THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, April 6, 2011

KERUSI-KERUSI YANG GOYAH PADA PRN SARAWAK KE 10

Di sini disenaraikan antara kawasan DUN yang dijangka sengit dalam PRN Sarawak ke 10 untuk diberikan perhatian.

N24 Beting Maro (Parlimen: Batang Lupar)

Mungkinkah ia menjadi kerusi DUN pertama yang dimenangi PAS di Sarawak? Dalam PRN Sarawak 2006, PAS hanya tewas dengan perbezaan 896 undi. Calon PBB Bolhassan bin Di @ Ahmad bin Di memperolehi 2,796 undi, sementara calon PAS Alem bin Din mendapat 1,901 undi.

Kali ini, Abang Ahmad Kerdee Abang Masadus menyarung jersi PAS dalam percubaannya untuk membuka lembaran baru dalam sejarah PAS di bumi Kenyalang. Beliau berdepan dengan Razali Ghapor dari PBB.

N30 Saribas (Parlimen: Betong)
PBB hanya menang dengan majoriti 94 undi dalam PRN Sarawak 2006, menewaskan calon PKR Abang Zulkifli bin Abang Engkeh. Abang Zulkifli bertanding semula di kawasan ini, berdepan dengan calon PBB Ricky @ Mohammad Razi Sitam.

N20 Sadong Jaya (Parlimen: Batang Sadong)
Calon PKR tewas dalam PRN Sarawak 2006 dengan hanya perbezaan 858 undi, kepada calon PBB. Kali ini, PKR memberi laluan kepada calon PAS, Abang Eddy Allyanny untuk bertanding di kawasan DUN ini. Abang Eddy berdepan dengan Aidel Lariwoo dari PBB dan calon bebas Mahayudin bin Wahab.

N25 Balai Ringin (Parlimen: Sri Aman)
Perang tiga penjuru dalam PRN Sarawak 2006 menyaksikan pertembungan antara calon PRS, SNAP dan bebas. Seandainya dijumlahkan undi yang diperolehi calon SNAP (1559 undi) dan bebas (742 undi), maka PRS-BN hanya menang dengan lebihan 774 undi. Kali ini, pertandingan tiga penjuru digandakan, antara calon PRS Snowdan Lawan, calon PKR Ibi anak Uding, dan calon SNAP Dan Giang, Lipeh anak Mawi (PCM), Cobbold Ak Lusoi (bebas) dan Sujal anak Gansi (bebas).

N28 Engkelili (Parlimen: Lubok Antu)
Calon SNAP Johnichal Rayong Anak Ngipa berjaya menewaskan Jonathan Krai Pilo dengan majoriti 426 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimanapun, Johnichal kemudiannya menyertai BN, menjurus kepada kehilangan satu kerusi daripada pembangkang. Kali ini, Johnichal Rayong bertanding atas tiket SUPP, menentang calon PKR Marudi @ Barudi anak Mawong dan calon SNAP Semijie Anak Janting.

N29 Batang Ai (Parlimen: Lubok Antu)
Nicholas Bawin Anak Anggat bertanding atas tiket SNAP dalam PRN Sarawak 2006, kalah hanya dengan perbezaan 806 undi. Bagaimanapun, dalam PRK Batang Ai pada April 2009, BN berjaya menewaskan Jawah Gerang (PKR) dengan majoriti 1,854 undi. Kini, Nicholas Bawin pula bertanding dengan menyarung jersi PKR. PRS-BN meletakkan Malcom Mussen anak Lamoh untuk mempertahankan kerusi ini. PRS-BN dijangka berdepan dengan pertarungan sengit, kononnya banyak janji yang ditaburkan ketika PRK Batang Ai 2009 belum dikota.

N70 Ba'kelalan (Parlimen: Lawas)
Baru Bian tewas dengan perbezaan hanya 475 undi dalam PRN Sarawak 2006. Selain pengaruhnya di kalangan kristian, Pengerusi PKR Sarawak ini juga seorang peguam yang banyak mengendalikan kes tanah adat. Baru Bian pernah dijulang sebagai Ketua Menteri di laman sosial Facebook, seandainya PR berjaya memerintah di Sarawak. Beliau berdepan dengan calon SPDP-BN, Willie Liau.

N39 Repok (Parlimen: Sarikei)
SUPP menang dengan majoriti 576 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, DAP meletakkan calonnya Wong Hua Seh untuk bertembung dengan David Teng Lung Chi.

N48 Pelawan (Parlimen: Sibu)
SUPP menang dengan majoriti 263 undi dalam PRN Sarawak 2006 di kawasan yang terdiri daripada 90% pengundi Cina ini. Bagaimanapun, DAP memperolehi lebihan 3,491 undi daripada kawasan ini dalam PRU 2008, untuk kerusi parlimen Sibu. Dalam PRK Sibu 2010, DAP melebarkan jurangnya dengan SUPP, apabila meperolehi lebihan 5,469 undi, mengatasi SUPP. Calon DAP David Wong Kee Woan akan berdepan dengan calon SUPP-BN, Vincent Goh Chung Siong (BN-SUPP).

N47 Bawang Assan (Parlimen: Sibu)
Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh menang dengan majoriti 2,504 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimanapun, undi majoritinya menunjukkan pola penurunan, jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 (tinggal majoriti 1,458 undi) dan PRK Sibu 2010 (866 undi). Kali ini, Wong berdepan calon DAP Alice Lau Kiong Yieng.

N46 Dudong (Parlimen: Lanang)
SUPP menang dengan majoriti 408 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, SUPP meletakkan ahli parlimen Lanang, Tiong Thai King untuk mempertahankan kerusi ini, berdepan dengan cabaran Yap Hoi Liong.

N 43 Ngemah (Parlimen: Kanowit)
Kerusi ini dimenangi calon bebas Adeh Ak Denong dengan majoriti 549 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PRS dan SNAP. Bagaimanapun, Adeh Ak Denong menyertai BN selepas menang dalam PRN Sarawak 2006. PKR meletakkan calonnya Aris anak Alap, berdepan dengan Alexandar Vincent dari PRS-BN, Adeh Ak Denong dari PCM, Yakup Khalid (bebas) dan Micheal Anak Lias dari SNAP.

N51 Balingian (Parlimen: Mukah)
Pada tahun 2006, Abdul Taib Mahmud memenangi 6,393 undi, sementara calon Ibrahim Bayau dari PKR hanya memperolehi 667 undi. Ketua Menteri yang memerintah untuk 30 tahun di Sarawak ini dijadikan sasaran dalam PRN Sarawak 2011, berikutan tempoh pemerintahannya yang terlalu lama, malah terpalit dengan tuduhan rasuah, sebagaimana yang dibongkarkan media dan pembangkang.

PKR meletakkan Suriati Abdullah untuk menentang beliau, pada yang sama beliau juga dicabar oleh sepupunya, Salleh Jafaruddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

N13 Batu Kawah (Parlimen: Stampin)
Meskipun menang dengan majoriti 4,180 undi pada tahun 2006, namun kerusi DUN ini merupakan satu-satunya kawasan majoriti Cina yang masih dipertahankan SUPP di Kuching. Penyandangnya, Tan Joh Phoi dari SUPP berdepan dengan cabaran Christina Chiew Wang See dari DAP.

N63 Piasau (Parlimen: Miri)
Kerusi yang dimenangi Presiden SUPP George Chan dengan majoriti 3,918 undi. Beliau berdepan dengan cabaran Ling Sie Kiong dari DAP.

N64 Pujut (Parlimen: Miri)
SUPP menang dengan majoriti 1,370 undi dalam PRN Sarawak 2006. Chia Chu Fatt meraih 55.5% undi popular, namun undi popular menurun 8.8% di kawasan ini untuk BN dalam PRU 2008 (Parlimen Miri). Dalam PRN Sarawak 2011, Chia Chu Fatt akan berdepan dengan Fong Pau Teck.

N 11 Batu Lintang (Parlimen: Stampin)
Kerusi DUN ini dimenangi calon DAP dalam PRN Sarawak 2006 dengan majoriti 3,407 undi. Bagaimanapun, kerusi ini ditukar dengan DUN Padungan, untuk menyelesaikan pertikaian antara DAP dengan PKR. Dengan rombakan tersebut, Voon Lee Shan dari DAP dan Dominique Ng dari PKR tersingkir dari senarai calon. Kini, kerusi ini ditanding oleh See Chee How dari PKR, bersama Sih Hua Tong (SUPP-BN), dan Soo Lina (Bebas). Soo Lina dilihat sebagai penyokong Dominique Ng.

N 9 Padungan (Parlimen: Bandar Kuching)
Satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi PKR dalam PRN Sarawak 2006, dengan majoriti 1,417 undi. DAP diberi laluan untuk bertanding di kawasan ini, dan PKR sebaliknya bertanding di DUN Batu Lintang. Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan penyandangnya, Dominique Ng, yang bertanding kali ini sebagai calon bebas. Beliau berdepan dengan Sim Kiang Chiok dari SUPP dan Wong King Wei dari DAP.


PEREBUTAN 71 KERUSI PRN SARAWAK KE 10

Kesemua 71 kerusi akan menjadi rebutan dalam Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 pada 16 April ini. Parti-parti yang akan bertanding adalah Barisan Nasional, Pakatan Rakyat (PKR, DAP, dan PAS termasuk SNAP), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) serta tidak ketinggalan calon bebas.

BN bertanding di kesemua 71 kerusi (PBB-35, SUPP-19, PRS-9 dan SPDP-8), sementara PR bertanding untuk 69 kerusi (PKR-49, DAP-15, PAS-5). SNAP pula meletakkan 26 orang calon, sementara PCM bertanding untuk 6 kerusi, dan terdapat seramai 41 orang calon bebas dalam PRN Sarawak 2011 ini. 27 DUN menyaksikan pertembungan "satu lawan satu"; 23 kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dan 17 kawasan menyaksikan pertandingan empat penjuru. Terdapat satu kawasan DUN yang menyaksikan pertandingan 5 calon, dan satu lagi 6 calon.

SAH PKR BERTANDING DI 48 KERUSI DUN SARAWAK

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 telah selesai jam 1.30 tengahari tadi dengan menyaksikan kesemua 48 calon KEADILAN (PKR) bagi 48 Dewan Undangan Negeri (DUN) menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon masing-masing.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, tiada seorang calon dari PKR yang khianat atau boleh dibeli oleh Barisan Nasional (BN). Beliau juga berkata, "lengkapnya penyerahan borang pencalonan di kesemua DUN terbabit, bermakna BN akan dicabar (di 48 kerusi oleh PKR)".

Bagi DUN Balingan (N51) yang ditandingi oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari Barisan Nasional, PKR telah membuat 2 bantahan tetapi ditolak. Bantahan pertama kerana dalam kad pengenalan beliau (Taib) tidak ada penggunaan gelaran ‘Pehin Seri’ tetapi ianya ditulis dalam borang pencalonan. Bantahan kedua pula adalah disebabkan beliau (Taib) mendaftarkan pekerjaannya sebagai Ketua Menteri Sarawak sedangkan jawatan itu telah gugur sebaik DUN Sarawak dibubarkan.

PAS MENANG TANPA BERTANDING DI N15?


Hingga saat ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih gagal mengumumkan atau mengistiharkan calon-calon bagi kawasan N15 (Muara Tuang). Calon BN, Ali Taib Mahmud gagal menyertakan laporan kewangan semasa menyerahkan Borang Pencalonannya. Mengikut undang-undang SPR, borang pencalonan Ali secara otomatik dikira tidak sah.

Pegawai SPR sepatutnya boleh mengisytiharkan kemenangan kepada calon PAS di situ. Bagaimanapun SPR masih teragak-agak untuk membuat pengisytiharkan.

BERUBAHLAH! 改变!


PKR will bring the change that Sarawak desperately needs. We will return the trees, the lands and the rivers to the people. Corruption will stop. Taib will continue to hand over the State's wealth and resources to Putrajaya and the preferred elite. PKR, led by Baru Bian in Sarawak, will not steal. Thirty years is enough! The time is now! BERUBAHLAH!


PKR tetap berhasrat untuk membawa perubahan untuk Sarawak, yang telah lama dibelengu kesengsaraan. Kami berhasrat untuk mengembalikan hutan belantara, tanah dan sungai kepada mereka yang memilikinya. Rasuah akan dibasmi sepenuhnya. Taib hanya akan menyerahkan hasil kekayaan Sarawak kepada Putrajaya serta golongan elitis yang tamak haloba. PKR, di bawah kepimpinan Baru Bian, tidak akan mencuri. Cukuplah setakat tiga puluh tahun! Sekaranglah masanya! BERUBAHLAH!

PKR deka mai ubah ngagai menua Sarawak ke lama udah dalam pemerinsa. Kami deka mulaika kayu kampung, enggau tanah temuda, enggau batang ai ngagai orang ke patut beempu. Kami deka munaska penyalah makai suap. Tang Taib deka nyerahka semua pemisi menua tu ngagai Putrajaya, enggau sekeda orang ti baka pengamu iya. PKR, dituaika Baru Bian, ukai deka ngenchuri tauka ngerebut reta orang bukai. Umbas meh naka tiga puluh tahun! Tu meh maya iya! BERUBAHLAH!


巴鲁比安将给砂朥越带来迫切需要的改变。他将归还翠绿的丛林,富饶的土地以及无垢的河流给人民。贪污将被中止。泰益将继续让渡砂朥越的财富和资源予布城的中央政府以及他所属意的精英。巴鲁却不会窃取属於国家人民的财富。砂州受白毛三十年的 专制腐败统治已经够了!是时候改变了! 改朝换代 是我们全体砂州人民的共同使命! 让我们勇敢的解放砂朥越!

PRN SARAWAK

Secara rasminya Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 bermula hari ini (06 April 2011) apabila proses penamaan calon bermula jam 9.00 hingga 10.00 pagi tadi. Pada masa ini (antara jam 10.00 hingga 11.00 pagi), masa bagi bantahan sedang berjalan. Selepas tempoh bantahan, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akan mengumumkan nama-nama calon yang rasmi bertanding.

Pengundian akan dijalankan pada 16 April 2011. Ini bermakna terdapat 10 hari tempoh untuk berkempen.

NAK MULAKAN SEMULA

Atas sebab-sebab tertentu, sudah lama saya tidak dapat "up-date" blog ini. Saya akan berusaha mendapatkan maklumat dan menyiarkan semula maklumat dari blog lain selepas ini hinggalah PRU ke 13, Insyaallah.


Sekian.

Monday, January 3, 2011

ISU SETIAUSAHA NEGERI

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.


DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato’ Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato’ Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Friday, July 30, 2010

BUKTI KALANGAN PEMIMPIN BN KORUP

Pendakwaan Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar. Ini sekaligus mengesahkan bahawa desakan Pakatan Rakyat yang mahu kes PKFZ ini dibongkar selama ini adalah benar dan memang wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan BN. Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan 'kejujuran' Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ. PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula. Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Di samping itu kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah dheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan. Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda. PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah. Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat. PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM 250-RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi Umno) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam Pilihanraya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.


Ust. Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, July 29, 2010

DSAI MEMPUNYAI SIFAT ISTIQOMAH

Bismillahir-rahman nir-rahim

Tahniah, itulah kenyataan yang dapat saya ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah saya membaca kandungan temu ramahnya dalam Sinar Harian (16 Syaaban 1431/28 Julai 2010).

Ternyata Anwar seorang yang memiliki ketegasan dalam mempertahankan prinsip perjuangannya. Ketegasan yang sama pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa berhadapan dengan pelbagai fitnah pihak pembesar Quraisy. Kerana di atas ketegasan mempertahankan kebenaran perjuanganlah, maka Nabi sanggup berhijrah meninggalkan Kota Mekah menuju ke Madinah. Oleh sebab itu, Nabi tidak pernah bertolak ansur dengan pelbagai tawaran pihak pembesar Quraisy agar meninggalkan perjuangan.

Maka, Anwar seorang yang mendukung prinsip ketegasan di atas kebenaran yang diperjuangkan selama ini.

Sesungguhnya, saya ucapkan tahniah dengan sepenuh hati kepada Anwar atas nilai ketegasan beliau. Dari segi Islam, ketegasan itu merupakan sifat istiqomah yang selayaknya ada pada setiap pemimpin yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan hak yang hakiki.

Anwar Ibrahim memiliki sifat istiqomah itu. Kerana istiqomah bukanlah suatu nilai kedegilan, tetapi suatu kebenaran yang dituntut oleh agama. Diharapkan berbekalkan prinsip mempertahankan kebenaran secara istiqomah sudah pasti akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada peristiwa Israk-mikraj yang baru disambut. Dalam peristiwa tersebut, Nabi Muhammad SAW telah menceritakan kebenaran berdasarkan apa yang dialami baginda. Namun, masih ada pihak Quraisy tidak menerima kebenaran yang diceritakan oleh Nabi sendiri. Sebaliknya pula, pelbagai tuduhan buruk dilemparkan terhadap Nabi.

Percayalah, apa halangan dan ujian yang mendatang pastinya akan mengukuhkan lagi sifat istiqomah dalam mempertahankan kebenaran. Kerana setiap pemimpin Islam hendaklah istiqomah di atas jalan agamanya yang mewajibkan umatnya mempertahan lima perkara wajib, iaitu akidahnya, nyawanya, keturunannya, maruahnya dan hartanya.

Sesungguhnya, Anwar seorang yang memiliki sifat istiqomah dalam mempertahankan maruahnya demi kebenaran.

Sekian, terima kasih.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan

Thursday, July 22, 2010

STATUS TANAH KG. BARU DITUKAR

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mengatakan hampir kesemua tanah di Kampung Baru sudah dikeluarkan hak milik dari senarai Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 ke bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

DPPWP mempersoalkan tatacara penukarkan atau pengeluaran status hak milik tanah di Kampung Baru kerana selama ini semua penduduk di situ dan satu negara tahu bahawa tanah di kampung Baru adalah tertakluk kepada Enakmen MAS 1950.


Kenyataan beliau bahawa enakmen berkenaan juga sudah tidak releven juga amat meragukan kerana tidak ada sebarang rekod pemansuhan Enakmen ini di Parlimen atau di sidang Dun Selangor. Apa hak beliau untuk mengistiharkan ketidakrelevenan enakmen berkenaan. Beliau hanya seorang Menteri senator, dan kuasa Parlimenlah untuk menentukan kedudukan enakmen ini masih releven atau tidak.

Tanah Kampung Baru adalah anugerah Sultan Selangor kepada masyarakat Melayu di Kuala Lumpur dan statusnya berbeza dengan tanah-tanah rizab Melayu yang lain. Bagi sebarang pemansuhan Enakmen dan akta, ianya perlu dibawa ke parlimen atau dewan yang mula-mula mewujudkannya sebelum diistiharkan sebagai tidak releven atau dimansuhkan.

Apabila Menteri Umno ini menyatakan hampir kesemuanya sudah diletakan dibawah KTN, itu bermakna masih ada lagi yang kekal dibawah Enakmen MAS sekaligus membuktikan bahawa enakmen MAS masih releven.

DPPWP mengingatkan Menteri ini, supaya membuat penafsiran undang-undang dengan betul dan menyatakan fakta sebenarnya kepada penduduk. Penduduk patut tahu bagaimana tanah mereka boleh bertukar status dan apakah jaminan undang-undang bahawa tanah mereka setaraf dengan tanah Rizab Melayu dibawah akta KTN.

Hanya kerana ingin mendesak penduduk mengadaikan tanah mereka untuk projek mega berbilion ringgit, Menteri menghamburkan fakta-fakta yang kucar-kacir. Malah beliau juga baru sahaja menarik balik cadangan 60:40 untuk pembangunan Kampung Baru yang ternyata ditentang hebat ramai pihak.

Dasar yang longgar, persedian dan perancangan yang tidak jelas membuktikan bahawa Menteri ini sebenarnya tidak tahu apa yang dia mahu buat kepada Kampung Baru. Beliau tidak tahu bentuk pembangunan apa yang sesuai, melainkan mahu membeli tanah penduduk dengan harga yang murah dan kemudiannya membina rumah-rumah kondo dan lot-lot perniagaan yang berharga ratusan ribu untuk dijual kepada bukan Melayu dan Pelabur asing.

Tawaran pembangunan oleh Menteri ini sebenarnya belum begitu memuaskan hati penduduk dan DPPWP menasihatkan agar beliau tampil dengan satu perancangan dan penjelasan yang lebih konkrit lagi di masa depan agar hak penduduk Kampung Baru tidak tergadai begitu sahaja.

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Friday, July 16, 2010

BARANG NAIK - KENYATAAN DSAI

Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).

Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

BALA BERI KETERANGAN SELAMA 3 JAM

"Najib" dan "Rosmah Mansor" antara nama yang disebut oleh polis Perancis, dalam masa lebih daripada tiga jam ketika mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian, Balasubramaniam a/l Perumal. Malah, nama-nama seperti Abdul Razak Baginda, Deepak Dinesh, ASP Suresh dan beberapa nama baru yang belum dikenalpasti turut disebut sepanjang proses ini, menurut sumber maklumat.

Balasubramaniam ialah saksi penting dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, tiba di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefecture pada pada jam 2.30 petang (waktu Perancis) Isnin lalu, ditemani peguamnya, Manjeet Singh Dhillon.

Menurut sumber maklumat, polis Perancis sendiri mengungkit nama Perdana Menteri Najib Razak (gambar kiri, kanan) dan isteri beliau, Rosmah Mansor (gambar kiri, kiri) ketika mengambil keterangan Balasubramaniam. Malah, nama tertuduh ketiga dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Abdul Razak Baginda; dan Deepak Dinesh (peniaga permaidani yang dituduh mengatur perjalanan Bala ketika melarikan diri) juga disebut sepanjang keterangan Bala diambil.

Dalam satu laporan eksklusif MerdekaReview pada 10 Julai 2010, Balasubramaniam (gambar kanan) yang melarikan diri ke London telah menerima panggilan rasmi daripada polis Perancis untuk memberi keterangan berhubung kes pengambilan komisen dalam urus-niaga pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis.

Selain itu, sumber maklumat juga memberitahuMerdekaReview, Balasubramaniam telah bertemu dengan peguam SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) di Perancis, Joseph Breham untuk dua jam, semalam. Beliau kini sedang merangka satu kenyataan untuk diedarkan pada hari esok, kata sumber maklumat itu.

JOM KUBUR KAN UMNO-BN

Ketika Muhyiddin dan Hishammuddin terdiam atas isu curi pasir di Selangor kerana terhentam dengan cabaran MB Selangor, kerajaan UMNO-BN men
aikkan harga bahan baka
r dan gula. Harus diingat bahawa gula telah mula disorok beberapa minggu yang lalu. Penyorok-penyorok tentunya mendapat untung yang berlipat ganda kerana kenaikkan ini. Yang nyata, rakyatlah akan sengsara dan terseksa.

Mahal untuk ke sana sini sekarang. Mahal untuk minum-minum di restoran. Kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan-bahan utama ini kerana kewangan negara telah merosot teruk akibat daripada sikap joli katak dan ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Jika mereka beringat, tidak membazir, tidak menyeleweng, dan sentiasa berjimat; semua ini tidak akan berlaku.

Kerajaan UMNO-BN lebih rela memilih untuk mengsengsarakan rakyat daripada memelihara kesejahteraan hidup mereka. Kenaikan harga terbaru ini akan mencengkam kehidupan rakyat terutamanya di luar bandar. Golongan inilah yang memberi sokongan padu kepada UMNO-BN. Inilah balasannya setelah mereka digula-gulakan dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

UMNO-BN tidak layak dikekalkan sebagai Kerajaan Persekutuan. Mereka tidak mentadbir negara dengan betul. Masa lebih banyak dicurahkan untuk menghentam Pakatan Rakyat. Kerja mutlak mereka diabaikan. Rakyatlah yang mampu membuat perubahan ini sebelum nasi menjadi bubur. Kita kuburkan UMNO-BN!!!

AMK SELANGOR BANTAH KENAIKAN HARGA BARANG

Angkatan Muda Keadilan Selangor ‘mengalu-alukan’ kenaikan harga petrol dan barang oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ‘amat prihatin’ dengan kesengsaraan rakyat. Kenaikan atas nama pemotongan subsidi akan membuatkan rakyat lebih marah, benci dan meluat terhadap tindakan UMNO-Barisan Nasional yang membuktikan rakyat didahulukan dalam segala segi tatkala pemborosan perbelanjaan kerajaan masih berlaku.

AMK Selangor yakin kenaikan minyak dan barang ini hanya akan menambahkan kebencian dan meluat rakyat kepada pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang seringkali melaungkan slogan ‘rakyat agar didahulukan’ dan ‘juara rakyat’. Tindakan kenaikan ini akan lebih memudahkan Pakatan Rakyat dalam usaha menawan Putrajaya semasa PRU-13 kerana rakyat semakin yakin BN adalah sinonim dengan ‘Barang Naik’.

Dalam situasi kuasa beli rakyat semakin menurun dengan kenaikan harga barangan sebelum ini,kesengsaraan rakyat bagaikan dilupakan oleh kerajaan yang perlu bergelut saban hari dengan kenaikan mendadak kos sara hidup.Apakah ini hasil liberalisasi ekonomi dan program rakyat berpendapatan tinggi oleh Perdana Menteri? ,tatkala pada realitinya rakyat terus berhadapan dengan alasan pemotongan subsidi untuk kononnya penjimatan wang negara tetapi kerajaan terus boros dalam menguruskan perbelanjaannya.

AMK Selangor mempersoalkan jika untuk mengurangkan subsidi yang kononnya membebankan negara, mengapa tidak membuat pemotongan subsidi kepada pihak Independent Power Producers – IPP yang jumlah angka kos amat besar dan tinggi?. Apakah ini terjemahan rakyat didahulukan dengan menjadikan rakyat ‘dikorbankan’ dalam polisi baru kerajaan pusat?. Bagaimanakah pula dengan jumlah kos mendapatkan khidmat perunding APCO yang wang ratusan juta tersebut boleh dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat?.

Kita menggesa agar rakyat tidak terpengaruh dengan istilah pengurangan subsidi kerana realitinya adalah kenaikan kos yang perlu ditanggung rakyat. Suara rakyat perlu digemakan di seluruh negara tatkala UMNO-BN akan terus menaikkan harga barang dan petrol diambang pengenalan cukai GST.

Akhirnya, AMK Selangor yakin rakyat sudah membuka minda dan hati siapakah yang memperjuangkan nasib dan kesengsaraan rakyat serta memikirkan masa depan rakyat negara ini sebenarnya. Lakonan pimpinan UMNO-BN yang kononnya mendabik dada juara rakyat ini adalah hasilnya dengan akan berlaku berterusan kenaikan barang dan perkhidmatan.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor