THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, July 22, 2010

STATUS TANAH KG. BARU DITUKAR

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mengatakan hampir kesemua tanah di Kampung Baru sudah dikeluarkan hak milik dari senarai Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 ke bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

DPPWP mempersoalkan tatacara penukarkan atau pengeluaran status hak milik tanah di Kampung Baru kerana selama ini semua penduduk di situ dan satu negara tahu bahawa tanah di kampung Baru adalah tertakluk kepada Enakmen MAS 1950.


Kenyataan beliau bahawa enakmen berkenaan juga sudah tidak releven juga amat meragukan kerana tidak ada sebarang rekod pemansuhan Enakmen ini di Parlimen atau di sidang Dun Selangor. Apa hak beliau untuk mengistiharkan ketidakrelevenan enakmen berkenaan. Beliau hanya seorang Menteri senator, dan kuasa Parlimenlah untuk menentukan kedudukan enakmen ini masih releven atau tidak.

Tanah Kampung Baru adalah anugerah Sultan Selangor kepada masyarakat Melayu di Kuala Lumpur dan statusnya berbeza dengan tanah-tanah rizab Melayu yang lain. Bagi sebarang pemansuhan Enakmen dan akta, ianya perlu dibawa ke parlimen atau dewan yang mula-mula mewujudkannya sebelum diistiharkan sebagai tidak releven atau dimansuhkan.

Apabila Menteri Umno ini menyatakan hampir kesemuanya sudah diletakan dibawah KTN, itu bermakna masih ada lagi yang kekal dibawah Enakmen MAS sekaligus membuktikan bahawa enakmen MAS masih releven.

DPPWP mengingatkan Menteri ini, supaya membuat penafsiran undang-undang dengan betul dan menyatakan fakta sebenarnya kepada penduduk. Penduduk patut tahu bagaimana tanah mereka boleh bertukar status dan apakah jaminan undang-undang bahawa tanah mereka setaraf dengan tanah Rizab Melayu dibawah akta KTN.

Hanya kerana ingin mendesak penduduk mengadaikan tanah mereka untuk projek mega berbilion ringgit, Menteri menghamburkan fakta-fakta yang kucar-kacir. Malah beliau juga baru sahaja menarik balik cadangan 60:40 untuk pembangunan Kampung Baru yang ternyata ditentang hebat ramai pihak.

Dasar yang longgar, persedian dan perancangan yang tidak jelas membuktikan bahawa Menteri ini sebenarnya tidak tahu apa yang dia mahu buat kepada Kampung Baru. Beliau tidak tahu bentuk pembangunan apa yang sesuai, melainkan mahu membeli tanah penduduk dengan harga yang murah dan kemudiannya membina rumah-rumah kondo dan lot-lot perniagaan yang berharga ratusan ribu untuk dijual kepada bukan Melayu dan Pelabur asing.

Tawaran pembangunan oleh Menteri ini sebenarnya belum begitu memuaskan hati penduduk dan DPPWP menasihatkan agar beliau tampil dengan satu perancangan dan penjelasan yang lebih konkrit lagi di masa depan agar hak penduduk Kampung Baru tidak tergadai begitu sahaja.

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan