THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, March 2, 2010

BAHAN TERBUANG

Perjuangan memerlukan insan yang tabah, tekun, dan cekal. Insan yang lembek akan menjadi makanan paus yang sentiasa kelaparan. Ramai insan yang lembek dalam PKR. Mereka tidak tahan dolat.

Insan yang lembek pun ada agenda sendiri. Menjadi duri dalam daging sesuatu perjuangan ialah tugas hakiki mereka. Sesudah mendapat pelbagai maklumat, mereka pun menikam kawan dari belakang.

Inilah punca kepada semua persoalan yang melengkari pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dewasa ini. Banyak sudah rahsia yang dipecahkan oleh tali barut UMNO itu. Sallehuddin, Fairuz, Zahrain, Tee Beng, Osman, dan Jamaluddin sudah tinggalkan PKR. Mungkin ramai lagi yang akan keluar apabila diberi habuan lumayan. Yang tertekan ialah rakyat jelata yang terus dihimpit masalah kewangan.

Situasi ini memperlihatkan beberapa keanehan. Pertama, UMNO yang memegang kuasa tiba-tiba menjadi tong yang menyimpan sampah-sarap tetapi berdendang sayang tentang kejayaan pengumpulan yang hina dina itu. Kedua, mereka telah meletakkan kredibiliti dan integriti mereka di celah-celah politik lama yang masih mereka tatang ke sana sini.

Ketiga,begitu sekali rendahnya maruah UMNO pada pandangan rakyat yang majoritinya telah berpindah ke politik baru. Politik baru mementingkan pejuang yang bukan sahaja tulen malahan juga sejati. Politik baru berusaha sehabis daya merakyatkan sumber kekayaan negara. Politik baru sentiasa mempertahankan perkara asas perlembagaan negara. Politik baru menolak rasis demi perpaduan dan integrasi kaum.

Alhamdulillah!!! Rakyat Malaysia telah celik politik. Mereka tidak akan menari mengikut langkah songsang UMNO. Mereka terdiri daripada spesies telunjuk lurus kelingking berkait. Spesies ini berhati khianat, tidak menghiraukan halal haram, dan menghalalkan cara demi matlamat.

Kita memerlukan Malaysia yang bersih daripada noda dan dosa rasuah. Kita memerlukan Malaysia yang suci daripada ketirisan. Kita memerlukan Malaysia yang terhindar daripada penyalahgunaan kuasa. Kita memerlukan Malaysia yang berkualiti, berkredibiliti, dan berintegriti. Hanya dengan cara itu kita akan hidup dalam suasana yang relatif sempurna. Kita boleh mencapainya jika meninggalkan UMNO jauh-jauh.

SUMBER http://bilahrotan.blogspot.com/

0 comments: