THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, May 9, 2010

SIBU - DAP (PR) 40 DAN BN (SUPP) 60

Pilihanraya kecil Sibu, Sarawak menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila calon bebas, Narawi Haron masuk gelanggang pertembungan antara calon SUPP-BN, Robert Lau Hui Yew dengan calon DAP-PR, Richard Wong Ho Leng. Sementara BN menyatakan tekadnya untuk melanjutkan kemenangan PRK Hulu Selangor ke Malaysia Timur, calon PR pula menonjolkan isu banteras rasuah sebagai agendanya, sekiranya diberi mandat untuk masuk ke Dewan Rakyat.

Ketua ahli parlimen DAP, Lim Kit Siang sebelum ini meramalkan peluang kemenangan DAP-PR dalam nisbah 4:6, berbanding BN. Beliau mengakui PRK Sibu adalah pertarungan yang sengit, namun tetap yakin bahawa pengundi Sibu akan memilih perubahan, lantas mencipta keajaiban setelah tujuh hari berkempen.

Malah, Lim Kit Siang menekankan bahawa PRK Sibu bakal membawa perubahan kepada Sibu, Sarawak dan kerajaan persekutuan. "Oleh sebab BN akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kerusi ini. Jadi, sekiranya kemenangan memihak kepada DAP, maka dalam tempoh 12 hingga 18 bulan yang akan datang, kita akan menyaksikan perubahan yang tidak pernah berlaku."

Biarpun menyifatkan calon SUPP-BN, Robert Lau Hui Yew sebagai "gentleman" yang berhemah, namun Lim Kit Siang sempat mencuit calon BN ini sebagai "mangsa dasar BN", apabila menyindir Robert Lau tidak yakin dengan sekolah di bawah sistem kerajaan, kerana menghantar anaknya ke Sekolah Antarabangsa Sibu.

Rasuah, banjir, infrastruktur

Richard Wong Ho Leng yang bertanding di Sibu untuk kali keempat, jugalah ADUN Bukit Assek di dalam kawasan parlimen Lanang. Beliau enggan mengulas kemungkinan beliau tewas untuk kali keempat di Sibu, sambil menyatakan bahawa beliau yakin tuah akan memihak kepadanya kali ini.

Richard Wong Ho Leng mempertikaikan sejauh manakah BN menyelesaikan masalah banjir di Sibu, setelah 24 tahun memegang kerusi ini. "Banjir melanda setiap tahun. RM227 juta diperuntukkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir, tetapi berapakah yang benar-benar digunakan dalam menyelesaikan masalah banjir?"

Richard Wong Ho Leng berjanji bahawa isu rasuah akan dibawanya ke dalam Dewan Rakyat, seandainya diberi mandat oleh pengundi Sibu. Beliau menuding kepada masalah rasuah yang menyebabkan kemiskinan negeri Sarawak, sehingga infrastruktur yang terdapat di negeri keempat miskin ini masih ketinggalan. Keadaan jalan yang teruk, tiada bekalan air dan elektrik sehingga banyak rumah panjang yang menjana elektrik dengan genarator. "Kami minum sky juice yang sebenar," sindirnya apabila menggambarkan kehidupan sesetengah kampung orang asli yang masih bergantung kepada air hujan sebagai minuman.

Warisan mendiang Robert Lau Hoi Chew

66.7% daripada jumlah pengundi Sibu berketurunan Cina. PR menyasarkan sokongan 75% daripada masyarakat Cina untuk memenangi PRK ini. Namun, ia semestinya bukan tugas yang mudah apabila SUPP kini mengambil pendekatan "jadikan kemenangan BN sebagai penghargaan kepada mendiang Robert Lau Hoi Chew" untuk menarik undi komuniti Cina.

Mendiang Robert Lau Hoi Chew dikatakan meninggalkan kata-kata akhir agar Robert Lau Hui Yew mewarisi kerusinya di Sibu. Walaupun SUPP berjaya mempertahankan kerusi ini semasa PRU ke-12, tetapi kemenangan tersebut kurang manis apabila kehilangan sebahagian sokongan daripada masyarakat Cina.

Presiden SUPP George Chan Hong berharap agar BN mampu mengembalikan sokongan masyarakat Cina, dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia dalam PRK Sibu ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Yassin pula mengharapkan BN berjaya melanjutkan kemenangan dari Semenanjung Malaysia ke Sibu, untuk membuktikan bahawa semua kaum menyokong BN. Beliau mengakui bahawa setiap PRK penting kepada BN untuk menguji sejauh manakah penerimaan rakyat terhadap polisi kerajaan.

500 PR vs 3000 BN

BN jelas menguasai gelanggang pada hari penamaan calon apabila berjaya mengerah kira-kira 3000 penyokong, berbanding dengan hampir 500 orang dari pihak PR. PRK ke-11 setelah PRU ke-12 ini diadakan apabila penyandangnya, Robert Lau Hoi Chew meninggal dunia pada 9 April. Daripada 10 PRK yang berlangsung sebelum ini, BN memenangi 3 daripadanya, termasuk DUN Batang Ai (7 April 2009), DUN Bagan Pinang (11 Oktober 2009) dan parlimen Hulu Selangor (25 April 2010).

Terdapat 54,695 orang pengundi mendaftar, termasuk 2,537 pengundi pos di kawasan pengundian Sibu. 36,389 (66.7%) daripadanya adalah pengundi Cina, sementara Iban dan Melanau membawa jumlah 12,050 (22.1%), 5,740 (10.5%) orang Melayu, 54 orang India (0.01%) dan kaum yang lain, 289 orang (0.53%).

PRU ke-12 pada tahun 2008 menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang berakhir dengan kemenangan kepada Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi), dengan majoriti 3,235 undi. Richard Wong Ho Leng dari DAP mendapat 15,903 undi dan Lim Chin Chuang dari PKR (812 undi). Kadar pengundian mencatat 67.77%, dengan 526 undi rosak.

SUMBER http://merdekareview.com/

0 comments: