THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, April 8, 2010

PENCABULAN AMALAN FEDERALISME

Pencabulan amalan federalisme bukanlah sesuatu yang baru, namun bahangnya semakin hangat selepas tsunami politik PRU ke-12. Secara teorinya, ahli akademik menganggap amalan federalisme penting untuk mempertahankan demokrasi; malah secara praktikalnya pula, ahli politik melihat pencabulan amalan federalisme telah memperhambakan institusi perundangan kepada parti pemerintah di peringkat persekutuan, iaitu Barisan Nasional.

Mantan Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin (gambar kiri) yang digelar sebagai "mangsa kepada pencabulan amalan federalisme", "memperbetulkan" kenyataan tersebut kepada rakyat yang menjadi mangsa sebenarnya, memandangkan kesannya cukup luas, mencakupi institusi kehakiman, polis, parlimen, Dewan Undangan Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.

"Kesannya, mereka (institusi-institusi perundangan tersebut) memberi perhambaan mereka kepada Barisan Nasional," kata Nizar Jamaluddin, yang menyifatkan pencabulan amalan federalisme sebagai "bapa kepada segala pencabulan".

Demikianlah perkongsian pandangan dan pengalaman dalam satu forum berjudul "Pencabulan Amalan Federalisme: Implikasi kepada Institusi Perundangan di Malaysia", anjuran Free Public Forum (FPF) bersama ILHAM Centre pada pada 1 April, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bertempat di Auditorium Dewan Sivik MBPJ.

Kira-kira 600 orang hadir untuk mendengar ucapan ahli parlimen Bukit Gantang Nizar Jamaluddin, pakar perlembagaan Professor Abdul Aziz Bari, pakar perundangan Sulaiman Abdullah dan ahli parlimen Subang-PKR Sivarasah Rasiah. Bagaimanapun, dua orang panelis yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim dan EXCO Kelantan, Husam Musa gagal hadir.

"Majlis" digunakan untuk menekan negeri

"Amalan atau prinsip federalisme ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk mempertahankan demokrasi," sebelum Abdul Aziz menjelaskan, "Dengan kata lain, prinsip federalisme atau kedaulatan undang-undang ini adalah perkara yang harus berjalan serentak."

"Saya teringat apa yang disebut oleh William Riker (pakar Sains Politik Amerika Syarikat), yang memberi amaran bahawa... pada akhirnya, sama ada sistem federalisme itu berkesan ataupun tidak, bergantung kepada sistem politik itu sendiri, bergantung kepada budaya politiknya," tambahnya.

Abdul Aziz menganggap bahawa perlembagaan Malaysia telah pun menyediakan satu kerangka yang cukup baik, memperlihatkan "bagaimana diwujudkan Majlis Raja-Raja, bagaimana diwujudkan pelbagai majlis, Majlis Tanah Negara, Majlis Kebangsaan, Kerajaan Tempatan..."

"Malangnya, majlis-majlis ini telah digunakan untuk menekan negeri," Abdul Aziz memilih negeri Perak sebagai contoh huraian, "Soal pembahagian tanah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dipusing, diputar dengan Majlis Tanah Negara. Kalau kita lihat perlembagaan kita, Majlis Tanah Negara tidak ada kuasa dalam pembahagian tanah. Ia hanya diberi kuasa untuk membincangkan, untuk menentukan dasar-dasar yang perlu dibincangkan dalam dan ia tidak boleh dipaksakan..."

"Dengan kata lain, soal pembahagian tanah adalah kuasa mutlak kerajaan negeri," rumus pakar perlembagaan ini.

"Spy" dalam kerajaan negeri

Abdul Aziz Bari (gambar kiri) juga menyentuh bagaimana pegawai pentadbiran kerajaan negeri, seperti jawatan Penasihat Undang-Undang, Pegawai Perundangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya ditentukan oleh kerajaan pusat. Malah, Abdul Aziz menuduh bahawa penyandang jawatan tersebut adalah "spy" (perisik) yang diletakkan oleh kerajaan pusat ke dalam kerajaan negeri.

Bekas MB Perak Nizar Jamaluddin yang berucap kemudiannya, mengesahkan tuduhan "spy" tersebut dengan pengalaman dirinya ketika memerintah negeri Perak. Malah, beliau menuduh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Abdul Rahman bin Hashim, memulakan kerja konspirasi dan sabotaj sejak hari pertama PR mengambil alih tampuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, "Saya sebagai Menteri Besar hanya boleh bekerja dengan setiausaha kerajaan yang menyokong kami. Tetapi kerana dia ini merupakan agen kepada federal, ditanamkan di situ, untuk meretak dan mengancam kami."

Untuk menyelesaikan masalah ini, Nizar berkata dirinya telah menghadap Sultan Perak sebanyak dua kali. Ketika menghadap Tuanku, beliau berkata, "Sebagai menteri besar, kerajaan patik dikacau. Tuanku tanya, siapa yang mengganggu kerajaan Dato Seri? Saya kata Setiausaha Kerajaan Negeri."

"KSN tengok saya macam lembu kenyang"

"Kalau ditafsirkan sebagai sebuah syarikat, saya sebagai MD (Managing Director) tak boleh dapat kerjasama daripada GM (Genaral Manager) saya. Bahkan GM saya sabotaj. Dia hadir dalam semua mesyuarat EXCO. Mesyuarat EXCO diadakan setiap hari Rabu dari pukul 9 pagi sampai 6 petang tiap-tiap minggu," katanya.

"Pukul enam habis mesyuarat, (pada jam) 6:30, apa yang kami bincangkan dalam mesyuarat EXCO sampai ke pejabat UMNO, dan kemungkinan Putrajaya," beliau sambung, "Saya minta Tuanku bantu, kalau boleh. Kerana kita tertakluk kepada federalisme, setiausaha kerajaan yang dilantik sebagai officer di negeri Perak, gaji dibayar oleh rakyat negeri Perak. Master dia di Putrajaya."

"Saya jumpa dengan Tuanku dua kali. Memohon perkenan Tuanku membantu, diubahkan dia (Setiausaha Negeri). Tak dapat dengan begitu. Saya buat appointment berjumpa dengan Tan Sri Sidek Hassan (Ketua Setiausaha Negara) dua kali. I minta, Tan Sri, apakah sudi sekiranya diubahlah dia di Putrajaya, gantikan dengan orang lain yang saya boleh bekerja."

"Dia tengok saya macam lembu kenyang. Tahu lembu kenyang? Padan muka hang! Memang begitu dia nak respon daripada saya. Kerana kalau saya diganggu-gugat, bermakna KPI SUK Perak nombor satu, memenuhi tuntutan Putrajaya mengganggu-gugat kamu," kata-kata Nizar disambut dengan gelak ketawa dari dewan.

Majoriti wakil negeri dalam Senat

Pengamal undang-undang, Sulaiman Abdullah turut mengingatkan bahawa "polis, mahkamah dan perkhidmatan awam, harus sedar bahawa tanggungjawab mereka, loyalty (kesetiaan) mereka adalah pada rakyat dan pada perlembagaan, bukan pada mana-mana parti politik."

"Sebagai contoh, tiap-tiap negeri ada seorang penasihat undang-undang, tetapi dia datang dari Federal Legal Service. Dan seperti lazim, mungkin beliau ingat loyalty (kesetiaan)-nya, beliau mesti bertanggungjawab kepada peguam negara. Manakala seharusnya beliau bertanggungjawab kepada MB, yang menjadi ketua di dalam kerajaan negeri," tegurnya.

Sulaiman Abdullah juga mengupas pencabulan amalan federalisme dari persepktif dewan negara, memperlihatkan bagaimana perwakilan negeri dikurangkan dari tahun ke tahun, lantas memberi impak kepada amalan federalisme.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 45, Senat atau Dewan Negara ketika ditubuhkan pada tahun 1957 semasa negara mencapai kemerdekaan, keahlian Senat adalah sebanyak 38 orang. Dengan peruntukan dua orang wakil dari setiap negeri, maka terdapat 22 orang senator yang merupakan wakil negeri. 16 yang selebihnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Sulaiman berkata, situasi ini menunjukkan bahawa pihak negeri mempunyai kuasa majoriti dalam Senat. Beliau berkata, "Jadi, parlimen tidak boleh meluluskan mana-mana undang-undang yang mengongkong mana-mana negeri sekiranya semua wakil dalam negeri Senat bersetuju tidak menyokong undang-undang itu. Mereka adalah majoriti."

Ketika Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, bilangan ahli Senat meningkat kepada 28, memandangkan bilangan negeri telah bertambah kepada 14. Bilangan senator yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong pula meningkat kepada 22. Walau bagaimanapun, wakil negeri masih menjadi majoriti dalam Dewan Senat.

"...Pada Julai 1964, walaupun wakil negeri tetap pada 28 (orang), tetapi wakil yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong telah naik ke 32 orang. Jadi kita dapati majoriti dari pusat lebih daripada wakil negeri," kata Sulaiman.

Selepas tahun 1978, jumlah senator yang dipilih oleh Yang Di-Pertuan Agong bertambah kepada 40 orang, sementara wakil negeri berkurang kepada 26 lantaran daripada terkeluarnya Singapura dari Malaysia. Menurut Sulaiman (gambar kanan), kita mempunyai 40 orang senator yang dilantik Yang Di-Pertuan Agong, 26 orang wakil dari negeri dan empat orang lagi dilantik Yang Di-Pertuan Agong sebagai Wilayah Persekutuan (satu dari Labuan, satu dari Putrajaya dan dua dari Kuala Lumpur).

"Jadi, kita ada satu situasi di mana suara negeri ditindas, dikurangkan di Senat, di mana ia harus memainkan peranan yang penting. Di Amerika Syarikat, kita dapati Senat di sana dipenuhi dengan hanya dengan wakil negeri, iaitu 50 negeri hantar 100 wakil ke Senat," kata Sulaiman.

Kelayakan jadi Senator: Kalah dalam PRU

Malah, Sulaiman Abdullah sempat menyindir cara perlantikan senator sekarang, dengan berkata, "Kalau mengikut cara Barisan Nasional, kelayakan menjadi ahli Senat adalah kalah di dalam pilihan raya umum."

Beliau membacakan Perkara 45(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, berbunyi, "Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang Dipertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang asli."

Sindirannya mengusik hati hadirin apabila beliau berkata, "Jadi, bahasa di sini amat sedap. Boleh jadi orang yang harus menurut bahasa itu kurang sedap."

Malah, Sulaiman Abdullah membacakan perkara 45(4), yang menyatakan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang,
(a) Menambah bilangan ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu negeri sehingga tiga orang;
(b) Membuat peruntukan supaya ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu Negeri dipilih dengan undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;
(c) Mengurangkan bilangan ahli-ahli yang dilantik atau menghapuskan ahli-ahli yang dilantik.

Menurut Sulaiman, peruntukan dalam perlembagaan ini membenarkan parlimen meluluskan undang-undang yang akan membenarkan rakyat jelata memilih senator untuk mewakili negeri mereka.

"Realiti di Malaysia haruslah realiti di mana kuasa diberi kepada rakyat. Realitinya bukan seperti sekarang, di mana kuasa dihadkan kepada kabinet, bukan kepada parlimen pun, tetapi pada kabinet hakikatnya. Dan lebih sedih lagi, kuasa dihadkan, dipusatkan dalam konteks Perdana Menteri sahaja," kata Sulaiman.

SUMBER http://merdekareview.com/

0 comments: