Pemimpin-pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang. Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat. “Isu ucapan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu, isu bendera (Jalur Gemilang), isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang. “Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalih perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini. Beliau juga menggariskan terdapat banyak isu lain iaitu warga asing diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-13, undang-undang baru bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). “Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” katanya. Selepas isu membabitkan Mohamad yang dikenakan tuduhan di mahkamah baru-baru ini, sejak kelmarin PAS diselubungi kontroversi berkaitan hukum hudud. Ia turut mengheret sekali DAP. Kata Tuan Ibrahim, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka. Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini. “Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya Pakatan Rakyat terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit,” kata beliau. Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum. Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang. “Ia (Pakatan) seharusnya berupaya untuk kekal fokus dengan isu-isu, ia akan membantu kami keluar daripada serangan dan menghadapi pilihan raya... kita ada tugas penting untuk memenuhi pengharapan rakyat sekarang... menghadapi pilihan raya umum dan menang,” kata beliau sambil menyifatkan dua isu yang dilihat akademik iaitu negara Islam dan hukum hudud boleh dibincangkan kemudian. “Kita tidak wajar berdebat atau membincangkan isu-isu bersifat akademik ini pada waktu genting menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya. “Kita tahu apa yang difikirkan oleh musuh-musuh kami, jadi mereka akan menggunakan isu seperti ini, hudud dan negara Islam untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah, “isunya bukan sangat menguasai kerajaan pusat, tetapi lebih daripada itu ialah mewujudkan sistem dua parti di negara ini... untuk itu kita kena kekal kukuh dan mantap dalam Pakatan.” Dengan turut merujuk kepada pendirian PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno tahun lalu, wakil rakyat penggal pertama ini berharap kepimpinan perikatan dengan segera menyelesaikan isu terbaru ini. “Malah isu ini telah disentuh oleh (Pengerusi DAP) Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan tahun lalu dan semuanya berjalan lancar, dan tiba-tiba menjadi isu semula sekarang,” katanya agak kecewa dengan perkembangan semasa. Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan isu ini akan dibangkitkan semula, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata: “Saya memang sudah menjangkakan isu ini (hudud) akan berkembang jadi rumit macam hari ini.” “Sebab itu, saya memaklumkan Setiausaha Agung (PAS, Datuk Mustafa Ali) dan mengadakan satu sidang media semalam,” kata beliau, yang sidang media semalam mendakwa kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Tanjong Malim kelmarin bertujuan menggugat kedudukan Pakatan Rakyat. Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu. Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam. Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu. Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia. Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Tengah hari semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat. Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.
Friday, September 23, 2011
HUDUD : JERAT UMNO
Posted by pondokmaya at 12:20:00 PM 0 comments
Wednesday, September 21, 2011
LEBIH KEJAM DARI ISA?
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001. Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”.
Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan. Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.
Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.
Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.
Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.
Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.
Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.
Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998.
Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.
Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.
Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.
Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.
Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat.
Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.
Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Malaysia
Posted by pondokmaya at 2:11:00 PM 0 comments
Labels: law
Friday, May 20, 2011
ZAHID DAN JENAYAH UGUT
Dari Merdeka Review Sekaligus, isu ini bakal mencetus persoalan ke manakah arah Malaysia apabila isu keselamatan "dipolitikkan". Dalam kata lain, bias-politik partisan yang menjerumus kita kepada diskriminasi tertentu dalam ruang-ruang tertentu membawa kepada persoalan: Adakah keselamatan rakyat samada berada dalam lingkung penguatkuasa mahupun di luar kurang terjamin? Ditambah pula dengan kes jenayah yang semakin membimbangkan saban hari sehingga menimbulkan tandatanya. Antaranya adalah kes kematian Ahmad Sharbani dan Teoh Beng Hock yang ketika itu dalam proses siasatan SPRM. Pada masa yang sama kita juga dikejutkan dengan laporan mangsa tembakan Polis terhadap Shahril Azlan Ahmad tahun lalu dan kes kematian Aminulrasyid yang juga ditembak Polis. Justeru, semua kecelakaan ini membawa kita kepada persoalan pokok; bagaimana undang-undang dilaksanakan dan apakah yang menyebabkan "kesilapan-kesilapan" ini berlaku? Mungkin, kita boleh letakkan sikap dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas sebagai perkara yang sangat mempengaruhi atau sebarang campur tangan politik-sentimen mampu menggugat pelaksanaan keadilan dengan baik? Hak Perlindungan: Rasional Zahid Hamidi? Kali ini kita akan menyentuh sedikit mengenai tugas dan tanggungjawab kerajaan dalam menjamin hak keselamatan bagi rakyat yang sememangnya termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (Kebebasan Asasi) yang menyatakan, "Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang." Di dalam negara ini, semua orang dilindungi undang-undang. Persoalannya, adakah undang-undang itu dilaksanakan dengan adil? Saya merujuk kepada kes Nurul Izzah yang menerima dua SMS ugutan untuk menculik anaknya dari individu yang tidak dikenali sekiranya terus menyokong ayahnya Anwar Ibrahim dan agar mendesak beliau bersara dari politik. Lalu, satu laporan Polis telahpun di buat dan pendakwaan boleh didasarkan kepada Seksyen 503, Seksyen 120A, dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan. Selaku Menteri Pertahanan, walaupun berada diluar bidang KDN yang mempunyai kuasa mengurus hal ehwal keselamatan dan kepolisan - apakah rasional Zahid Hamidi memandang remeh ugutan culik Nurul Izzah dengan menyifatkan dakwaan tersebut untuk "menarik simpati"? Ternyata, kenyataan Zahid bukan suatu yang wajar malah ia mencemar kredibiliti kerajaan amnya. Secara ringkas, isu yang melibatkan keselamatan nyawa yang dilindungi undang-undang telah diperkecilkan semata-mata atas kecenderungan politik tertentu dan bertentangan dengan prinsip luhur perlembagaan pada Perkara 5 (1) yang menyatakan, "Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang." Zahid perlu cermat ketika membuat sebarang kenyataan. Tanpa mengira batas politik. Kita sebagai warga yang prihatin harus bersimpati dengan apa yang menimpa Nurul Izzah apatah lagi, beliau seorang Ahli Parlimen yang diberi majoriti oleh rakyat. Kecekapan Polis: Jangan ada prejudis Mari kita ambil contoh kecekapan Polis dalam menyelesaikan kes ugutan bunuh yang melibatkan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz pada Mei 2010. Tanpa sebarang prejudis dan campur tangan politik, pihak Polis telah berjaya menahan suspek seorang Pemuda UMNO bernama Mohd Safuan Hilmi di Butterworth Pulau Pinang. Sebagai seorang menteri, Zahid seharusnya bersikap profesional dan terbuka dan menggesa pihak terlibat agar siasatan dilaksanakan sebaik mungkin. Kita tidak mahu kenyataan Menteri Pertahanan ini akan mempengaruhi proses penyiasatan Polis terhadap kes ini. Malah siapapun yang menerima ugutan sedemikian, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang cepat dan adil dalam menjalankan siasatan terhadap laporan yang telah dibuat. Pada masa yang sama, kita juga ingin mengetahui apakah yang akan berlaku sekiranya isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menerima ugutan sepertimana yang diterima oleh Nurul Izzah? Zahid Hamidi, Amir Bazli dan Nurul Izzah Walau apapun tanggapan anda, secara peribadi, saya sinikal dengan kenyataan Zahid tersebut berdasarkan rekod lampau beliau sekitar tahun 2006 melibatkan kejadian yang pernah berlaku kepada seorang pemuda bernama Amir Bazli Abdullah yang mendakwa beliau telah dipukul oleh orang-orang suruhan (samseng) Zahid Hamidi sehingga menyebabkan kecederan dan mengakibatkan kecacatan kekal. Isu ini telah pun mendapat liputan media pada ketika itu. Hal ini didakwa berlaku semata-mata disebabkan Zahid Hamidi tidak merestui perhubungan anaknya Nurulhidayah dengan pemuda tersebut. Laporan telah dibuat pada 20 Disember 2006, malah untuk mendapat pembelaan yang adil terhadap dirinya, Amir Bazli Abdullah turut menghantar laporan ini kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Musa Hassan, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi dan DYMM Sultan Perak. Beliau juga turut memohon Ketua Unit Pendakwaan Selangor untuk mengetahui perkembangan laporan. Biarpun kejadian pukul ini berlaku pada tahun 2006, ia masih belum selesai. Walau bagaimanapun, sehingga April 2010 yang lalu, Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan tersebut untuk membatalkan saman malu yang difailkan Ahmad Bazli. Amir Bazli masih menantikan pembelaan yang wajar dan adil dari pihak berkuasa, Zahid Hamidi, orang yang telah didakwa terlibat dalam jenayah "gangterisme"; dari seorang yang memegang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, kini telahpun memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan Malaysia sekaligus menyebabkan kita tertanya-tanya; apakah yag menyebabkan kes ini tidak lagi selesai dan memakan masa yang terlalu lama? Mungkinkah berlaku campur tangan politik dalam kes ini? Dan paling menarik untuk difikirkan bersama- apakah wajar Zahid Hamidi dilantik sebagai Menteri Pertahanan sedangkan beliau punya kes yang sangat kuat untuk tidak dilantik ke jawatan tersebut - gangterisme yang mengancam nyawa rakyat Malysia? Kembali kepada kes ugutan yang melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah. Rakyat akan menunggu, melihat dan terus menilai integriti pihak Polis dalam melaksanakan siasatan dan tanggungjawab mereka. Kita juga menantikan apakah akan ada tindakan tegas dan adil dari pihak Polis terhadap ugutan yang diterima Nurul Izzah atau berjaya dipengaruhi sentimen Zahid? Kita harap kes ini tidak dibakul sampahkan hanya kerana dianggap bahawa ianya adalah mainan politik PKR. Oleh Hafiz Zainuddin
Posted by pondokmaya at 12:35:00 PM 0 comments
Tuesday, May 10, 2011
UTUSAN ANCAM KESELAMATAN NEGARA
Dari Merdeka Review Nikmat keamanan yang dikecapi oleh lebih 27 juta rakyat Malaysia sekali lagi diancam oleh akhbar Utusan Malaysia! Dari isu kuil, kepala lembu, bakar gereja, sehinggalah isu "Kristian sebagai agama rasmi". Nasib kita dan Malaysia terus diperjudikan oleh kelompok terdesak yang suka memanipulasi isu agama dan bangsa sehingga dikhuatiri mampu menimbulkan kekacauan. Malangnya, mereka nampaknya kelihatan kebal dari sebarang peruntukan undang-undang; Akta Hasutan contohnya. Apakah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan terus membiarkan Utusan Malaysia melakukan apa sahaja yang mengancam keselamatan negara? Isu Kristian sebagai agama rasmi ini dilihat akan menjadi polemik berpanjangan, manakala sebahagian golongan rakyat yang tertipu akan terus memperbincangkan isu ini walhal ia tidak pernah wujud sama sekali! Selagi pihak yang mendakwa tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh - rakaman video mahupun audio - kita boleh meletakkan isu ini sebagai isu fitnah - tidak benar - palsu! Malah; dakwaan Utusan ini telahpun disangkal sekeras-kerasnya oleh DAP mahupun Persekutuan Kristian Malaysia. Isu ini seharusnya tidak perlu diperpanjangkan malah kerajaan harus bertindak cepat dan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab. Rentetan dari isu ini, ia secara tidak langsung dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Lynas mahupun kenaikan harga RON 97, begitu juga dengan isu kenaikan harga gula di pasaran. Semakin hari, gagasan 1Malaysia telah dibogelkan oleh kelompok mereka sendiri. Kebenaran makin terserlah. 1Malaysia telah terbukti sebagai gagasan kosmetik. Utusan Malaysia telah lama hilang integriti. Dakwaan blogger yang telah disensasikan Utusan Malaysia menggambarkan DAP sebagai sebuah parti chauvinis Cina yang berbahaya untuk negara dan umat Islam walhal DAP semakin diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu dan ini amat menggusarkan UMNO. Saya percaya isu yang ditimbulkan ini semata-mata bertujuan politik. Ia mengimbau kembali bagaimana almarhum Gus Dur, mantan Presiden Indonesia didakwa telah dibaptiskan oleh sekumpulan paderi semasa majlis National Prayer Conference pada tahun 2003 walhal beliau cuma didoakan kesihatannya. Perkara ini telah mendapat liputan meluas media massa dan menjadi kontroversi. Lantas, sekali lagi polemik Islam - Kristian timbul manakala Abu Bakar Al-Basyir pula menyifatkan Gus Dur telahpun murtad. Berbalik semula ke Malaysia; walaupun isu Gus Dur berbeza, saya cuba menjelaskan bagaimana sebarang isu agama begitu mudah untuk dieksploitasi. Lebih-lebih lagi di Malaysia yang rakyatnya ditadbir dengan konsep pecah dan perintah acuan British. Akan dakwaan jahat ini; sekali lagi umat Kristian secara langsung telah diletakkan dalam keadaan tidak selesa. Isu ini seolah-olah "menggambarkan" agama Kristian yang telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahu lalu sebagai sebuah ancaman kepada negara. Siapa sebenarnya ancaman kepada negara selama ini? Utusan Malaysia harus bertanggungjawab kerana dilihat seolah cuba menimbulkan kebencian antara umat Islam dan umat Kritian. Rasanya rakyat Malaysia masih matang untuk menilai lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai akses kepada media alternatif. Walau bagaimanapun, kita bimbang; isu "Kristian sebagai agama rasmi" ini walaupun sebuah dakwaan palsu, ia akan mewujudkan kelompok-kelompok ekstrem fasis agama yang akan mengancam keselamatan nyawa rakyat dan negara. Apakah ancaman-ancaman ini sesuatu yang diimpikan oleh Utusan Malaysia dan UMNO? Dan sekiranya ia berlaku, apakah UMNO akan bertanggungjawab? Dan siapakah yang akan mendapat keuntungan dari perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku? Justeru, kita mempersoalkan di mana pihak berkuasa untuk menangani masalah ini. Bukankah ada akta-akta tertentu untuk membendung isu sebegini? Sebagai sebuah masyarakat yang semakin terdidik mengenai hak dan demokrasi. Kita semestinya perlu menyokong hak kebebasan bermaklumat. Kita juga harus bersetuju dengan sebarang pendedahan isu maupun pembongkaran terhadap sebarang salahguna wang negara mahupun salah guna kuasa pemimpin. Walau bagaimanapun, kita harus sedar akan bahaya bentuk eksploitasi dari isu agama mahupun isu bangsa. Media harus memainkan peranan mereka agar isu sebegini tidak lagi timbul. Akan tetapi, apakah media negara ini mempunyai kebebasan untuk menghalang sebarang rancangan jahat kelompok tertentu? Dakwaan seperti yang terkandung dalam blog bigdog dan Utusan Malaysia itu adalah sebuah ancaman yang bahaya dan melampau. Rakyat harus meletakkan diri mereka di suatu sudut selamat agar tidak mudah termakan dengan propaganda terdesak sebegini pada masa yang sama harus bersatu dalam mewujudkan sebuah Malaysia baru yang lebih aman dan matang. Oleh Hafiz Zainuddin
Posted by pondokmaya at 8:59:00 PM 0 comments
Monday, May 9, 2011
ISU KRISTIAN - KENYATAAN BERSAMA
Yang berikut adalah kenyataan bersama: 1. DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah meminta paderi- paderi Kristian berdoa meminta Tuhan untuk campur tangan dalam usaha untuk membentuk Malaysia sebagai negara Kristian ataupun mempunyai Perdana Menteri Kristian. 2. Paderi Kristian dan pihak Gereja selalunya berdoa agar diberi keberkatan kepada negara, keamanan dan kehidupan yang lebih baik, penyatuan dan keharmonian di antara semua bangsa dan kepimpinan yang jujur dan adil. 3. Pihak paderi dan gereja dibelenggu kekecewaan berikutan dakwaan penipuan tersebut yang dilaporkan di media massa. Kami dengan tulus mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysiayang mencetak dan menyebarkan pembohongan berbahaya seperti yang telah menganggu keharmonian kepelbagaian agama daripada pelbagai masyarakat, mencetuskan rasa takut dan gelisah di kalangan rakyat Malaysia terutama di kalangan penganut Kristian. 4. Kami melahirkan keprihatinan bahawa Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan yang sungguh bahaya yang boleh menyebabkan kebencian diwujudkan terhadap penganut agama Kristian dan juga membolehkan perasaan kebencian diwujudkan terhadap penganut agama Kristian yang boleh menyebabkan implikasi- implikasi yang tidak diingini. 5. Ketua Menteri Pulau Pinang akan terus mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Kristian, Ketua Paderi ataupun Paderi seperti mana perjumpaan yang dilakukan terhadap ulama- ulama Islam, sami- sami Buddha atau Hindu selaras dengan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. 6. Kenyataan bersama ini dibuat bersama Christian Federation of Malaysia (CFM) yang dianggotai oleh:
a)Roman Catholic Church
b)Council of Churches of Malaysia (CCM)
c) National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia
d)Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
Posted by pondokmaya at 5:56:00 PM 0 comments
Tuesday, April 26, 2011
POLIS TIDAK MENYOROK LAGI
Kenyataan Media JK Kempen Anti Saman Ekor Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya. Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas. Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya. Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik. KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah. Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar. Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar. Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar? Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu? Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira. Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul. KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011. Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju? Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti. Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis. Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan. Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat. DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
Posted by pondokmaya at 12:48:00 PM 0 comments
Labels: law
Sunday, April 10, 2011
AMK KOMITED PRINSIP PERANGI RASUAH

Kenyataan Media Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
AMK percaya bahawa tragedi seperti ini adalah akibat daripada kepincangan sistem yang dibentuk di dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat daripada campur tangan politik Perdana Menteri seperti yang termaktub di dalam Akta SPRM 2009.
Justeru itu, penambahbaikan kepada sistem yang diguna pakai oleh SPRM harus dilaksanakan segera kerana imej institusi itu telah tercalar teruk bukan sahaja di mata rakyat Malayia, malah seluruh dunia.
Dalam aspek ini adalah baik jika Malaysia dapat mencontohi negara yang mempunyai sistem yang baik dalam menangani rasuah seperti Independent Commission Agains Corruption (Hong Kong) dan Singapore Corrupt Practice Investigation Bureau(Singapore).
Kuasa mutlak yang diberikan kepada SPRM melalui Perdana Menteri memberikan ruang kepada penyalahgunaan kuasa bagi mengekalkan cengkaman Barisan Nasional terhadap kemaraan Pakatan Rakyat. Ini dapat kita perhatikan secara jelas dalam kes Teoh Beng Hock.
Kuasa Mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri walaupun di dalam akta menasihati agung, tetapi secara praktisnya Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak seperti contoh Bahagian 2, Perkara 5 (1) yang letakkan Yang Di pertuan Agung dengan nasihat Perdana Menteri untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM selama apa-apa tempoh dan syarat yang ditetapkan Perdana Menteri.
Adalah lucu bagi seorang individu yang mempunyai kepentingan politik dan kebarangkalian terlibat dengan kes rasuah yang tinggi mempunyai kuasa mutlak di dalam melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jelasnya, sistem rimba seperti ini akan memberikan tekanan kepada SPRM untuk menurut perintah Perdana Menteri.
Menyedari hakikat ini,Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin mendesak Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk melaksanakan tiga tuntutan:
1. Meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawah bidang kuasa parlimen bukan dibawah Perdana Menteri seperti sedia ada. Ini adalah penting untuk memastikan SPRM bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan bukannya Perdana Menteri.
2. Menubuhkan badan Pemantauan Bebas proses penyiasatan seperti IPCMC, badan pemantau Polis Diraja Malaysia bagi mengelakkan salah guna kuasa dan kekerasan SPRM.
3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes kematian Arwah Ahmad Sarbani Mohd yang menjadi misteri kepada selurah rakyat Malaysia.
AMK Malaysia mendesak agar perubahan sistem dilaksanakan terhadap SPRM dan Perdana Menteri harus bertanggungjawap terhadap imej SPRM yang tercalar.
Posted by pondokmaya at 9:37:00 AM 0 comments
Labels: law
TARIK SEMULA SENARAI HITAM

Kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dengan jelas telah menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan yang selama ini menyenarai hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang kerana sudah terdapat kes di Mahkamah yang telah memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah.
Kami di KASE percaya kes yang dimaksudkan adalah kes Mahkamah Tinggi Kuching yang menjadi sandaran hujah KASE selama ini iaitu kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009.
Kami merasakan sesuatu yang aneh dan pelik apabila suatu keputusan Mahkamah telah dibuat sejak tahun 2009 lagi tetapi Kerajaan langsung tidak mengambil endah malah meneruskan tindakan senarai hitam yang jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah tersebut.
Kes yang dirujuk tersebut dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan (Senior Federal Council) yang mewakili Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak. Mustahil Penasihat Undang-Undang Kanan tersebut tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negera dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kesan kes tersebut. Jika laporan dan nasihat telah diberikan tetapi kerajaan tidak mengikut nasihat tersebut, ianya sesuatu yang malang kerana dengan jelas Kerajaan tidak menghiraukan nasihat serta tidak menghormati keputusan Mahkamah. Jika Kerajaan tidak dinasihati, adalah malang kerana Kerajaan mempunyai Penasihat Undang-undang yang gagal menjalankan tugas mereka.
Malang kerana segala tindakan Kerajaan tersebut dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat. Rakyat dihukum, ditindas, dipaksa membayar kompaun walau pun kesalahan mereka belum dibuktikan.
Rakyat dipaksa beratur, bersesak-sesak di kaunter-kaunter bayaran kompaun kerana takut dengan gertakan Kerajaan untuk menyenarai hitam jika kompaun tidak dibayar. Rakyat ditekan sehingga ada yang terpaksa berhabis duit tabungan, terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membayar kompaun kerana takut disenarai hitam oleh Kerajaan.
Sekarang dengan bangganya kerajaan mengumumkan penangguhan senarai hitam. Alasannya kerana menunggu rayuan kes di Mahkamah.
Kenapa sebelum ini tidak menunggu keputusan rayuan tersebut terlebih dahulu? Selepas rakyat diperlakukan sedemikian rupa, baru sekarang tindakan tersebut ditarik balik?
Malah Kerajaan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan begitu bangga mengumumkan bahawa rakyat seharusnya bergembira dengan keputusan Kerajaan menangguhkan senarai hitam tersebut.
Kenapa rakyat harus gembira setelah mereka diperlakukan sedemikian? Kenapa rakyat harus gembira dipermain-mainkan oleh Kerajaan? Kenapa rakyat harus gembira dengan penindasan dan paksaan Kerajaan terhadap mereka?
Kami di KASE tetap dengan pendirian kami sejak mula bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Segala desakan kami selama ini akhirnya jelas dan nyata kebenarannya. Selain itu, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri dan berpuashati setakat ini sahaja. Kami ingin nyatakan bahawa kami tidak akan berhenti dengan desakan kami agar Kerajaan menghapuskira kesemua Saman Ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1/2/2011.
Kami juga terus mendesak kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar menghormati dan mematuhi peruntukkan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang. Jangan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengikut prosedur serta undang-undang itu sendiri.
Seterusnya kami juga mendesak Kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar membuktikan segala kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pengguna-pengguna jalanraya jika terdapat bukti kukuh terhadap mereka. Buktikan dakwaan di Mahkamah sebelum sebarang hukuman dilaksanakan.
Kami juga mendesak Kerajaan melalui JPJ dan PDRM supaya mengadakan sesi-sesi penerangan serta taklimat mengenai undang-undang jalanraya yang terdapat di dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang telah mula dikuatkuasakan kerana kami yakin bahawa majoriti rakyat tidak mengetahuinya secara terperinci.
Sesuatu Akta yang hendak dikuatkuasakan hendaklah diterangkan dan dimaklumkan kepada rakyat. Jangan menyalahkan rakyat sekiranya mereka melanggar sesuatu undang-undang kerana mereka tidak mengetahui sedangkan Kerajaan tidak pernah menerangkan dan memberi maklumat kepada rakyat.
Kami juga menyatakan kekesalan dengan ketidak-cekapan Kerajaan dan agensi Kerajaan menjalankan tugas. Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan senarai hitam pada 18/3/2011. Keputusannya dimaklumkan pada 23/3/2011 di Dewan Rakyat tetapi JPJ hanya membenarkan transaksi (penangguhan senarai hitam) bermula 1/4/2011.
Kenapa perlu mengambil masa begitu lama sehinga berhari-hari untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri? Adakah Kerajaan sedar kesusahan dan kesulitan rakyat yang masih tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan dari 18/3/2011 sehingga 1/4/2011?
Bagaimana dengan rakyat yang terpaksa membayar kompaun Notis Pol 170A untuk memperbaharui cukai jalan dalam termpoh 18/3/2011 sehingga 1/4/2011 sedangkan dalam tempoh tersebut Kerajaan sudah membuat keputusan menangguhkan senarai hitam? Adakah Kerajaan sedar perkara ini?
AKHIRNYA kami ingin mendesak Kerajaan agar terus menarikbalik tindakan senarai hitam bukan hanya menangguhkan sahaja. Penangguhan tidak bermakna apa-apa kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan semula.
Cukuplah duit rakyat dikutip selama ini sehingga 1/4/2011 yang lepas. Kepada rakyat Malaysia khasnya, lihatlah bagaimana Kerajaan mempermainkan hak anda.
DATUK MAHFUZ OMAR, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
Posted by pondokmaya at 8:20:00 AM 0 comments
Labels: law
Thursday, April 7, 2011
JATUHKAN DSAI KEUTAMAAN NAJIB
Watak sebenar Datuk Seri Najib Razak terserlah apabila Perdana Menteri itu lebih mementingkan usaha menjatuhkan musuh politiknya berbanding membela rakyat berdasarkan keengganannya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbani Mohamed. Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang hanya mahu menubuhkan RCI dalam kes video fitnah, kononnya melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak pula membela nasib Sarbani yang mati jatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). “Kita mahu kes Sarbani (ke RCI) jika soal siasat yang dijalankan boleh memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga boleh menimbulkan fobia dan trauma. “Jika begini sikap Najib, rakyat akan sedar watak sebenarnya yang tidak membela rakyat tanpa ada kepentingan politik,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu kepada KeadilanDaily, hari ini. Fuziah kesal kerana Najib sering menuduh Pakatan Rakyat (PR) suka menggunakan isu perkauman dalam beberapa kes sebelum ini tetapi kini, Umno BN enggan pula membela nasib seorang Melayu - Sarbani. Dalam kes Beng Hock, Kugan yang mati dalam lokap, Umno Barisan Nasional (BN) cakap kita guna isu perkauman. PR tidak pernah membangkitkan isu perkauman, kerana semua kaum teraniya, kita tolong,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya kaedah siasatan dan setiap gerak kerja dapat ditadbir dengan baik dan adil. “Letak SPRM di bawah Parlimen kerana selagi berada di bawah Perdana Menteri, SPRM tidak akan bebas. Mereka juga perlu tubuh ahli jawatan kuasa khas daripada Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen supaya tahu selok belok prosedur penyiasatan dijalankan. Dilaporkan, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini. Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal. SPRM sebelum ini mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari.
Sebaliknya, Presiden Umno itu terang-terangan menolak cadangan pelbagai pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan menubuhkan RCI dalam kes melibatkan Sarbani atas alasan kes itu berbeza dengan kes Beng Hock, sedangkan kedua-duanya melibatkan kematian di bangunan SPRM.
Posted by pondokmaya at 7:33:00 PM 0 comments
Monday, January 3, 2011
ISU SETIAUSAHA NEGERI
Posted by pondokmaya at 8:25:00 PM 0 comments
Friday, May 28, 2010
ANTARA KUASA MENTERI DENGAN PBT
Posted by pondokmaya at 12:01:00 AM 0 comments
Thursday, May 27, 2010
PBT TAK AKAN KELUAR LESEN OPERASI JUDI BOLA
Naib Presiden PAS
Posted by pondokmaya at 11:40:00 PM 0 comments
Sunday, April 18, 2010
PERANCIS MULA SIASAT SCORPENE
Masa depan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam semakin gelap dan diibaratkan bagai telur dihujung tanduk berikutan tindakan berani tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.
Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.
Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis telah memusnahkan perancangan kerajaan Malaysia melalui badan kehakiman dan institusi Parlimen selama lapan tahun untuk menyekat kes ini daripada diadili pada peringkat antarabangsa.
Barisan hakim di Pejabat Pendakwaraya Paris telah menjalankan penyiasatan terhadap pegawai tinggi di Perancis, Pakistan dan negara lain berkaitan urusan pembelian kapal selam yang sama yang didakwa ada kaitan dengan unsur rasuah dan pembayaran komisyen.
Elemen pembabitan Malaysia dalam penyiasatan panjang ini disahkan dalam kertas siasatan bertarikh 4 Disember 2009 dan 23 Februari 2010.
Laporan itu menambah penyiasatan teliti tersebut dilakukan sejak dua tahun lalu oleh hakim penyiasat, Francoise Besset dan Jean-Christophe Hullin yang merangkumi ahli politik kanan Perancis serta penjualan kapal selam dan peralatan ketenteraan lain kepada kerajaan di seluruh dunia.
Media Perancis dikatakan tidak sanggup melaporkan sesetengah daripada tuduhan paling serius disebabkan kebimbangan implikasi politik.
Asia Sentinel menjelaskan dakwaan yang dibuat mempunyai kaitan dengan salah satu konglomerat pertahanan Perancis iaitu DCN yang dimiliki oleh kerajaan. Syarikat tersebut bergabung dengan firma elektronik Perancis, Thales pada 2005 menjadikannya antara kuasa dominan dalam industri pertahanan Eropah.
Anak syarikat DCN, Armaris terlibat dalam pembinaan kapal selam disel daripada kelas Scorpene yang dijual kepada India, Pakistan dan juga Malaysia. Kesemua kontrak jualbeli, menurut peguam yang bertindak bagi pihak Suaram, disyaki mempunyai unsur rasuah
Tambah laporan itu lagi sejak Najib berpindah portfolio daripada menerajui Kementerian Pertahanan ketika mana urusan jualbeli itu dikendalikan pada 2002 sehingga beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, skandal tersebut dilihat ancaman terbesar kepada kerajaan dan juga parti.
Kekuasaan Umno dilihat sebagai penghalang kepada skandal itu mendapat apa-apa pelunag untuk diutarakan dalam mahkamah Malaysia dan ini menjadi sebab utama mengapa Suaram terpaksa mendapatkan pertolongan daripada pendakwa Perancis.
“Kertas siasatan baru sahaja dikemukakan dan setakat ini telah menggerakkan siasatan awal polis terhadap aspek kewangan urusniaga tersebut," kata satu sumber Paris yang intim dengan pihak pertahanan Perancis.
"Belum ada siasatan rasmi lagi dan siasatan akan melihat kepada dokumen yang dirampas di DCN yang dilakukan ketika satu lagi penyiasatan dijalankan terhadap rasuah yang dibayar oleh DCN di Pakistan.
Sumber juga menyatakan pihak polis kini hanya menumpukan perhatian kepada dakwaan rasuah dan belum lagi melihat kepada kes pembunuhan wanita Mongolia pada 2006 yang bekerja sebagai penterjemah bagi pihak Najib dan sahabat beliau, Abdul Razak Baginda semasa berada di Paris berhubung urusan perniagaan kapal selam.
Asia Sentinel mendedahkan terdapat banyak kes pembunuhan yang berkaitan urusan penjualan pertahanan DCN di Taiwan dan Pakistan. Pendakwaraya mensyakki kematian 11 jurutera kapal selam Perancis dalam kejadian letupan bom pada 2002 di Karachi, yang pada mula dianggap perbuatan Al-Qaeda, sebenarnya adalah pembunuhan balas dendam akibat keenganan pihak Perancis untuk memberi rasuah bernilai jutaan dolar kepada pegawai tentera Pakistan.
Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda. Isteri Abdul Razak, Maslinda ialah seorang peguam dan bekas majistret serta pemegang saham syarikat tersenut menurut peguam Perancis.
“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakang ini, hakim di Perancis telah menyiasat beberapa kes yang melibatkan DCN," kata peguam Renaud Semerdjian kepada Asia Sentinel dalam temuramah melalui talipon.
"Ini bukanlah kes seumpama yang pertama disiasat. Terdapat banyak lagi ks yang serupa di Pakistan dan juga India. Apabila dilihat secara dekat setiap kali berlaku penjualan senjata maka kemungkinan pelanggaran undang-undang adalah amat tinggi.".
Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran. Ini termasuk pembelian dua kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagi kapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis.
Jet pejuang Sukhoi juga dibeli Rusia dalam tempoh Najib menerajui Kementerian Pertahanan termasuk juga jutaan ringgit dicurahkan kepada kapal peronda perairan. Kesemua pembelian ini telah menimbulkan kecurigaan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia tetapi sebarang usaha penyiasatan berjaya dikekang oleh Umno. Malah apabila soalan diaju kepada Najib, beliau menjadi marah dan enggan menjawab.
Walaupun usaha hebat dilakukan oleh Umno untuk menutup kes rasuah berhubung pembelian peralatan tentera oleh Najib, isu pembunuhan penterjemah Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu yang juga kekasih yang ditinggalkan Abdul Razak akhirnya mendedahkan segala penyelewengan yang berlaku kepada perhatian dunia. Altantuya yang berperanan dalam perbincangan jualbeli kapal selam mendedahkan dalam suratnya yang dijumpai selepas kematian beliau bahawa dia cuba mengugut Abdul Razak untuk mendapatkan US$500,000.
Bagaimanapun Altantuya ditembak mati pada Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan oleh dua pengawal peribadi Najib dengan menggunakan bahan letupan setelah Abdul Razak mengadu kepada ketua pengawal peribadi Najib, Musa Safri supaya menghalang Altantuya daripada menganggu beliau. Tidak lama setelah dibebaskan pada November 2008 dalam keadaan keputusan hakim yang meragukan, Abdul Razak meninggalkan Malaysia dan menetap di England. Kedua pengawal peribadi Najib tersebut dihukum tetapi tidak ada motif dibuktikan mengapa mereka melakukan pembunuhan itu.
Walaupun terdapat pengakuan daripada salah seorang yang tertuduh bahawa mereka akan dibayar lumayan sekiranya melupuskan wanita itu namun pihak mahkamah tidak membenarkan penyiarannya.
Urusan pembelian kapal selam itu tidak pernah dibangkitkan sepanjang perbicaraan mahkamah selama sebulan yang memperlihatkan bagaimana pendakwa, peguambela dan juga hakim berganding bahu bagi memastikan nama Najib tidak sesekali dikaitkan dalam mahkamah. Malah seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak untuk melindungi daripada Altantuya membuat pengakuan bersumpah yang menunjukkan bahawa Najib sebenarnya kekasih wanita Mongolia itu dan kemudiannya diserahkan kepada Abdul Razak.
Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mendedahkan bagaimana beliau dinyahkan dari Kuala Lumpur. Akhirnya beliau keluar daripada tempat persembunyian di India untuk menceritakan bahawa seorang ahli perniagaan yang rapat dengan isteri Najib telah menawarkan RM5 juta untuk menutup mulut dan meninggalkan negara. Bala juga mengatakan beliau menemui adik Najib, Nazim yang meminta beliau menarik balik akuan bersumpah yang dibuat.
Dalam penyiasatan yang sedang dijalankan di Paris sekarang, isunya berkisar apakah syarikat Perimekar kepunyaan Abdul Razak berhak kepada komisyen sebanyak RM540 juta tersebut.
Datuk Zainal Abidin Zin, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu memberitahu Parlimen, Perimekar menerima amaun tersebut iaitu 11 peratus daripada harga jualan kapal selam untuk "koordinasi dan khidmat sokongan". Kertas siasatan di Paris menunjukkan tidak ada sebarang jenis perkhidmatan sedemikian diberikan.
Menurut kertas siasatan, Perimekar didaftar pada 2001, beberapa bulan sebelum kontrak jualbeli ditandatangan. Syarikat tersebut menurut kertas siasatan itu lagi," tidak mempunyai daya kewangan yang kukuh untuk melaksanakan kontrak tersebut." Semakan akaun pada 2001 dan 2002 kata kertas siasatan itu lagi,"menunjukkan dengan jelas bahawa syarikat ini tidak langsung ada sebarang kemampuan atau kemampuan perundangan atau kemampuan kewangan dan/atau kepakaran untuk menyokong kontrak sedemikian rupa."
"Tidak seorang daripada pengarah atau pemegang saham Perimekar mempunyai pengalaman walau sedikit dalam pembinaan, penyelenggaraan atau logistik kapal selam," tegas kertas siasatan itu. "Di bawah terma kontrak €114 juta (RM540 juta) adalah berhubung beberapa peringkat pembinaan kapal selam." Pertimbangan pembayaran kepada Perimekar "adalah secara bulanan dan kos tanggungan penginapan anak kapal Malaysia sepanjang tempoh latihan mereka. Maka dengan itu tidak ada sebarang kaitan antara langkah-langkah pembilan dan peringkat pembinaan kapal selam seperti yang dinyatakan."
Pada 1 April 2010 Asia Sentinel melaporkan perkhidmatan penyelenggaraan kapal selam dilakukan oleh sebuah syarikat bernama Boustead DCNS iaitu syarikat kerjasama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd yang senaraikan di Bursa Malaysia, dan DCNS SA, anak syarikat DCN. Bahagian Industri Berat Boustead kini memasukkan Perimekar sebagai "sekutu kumpulan. PSB terlibat dalam pemasaran, menaiktaraf, penyelenggaraan dan khidmat berkaitan bagi industri pertahanan maritim Malaysia," menurut laporan tahunan Boustead.
Pada asalnya Boustead memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa kontrak perkhidmatan adalah berjumlah RM600 juta untuk tempoh enam tahun atau RM100 setiap tahun tetapi kontrak itu kemudiannya melambung kepada RM270 juta setahun. Boustead Holdings dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Malaysia dan berkait rapat dengan Umno.
"Terdapat asas kukuh untuk mempercayai bahawa (Perimekar) diwujudkan hanya untuk satu tujuansahaja: mengurus pembayaran komisyen dan mengagihkan amaun kepada penerima berlainan termasuk penjawat awam dan/atau orang tengah Malaysia atau asing," dedah kertas siasatan itu lagi.
SUMBER http://suara-keadilan.com/
Posted by pondokmaya at 11:16:00 AM 0 comments

