THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, March 1, 2010

MCA BIDAS IBRAHIM ALI

Kenyataan media asal oleh TI LIAN KER selaku Pengerusi Biro Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan MCA.

MCA hari ini membidas sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) Ibrahim Ali yang mendesak kerajaan menghentikan pemberian projek atau tender istimewa kepada syarikat korporat Cina yang tidak tahu berterima kasih.

Kenyataan beliau berlandaskan ras dan berbau perkauman adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan sentimen prasangka perkauman yang semakin menebal dalam negara kita. Kenyataan sedemikian akan menimbulkan ketidaktenteraman bangsa Malaysia yang sedang diancam oleh ancaman luar dan dalaman di mana keharmonian negara buat pertama kalinya terancam oleh pelbagai isu nasional yang sengaja diwar-warkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda merosakkan ketenteraman negara.

Kenyataan Ibrahim itu seharusnya merujuk kepada semua kaum berlandaskan prinsip-prinsip yang murni dan bukannya mendedahkan kehodohan muka perkauman Ibrahim yang berselindung di bawah pertubuhan Perkasa dengan agenda politik peribadi semata-mata. Minda zero sum game berlandaskan batasan kaum juga akan merugikan negara dan bangsa dalam kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi oleh semua.

Kenyataan Ibrahim yang melulu dan tidak berasas adalah satu strategi politik lampau yang tidak boleh lagi diguna pakai dalam era 1Malaysia yang mempromosikan keberkesanan dan sumbangan positif kepada pembangunan negara yamg dapat membawa keuntungan optimum kepada semua rakyat Malaysia. Dengan menjadikan korporat Cina sebagai sasaran akan menghalang kemasukan pelabur-pelabur asing dan kepakaran apabila mereka mengubah haluan akibat ketidakselesaan terhadap dasar negara yang menjadikan mereka mangsa tuduhan dan tohmahan.

Kenyataan Ahli Parlimen Bebas itu bolehlah disifatkan sebagai dangkal dan tidak relevan dalam era globalisasi yang semakin mencabar dan terbuka. Pandangan negatif sedemikian rupa adalah bertentangan dengan segala usaha murni pihak kerajaan dalam meliberalisasikan ekonomi negara, ke arah menarik lebih ramai pelaburan dalaman dan dari luar ke arah pembangunan negara, yang akan membawa keuntungan melimpah kepada rakyat keseluruhannya.

Seharusnya semua pihak sepatutnya memberikan tumpuan tuntas dan fokus kepada usaha meningkatkan tahap daya saing ekonomi negara yang kini sedang berhadapan dengan saingan dan peluang kebangkitan ekonomi dari negara-negara jiran.

"Ini bukan masanya untuk kita berdebat mengenai siapakah yang seharusnya menikmati pai ekonomi negara yang lebih banyak. Dalam keadaan daya saing ekonomi negara kita yang kini semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran, inilah masanya untuk semua pihak bersepakat duduk berbincang dan mencari jalan bagaimana untuk merencanakan kembali ekonomi negara tanpa menimbulkan isu-isu emosi berlandaskan politik semata-mata. Ini kerana akhirnya, ia akan merugikan negara dan rakyat jua yang akan sengsara.

Justeru, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim itu adalah "counter-productive" dan cenderung kepada agenda membinasa daripada agenda membina. Cara dan pendekatan beliau yang ingin mengapi-apikan emosi perkauman, untuk memonopoli peluang-peluang ekonomi berasaskan perkauman adalah ketinggalan masa dan tidak lagi secocok dengan hasrat kepimpinan negara. Rakyat sekarang inginkan ketelusan, keadilan dan kesaksamaan demi masa depan mereka.

MCA berpandangan, mana-mana kontraktor yang mempamerkan sikap positif dan keupayaan terutamanya dari segi kesanggupannya, kemampuan dan keberkesanannya, harus dan perlu diberi peluang yang setimpal untuk bersaing supaya mereka kekal dan terus menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

Polemik politik Ibrahim akan menjejaskan kepentingan dan kestabilan negara. Tindakan beliau dikhuatiri akan menakutkan pelabur dalam negara. Inilah masanya kita menunjukkan sikap mesra pelabur dan bukannya kehodohan perkauman.

Tiada gunanya negara menampung kontraktor yang tidak berkesan dan kurang berprestasi yang pada akhirnya akan menggadaikan mutu pembinaan, selain mengancam keselamatan rakyat. Imej negara juga akan terjejas. Pengorbanan piawaian dan rasuah kuasa telah menyebabkan kerajaan dan rakyat mengalami kerugian atas keuntungan segelintir individu. Masalah ini juga telah mengancam kestabilan ekonomi dan keselamatan pengguna dan rakyat.

Oleh yang demikian, sekiranya kontraktor-kontraktor yang mendapat tender tidak mempamerkan prestasi yang cemerlang dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, maka peluang mendapat tender itu tidak harus diberikan kepada mereka lagi di masa hadapan sejajar untuk memupuk prestasi keberkesaan, penyampaian dan amanah di bawah slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan."

"Inilah konsep 1Malaysia yang kita mahu lihat yang mana segala bentuk amalan-amalan yang tidak produktif memberi laluan kepada amalan-amalan yang lebih sihat," ujarnya lagi.

SUMBER http://merdekareview.com/

0 comments: