakan DAP itu hanya untuk mengabui orang Melayu kerana hakikat sebenarnya ia adalah sebuah parti cauvinis yang tidak pernah memperjuangkan nasib orang Melayu. Saya hendak ingatkan orang Melayu, inilah parti (DAP) yang paling cauvinis. Dia berkata dia berjuang untuk Malaysian Malaysia tetapi sejarah perjuangan DAP dari dulu hingga sekarang saya tahu terlalu cauvinistik.” Muhyiddin: DAP parti cauvinis Dengan hentam keromo, beliau menggunakan istilah “cauvinis” yang antara maksudnya semangat berpuak yang keterlaluan atauassabiyah dalam bahasa Arab yang bermaksud fanatik terhadap kaum atau puak sendiri dalam membenarkan kezaliman. Tidak ada sebarang bukti jelas untuk menunjukkan DAP sebagai parti pelbagai kuam adalah parti cauvinis. Yang jelas UMNO, MCA dan MIC adalah parti-parti kaum (di mana kaum lain dilarang menyertai parti itu) yang boleh dianggap sebagai parti cauvinis, mengikut tafsiran Muhyiddin. Dalam desakan dan tuntutan UMNO melalui gagasan Ketuanan Melayu serta penggunaan media arus perdana untuk menakut-nakutkan rakyat, boleh dinilai siapa yang “cauvinis” dalam erti kata sebenar. Muhyddin: DAP tidak pernah meletakkan calon Melayu sebelum ini Jelas Muhyiddin menganggap rakyat, khususnya orang Melayu buta sejarah dan akan percaya bulat-bulat fitnah itu, kerana DAP sejak penubuhannya pada 1966 bukan sahaja telah meletakkan calon-calon Melayu dan kaum-kaum lain tetapi juga para perwakilan telah banyak kali memilih pemimpin Melayu untuk menduduki Jawatankuasa Pusat parti. Sebagai contoh, Haji Ibrahim Singgeh pernah menjadi wakil rakyat DAP bagi kawasan DUN Tapah Road (sekarang Air Kuning) di Perak pada pilihan raya 1969. Allahyarham juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung DAP. Calon wanita Melayu DAP Zaharah Ibrahim juga pernah bertanding melawan Menteri Besar Perak Tan Sri Ghazali Jawi bagi Dun Kenering walau pun tewas. Antara nama-nama besar pemimpin Melayu DAP adalah Mohd Nor Jettey sebagai antara mereka yang terawal bersama parti, Daing Ibrahim Othman, Salleh Nakhoda, Fadzlan Yahya, Mohd Asri Othman, Ahmad Nor, Ahmad Ton, Tunku Abdul Aziz dan ramai lagi. Muhyiddin: DAP tak pernah memperjuangkan (hak) Melayu, malah hanya mempertikaikan (dasar membantu orang Melayu) Tanpa perlu menghurai panjang tuduhan-tuduhan seperti itu yang dimulakan sejak 1966 lagi, pendirian DAP ialah memperjuangkan hak semua kaum termasuk Melayu dan DAP hanya mempertikaikan dasar-dasar yang membantu pemimpin dan kroni-kroni UMNO. DAP tidak rela melihat Melayu (dan kaum-kaum lain) diperdaya oleh para pemimpin mereka yang sendiri yang meniupkan semboyan kaum tetapi membolot hak dan kekayaan untuk diri dan keluarga mereka sahaja. Secebis kenangan, Lim Guan Eng terpaksa merengkok di penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu yang didakwa dianiaya oleh seorang pemimpin UMNO. Adakah itu caranya UMNO memperjuangkan Melayu atau apa ertinya pengorbanan Guan Eng yang memilih landasan politik keadilan untuk semua kaum? Muhyiddin: DAP adalah sebuah parti perkauman berbanding parti-parti lain, “ada rekod dan sejarahnya, memang begitulah” DAP tidak memperjuangkan ketuanan kaum, DAP tidak berat sebelah pada mana-mana kaum dan DAP tidak mendiskriminasikan mana-mana kaum atau individu berasaskan warna kulit atau kepercayaan agama. Semuanya jelas dalam Perlembagaan DAP yang menjadi amalan politik setiap anggota parti. Dalam soal “sejarah”, penguasaan UMNO dan BN menyebabkan “sejarah” di negara ini ditulis mengikut kehendak kerajaan pusat, dan tiada ruang media bebas dibuka untuk perbincangan serius yang berasaskan fakta dan maklumat benar. Jika DAP adalah “parti perkauman”, bagaimana status dan amalan UMNO, MCA dan MIC yang jelas hanya mementingkan satu kaum sahaja, malah mengharamkan penyertaan ahli dari kaum-kaum lain. Muhyiddin: “…sejarah telah membuktikan bahawa DAP tidak pernah memperjuangkan nasib semua kaum berbanding Barisan Nasional yang telah lama memperjuangkannya Setiap rakyat prihatin ingin tahu di mana bukti-bukti sejarah dari semua pihak dan semua peringkat untuk membuktikan dakwaan yang dibuat secara sembarangan itu. Jika “sejarah” ditulis mengikut propaganda sendiri untuk memburukkan orang lain, maka itu tidak layak dijadikan bahan bukti. Dengan adanya negeri-negeri Pakatan sekarang, rakyat boleh menilai sendiri prestasi amalan cekap, telus dan akauntabel DAP bersama PAS dan PKR dalam pentadbiran bersih di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menjaga kebajikan semua kaum. Rakyat mampu menilai sama ada pentadbiran dan penjagaan kebajikan rakyat di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang itu adalah lebih baik, atau lebih buruk atau setara dengan Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak yang berada di bawah pemerintahan BN.
Posted by pondokmaya at 8:28:00 AM 0 comments
Labels: politics
Monday, May 23, 2011
DARI LIDAH PENGARANG ROKETKINI.COM
Beberapa blogger rasis serta akhbar Utusan Malaysia menyebarkan fitnah kononnya DAP terlibat dengan usaha (palsu) untuk untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia. Ada kalangan pihak berkuasa pula tanpa sebarang siasatan menerima bulat-bulat fitnah yang zalim lagi berbahaya itu. “Utusan mahu meletakkan 1Malaysia di atas api. Ia adalah elemen paling jahat dan bahaya di negara kita pada masa sekarang. Bagaimana satu pembohongan macam ini boleh tersiar di muka depan akhbar Utusan Malaysia? “Ini adalah permainan politik pihak-pihak yang sudah terdesak….mereka bersedia untuk melakukan apa sahaja,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyifatkan tuduhan liar itu sebagai satu pembohngan yang bahaya kepada negara. Apa yang cuba dibangkitkan oleh Utusan serta para blogger terbabit dan pihak-pihak tertentu dalam UMNO adalah kemarahan orang Melayu yang mereka rasakan mudah termakan fitnah ciptaan mereka. Utusan yang menyerang DAP setiap hari, sama ada melalui propaganda berbentuk berita atau rencana, terus mencari jalan untuk menghasut orang Melayu yang merupakan pembaca utama akhbar itu supaya membenci DAP yang berteraskan perjuangan menegakkan keadilan, demokrasi dan hak saksama. Matlamat Utusan yang disokong oleh kumpulan-kumpulan rasis di negara ini hanya satu sahaja – untuk memecahbelahkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Mereka cuba menimbulkan fitnah supaya para penyokong PAS dan PKR merasa curiga terhadap DAP yang dituduh sebagai rasis. Dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, DAP menang 12 kerusi bersama PKR yang mendapat tiga kerusi melalui undi popular yang mendadak naik di kalangan kaum Bumiputera Sarawak. Selain itu, wakil-wakil rakyat DAP termasuk di Pulau Pinang semakin mesra dan diterima baik kalangan orang Melayu dan Islam yang membuat kumpulan-kumpulan rasis pro-UMNO bimbang dengan masa depan politik perkauman mereka. Hanya dengan menuduh DAP rasis dan pro-kaum Cina menjadi senjata utama mereka kerana kebanyakan kumpukan itu masih bergantung kepada media arus perdana yang dimiliki UMNO untuk mneyebarkan fitnah sebagaimana yang biasa dilakukan pada zaman pra-internet. Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri seolah-olah merestui fitnah demi fitnah yang dilontarkan kerana beliau sendiri sudah terdesak untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN yang semakin ditolak oleh rakyat. Namun, walau dihambur fitnah, Pakatan Rakyat tidak mudah goyang. Para sahabat DAP tetap yakin dengan komitmen parti itu yang terang-terang menyokong penuh Perlembagaan Persekutuan 1957. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam kenyataannya melalui facebook menyatakan: “Saya ditanya oleh pihak media berkenaan laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada semalam kononnya usaha menjadikan Kristian agama rasmi negara. Saya katakan, lagikan MCA tidak percaya Utusan Malaysia, takkanlah saya mahu percaya?” Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menolak fitnah berkenaan dengan menjelaskan bahawa tuduhan (Utusan) yang bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah satu pemberitaan yang sangat tidak beramanah. Sebagaimana yang ditegaskan oleh para pemimpin Pakatan sebelum ini, kesemua parti komponennya berpegang teguh kepada usaha mempertahankan Perlembagaan Merdeka. Hadi sekali lagi menegaskan bahawa PAS tetap bersama rakan-rakannya dalam Pakatan untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan sentosa. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa Utusan sekali lagi bertindak melampui batas kerana terus menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan. Dalam kenyataan blognya, beliau berkata: “Jelaslah bahawa Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ianya hanya layak menyandang gelaran ‘Tabloid UMNO’ sesuai dengan kenyataan bahawa Parti tersebut merupakan pemegang saham sekaligus merupakan majikan mereka. Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanahair dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini.” Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok yang juga Exco Kanan Selangor amat kesal terhadap reaksi Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana menerima laporan palsu Utusan Malaysia tanpa menyoal dan mengesahkan kesahihan laporan tersebut terlebih dahulu. “Laporan tersebut berfitnah bahawa DAP dan para penganut agama Kristian berhasrat menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. “Laporan itu adalah palsu, tidak berasas dan berpandukan fitnah dua orang blogger pro-Umno yang mempunyai niat jahat mengapi-apikan perasaan takut, benci dan syak wasangka, terutamanya di kalangan penganut agama Islam terhadap penganut agama Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.
Posted by pondokmaya at 9:31:00 AM 0 comments
Labels: politics
Sunday, May 22, 2011
MUHYIDDIN MUDAH LUPA
Posted by pondokmaya at 5:09:00 PM 0 comments
Labels: politics
Friday, May 20, 2011
ZAHID DAN JENAYAH UGUT
Dari Merdeka Review Sekaligus, isu ini bakal mencetus persoalan ke manakah arah Malaysia apabila isu keselamatan "dipolitikkan". Dalam kata lain, bias-politik partisan yang menjerumus kita kepada diskriminasi tertentu dalam ruang-ruang tertentu membawa kepada persoalan: Adakah keselamatan rakyat samada berada dalam lingkung penguatkuasa mahupun di luar kurang terjamin? Ditambah pula dengan kes jenayah yang semakin membimbangkan saban hari sehingga menimbulkan tandatanya. Antaranya adalah kes kematian Ahmad Sharbani dan Teoh Beng Hock yang ketika itu dalam proses siasatan SPRM. Pada masa yang sama kita juga dikejutkan dengan laporan mangsa tembakan Polis terhadap Shahril Azlan Ahmad tahun lalu dan kes kematian Aminulrasyid yang juga ditembak Polis. Justeru, semua kecelakaan ini membawa kita kepada persoalan pokok; bagaimana undang-undang dilaksanakan dan apakah yang menyebabkan "kesilapan-kesilapan" ini berlaku? Mungkin, kita boleh letakkan sikap dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas sebagai perkara yang sangat mempengaruhi atau sebarang campur tangan politik-sentimen mampu menggugat pelaksanaan keadilan dengan baik? Hak Perlindungan: Rasional Zahid Hamidi? Kali ini kita akan menyentuh sedikit mengenai tugas dan tanggungjawab kerajaan dalam menjamin hak keselamatan bagi rakyat yang sememangnya termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (Kebebasan Asasi) yang menyatakan, "Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang." Di dalam negara ini, semua orang dilindungi undang-undang. Persoalannya, adakah undang-undang itu dilaksanakan dengan adil? Saya merujuk kepada kes Nurul Izzah yang menerima dua SMS ugutan untuk menculik anaknya dari individu yang tidak dikenali sekiranya terus menyokong ayahnya Anwar Ibrahim dan agar mendesak beliau bersara dari politik. Lalu, satu laporan Polis telahpun di buat dan pendakwaan boleh didasarkan kepada Seksyen 503, Seksyen 120A, dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan. Selaku Menteri Pertahanan, walaupun berada diluar bidang KDN yang mempunyai kuasa mengurus hal ehwal keselamatan dan kepolisan - apakah rasional Zahid Hamidi memandang remeh ugutan culik Nurul Izzah dengan menyifatkan dakwaan tersebut untuk "menarik simpati"? Ternyata, kenyataan Zahid bukan suatu yang wajar malah ia mencemar kredibiliti kerajaan amnya. Secara ringkas, isu yang melibatkan keselamatan nyawa yang dilindungi undang-undang telah diperkecilkan semata-mata atas kecenderungan politik tertentu dan bertentangan dengan prinsip luhur perlembagaan pada Perkara 5 (1) yang menyatakan, "Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang." Zahid perlu cermat ketika membuat sebarang kenyataan. Tanpa mengira batas politik. Kita sebagai warga yang prihatin harus bersimpati dengan apa yang menimpa Nurul Izzah apatah lagi, beliau seorang Ahli Parlimen yang diberi majoriti oleh rakyat. Kecekapan Polis: Jangan ada prejudis Mari kita ambil contoh kecekapan Polis dalam menyelesaikan kes ugutan bunuh yang melibatkan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz pada Mei 2010. Tanpa sebarang prejudis dan campur tangan politik, pihak Polis telah berjaya menahan suspek seorang Pemuda UMNO bernama Mohd Safuan Hilmi di Butterworth Pulau Pinang. Sebagai seorang menteri, Zahid seharusnya bersikap profesional dan terbuka dan menggesa pihak terlibat agar siasatan dilaksanakan sebaik mungkin. Kita tidak mahu kenyataan Menteri Pertahanan ini akan mempengaruhi proses penyiasatan Polis terhadap kes ini. Malah siapapun yang menerima ugutan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang cepat dan adil dalam menjalankan siasatan terhadap laporan yang telah dibuat. Pada masa yang sama, kita juga ingin mengetahui apakah yang akan berlaku sekiranya isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menerima ugutan sepertimana yang diterima oleh Nurul Izzah? Zahid Hamidi, Amir Bazli dan Nurul Izzah Walau apapun tanggapan anda, secara peribadi, saya sinikal dengan kenyataan Zahid tersebut berdasarkan rekod lampau beliau sekitar tahun 2006 melibatkan kejadian yang pernah berlaku kepada seorang pemuda bernama Amir Bazli Abdullah yang mendakwa beliau telah dipukul oleh orang-orang suruhan (samseng) Zahid Hamidi sehingga menyebabkan kecederan dan mengakibatkan kecacatan kekal. Isu ini telah pun mendapat liputan media pada ketika itu. Hal ini didakwa berlaku semata-mata disebabkan Zahid Hamidi tidak merestui perhubungan anaknya Nurulhidayah dengan pemuda tersebut. Laporan telah dibuat pada 20 Disember 2006, malah untuk mendapat pembelaan yang adil terhadap dirinya, Amir Bazli Abdullah turut menghantar laporan ini kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Musa Hassan, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi dan DYMM Sultan Perak. Beliau juga turut memohon Ketua Unit Pendakwaan Selangor untuk mengetahui perkembangan laporan. Biarpun kejadian pukul ini berlaku pada tahun 2006, ia masih belum selesai. Walau bagaimanapun, sehingga April 2010 yang lalu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan tersebut untuk membatalkan saman malu yang difailkan Ahmad Bazli. Amir Bazli masih menantikan pembelaan yang wajar dan adil dari pihak berkuasa, Zahid Hamidi, orang yang telah didakwa terlibat dalam jenayah "gangterisme"; dari seorang yang memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, kini telahpun memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan Malaysia sekaligus menyebabkan kita tertanya-tanya; apakah yag menyebabkan kes ini tidak lagi selesai dan memakan masa yang terlalu lama? Mungkinkah berlaku campur tangan politik dalam kes ini? Dan paling menarik untuk difikirkan bersama- apakah wajar Zahid Hamidi dilantik sebagai Menteri Pertahanan sedangkan beliau punya kes yang sangat kuat untuk tidak dilantik ke jawatan tersebut - gangterisme yang mengancam nyawa rakyat Malysia? Kembali kepada kes ugutan yang melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah. Rakyat akan menunggu, melihat dan terus menilai integriti pihak Polis dalam melaksanakan siasatan dan tanggungjawab mereka. Kita juga menantikan apakah akan ada tindakan tegas dan adil dari pihak Polis terhadap ugutan yang diterima Nurul Izzah atau berjaya dipengaruhi sentimen Zahid? Kita harap kes ini tidak dibakul sampahkan hanya kerana dianggap bahawa ianya adalah mainan politik PKR. Oleh Hafiz Zainuddin
Posted by pondokmaya at 12:35:00 PM 0 comments
Tuesday, May 10, 2011
UTUSAN ANCAM KESELAMATAN NEGARA
Dari Merdeka Review Nikmat keamanan yang dikecapi oleh lebih 27 juta rakyat Malaysia sekali lagi diancam oleh akhbar Utusan Malaysia! Dari isu kuil, kepala lembu, bakar gereja, sehinggalah isu "Kristian sebagai agama rasmi". Nasib kita dan Malaysia terus diperjudikan oleh kelompok terdesak yang suka memanipulasi isu agama dan bangsa sehingga dikhuatiri mampu menimbulkan kekacauan. Malangnya, mereka nampaknya kelihatan kebal dari sebarang peruntukan undang-undang; Akta Hasutan contohnya. Apakah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan terus membiarkan Utusan Malaysia melakukan apa sahaja yang mengancam keselamatan negara? Isu Kristian sebagai agama rasmi ini dilihat akan menjadi polemik berpanjangan, manakala sebahagian golongan rakyat yang tertipu akan terus memperbincangkan isu ini walhal ia tidak pernah wujud sama sekali! Selagi pihak yang mendakwa tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh - rakaman video mahupun audio - kita boleh meletakkan isu ini sebagai isu fitnah - tidak benar - palsu! Malah; dakwaan Utusan ini telahpun disangkal sekeras-kerasnya oleh DAP mahupun Persekutuan Kristian Malaysia. Isu ini seharusnya tidak perlu diperpanjangkan malah kerajaan harus bertindak cepat dan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab. Rentetan dari isu ini, ia secara tidak langsung dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Lynas mahupun kenaikan harga RON 97, begitu juga dengan isu kenaikan harga gula di pasaran. Semakin hari, gagasan 1Malaysia telah dibogelkan oleh kelompok mereka sendiri. Kebenaran makin terserlah. 1Malaysia telah terbukti sebagai gagasan kosmetik. Utusan Malaysia telah lama hilang integriti. Dakwaan blogger yang telah disensasikan Utusan Malaysia menggambarkan DAP sebagai sebuah parti chauvinis Cina yang berbahaya untuk negara dan umat Islam walhal DAP semakin diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu dan ini amat menggusarkan UMNO. Saya percaya isu yang ditimbulkan ini semata-mata bertujuan politik. Ia mengimbau kembali bagaimana almarhum Gus Dur, mantan Presiden Indonesia didakwa telah dibaptiskan oleh sekumpulan paderi semasa majlis National Prayer Conference pada tahun 2003 walhal beliau cuma didoakan kesihatannya. Perkara ini telah mendapat liputan meluas media massa dan menjadi kontroversi. Lantas, sekali lagi polemik Islam - Kristian timbul manakala Abu Bakar Al-Basyir pula menyifatkan Gus Dur telahpun murtad. Berbalik semula ke Malaysia; walaupun isu Gus Dur berbeza, saya cuba menjelaskan bagaimana sebarang isu agama begitu mudah untuk dieksploitasi. Lebih-lebih lagi di Malaysia yang rakyatnya ditadbir dengan konsep pecah dan perintah acuan British. Akan dakwaan jahat ini; sekali lagi umat Kristian secara langsung telah diletakkan dalam keadaan tidak selesa. Isu ini seolah-olah "menggambarkan" agama Kristian yang telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahu lalu sebagai sebuah ancaman kepada negara. Siapa sebenarnya ancaman kepada negara selama ini? Utusan Malaysia harus bertanggungjawab kerana dilihat seolah cuba menimbulkan kebencian antara umat Islam dan umat Kritian. Rasanya rakyat Malaysia masih matang untuk menilai lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai akses kepada media alternatif. Walau bagaimanapun, kita bimbang; isu "Kristian sebagai agama rasmi" ini walaupun sebuah dakwaan palsu, ia akan mewujudkan kelompok-kelompok ekstrem fasis agama yang akan mengancam keselamatan nyawa rakyat dan negara. Apakah ancaman-ancaman ini sesuatu yang diimpikan oleh Utusan Malaysia dan UMNO? Dan sekiranya ia berlaku, apakah UMNO akan bertanggungjawab? Dan siapakah yang akan mendapat keuntungan dari perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku? Justeru, kita mempersoalkan di mana pihak berkuasa untuk menangani masalah ini. Bukankah ada akta-akta tertentu untuk membendung isu sebegini? Sebagai sebuah masyarakat yang semakin terdidik mengenai hak dan demokrasi. Kita semestinya perlu menyokong hak kebebasan bermaklumat. Kita juga harus bersetuju dengan sebarang pendedahan isu maupun pembongkaran terhadap sebarang salahguna wang negara mahupun salah guna kuasa pemimpin. Walau bagaimanapun, kita harus sedar akan bahaya bentuk eksploitasi dari isu agama mahupun isu bangsa. Media harus memainkan peranan mereka agar isu sebegini tidak lagi timbul. Akan tetapi, apakah media negara ini mempunyai kebebasan untuk menghalang sebarang rancangan jahat kelompok tertentu? Dakwaan seperti yang terkandung dalam blog bigdog dan Utusan Malaysia itu adalah sebuah ancaman yang bahaya dan melampau. Rakyat harus meletakkan diri mereka di suatu sudut selamat agar tidak mudah termakan dengan propaganda terdesak sebegini pada masa yang sama harus bersatu dalam mewujudkan sebuah Malaysia baru yang lebih aman dan matang. Oleh Hafiz Zainuddin
Posted by pondokmaya at 8:59:00 PM 0 comments
MUNAJAT RAKYAT DAN CERAMAH DI MPS
ii) Tn Hj. Mohd. Azmi bin Abd. Hamid
iii) Tuan Guru Hj. Nik Abd. Aziz Nik Mat
iv) Anwar bi Ibrahim (Ketua Umum Keadilan)
v) Dr Sheikh Wahbah Mustaffa Al-Zuhaily
Posted by pondokmaya at 12:59:00 PM 0 comments
Labels: misc
2020 = 20 SEN 20 SEN
Posted by pondokmaya at 11:26:00 AM 0 comments
Labels: economy
DSAI DAN KELUARGA TERANCAM
Pemandu peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama 28 tahun, Sdr Abdullah Sani bin Haji Said akan membuat satu laporan polis di Balai Polis di Merchant Square( bersebelahan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square) pada jam 3.30 petang, hari Selasa, 10hb Mei 2011. Beliau membuat laporan itu kerana mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan untuk membawa Dato’ Seri Anwar dan keluarga. Malah satu kemalangan telahpun berlaku pada 19 hb April 2011 yang lalu. Pohon pihak media hadir membuat liputan. Kerjasama pihak anda amatlah dihargai. Terima kasih.
Posted by pondokmaya at 11:21:00 AM 0 comments
Labels: crime
Monday, May 9, 2011
UMNO MAIN API - LGE
Kenyataan media oleh YAB Lim Guan Eng, Setiausah Agung DAP Demonstrasi yang terinspirasi oleh UMNO di Butterworth menunjukkan permainan politik bahaya UMNO yang bukan sahaja menentang pembukaan jalan alternatif bebas tol, malah bermain dengan api menerusi pembohongan bahawa DAP ingin menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian, semuanya untuk meraih sokongan kaum Melayu tidak kira apa kosnya. Demonstrasi yang terinspirasi oleh UMNO di kawasan parlimen saya, Bagan (Butterworth) semalam menunjukkan permainan politik bahaya UMNO yang bukan sahaja menentang pembukaan jalan alternatif bebas tol yang harganya kurang daripada RM2.5juta. Lebih membahayakan keharmonian kaum dan agama di negara ini adalah demonstrasi yang terinspirasi oleh UMNO ini menyebar kata-kata bohong secara terang-terangan dengan menuduh DAP berhasrat untuk membentuk negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian untuk mengutuk diri saya. Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi pihak UMNO untuk bermain api dengan menyebarkan pembohongan melalui surat khabarnya Utusan Malaysia semata-mata ingin meraih sokongan kaum Melayu walau apa cara sekalipun. Ramai pemimpin di kalangan komuniti agama Kristian turut melahirkan kekecewaan atas penipuan bersifat provokasi ini dan menafi dengan sekeras-kerasnya bahawa wujud kumpulan paderi Kristian yang bekerjasama dengan DAP untuk membentuk sebuah negara Kristian dengan Perdana Menteri yang beragama Kristian. Kegagalan menghentikan akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia daripada meneruskan kempen pembohongannya, kerajaan BN sekali lagi menghasut kebencian terhadap komuniti minoriti Kristian. DAP amat khuatir bahawa kempen benci yang dilancarkan terhadap orang beragama Kristian oleh Utusan Malaysia ini tidak akan berhenti setakat serangan lisan sahaja. Kerajaan BN perlu menanggung sepenuhnya tanggungjawab terhadap sebarang akibat yang tidak diingini yang berlaku pada komuniti Kristian di Malaysia berikutan dengan kempen bohong dan benci oleh Utusan ini. DAP telah mengulangi pendirian parti kami yang menyokong Perlembagaan Persekutuan di mana Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. DAP menentang sebarang cubaan untuk membentuk negara teokratis yang berdasarkan mana-mana agama. Bahkan dasar menyokong kedudukan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah juga termaktub dalam perlembagaan parti DAP. DAP merasa kesal bahawa Perdana Menteri, Najib Razak telah menyeru semua pihak supaya bertenang dan berjanji akan menyiasat dakwaan yang berkenaan tanpa menyatakan apakah tindakan yang akan diambil terhadap Utusan Malaysia sekiranya didapati ianya mencetak berita palsu. Jelas sekali, kerajaan BN bukan sahaja gagal untuk menghalang Utusan Malaysia daripada terus membuat serangan tidak berasas, malah telah memberikan galakan kepada Utusan dengan berjanji untuk mengambil tindakan terhadap paderi Kristian dan DAP jika terbukti beritanya benar. Mengapa kerajaan BN tidak berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap Utusan Malaysia sekiranya akhbar berkenaan dibuktikan menyiarkan berita palsu? Double-standard seperti ini daripada barisan pemimpin BN menimbulkan kecurigaan bahawa Utusan menikmati kekebalan sebagai akhbar milik UMNO yang dibenarkan untuk menyebarkan pembohongan bahaya dan melancarkan kempen benci terhadap kaum minoriti Kristian yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri mereka. Dalam demonstrasi terhadap saya semalam, UMNO memang berhak untuk menentang pembinaan jalan alternatif tanpa tol yang dibuka semalam di Jalan Bagan 29 Jalan Siram yang memakan kos kurang daripada anggaran awal iaitu RM5 juta. Melalui kerajaan Pakatan Rakyat yang melaksanakan sistem tender terbuka, kos pembinaan telah berjaya dikurangkan kepada RM3.3 juta. Kontraktor yang mengendalikan projek tersebut merupakan kontraktor Melayu yang telah berjaya mengurangkan kos jauh lebih rendah iaitu RM800,000 menjadikan kos akhir hanya RM2.5 juta. Semua ini telah dilakukan melalui pengawasan rapi daripada EXCO Kerajaan Pulau Pinang, Lim Hock Seng. Ini adalah kes yang klasik di mana kos projek di bawah pengawasan Kerajaan Negeri dapat dikurangkan sehingga lebih rendah dari kos yang ditender, sesuatu yang tidak akan berlaku di negeri BN. Lebih-lebih lagi, kontraktor yang berjaya melakukan kerja dengan baik adalah kontraktor Melayu, sekali lagi membuktikan bahawa bukan sahaja kontraktor Melayu boleh bersaing di bawah sistem tender terbuka tetapi kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang juga turut memberi majoriti projek kita kepada kontraktor Melayu. Sangat menyedihkan apabila UMNO sanggup menentang jalan alternatif percuma tetapi tidak pula mengadakan demonstrasi menentang jalan yang dikenakan tol. Ini adalah perbezaan penting ketara di antara BN dan PR. BN hendak membuat jalan bertol untuk mengaut duit daripada rakyat tanpa menyediakan jalan alternatif percuma lain. PR pula menyediakan jalan alternatif tanpa tol. BN dan UMNO mempunyai hak untuk membantah dan menentang kerajaan PR Pulau Pinang di atas pembinaan jalan alternatif tanpa tol di Jalan Bagan (Butterwrorth). Ini ternyata terdapat perbezaan prinsip dan Polisi Pembangunan Kebangsaan antara BN dan PR. Walau bagaimanapun, tiada seorang pun yang berhak melancarkan suatu kempen berdasarkan pembohongan dan UMNO tidak berhak untuk membantah sesuatu perkara yang tidak benar. Kalau tidak, sampai bilakah semua ini akan berakhir? Jika negara kita dibina atas pembohongan, maka ianya semestinya akan binasa. Rakyat Malaysia tanpa kita kaum dan agama harus berdiri bersama-sama menentang UMNO dan Utusan Malaysia yang sengaja bermain api dan bersedia untuk membakar 1 Malaysia dengan agenda perkauman 1Melayu/1Bumi, 1Cina oleh MCA ataupun 1India oleh MIC.
Posted by pondokmaya at 6:09:00 PM 0 comments
Labels: politics
ISU KRISTIAN - KENYATAAN BERSAMA
Yang berikut adalah kenyataan bersama: 1. DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah meminta paderi- paderi Kristian berdoa meminta Tuhan untuk campur tangan dalam usaha untuk membentuk Malaysia sebagai negara Kristian ataupun mempunyai Perdana Menteri Kristian. 2. Paderi Kristian dan pihak Gereja selalunya berdoa agar diberi keberkatan kepada negara, keamanan dan kehidupan yang lebih baik, penyatuan dan keharmonian di antara semua bangsa dan kepimpinan yang jujur dan adil. 3. Pihak paderi dan gereja dibelenggu kekecewaan berikutan dakwaan penipuan tersebut yang dilaporkan di media massa. Kami dengan tulus mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysiayang mencetak dan menyebarkan pembohongan berbahaya seperti yang telah menganggu keharmonian kepelbagaian agama daripada pelbagai masyarakat, mencetuskan rasa takut dan gelisah di kalangan rakyat Malaysia terutama di kalangan penganut Kristian. 4. Kami melahirkan keprihatinan bahawa Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan yang sungguh bahaya yang boleh menyebabkan kebencian diwujudkan terhadap penganut agama Kristian dan juga membolehkan perasaan kebencian diwujudkan terhadap penganut agama Kristian yang boleh menyebabkan implikasi- implikasi yang tidak diingini. 5. Ketua Menteri Pulau Pinang akan terus mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Kristian, Ketua Paderi ataupun Paderi seperti mana perjumpaan yang dilakukan terhadap ulama- ulama Islam, sami- sami Buddha atau Hindu selaras dengan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. 6. Kenyataan bersama ini dibuat bersama Christian Federation of Malaysia (CFM) yang dianggotai oleh:
a)Roman Catholic Church
b)Council of Churches of Malaysia (CCM)
c) National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia
d)Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
Posted by pondokmaya at 5:56:00 PM 0 comments


