THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, April 13, 2011

BARISAN NASIONAL MULA TABUR WANG DI SARAWAK


Barisan Nasional dijangka akan menabur jutaan ringgit bukan sahaja kepada pengundi, malah kepada calon-calon KEADILAN yang bertanding pada 4 hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengulas laporan mengenai calon KEADILAN bagi kerusi DUN Baleh, Bendindang Manja yang ditawarkan sejumlah wang supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya itu, 16 April ini.

“Kita menjangkakan wang akan digandakan dan ia diluar kawalan kami. Pihak lawan sememangnya menggunakan taktik ini, bahkan hanya satu hari selepas penamaan pun ada diantara calon KEADILAN yang ditawarkan untuk menarik diri.

“Tapi, syukurlah setakat pemantauan kita, calon-calon masih bersama dengan rakyat. KEADILAN akan mengawal supaya tiada anasir Barisan Nasional yang akan mendekati untuk membeli calon kita,” kata Rafizi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, dekat Satok hari ini.

Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak ada tanda yang menunjukkan calon-calon KEADILAN akan goyah walaupun tahu bahawa tawaran tersebut akan datang dari pelbagai pihak.

“Agak sukar sekarang ini bagi mereka menarik diri dan mengkhianati melihatkan kepada gelombang sokongan rakyat,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, Rafizi mengingatkan kepada pengundi di Sarawak bahawa jumlah ribuan ringgit yang ditawarkan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan 30 tahun penderitaan rakyat Sarawak.

“Mereka beri seribu kita minta dua ribu. Mereka beri dua ribu, kita minta tiga ribu.

“Justeru saya ulang kepada para calon untuk turun bertemu dengan rakyat dan beritahu mereka untuk ambil wang itu, sebab ia memang wang anda.

“Tetapi undi adalah rahsia. Jangan lepaskan peluang, kerana hanya masa inilah sahaja kita mampu buat perubahan. Jika mahukan perubahan, undilah Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Tuesday, April 12, 2011

ORANG IBAN JUGA NAK UBAH


Tsunami politik menolak Taib dan BN kini telah membara ke rumah panjang. Orang Iban pun sudah pandai memperlekehkan Taib dan BN. Mereka sudah tahu kegagalan BN memajukan kaum mereka maka sebab itulah kaum Iban akan mengundi PR 16hbApril ini. Kaum Iban pun mahu menjadi lebih cerdik dari orang Umno yang sentiasa bodoh itu.

Bayangkanlah dengan jumlah penduduk Iban di sesebuah kampung melebihi 5,000 orang tetapi hanya ada seorang Penghulu je yang dilantik. Inilah penindasan BN terhadap kaum Iban maka sudah sampai masanya mereka menghukum kelalaian Tab dan BN kali ini.

Sokongan kaum Iban terbukti melalui kempen lawatan calon-calon PAS di kediaman mereka. Saksikan muka ceria kaum Iban terhadap calon PAS.

Monday, April 11, 2011

Sarawak Report di Klon

Menyedari pengaruh besar yang dicetuskan oleh website sarawakreport.org di dalam membongkar salah laku serta penyelewengan yang dilakukan berpuluh tahun oleh Ketua Menteri Sarawak Taib mahmud, nampaknya gerombolan songkok tinggi cuba menipu di dunia internet pula dengan cara memesongkan pelayar-pelayar internet kepada sebuah website palsu yang sengaja dicipta menyerupai website Sarawak Report.

Website palsu tersebut menggunakan domain yang hampir serupa iaitu sarawakreports.org, hanya berbeza dengan tambahan huruf 's' di hujung ejaan report(s). Malah dengan kuasa wang gerombolan songkok tinggi, mereka juga sanggup mengeluarkan belanja menggunakan khidmat iklan google adsense.

Melalui perbelanjaan iklan di google adsense, setiap pencarian kata kunci (keyword) "Sarawak Report" di enjin pencarian terkenal google, akan membawa pelayar-pelayar internet kepada website palsu tersebut yang dipaparkan pada muka pertama (first page) carian google [Google Result].


Dengan kuasa duit gerombolan songkok tinggi menggunakan iklan google adsense, para pelayar internet yang memilih website Sarawak Report palsu akan dibawa ke sebuah halaman yang memuji-muji Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud selain dipesongkan kepada fakta-fakta kononnya Sarawak semakin maju di bawah Barisan Nasional.

"Dalam dunia nyata menipu, dalam dunia maya pun nak menipu rakyat..."

Sunday, April 10, 2011

AMK KOMITED PRINSIP PERANGI RASUAH


Kenyataan Media Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat


Pihak Angkatan Muda Keadilan Malaysia komited dengan prinsip memerangi rasuah dan usaha kearah menjayakannya. Namun malang, selepas dua insiden yang melibatkan badan yang sepatutnya memerangi rasuah menjadi tragedi sehingga mengakibatkan korban kepada dua saksi, Mendiang Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohd.

Pihak Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengesali peristiwa yang menimpa Penolong Pengarah KASTAM Arwah Ahmad Sarbani Mohd dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga arwah.

AMK percaya bahawa tragedi seperti ini adalah akibat daripada kepincangan sistem yang dibentuk di dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat daripada campur tangan politik Perdana Menteri seperti yang termaktub di dalam Akta SPRM 2009.

Justeru itu, penambahbaikan kepada sistem yang diguna pakai oleh SPRM harus dilaksanakan segera kerana imej institusi itu telah tercalar teruk bukan sahaja di mata rakyat Malayia, malah seluruh dunia.

Dalam aspek ini adalah baik jika Malaysia dapat mencontohi negara yang mempunyai sistem yang baik dalam menangani rasuah seperti Independent Commission Agains Corruption (Hong Kong) dan Singapore Corrupt Practice Investigation Bureau(Singapore).

Kuasa mutlak yang diberikan kepada SPRM melalui Perdana Menteri memberikan ruang kepada penyalahgunaan kuasa bagi mengekalkan cengkaman Barisan Nasional terhadap kemaraan Pakatan Rakyat. Ini dapat kita perhatikan secara jelas dalam kes Teoh Beng Hock.

Kuasa Mutlak yang diberikan kepada Perdana Menteri walaupun di dalam akta menasihati agung, tetapi secara praktisnya Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak seperti contoh Bahagian 2, Perkara 5 (1) yang letakkan Yang Di pertuan Agung dengan nasihat Perdana Menteri untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM selama apa-apa tempoh dan syarat yang ditetapkan Perdana Menteri.

Adalah lucu bagi seorang individu yang mempunyai kepentingan politik dan kebarangkalian terlibat dengan kes rasuah yang tinggi mempunyai kuasa mutlak di dalam melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jelasnya, sistem rimba seperti ini akan memberikan tekanan kepada SPRM untuk menurut perintah Perdana Menteri.

Menyedari hakikat ini,Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin mendesak Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk melaksanakan tiga tuntutan:

1. Meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawah bidang kuasa parlimen bukan dibawah Perdana Menteri seperti sedia ada. Ini adalah penting untuk memastikan SPRM bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan bukannya Perdana Menteri.

2. Menubuhkan badan Pemantauan Bebas proses penyiasatan seperti IPCMC, badan pemantau Polis Diraja Malaysia bagi mengelakkan salah guna kuasa dan kekerasan SPRM.

3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes kematian Arwah Ahmad Sarbani Mohd yang menjadi misteri kepada selurah rakyat Malaysia.

AMK Malaysia mendesak agar perubahan sistem dilaksanakan terhadap SPRM dan Perdana Menteri harus bertanggungjawap terhadap imej SPRM yang tercalar.

PAKATAN RAKYAT MAMPU


Pakatan Rakyat mampu menawarkan tawaran lebih baik jika memerintah negara ini bukan sebagaimana yang dituduh oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin semalam.

Bagi banyak pihak, Muhyiddin Yassin sebenar tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana percakapannya seperti budak-budak apabila mencabar pembangkang menawarkan RM10 bilion untuk membasmi kemiskinan di Sarawak.

Menurut mereka, kerajaan yang memerintah iaitu BN bukan saja mampu menawarkan RM10 bilion malah lebih daripada itu kerana banyak hasil yang dikaut Kerajaan Pusat daripada Bumi Kenyalang itu.

Hasil yang ditabur itu semuanya yang dikaut daripada rakyat, tetapi pengagihan hasil kepada negeri-negeri tidak setimpak dengan hasil dikaut daripada Sarawak.

Menurut pandangan itu, Pakatan Rakyat pun kalau memerintah boleh menawarkan lebih daripada RM10 bilion jika berjaya memerintah negara.

Lihat saja apa yang dilakukan di beberapa negeri yang diperintah pembangkang, termasuk Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kedah.

Semalam, Pakatan Rakyat melancarkan manifestonya untuk pilihan raya negeri Sarawak.

Ia dilancarkan oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat negeri dan pusat antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan AJK kanan PAS Pusat, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin di samping beberapa calon Pakatan Rakyat yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

Namun wartawan TV3 nampaknya tidak mengenali pemimpin PAS sehingga melaporkan dalam Buletin Utama malam tadi dengan penyataan "kelibat pemimpin tidak kelihatan di majlis ini".

Sepuluh perkara yang terkandung di dalamnya ialah kebebasan kepercayaan, pentadbiran yang baik, reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra, pembasmian kemiskinan, hubungan persekutuan negeri Sarawak yang lebih hijau, layanan adil kepada semua rakyat Sarawak, kebudayaan dan pendidikan, hak wanita dan melabur dalam masa depan.

Bagi reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra, Pakatan Rakyat memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumitputra bagi menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat Bumiputra (NCR),dan selepas itu mengkaji selidik dan mengeluarkan geran atau pajakan bagi tanah yang dipersoal sejajar dengan adat kaum asli Sarawak.

Ramai berpendapatan, negeri sekaya Sarawak yang mempunyai banyak hasil sepatutnya tidak ada rakyat miskin, sedangkan selama BN memerintah hanya mengurangkan kadar kemiskinan setelah sekian lama memerintah.

Hasil Sarawak kalau tidak disalahgunakan, boleh dikatakan semua rakyat Sarawak hidup mewah, tetapi apa yang berlaku sekarang hanya golongan tertentu yang kaya raya, sedangkan rakyat masih dihimpit kemiskinan.

Begitu juga Kelantan, jika hasil royalti minyak diberikan kepada kerajaan negeri, rakyat Kelantan sudah menjadi yang terkaya di Malaysia, tapi malang sikap jahat kepimpinan kerajaan BN yang tidak memberi hasil royalti seperti yang sepatutnya.

Rakyat di negeri yang diperintah pembangkang sebenarnya tidak bersungut tetapi mencetuskan kekalutan dan mempertikaikan apa yang dilaksanakan kerajaan negeri terbabit adalah pemimpin dan penyokong Umno.

BN kebelakangan ini menunjukkan kebaikannya kerana bimbang rakyat akan bertindak menumbangkan mereka pada pilihan raya umum nanti, begitu juga dengan di Sarawak hingga sanggup menawarkan pelbagai insentif yang belum tentu dilaksanakan setelah kekal memenangi pilihan raya itu.

TARIK SEMULA SENARAI HITAM

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2011 bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menangguhkan penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen.

Keputusan Jemaah Menteri ini telah mengesahkan dakwaan dan desakan KASE selama ini iaitu penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.Semasa mengumunkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa keputusan penangguhan senarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (Saman Ekor) tersebut adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat suatu kes yang sedang dalam proses rayuan.

Kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dengan jelas telah menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan yang selama ini menyenarai hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang kerana sudah terdapat kes di Mahkamah yang telah memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah.

Kami di KASE percaya kes yang dimaksudkan adalah kes Mahkamah Tinggi Kuching yang menjadi sandaran hujah KASE selama ini iaitu kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009.

Kami merasakan sesuatu yang aneh dan pelik apabila suatu keputusan Mahkamah telah dibuat sejak tahun 2009 lagi tetapi Kerajaan langsung tidak mengambil endah malah meneruskan tindakan senarai hitam yang jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah tersebut.

Kes yang dirujuk tersebut dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan (Senior Federal Council) yang mewakili Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak. Mustahil Penasihat Undang-Undang Kanan tersebut tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negera dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kesan kes tersebut. Jika laporan dan nasihat telah diberikan tetapi kerajaan tidak mengikut nasihat tersebut, ianya sesuatu yang malang kerana dengan jelas Kerajaan tidak menghiraukan nasihat serta tidak menghormati keputusan Mahkamah. Jika Kerajaan tidak dinasihati, adalah malang kerana Kerajaan mempunyai Penasihat Undang-undang yang gagal menjalankan tugas mereka.

Malang kerana segala tindakan Kerajaan tersebut dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat. Rakyat dihukum, ditindas, dipaksa membayar kompaun walau pun kesalahan mereka belum dibuktikan.

Rakyat dipaksa beratur, bersesak-sesak di kaunter-kaunter bayaran kompaun kerana takut dengan gertakan Kerajaan untuk menyenarai hitam jika kompaun tidak dibayar. Rakyat ditekan sehingga ada yang terpaksa berhabis duit tabungan, terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membayar kompaun kerana takut disenarai hitam oleh Kerajaan.

Sekarang dengan bangganya kerajaan mengumumkan penangguhan senarai hitam. Alasannya kerana menunggu rayuan kes di Mahkamah.

Kenapa sebelum ini tidak menunggu keputusan rayuan tersebut terlebih dahulu? Selepas rakyat diperlakukan sedemikian rupa, baru sekarang tindakan tersebut ditarik balik?

Malah Kerajaan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan begitu bangga mengumumkan bahawa rakyat seharusnya bergembira dengan keputusan Kerajaan menangguhkan senarai hitam tersebut.

Kenapa rakyat harus gembira setelah mereka diperlakukan sedemikian? Kenapa rakyat harus gembira dipermain-mainkan oleh Kerajaan? Kenapa rakyat harus gembira dengan penindasan dan paksaan Kerajaan terhadap mereka?

Kami di KASE tetap dengan pendirian kami sejak mula bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Segala desakan kami selama ini akhirnya jelas dan nyata kebenarannya. Selain itu, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri dan berpuashati setakat ini sahaja. Kami ingin nyatakan bahawa kami tidak akan berhenti dengan desakan kami agar Kerajaan menghapuskira kesemua Saman Ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1/2/2011.

Kami juga terus mendesak kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar menghormati dan mematuhi peruntukkan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang. Jangan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengikut prosedur serta undang-undang itu sendiri.

Seterusnya kami juga mendesak Kerajaan khasnya JPJ dan PDRM agar membuktikan segala kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pengguna-pengguna jalanraya jika terdapat bukti kukuh terhadap mereka. Buktikan dakwaan di Mahkamah sebelum sebarang hukuman dilaksanakan.

Kami juga mendesak Kerajaan melalui JPJ dan PDRM supaya mengadakan sesi-sesi penerangan serta taklimat mengenai undang-undang jalanraya yang terdapat di dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang telah mula dikuatkuasakan kerana kami yakin bahawa majoriti rakyat tidak mengetahuinya secara terperinci.

Sesuatu Akta yang hendak dikuatkuasakan hendaklah diterangkan dan dimaklumkan kepada rakyat. Jangan menyalahkan rakyat sekiranya mereka melanggar sesuatu undang-undang kerana mereka tidak mengetahui sedangkan Kerajaan tidak pernah menerangkan dan memberi maklumat kepada rakyat.

Kami juga menyatakan kekesalan dengan ketidak-cekapan Kerajaan dan agensi Kerajaan menjalankan tugas. Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan senarai hitam pada 18/3/2011. Keputusannya dimaklumkan pada 23/3/2011 di Dewan Rakyat tetapi JPJ hanya membenarkan transaksi (penangguhan senarai hitam) bermula 1/4/2011.

Kenapa perlu mengambil masa begitu lama sehinga berhari-hari untuk melaksanakan keputusan Jemaah Menteri? Adakah Kerajaan sedar kesusahan dan kesulitan rakyat yang masih tidak dapat memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan dari 18/3/2011 sehingga 1/4/2011?

Bagaimana dengan rakyat yang terpaksa membayar kompaun Notis Pol 170A untuk memperbaharui cukai jalan dalam termpoh 18/3/2011 sehingga 1/4/2011 sedangkan dalam tempoh tersebut Kerajaan sudah membuat keputusan menangguhkan senarai hitam? Adakah Kerajaan sedar perkara ini?

AKHIRNYA kami ingin mendesak Kerajaan agar terus menarikbalik tindakan senarai hitam bukan hanya menangguhkan sahaja. Penangguhan tidak bermakna apa-apa kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan semula.

Cukuplah duit rakyat dikutip selama ini sehingga 1/4/2011 yang lepas. Kepada rakyat Malaysia khasnya, lihatlah bagaimana Kerajaan mempermainkan hak anda.

DATUK MAHFUZ OMAR, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Saturday, April 9, 2011

Tamatkan Hegemoni Taib Mahmud


Kenyataan media oleh Lim Lip Eng (Ahli Parlimen DAP - Segambut)

Pada pilihanraya DUN Sarawak ke-10, DAP telah bertanding di 15 kerusi di Sarawak. Antara 15 kerusi yang ditandingi oleh DAP, kita juga bertanding dalam N68 Bukit Kota.

Kerusi ini merupakan satu-satunya kerusi yang mana DAP bertembung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmub.

Sepanjang 48 tahun yang lalu, BN Sarawak telah menggunakan kedudukan politik untuk membina kekayaan dan menggunakan wang tersebut untuk memperkukuhkan kedudukan politik, lingkaran ganas sedemikian berterusan, kroni-kroni ahli politik BN telahpun mengeksploitasikan dan memonopoli sumber-sumber kaya yang boleh digunakan untuk pembangunan melalui urus niaga sulit "bawah meja" dan akhirnya merampas hak-hak penduduk Sarawak di sisi undang-undang.

Tanah negeri yang bernilai telah diberi milik kepada kroni-kroni BN pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, kebanyakan projek utama Kerajaan Negeri juga diberi kepada kroni-kroni BN tanpa tender awam, hanya sedikit yang tertinggal untuk penduduk biasa Sarawak.

Dalam tempoh 30 tahun Taib memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, kroni-kroninya telah mengumpulkan kekayaan yang terlampau banyak sehingga mereka mampu memiliki hartanah bernilai berbilion-bilion Ringgit Malaysia di seluruh dunia. Manakala kebanyakan rakyat Sarawak masih hidup dalam keadaan yang tiada bekalan air, elektrik, kekurangan peluang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan.

Walau bagaimanapun, BN masih tidak rasa bersalah, sementara itu pemimpin-pemimpinnya sedang sibuk mengaut keuntungan daripada kedudukan mereka sebagai parti yang memerintah.

Bangkitlah rakyat Limbang, PBB ialah rakan sejenayah dasar-dasar dan tindakan-tindakan BN. Eksploitasi sumber-sumber di Sarawak mesti diberhentikan. Hak rakyat mestilah dibela. Bertindak sekarang, Ubah!

Tamatkan hegemoni Taib Mahmud, mula dari Limbang!


Friday, April 8, 2011

MANIFESTO PAKATAN RAKYAT BAGI PRN SARAWAK KE 10


10 perubahan dalam Manifesto Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 adalah seperti berikut:

1. Menjamin kebebasan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. Pentadbiran yang baik berdasarkan prinsip antarabangsa – cekap, Akauntabel, Telus atau CAT dengan mengagih kekayaan hasil bumi terus kepada rakyat; di samping menolak amalan nepotisme dan rasuah sebagaimana yang diamalkankan Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum ini.

3. Suruhanjaya Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra dengan menyelesaikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan mengembalikan semula tanah adat Orang Asal.

4. Menubuhkan Dana Pembasmian Kemiskini sebanyak RM1 bilion untuk menangani keluarga rakyat di bawah paras kemiskinan.

5. Menjamin hubungan baik antara persekutuan dan negeri Sarawak dengan meningkatkan pemberian royalti dari 5 peratus ke 20 peratus.

6. Membela Sarawak yang lebih hijau dengan menghentikan pembinaan empangan yang berlebihan serta melarang sama sekali pembinaan loji nuklear di Sarawak.

7. Layanan adil kepada semua rakyat Sarawak dengan membantu daftar kerakyatan rakyat tempatan, menyumbang RM200 untuk setiap anak anak masuk darjah 1 serta pemberian RM600 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas setiap tahun.

8, Mempertahan identiti kebudayaan etnik-etnik di Sarawak dengan menggalakkan pembelajaran bahasa ibunda serta memberikan peruntukan sistematik kepada anak Sarawak tanpa mengira kaum sebagaimana yang telahpun diamalkan oleh di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

9. Membela hak wanita dengan keserataan jantina di samping membina prasarana bagi membela nasib wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan rumah tangga dan lain-lain.

10. Melabur untuk masa depan dalam modal insan, infrastruktur termasuk membangunkan prasarana jalur lebar (WiFi) dalam masa 2 tahun sekiranya diberi mandat kelak.

PAKATAN RAKYAT LAWAN KEZALIMAN BARISAN NASIONAL

Perjuangan Pakatan Rakyat di Sarawak bukan berdasarkan sentimen individu tertentu, sebaliknya melawan kezaliman Barisan Nasional (BN), kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya berkempen untuk Pakatan Rakyat (PR) bagi kemenangan PRN Sarawak. PR akan menentang BN, bukan terhadap individu,” katanya ketika sidang media melancarkan manifesto PR di sini, hari ini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10.

Mengulas mengenai manifesto BN, Wan Azizah menyifatkan perkara biasa tetapi fokus sebenar adalah rakyat Sarawak yang berhak memilih Ketua Menteri.

“Isunya bukan manifesto, tetapi memberi laluan kepada rakyat Sarawak memilih Ketua Menteri mereka,” katanya.

Pelancaran manifesto itu dihadiri Presiden KEADILAN, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan calon KEADILAN, serta PAS,

PROGRAM DSAI DI SARAWAK PADA 9 APRIL 2011

Program Dato Seri Anwar Ibrahim di Sarawak esok (9 April 2011) adalah seperti berikut:

10.00 pagi – Ceramah – Kedai Ngu, Niah (DUN Kemena)

1.00 tghari – Ceramah – Sebauh (DUN Kemena)

5.00 ptg – Ceramah – Tatau (DUN Kakus)

8.00 mlm – Ceramah – Taman Seaview, Bintulu (DUN Jepak)

9.00 mlm – Ceramah – Restoran 96, Bintulu (DUN Kidurong)

10.30 mlm – Ceramah – Kampong Jepak, Bintulu (DUN Jepak)

MANIFESTO YANG PRAKTIKAL

OLEH HAZAYANI ZAKARIA

Manifesto Pakatan Rakyat Sarawak yang dilancarkan hari ini sangat praktikal untuk dilaksanakan dan merangkumi keperluan semua kaum di negeri ini, kata AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, manifesto yang dirangka oleh Pakatan Rakyat Sarawak dengan persetujuan Pakatan Rakyat Pusat itu dihasilkan setelah mengambil kira semua masalah dan isu-isu rakyat di Sarawak dan negeri-negeri Pakatan yang lain.

"Saya yakin manifesto Pakatan Rakyat untuk rakyat Sarawak merupakan manifesto yang paling praktikal dan boleh dilaksanakan dan menangani isu-isu di negeri Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Jadi sudah tentu sepuluh perkara yang dinyatakan dalam manifesto ini amat bertepatan sekali dengan masalah rakyat negeri Sarawak," kata beliau ketika ditemui selepas pelancaran manifesto berkenaan di pusat media PKR, dekat sini hari ini.

Terdahulu, manifesto berkenaan dilancarkan oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat negeri dan pusat antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan beberapa calon Pakatan Rakyat yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

Sepuluh perkara yang terkandung di dalamnya ialah kebebasan kepercayaan, pentadbiran yang baik, reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra, pembasmian kemiskinan, hubungan persekutuan negeri Sarawak yang lebih hijau, layanan adil kepada semua rakyat Sarawak, kebudayaan dan pendidikan, hak wanita dan melabur dalam masa depan.

Bagi reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra,Pakatan Rakyat memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumitputra bagi menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat Bumiputra (NCR),dan selepas itu mengkaji selidik dan mengeluarkan geran atau pajakan bagi tanah yang dipersoal sejajar dengan adat kaum asli Sarawak.

Nizar yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Perak juga berkata, kandungan manifesto berkenaan mampu memberikan satu perubahan kepada Sarawak dan rakyatnya.

"Saya yakin 10 perkara ini akan memberi kejutan dan transformasi yang besar di Sarawak tanpa ada elemen-elemen huru-hara. Ini yang nak kita pamerkan bahawa perubahan ini merupakan perubahan yang licin dan tidak melibatkan apa-apa perkara yang tidak diingini," katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang.

Thursday, April 7, 2011

NEGERI MEMANG DAH KAYA, RAKYAT YANG PAPA

DARI ANAK SUNGAI DERHAKA

Setelah berpuluh tahun menjarah harta kekayaan negeri Sarawak milik rakyat untuk mengkayakan sanak saudara dan juga kroninya, hari ini dalam manifesto pilihanrayanya Taib Mahmud dan gerombolannya cuba sekali lagi memperbodohkan rakyat Sarawak.
Dalam manifesto Barisan Nasional Sarawak yang dipimpin oleh Taib Mahmud, mereka mengula-gulakan rakyat yang bagi mereka masih buta maklumat hingga tidak menyedari akan kekayaan yang dimiliki oleh Sarawak selama ini..

Barisan Nasional Sarawak berjanji dalam manifesto pilihan raya mereka kali ini iaitu mereka akan menjadikan bumi kenyalang sebagai negeri terkaya di Malaysia.

Satu janji untuk terus memperbodohkan rakyat.. janji untuk menafikan selama ini negeri Sarawak memang kaya dengan berbagai sumber asli seperti minyak, gas dan balak..

Malangnya kekayaan negeri itu telah dikaut secara rakus oleh Taib dan Gerombolannya untuk membina harta dunia..

Kini setelah diasak begitu hebat.. barulah mereka berjanji untuk memelihara keamanan setelah gerakan merampas tanah adat milik kaum pribumi secara ganas mereka laksanakan.

Mereka juga berjanji meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan miskin dan memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan perumahaan dipertingkatkan setelah berpuluh tahun memerintah..

Dan mereka juga berjanji untuk Memelihara alam sekitar setelah kebanyakkan hutan dara Sarawak mereka ceroboh dan tarah..

Mereka berjanji juga untuk menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak.. setelah anak-anak kaum Penan menjadi mangsa rogol pemandu lori balak yang ditumpang mereka untuk kesekolah..

Jika sekarangpun negeri Sarawak memang kaya dengan sumber aslinya tetapi rakyatnya masih papa.. apa yang boleh rakyat Sarawak harapkan jika negeri Sarawak menjadi negeri yang terkaya?

Negeri Kaya.. Rakyat Papa.. Nak buat apa???

JATUHKAN DSAI KEUTAMAAN NAJIB

Watak sebenar Datuk Seri Najib Razak terserlah apabila Perdana Menteri itu lebih mementingkan usaha menjatuhkan musuh politiknya berbanding membela rakyat berdasarkan keengganannya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbani Mohamed.

Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang hanya mahu menubuhkan RCI dalam kes video fitnah, kononnya melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Presiden Umno itu terang-terangan menolak cadangan pelbagai pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan menubuhkan RCI dalam kes melibatkan Sarbani atas alasan kes itu berbeza dengan kes Beng Hock, sedangkan kedua-duanya melibatkan kematian di bangunan SPRM.

“Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak pula membela nasib Sarbani yang mati jatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita mahu kes Sarbani (ke RCI) jika soal siasat yang dijalankan boleh memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga boleh menimbulkan fobia dan trauma.

“Jika begini sikap Najib, rakyat akan sedar watak sebenarnya yang tidak membela rakyat tanpa ada kepentingan politik,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu kepada KeadilanDaily, hari ini.

Fuziah kesal kerana Najib sering menuduh Pakatan Rakyat (PR) suka menggunakan isu perkauman dalam beberapa kes sebelum ini tetapi kini, Umno BN enggan pula membela nasib seorang Melayu - Sarbani.

Dalam kes Beng Hock, Kugan yang mati dalam lokap, Umno Barisan Nasional (BN) cakap kita guna isu perkauman. PR tidak pernah membangkitkan isu perkauman, kerana semua kaum teraniya, kita tolong,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya kaedah siasatan dan setiap gerak kerja dapat ditadbir dengan baik dan adil.

“Letak SPRM di bawah Parlimen kerana selagi berada di bawah Perdana Menteri, SPRM tidak akan bebas. Mereka juga perlu tubuh ahli jawatan kuasa khas daripada Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen supaya tahu selok belok prosedur penyiasatan dijalankan.

Dilaporkan, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini.

Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal.

SPRM sebelum ini mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari.

AMARAN DAP KEPADA LAWAN

DAP memberi amaran kepada parti lawan supaya tidak bermain taktik kotor dan mensabotaj peralatan serta program parti itu sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Menurut calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen, mereka akan membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diambil tindakan segera.

"Peralatan kempen seperti bendera yang dikibarkan sejak tiga hari lalu di pusat operasi DAP Batu 10 rosak teruk. Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan individu tertentu," katanya pada sidang media di sini (Kuching), Khamis.

Jelas beliau, perbuatan itu bukan saja membuktikan kelemahan lawan tetapi memberi gambaran awal bahawa mereka tidak yakin dapat menang pada pilihan raya negeri ke-10.

"Anda akan cuba melakukan apa saja untuk menghentikan program lawan jika tidak yakin dengan kemampuan parti sendiri. Oleh itu, saya mengingatkan kumpulan itu supaya tidak mensabotaj kempen parti lain," tegasnya.

Chieng Jen berkata, perkara seperti itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana petugas sistem audionya digertak sekumpulan samseng yang diupah individu tertentu untuk menjejaskan program mereka.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng amat berpuas hati dengan jumlah penonton yang hadir pada ceramah mereka walaupun kempen baru saja bermula semalam.

"Jumlah pada hari pertama kempen itu diluar jangkaan kami. Itu permulaan baik untuk parti. Jadi kita perlu menggandakan usaha dan mengharapkan yang terbaik pada pilihan raya negeri ini," katanya.

BARISAN NASIONAL ALIH ISU

Oleh USTAZ IDRIS AHMAD

Isu video telah memerangkap rakyat Malaysia sehingga hilang fokus kepada isu yang sebenar. Ketika rakyat sibuk membincangkan isu video, kerajaan BN telah menaikkan minyak RON 97 sebanyak 20 sen seliter manakala SPRM mengumumkan negara rugi RM108 bilion setiap tahun angkara rasuah dan aktiviti haram yang lain.

Kebijaksanaan pemimpin BN mengalihkan isu sebenar dengan permainan media mereka sehingga lupa kepada isu tidak kemampuan BN menguruskan negara. Begitu juga dengan buku jingga sampai sekarang tidak ada jawapan yang mantap untuk menjawabnya. Mereka hanya mampu mengatakan buku jingga boleh bawa bankrap jika Pakatan Rakyat laksanakan apabila mereka memerintah. Walaupun jawapan balas sudah diberikan dengan fakta tentang kemampuan PR melaksanakan agenda buku jingga.

Pakatan Rakyat jangan pula lalai dengan isu video sehingga lupa untuk agenda perubahan untuk rakyat. Semua maklum isu buku jingga pihak BN berada dalam keadaan defensif. Mereka hanya upah pemimpin Umno Sabah untuk bercakap mengenai buku jingga di dalam parlimen walaupun kadang-kadang tidak masuk station. Sehingga di dalam parlimen askar upahan BN membincang buku jingga dan terlupa bincang titah Diraja di dalam sesi palimen.


PAS yakin isu video, akan menjadi senjata makan tuan. Rakyat sudah mual dengan politik lucah yang tidak berkesudahan. Apakah ini politik transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak? Apakah rakyat boleh kenyang dengan video lucah? Apakah dengan isu ini inflasi negara akan menurun?


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat