THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES
Showing posts with label politic. Show all posts
Showing posts with label politic. Show all posts

Saturday, November 5, 2011

HANYA KERANA S. AMBIGA

Oleh: WFAUZDIN NS

GEGAK gempita pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa NGO pro Umno menentang program Seksualiti Merdeka malahan gempitanya mereka mengalahkan PAS, sebuah Parti Islam tunggal di negara ini. Semuanya adalah kerana S. Ambiga, bukannya kerana moral jauh sekali Umno memperjuangkan akidah umat Islam.

Buktinya apa? Buktinya program ini telah wujud lama di dalam negara di bawah Kerajaan Bn yang tunjangnya adalah Umno. Program seumpama ini telah wujud sejak tahun 2008, tetapi ketika itu rakyat tidak bantah seperti sekarang, dan waktu itu S.Ambiga bukan musuh Umno. S.Ambiga menjadi musuh utama Umno apabila wanita ini berjaya memimpin BERSIH 2.0 sehinggakan SPR terpaksa mengaku sikit demi sedikit kecurangan mereka. Maka, kali ini Umno mendapat peluang untuk menghentam S. Ambiga dengan menggunakan isu Seksualiti Merdeka yang dahulunya mereka `halalkan'.

Tujuan Umno adalah untuk memerangkap PAS terutamanya yang menyokong S. Ambiga di dalam BERSIH 2.0. Namun, Pemimpin PAS bukan bodoh dan menjadi Pak Turut seperti Umno. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah. Kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tegas membantah program Seksualiti Merdeka, begitu juga dengan Dewan Pemuda PAS. Tuan Guru Nik Aziz menyebut, PAS menyokong BERSIH bukan kerana S. Ambiga atau individu tertentu, tetapi adalah kerana berjuang untuk membersihkan sistem pilihanraya di negara ini adalah menjadi satu kewajipan. Begitu juga PAS menentang program Seksualiti Merdeka ini pun bukan kerana S.Ambiga atau sesiapa sekalipun, tetapi kerana program ini bertentangan dengan hukum Islam dan normal kemasyarakatan.

Berbeza dengan Umno, sewaktu program ini wujud pada tahun 2008 mereka tidak peka sedikitpun sehinggalah pada tahun ini apabila S.Ambiga muncul. Ini bukti jelas menunjukkan Umno tidak pernah ikhlas untuk menentang kemungkaran tetapi sebaliknya akan mempergunakan sesuatu isu hanya untuk memberi nyawa kepada Umno.

Mereka mempersoalkan mengapa DS Anwar tidak komen di dalam isu Seksualiti Merdeka ini? Sebelum kita jawab persoalan itu, kita mahu tanya Umno apakah kesannya jika DS Anwar sokong atau tidak program Seksualiti Merdeka itu? Katakan lah DS Anwar sokong S.Ambiga di dalam program Seksualiti Merdeka, ini suatu kemenangan maha besar buat Umno untuk mendakwa DS Anwar anti Islam atau menyokong kemungkaran. Katakan pula DS Anwar tidak menyokong program tersebut, Umno rasa mereka mungkin berjaya memisahkan DS Anwar atau PKR dari S.Ambiga iaitu tokoh wanita yang telah memalukan Najib di dalam BERSIH 2.0 dahulu.

Ertinya, Umno mahu DS Anwar terperangkap di dalam isu ini. Namun, akhirnya mereka sendiri terperangkap apabila rakyat sedar bahawa program ini telah lama wujud di dalam pemerintahan Umno/Bn. DS Anwar sememangnya dikenali sebagai tokoh Islamik sewaktu di dalam ABIM lagi sehinggalah berjaya sedikit sebanyak menyerlahkan wajah Islam pada parti Umno sewaktu beliau berada di dalam kerajaan. Amat tidak masuk akal jika DS Anwar bersetuju dengan program Seksualiti Merdeka.

Nah, sekarang lihat sendiri tanpa komen apa-apa pun dari DS Anwar, pihak Polis sendiri telah pun mengharamkan program tersebut. Saya puji langkah pihak Polis ini walaupun terpaksa menanti lama untuk melihat respon masyarakat. Sekali lagi ingin ditegaskan, jika S.Ambiga masih berkeras mahu mengadakan program sesat berkenaan, kami yang pernah bersama BERSIH 2.0 tidak akan menyokong beliau.

Apa yang penting di dalam isu ini adalah rakyat perlu tahu siapa yang paling berkuasa untuk mencegah sesuatu kemungkaran di dalam negara ini. Umno selaku tunjang Kerajaan Bn pada masa ini sewajarnya mencegah kemungkaran yang berlaku bukan sahaja atas isu program Seksualiti Merdeka, bahkan banyak lagi kemungkaran seperti Pusat Judi terbesar yang masih tersergam di negara ini. Adakah perlu menunggu S.Ambiga menjadi tokeh judi dahulu baru Umno mahu bercakap pasal judi?

Saya menentang S.Ambiga di dalam isu program Seksualiti Merdeka, begitu juga sepatutnya kita paling kuat menentang anak Tun Mahathir yang telah pun memiliki Kilang Arak terbesar di Filipina. Apa beza S.Ambiga dengan anak Tun? Orang-orang Umno buta mata kepada anak Tun, tetapi terbeliak mata dengan S.Ambiga. Percayalah, Umno tidak pernah ikhlas untuk memperjuangkan Islam kecuali melantik tokeh judi menjadi Senator. Tentu Datuk Nalla bersetuju dengan apa yang saya perkatakan ini.

Tuesday, November 1, 2011

MALAYSIA MENUJU FASISME?

Kumpulan ultra-Melayu, Perkasa, sedang berusaha untuk menggagalkan usaha “pembaharuan” Datuk Seri Najib Razak, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.Beliau berkata, ucapan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor di perhimpunan Perkasa baru-baru ini yang menyamakan perjuangan hak asasi manusia dengan komunisme adalah percubaan kedua untuk memusnahkan hasrat Perdana Menteri melaksanakan “reformasi” di Malaysia.

Menurutnya, dalam percubaan pertama Perkasa, ia telah berjaya memaksa Najib menarik balik gagasan Model Ekonomi Baru (MEB) yang berhasrat untuk memperbaiki tindakan afirmatif berasaskan kaum.

Katanya, Najib yang takut dengan Perkasa telah berundur apabila MEB yang bertujuan menggantikan Dasar Ekonomi Baru telah dikekalkan dengan kuota kaum, yang jelas bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan telus. “Memang mengejutkan apabila seorang bekas Ketua Polis Negara berani menyamakan gerakan hak asasi di Malaysia dengan komunisme. “Tan Sri Rahim Noor yang telah memalukan negara apabila menumbuk muka Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga lebam matanya sewaktu bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada di dalam tahanan (pada 1998), telah mengatakan bahawa gerakan hak asasi manusia adalah satu agama baru,” ujarnya.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dengan membuat persamaan itu, Rahim Noor sebenarnya cuba menabur benih dan memupuk gerakan fasisme di Malaysia. Katanya, kamus Oxford English menjelaskan bahawa fasisme adalah satu fahaman ketuanan kaum atau bangsa yang membenci demokrasi, taat kepada seseorang pemimpin yang berkuasa dan mahu meluaskan pengaruh melalui hasutan dan propaganda.Fasisme terkenal dengan kekejamannya apabila tokoh-tokohnya seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini dan Hideki Tojo membawa negara mereka menyerang negara-negara lain yang mencetuskan Perang Dunia Kedua.

Fahaman itu yang mengangkat ketuanan kaum telah mengakibatkan kematian berjuta umat manusia dan masih berleluasa di zaman selepas perang, walau pun dengan berbeza-beza ideologi, seperti di apartheid di Afrika Selatan dan tindakan menindas kaum minoriti di banyak negara dunia. “Serangan terbaru ke atas gerakan hak asasi manusia adalah usaha terbaru untuk memaksa Najib supaya tidak tunduk kepada gerakan masyarakat madani seperti Bersih “Gerakan seperti Bersih telah berjaya membawa kepada pengwujudan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Reformasi Pilihan Raya serta cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pindaaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA). “Kejayaan usaha-usaha baik ini telah ditentang oleh Perkasa, kebanyakan mereka adalah golongan pelampau dalam UMNO,” kata Pua.

Beliau mendesak Najib supaya menghentikan usaha ke arah wujudnya gerakan fasisme di negara ini dan mengutuk secara terbuka percubaan Rahim Noor yang mahu menyamakan hak asasi manusia dengan komunisme.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib perlu menjelaskan pendiriannya bagi pihak Malaysia – sama ada menyokong cadangan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang mahu menegakkan hak asasi manusia atau tunduk kepada tekanan Rahim Noor dan bekas bossnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang benci kepada hak asasi manusia. Katanya, pendirian Najib pada CHOGM 2011 di Perth, Australia yang sedang diadakan sekarang akan menentukan sama ada janji-janji Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia lebih demokratik dan bebas benar-benar menjadi kenyataan.

Antara tokoh yang mengganggotai EPG CHOGM adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Perdana Menteri yang ditugaskan untuk memastikan negara-negara Komanwel benar-benar melaksanakan amalan demokrasi dan menghormati hak asasi.

Dari Roketkini.com

Friday, September 23, 2011

NURUL IZZAH : UNDILAH DAN SKMM


23 September 2011

Saya amat terkejut membaca berita bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu ini telah mengarahkan penyiar tempatan supaya berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (public service announcement, PSA) “Undilah” yang diterbit saudara Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia yang baru lepas.

PSA ini, yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak (non-partisan) untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita. Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong.

Di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal “demokrasi terbaik” di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya.

Saya memohon SKMM untuk menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan, malah memohon agar SKMM menterbalikkan arahan tersebut dan mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi di negara tercinta ini.

Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanah air.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan
Naib Presiden KEADILAN

HUDUD : JERAT UMNO

Pemimpin-pemimpin kanan PAS mengambil tindakan segera ‘merawat mudarat politik’ pagi ini dengan menggesa kepimpinan Pakatan Rakyat agar memberi fokus ke atas isu-isu kebajikan rakyat dan tidak terperangkap dengan serangan Umno-BN termasuk soal hukum hudud sekarang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mutakhir ini media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

“Isu ucapan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu, isu bendera (Jalur Gemilang), isu hudud, isu sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Isu sedemikian diwujudkan untuk mengalih perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau juga menggariskan terdapat banyak isu lain iaitu warga asing diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-13, undang-undang baru bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk pilihan raya umum ke-13 kerana ia mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” katanya.

Selepas isu membabitkan Mohamad yang dikenakan tuduhan di mahkamah baru-baru ini, sejak kelmarin PAS diselubungi kontroversi berkaitan hukum hudud. Ia turut mengheret sekali DAP.

Kata Tuan Ibrahim, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Justeru kata beliau, Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini.

“Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya Pakatan Rakyat terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit,” kata beliau.

Pendirian yang sama dilahirkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meletakkan fokus ke atas isu-isu semasa lebih penting bagi menghadapi pilihan raya umum.

Beliau memberi amaran Pakatan Rakyat akan berakhir jika pemimpin-pemimpinnya tidak berhati-hati dengan terperangkap dengan isu ‘tidak perlu buat masa sekarang’, yang dibesarkan oleh Umno-BN sekarang.

“Ia (Pakatan) seharusnya berupaya untuk kekal fokus dengan isu-isu, ia akan membantu kami keluar daripada serangan dan menghadapi pilihan raya... kita ada tugas penting untuk memenuhi pengharapan rakyat sekarang... menghadapi pilihan raya umum dan menang,” kata beliau sambil menyifatkan dua isu yang dilihat akademik iaitu negara Islam dan hukum hudud boleh dibincangkan kemudian.

“Kita tidak wajar berdebat atau membincangkan isu-isu bersifat akademik ini pada waktu genting menjelang pilihan raya umum ke-13,” katanya.

“Kita tahu apa yang difikirkan oleh musuh-musuh kami, jadi mereka akan menggunakan isu seperti ini, hudud dan negara Islam untuk melemahkan Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah, “isunya bukan sangat menguasai kerajaan pusat, tetapi lebih daripada itu ialah mewujudkan sistem dua parti di negara ini... untuk itu kita kena kekal kukuh dan mantap dalam Pakatan.”

Dengan turut merujuk kepada pendirian PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno tahun lalu, wakil rakyat penggal pertama ini berharap kepimpinan perikatan dengan segera menyelesaikan isu terbaru ini.

“Malah isu ini telah disentuh oleh (Pengerusi DAP) Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan tahun lalu dan semuanya berjalan lancar, dan tiba-tiba menjadi isu semula sekarang,” katanya agak kecewa dengan perkembangan semasa.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah menjangkakan isu ini akan dibangkitkan semula, Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata: “Saya memang sudah menjangkakan isu ini (hudud) akan berkembang jadi rumit macam hari ini.”

“Sebab itu, saya memaklumkan Setiausaha Agung (PAS, Datuk Mustafa Ali) dan mengadakan satu sidang media semalam,” kata beliau, yang sidang media semalam mendakwa kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Tanjong Malim kelmarin bertujuan menggugat kedudukan Pakatan Rakyat.

Isu hukum hudud muncul semula susulan idea yang dibangkitkan pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru pada Selasa lalu.

Ia berkembang sehingga semalam apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengah hari semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Kelmarin, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Thursday, April 7, 2011

NEGERI MEMANG DAH KAYA, RAKYAT YANG PAPA

DARI ANAK SUNGAI DERHAKA

Setelah berpuluh tahun menjarah harta kekayaan negeri Sarawak milik rakyat untuk mengkayakan sanak saudara dan juga kroninya, hari ini dalam manifesto pilihanrayanya Taib Mahmud dan gerombolannya cuba sekali lagi memperbodohkan rakyat Sarawak.
Dalam manifesto Barisan Nasional Sarawak yang dipimpin oleh Taib Mahmud, mereka mengula-gulakan rakyat yang bagi mereka masih buta maklumat hingga tidak menyedari akan kekayaan yang dimiliki oleh Sarawak selama ini..

Barisan Nasional Sarawak berjanji dalam manifesto pilihan raya mereka kali ini iaitu mereka akan menjadikan bumi kenyalang sebagai negeri terkaya di Malaysia.

Satu janji untuk terus memperbodohkan rakyat.. janji untuk menafikan selama ini negeri Sarawak memang kaya dengan berbagai sumber asli seperti minyak, gas dan balak..

Malangnya kekayaan negeri itu telah dikaut secara rakus oleh Taib dan Gerombolannya untuk membina harta dunia..

Kini setelah diasak begitu hebat.. barulah mereka berjanji untuk memelihara keamanan setelah gerakan merampas tanah adat milik kaum pribumi secara ganas mereka laksanakan.

Mereka juga berjanji meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan miskin dan memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan perumahaan dipertingkatkan setelah berpuluh tahun memerintah..

Dan mereka juga berjanji untuk Memelihara alam sekitar setelah kebanyakkan hutan dara Sarawak mereka ceroboh dan tarah..

Mereka berjanji juga untuk menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak.. setelah anak-anak kaum Penan menjadi mangsa rogol pemandu lori balak yang ditumpang mereka untuk kesekolah..

Jika sekarangpun negeri Sarawak memang kaya dengan sumber aslinya tetapi rakyatnya masih papa.. apa yang boleh rakyat Sarawak harapkan jika negeri Sarawak menjadi negeri yang terkaya?

Negeri Kaya.. Rakyat Papa.. Nak buat apa???