THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, April 9, 2011

Tamatkan Hegemoni Taib Mahmud


Kenyataan media oleh Lim Lip Eng (Ahli Parlimen DAP - Segambut)

Pada pilihanraya DUN Sarawak ke-10, DAP telah bertanding di 15 kerusi di Sarawak. Antara 15 kerusi yang ditandingi oleh DAP, kita juga bertanding dalam N68 Bukit Kota.

Kerusi ini merupakan satu-satunya kerusi yang mana DAP bertembung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmub.

Sepanjang 48 tahun yang lalu, BN Sarawak telah menggunakan kedudukan politik untuk membina kekayaan dan menggunakan wang tersebut untuk memperkukuhkan kedudukan politik, lingkaran ganas sedemikian berterusan, kroni-kroni ahli politik BN telahpun mengeksploitasikan dan memonopoli sumber-sumber kaya yang boleh digunakan untuk pembangunan melalui urus niaga sulit "bawah meja" dan akhirnya merampas hak-hak penduduk Sarawak di sisi undang-undang.

Tanah negeri yang bernilai telah diberi milik kepada kroni-kroni BN pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran, kebanyakan projek utama Kerajaan Negeri juga diberi kepada kroni-kroni BN tanpa tender awam, hanya sedikit yang tertinggal untuk penduduk biasa Sarawak.

Dalam tempoh 30 tahun Taib memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, kroni-kroninya telah mengumpulkan kekayaan yang terlampau banyak sehingga mereka mampu memiliki hartanah bernilai berbilion-bilion Ringgit Malaysia di seluruh dunia. Manakala kebanyakan rakyat Sarawak masih hidup dalam keadaan yang tiada bekalan air, elektrik, kekurangan peluang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan.

Walau bagaimanapun, BN masih tidak rasa bersalah, sementara itu pemimpin-pemimpinnya sedang sibuk mengaut keuntungan daripada kedudukan mereka sebagai parti yang memerintah.

Bangkitlah rakyat Limbang, PBB ialah rakan sejenayah dasar-dasar dan tindakan-tindakan BN. Eksploitasi sumber-sumber di Sarawak mesti diberhentikan. Hak rakyat mestilah dibela. Bertindak sekarang, Ubah!

Tamatkan hegemoni Taib Mahmud, mula dari Limbang!


Friday, April 8, 2011

MANIFESTO PAKATAN RAKYAT BAGI PRN SARAWAK KE 10


10 perubahan dalam Manifesto Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 adalah seperti berikut:

1. Menjamin kebebasan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. Pentadbiran yang baik berdasarkan prinsip antarabangsa – cekap, Akauntabel, Telus atau CAT dengan mengagih kekayaan hasil bumi terus kepada rakyat; di samping menolak amalan nepotisme dan rasuah sebagaimana yang diamalkankan Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum ini.

3. Suruhanjaya Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra dengan menyelesaikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan mengembalikan semula tanah adat Orang Asal.

4. Menubuhkan Dana Pembasmian Kemiskini sebanyak RM1 bilion untuk menangani keluarga rakyat di bawah paras kemiskinan.

5. Menjamin hubungan baik antara persekutuan dan negeri Sarawak dengan meningkatkan pemberian royalti dari 5 peratus ke 20 peratus.

6. Membela Sarawak yang lebih hijau dengan menghentikan pembinaan empangan yang berlebihan serta melarang sama sekali pembinaan loji nuklear di Sarawak.

7. Layanan adil kepada semua rakyat Sarawak dengan membantu daftar kerakyatan rakyat tempatan, menyumbang RM200 untuk setiap anak anak masuk darjah 1 serta pemberian RM600 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas setiap tahun.

8, Mempertahan identiti kebudayaan etnik-etnik di Sarawak dengan menggalakkan pembelajaran bahasa ibunda serta memberikan peruntukan sistematik kepada anak Sarawak tanpa mengira kaum sebagaimana yang telahpun diamalkan oleh di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

9. Membela hak wanita dengan keserataan jantina di samping membina prasarana bagi membela nasib wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan rumah tangga dan lain-lain.

10. Melabur untuk masa depan dalam modal insan, infrastruktur termasuk membangunkan prasarana jalur lebar (WiFi) dalam masa 2 tahun sekiranya diberi mandat kelak.

PAKATAN RAKYAT LAWAN KEZALIMAN BARISAN NASIONAL

Perjuangan Pakatan Rakyat di Sarawak bukan berdasarkan sentimen individu tertentu, sebaliknya melawan kezaliman Barisan Nasional (BN), kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya berkempen untuk Pakatan Rakyat (PR) bagi kemenangan PRN Sarawak. PR akan menentang BN, bukan terhadap individu,” katanya ketika sidang media melancarkan manifesto PR di sini, hari ini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10.

Mengulas mengenai manifesto BN, Wan Azizah menyifatkan perkara biasa tetapi fokus sebenar adalah rakyat Sarawak yang berhak memilih Ketua Menteri.

“Isunya bukan manifesto, tetapi memberi laluan kepada rakyat Sarawak memilih Ketua Menteri mereka,” katanya.

Pelancaran manifesto itu dihadiri Presiden KEADILAN, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan calon KEADILAN, serta PAS,

PROGRAM DSAI DI SARAWAK PADA 9 APRIL 2011

Program Dato Seri Anwar Ibrahim di Sarawak esok (9 April 2011) adalah seperti berikut:

10.00 pagi – Ceramah – Kedai Ngu, Niah (DUN Kemena)

1.00 tghari – Ceramah – Sebauh (DUN Kemena)

5.00 ptg – Ceramah – Tatau (DUN Kakus)

8.00 mlm – Ceramah – Taman Seaview, Bintulu (DUN Jepak)

9.00 mlm – Ceramah – Restoran 96, Bintulu (DUN Kidurong)

10.30 mlm – Ceramah – Kampong Jepak, Bintulu (DUN Jepak)

MANIFESTO YANG PRAKTIKAL

OLEH HAZAYANI ZAKARIA

Manifesto Pakatan Rakyat Sarawak yang dilancarkan hari ini sangat praktikal untuk dilaksanakan dan merangkumi keperluan semua kaum di negeri ini, kata AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, manifesto yang dirangka oleh Pakatan Rakyat Sarawak dengan persetujuan Pakatan Rakyat Pusat itu dihasilkan setelah mengambil kira semua masalah dan isu-isu rakyat di Sarawak dan negeri-negeri Pakatan yang lain.

"Saya yakin manifesto Pakatan Rakyat untuk rakyat Sarawak merupakan manifesto yang paling praktikal dan boleh dilaksanakan dan menangani isu-isu di negeri Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Jadi sudah tentu sepuluh perkara yang dinyatakan dalam manifesto ini amat bertepatan sekali dengan masalah rakyat negeri Sarawak," kata beliau ketika ditemui selepas pelancaran manifesto berkenaan di pusat media PKR, dekat sini hari ini.

Terdahulu, manifesto berkenaan dilancarkan oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat negeri dan pusat antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan beberapa calon Pakatan Rakyat yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

Sepuluh perkara yang terkandung di dalamnya ialah kebebasan kepercayaan, pentadbiran yang baik, reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra, pembasmian kemiskinan, hubungan persekutuan negeri Sarawak yang lebih hijau, layanan adil kepada semua rakyat Sarawak, kebudayaan dan pendidikan, hak wanita dan melabur dalam masa depan.

Bagi reformasi tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra,Pakatan Rakyat memberi jaminan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumitputra bagi menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat Bumiputra (NCR),dan selepas itu mengkaji selidik dan mengeluarkan geran atau pajakan bagi tanah yang dipersoal sejajar dengan adat kaum asli Sarawak.

Nizar yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Perak juga berkata, kandungan manifesto berkenaan mampu memberikan satu perubahan kepada Sarawak dan rakyatnya.

"Saya yakin 10 perkara ini akan memberi kejutan dan transformasi yang besar di Sarawak tanpa ada elemen-elemen huru-hara. Ini yang nak kita pamerkan bahawa perubahan ini merupakan perubahan yang licin dan tidak melibatkan apa-apa perkara yang tidak diingini," katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang.

Thursday, April 7, 2011

NEGERI MEMANG DAH KAYA, RAKYAT YANG PAPA

DARI ANAK SUNGAI DERHAKA

Setelah berpuluh tahun menjarah harta kekayaan negeri Sarawak milik rakyat untuk mengkayakan sanak saudara dan juga kroninya, hari ini dalam manifesto pilihanrayanya Taib Mahmud dan gerombolannya cuba sekali lagi memperbodohkan rakyat Sarawak.
Dalam manifesto Barisan Nasional Sarawak yang dipimpin oleh Taib Mahmud, mereka mengula-gulakan rakyat yang bagi mereka masih buta maklumat hingga tidak menyedari akan kekayaan yang dimiliki oleh Sarawak selama ini..

Barisan Nasional Sarawak berjanji dalam manifesto pilihan raya mereka kali ini iaitu mereka akan menjadikan bumi kenyalang sebagai negeri terkaya di Malaysia.

Satu janji untuk terus memperbodohkan rakyat.. janji untuk menafikan selama ini negeri Sarawak memang kaya dengan berbagai sumber asli seperti minyak, gas dan balak..

Malangnya kekayaan negeri itu telah dikaut secara rakus oleh Taib dan Gerombolannya untuk membina harta dunia..

Kini setelah diasak begitu hebat.. barulah mereka berjanji untuk memelihara keamanan setelah gerakan merampas tanah adat milik kaum pribumi secara ganas mereka laksanakan.

Mereka juga berjanji meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan miskin dan memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan perumahaan dipertingkatkan setelah berpuluh tahun memerintah..

Dan mereka juga berjanji untuk Memelihara alam sekitar setelah kebanyakkan hutan dara Sarawak mereka ceroboh dan tarah..

Mereka berjanji juga untuk menyediakan peluang pendidikan untuk anak-anak.. setelah anak-anak kaum Penan menjadi mangsa rogol pemandu lori balak yang ditumpang mereka untuk kesekolah..

Jika sekarangpun negeri Sarawak memang kaya dengan sumber aslinya tetapi rakyatnya masih papa.. apa yang boleh rakyat Sarawak harapkan jika negeri Sarawak menjadi negeri yang terkaya?

Negeri Kaya.. Rakyat Papa.. Nak buat apa???

JATUHKAN DSAI KEUTAMAAN NAJIB

Watak sebenar Datuk Seri Najib Razak terserlah apabila Perdana Menteri itu lebih mementingkan usaha menjatuhkan musuh politiknya berbanding membela rakyat berdasarkan keengganannya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbani Mohamed.

Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang hanya mahu menubuhkan RCI dalam kes video fitnah, kononnya melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Presiden Umno itu terang-terangan menolak cadangan pelbagai pihak termasuk pimpinan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan menubuhkan RCI dalam kes melibatkan Sarbani atas alasan kes itu berbeza dengan kes Beng Hock, sedangkan kedua-duanya melibatkan kematian di bangunan SPRM.

“Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak pula membela nasib Sarbani yang mati jatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita mahu kes Sarbani (ke RCI) jika soal siasat yang dijalankan boleh memberi kesan kepada psikologi mangsa sehingga boleh menimbulkan fobia dan trauma.

“Jika begini sikap Najib, rakyat akan sedar watak sebenarnya yang tidak membela rakyat tanpa ada kepentingan politik,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu kepada KeadilanDaily, hari ini.

Fuziah kesal kerana Najib sering menuduh Pakatan Rakyat (PR) suka menggunakan isu perkauman dalam beberapa kes sebelum ini tetapi kini, Umno BN enggan pula membela nasib seorang Melayu - Sarbani.

Dalam kes Beng Hock, Kugan yang mati dalam lokap, Umno Barisan Nasional (BN) cakap kita guna isu perkauman. PR tidak pernah membangkitkan isu perkauman, kerana semua kaum teraniya, kita tolong,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya kaedah siasatan dan setiap gerak kerja dapat ditadbir dengan baik dan adil.

“Letak SPRM di bawah Parlimen kerana selagi berada di bawah Perdana Menteri, SPRM tidak akan bebas. Mereka juga perlu tubuh ahli jawatan kuasa khas daripada Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen supaya tahu selok belok prosedur penyiasatan dijalankan.

Dilaporkan, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini.

Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal.

SPRM sebelum ini mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari.

AMARAN DAP KEPADA LAWAN

DAP memberi amaran kepada parti lawan supaya tidak bermain taktik kotor dan mensabotaj peralatan serta program parti itu sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Menurut calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen, mereka akan membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diambil tindakan segera.

"Peralatan kempen seperti bendera yang dikibarkan sejak tiga hari lalu di pusat operasi DAP Batu 10 rosak teruk. Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan individu tertentu," katanya pada sidang media di sini (Kuching), Khamis.

Jelas beliau, perbuatan itu bukan saja membuktikan kelemahan lawan tetapi memberi gambaran awal bahawa mereka tidak yakin dapat menang pada pilihan raya negeri ke-10.

"Anda akan cuba melakukan apa saja untuk menghentikan program lawan jika tidak yakin dengan kemampuan parti sendiri. Oleh itu, saya mengingatkan kumpulan itu supaya tidak mensabotaj kempen parti lain," tegasnya.

Chieng Jen berkata, perkara seperti itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana petugas sistem audionya digertak sekumpulan samseng yang diupah individu tertentu untuk menjejaskan program mereka.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng amat berpuas hati dengan jumlah penonton yang hadir pada ceramah mereka walaupun kempen baru saja bermula semalam.

"Jumlah pada hari pertama kempen itu diluar jangkaan kami. Itu permulaan baik untuk parti. Jadi kita perlu menggandakan usaha dan mengharapkan yang terbaik pada pilihan raya negeri ini," katanya.

BARISAN NASIONAL ALIH ISU

Oleh USTAZ IDRIS AHMAD

Isu video telah memerangkap rakyat Malaysia sehingga hilang fokus kepada isu yang sebenar. Ketika rakyat sibuk membincangkan isu video, kerajaan BN telah menaikkan minyak RON 97 sebanyak 20 sen seliter manakala SPRM mengumumkan negara rugi RM108 bilion setiap tahun angkara rasuah dan aktiviti haram yang lain.

Kebijaksanaan pemimpin BN mengalihkan isu sebenar dengan permainan media mereka sehingga lupa kepada isu tidak kemampuan BN menguruskan negara. Begitu juga dengan buku jingga sampai sekarang tidak ada jawapan yang mantap untuk menjawabnya. Mereka hanya mampu mengatakan buku jingga boleh bawa bankrap jika Pakatan Rakyat laksanakan apabila mereka memerintah. Walaupun jawapan balas sudah diberikan dengan fakta tentang kemampuan PR melaksanakan agenda buku jingga.

Pakatan Rakyat jangan pula lalai dengan isu video sehingga lupa untuk agenda perubahan untuk rakyat. Semua maklum isu buku jingga pihak BN berada dalam keadaan defensif. Mereka hanya upah pemimpin Umno Sabah untuk bercakap mengenai buku jingga di dalam parlimen walaupun kadang-kadang tidak masuk station. Sehingga di dalam parlimen askar upahan BN membincang buku jingga dan terlupa bincang titah Diraja di dalam sesi palimen.


PAS yakin isu video, akan menjadi senjata makan tuan. Rakyat sudah mual dengan politik lucah yang tidak berkesudahan. Apakah ini politik transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak? Apakah rakyat boleh kenyang dengan video lucah? Apakah dengan isu ini inflasi negara akan menurun?


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

TAIB MAHMUD DAKWA TIADA PERNIAGAAN DI SARAWAK

DARI SARAWAK REPORT

Hanya pada minggu yang lalu, dengan berbohong, Taib Mahmud telah mengumumkan menerusi video bahawa dia dan anak-anaknya sentiasa mengelakkan diri mereka berniaga di Sarawak.

"Saya mengelak konflik kepentingan dari menghantui saya sepanjang masa. Jika saya berurusniaga di dalam negeri, orang akan mengatakan bahawa saya menggunakan pengaruh saya untuk menambahkan kekayaan saya, jadi, kami melakukannya di luar negara.”

Namun, kami tetap akan mendedahkan segala bukti untuk menghantuinya. Terdapat bukti-bukti yang berkaitan dengan berbilion-bilion ringgit yang telah disalurkan keluar dari negeri Sarawak oleh bank persendirian keluarga Taib sahaja. Semua urusniaga itu dilaksanakan di Sarawak dan juga di seluruh Malaysia.

Bank-bank milik keluarga Taib – perniagaan mereka digerakkan oleh pengaruhnya

Sebagai contoh, mari kita lihat pada UBG Bank (dahulunya dikenali sebagai Bank Utama), yang dimiliki oleh syarikat keluarga Taib, CMS sehingga bulan November tahun lalu. Pengerusi UBG Bank adalah anaknya, Abu Bekir, manakala timbalannya pula adalah Syed Ahmen Alwee Asree, iaitu suami kepada Hanifah Taib.

Menerusi kedua-dua anak dan menantu Taib itu, UBG Bank telah mengaut keuntungan sehingga berbilion-bilion ringgit. Sila teliti pada pegangan saham-saham mereka, dan perhatikan segala apa yang telah mereka jualkan. Bagi mereka yang sekadar gemar melemparkan tuduhan bahawa Sarawak Report telah mendedahkan bukti-bukti yang dianggap tidak betul adalah mereka yang gagal memuatturunkan Laporan Tahunan yang paling asas dan pengumuman-pengumuman dari internet. Tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka tidak layak memberikan komen-komen atau boleh kita anggap sebagai pembohong.

Berdasarkan rekod-rekod itu, misalnya, sehingga tahun 2007 UBG yang mempunyai kawalan ke atas sepertiga dari kesemua saham dan keseluruhan 60% saham-saham dalam bank yang keempat terbesar di Malaysia, RHB! Maka, berapakah nilai kesemuanya bagi keluarga Taib? Beberapa siri jualan awam telah diadakan bagi memberikan kita angka-angka yang kita perlukan itu.

Mendapatkan balik wang mereka – berapakah nilainya?

Pada tahun 2007, sebagaimana yang kita ketahui, keluarganya telah cuba untuk mendapatkan wang mereka dari saham-saham dalam RHB, kerana tiga percubaan jualan secara komersial telah mengalami kemerosotan selama tiga bulan berturut-turut. Dalam pada itu, Taib juga diketahui telah gagal meletakkan bidanya mengikut kehendaknya!

Namun, keluarga Taib amat bertuah, kerana sebuah perbadanan awam telah bertindak sebagai penyelamat kerugian keluarganya yang menawarkan untuk membeli saham-saham. Perbadanan awam yang kita maksudkan di sini adalah tidak lain dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP merupakan sebuah dana persaraan kakitangan kerajaan yang terbesar di Malaysia, dan diuruskan oleh sebuah lembaga yang didominasikan oleh ahli-ahli politik dan juga pemimpin-pemimpin perniagaan.

KWSP telah membayar sejumlah RM1.4 bilion secara tunai kepada para pemegang saham-saham UBG dan keluarga Taib bagi saham-saham dalam RHB. Wang tersebut adalah dari dana pencen penjawat awam yang dibayar masuk ke dalam akaun-akaun bank keluarga Taib.

Fakta-fakta ini amatlah bertentangan dengan penafian yang telah dibuat sendiri oleh Abdul Taib Mahmud dalam video temubualnya mengenai “tuduhan konflik kepentingan” dan “menggunakan pengaruhnya untuk menambahkan kekayaannya” dengan berniaga di dalam Sarawak dan Malaysia!

Dalam pada itu, tokoh-tokoh terkemuka negeri yang menganggotai Lembaga KSWP, antara lainnya, adalah rakan karib Taib sendiri, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Y.B. Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, yang telah kami dedahkan pada minggu lalu sebagai salah seorang dari perampas tanah orang-orang asal. Kenapa Encik Morshidi tidak sudi mengembalikan kesemua tanah-tanah yang diserahkan oleh Taib kepadanya – yang telah dibiayai dengan berjuta-juta ringgit wang para pesara kakitangan kerajaan?

Selain itu, KWSP juga diminta untuk menyelamatkan projek Empangan Hidro Elektrik Bakun. Memandangkan tiada di kalangan pelabur yang sanggup melibatkan diri dalam projek berkenaan, maka KWSP telah memperuntukkan RM5.75 billion sebagai suntikan modal untuk gajah putih itu, sekali lagi, menghidupkan semula usahasama dan menambahkan kekayaan syarikat CMS milik keluarga Taib, dengan pemberian pelbagai jenis kontrak di situ.

Dan Taib mengakui bahawa beliau tiada perniagaan di Sarawak mahupun di Malaysia, dan tiada konflik kepentingan? Sesuatu kenyataan yang tidak masuk akal!

Lebih banyak wang dari UBG

Setelah ianya menjualkan saham-saham RHB dengan banyak keuntungan, UBG seterusnya memperolehi kebaikan dari pengaruh tempatan. Ianya telah memperolehi faedah daripada dua syarikat, Putrajaya Perdana Sdn Bhd dan Loh & Loh Corp Bhd dan kemudiannya mengeluarkan saham-saham baru kepada sebuah syarikat persendirian, Majestic Masterpiece yang telah melonjakkan jumlah ekuitinya dari RM800 juta kepada kira-kira RM1.5 billion.

Dalam pada itu, UBG telah mengabaikan keperluan yang ditetapkan oleh Pasaran Saham bahawa sekurang-kurangnya 25% dari keseluruhan saham dalam syarikat awam yang disenaraikan, seharusnya mudah diperolehi oleh para pelaburnya, dan bukan dipegang oleh syarikat-syarikat yang mengendalikannya. Pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh Pasaran Saham dalam 2010 telah menyatakan bahawa UBG telah tidak mematuhi keperluan-keperluan itu kerana 90% dari saham bank berkenaan adalah di bawah kendalian CMS dan rakan barunya, Majestic Masterpiece. Mujurlah, Bursa Saham Malaysia telah meluluskan perlanjutan tempohnya itu!

Apakah faedah pengambilan kedua-dua oleh UBG pada 2008 itu? Negeri Sarawak telah bersungguh-sungguh menawarkan kontrak-kontrak utama negeri kepada mereka sejak beberapa bulan yang lalu!

Pada awal 2010, akhbar The Star telah melaporkan bagaimana syarikat Loh & Loh, telah berjaya mendapat salah satu daripada kontrak-kontrak utama negeri iaitu projek pembinaan jalan bernilai RM2 billion, dianugerahkan oleh Ketua Menteri! Projek tersebut adalah pembinaan RM645 juta jalan ke Empangan Murum, yang sedang dalam pembinaan (sebuah lagi projek gajah putih yang akan memusnahkan kawasan yang amat luas di Sarawak dan menambahkan kekayaan keluarga Taib).

Sementara itu, syarikat Putrajaya Perdana, yang diambil oleh UBG, telah juga mendapat kontrak-kontrak mewah, terima kasih kepada keputusan-keputusan bijak Ketua Menteri. Salah sebuah projeknya adalah pembinaan Ibupejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) di Isthmus di Kuching. Pada asalnya, kontrak itu telah dianugerahkan oleh Ketua Menteri kepada syarikat keluarganya, CMS dengan nilai RM232 juta. Kemudian, CMS menyerahkannya kepada anak syarikatnya yang baru, Putrajaya Perdana Construction, menerusi UBG dengan nilai RM231 juta.

Dua kontrak bernilai berjuta-juta ringgit dianugerahkannya kepada syarikat-syarikat milik keluarganya dalam masa beberapa bulan setelah diambil-alih! Tiada tanda-tanda beliau menjalankan perniagaan ‘di dalam negeri ini’? – adakah beliau ingat kita ini bodoh-bodoh belaka?

Dalam masa Taib menganugerahkan kontrak-kontrak utama kepada kedua-dua anak syarikat milik keluarganya itu, beliau juga diketahui telah berusaha memperolehi faedah dari UBG. Beberapa siri rundingan telah dijalankan untuk menjualkan saham-saham CMS dalam bank itu, dan juga saham-saham Majestic Masterpiece kepada sebuah lagi syarikat yang bermisteri, yang dikenali sebagai PetroSaudi.

PetroSaudi International adalah sebuah syarikat yang dikatakan berpangkalan di negara Arab yang telah menunjukkan minatnya melabur dengan membeli keseluruhan UBG dan menjadikannya sebagai syarikat persendirian. Syarikat berkenaan pernah mengejutkan media-media di Malaysia dengan pelbagai-bagai janji untuk melabur secara besar-besaran dalam usahasama dengan Kerajaan, yang akhirnya tidak menjadi reality sepanjang tahun 2010. PetroSaudi telah dikatakan mempunyai perkaitan dengan seorang putera raja Arab dan beribupejabat di Arab.

Namun, Pejabat Rekod-rekod Syarikat di UK telah mengeluarkan cerita yang berlainan. Pejabat berkenaan menyatakan bahawa PetroSaudi International telah dikorporatkan pada 18hb Februari 2010, dan negara asalnya adalah United Kingdom! Ianya mempunyai pejabat-pejabat di Arab Saudi dan juga di Geneva, Switzerland, tetapi asal-usul syarikat itu adalah sejajar dengan keputusan Taib Mahmud untuk mengeluarkan berbilion-bilion ringgit sahamnya dari UBG di Sarawak dan menjualkan keseluruhan keusahawanannya itu kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di luar Malaysia.

Kajian dan siasatan kami ke atas pejabat-pejabat PetroSaudi International di 1 Curzon Street, Mayfair di London dan mendapati mereka menggunakan ruang-ruang pejabat di sebuah bangunan yang khasnya disewa oleh Asset Management, iaitu sebahagian dari Swiss Bank UBS.

Suatu lagi sumber keuntungan yang amat lumayan

Dengan anak-anak syarikat UBG yang baru dan dianugerahkan kontrak-kontrak besar negeri, adalah mudah sangat untuk memujuk PetroSaudi International mengambil-alih bank awam ini, dengan pemilikan 90% saham yang ada pada kedua buah badan itu (walaupun bercanggah dengan peraturan Bursa Saham Malaysia), kembali ke pangkuan-pangkuan persendirian.

Hanya pada 1hb November 2010 pembelian saham-saham CMS dan Majestic Masterpiece diselesaikan oleh PetroSaudi International. Tawaran yang dicadangkan telah diumumkan beberapa bulan sebelum itu oleh CMS yang berjumlah RM466 juta.

Amaun tersebut telah menjadikan sejumlah kira-kira RM2 bilion yang telah diperolehi oleh keluarga Taib daripada perniagaan perbankan hanya dalam masa beberapa tahun sahaja. Jual-beli ini telah melibatkan suntikan dana persaraan para bekas penjawat awam dan digunakan ke atas kontrak-kontrak negeri yang diraih oleh syarikat-syarikat Taib di sepanjang tempoh rundingan itu.

Bagaimana Taib Mahmud boleh mengakui bahawa beliau tidak menjalankan perniagaan di Sarawak untuk mengelakkan dari dihantui oleh tuduhan-tuduhan konflik kepentingan? Mudah sahaja – beliau TELAH menggunakan kedudukannya dan pengaruhnya untuk menguntungkan diri sendiri. Beliau telah melarang semua bentuk media untuk melaporkannya kepada umum.