THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, December 15, 2009

BN HAMPIR TUMBANG

Oleh LUKMAN ABDULLAH

Jika lebih setahun lalu, cubaan pakatan rakyat melalui usaha pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘menggulingkan’ kerajaan dibuat secara pujukan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti gagal, usaha dan hasrat tersebut sebenarnya tidak pernah padam.

Cumanya kali ini ia dibuat melalui cara yang lebih demokratik iaitu dengan berusaha menggagalkan bajet yang telah dibentangkan oleh kerajaan. Mengikut amalan berparlimen, jika sesuatu bajet yang dibentangkan oleh kerajaan tidak diluluskan, ia bererti kerajaan yang sedia ada perlu meletakkan jawatan. Itulah aturan mainnya.

Perkara tersebut hampir menjadi kenyataan Isnin malam apabila perbahasan peringkat jawatankuasa untuk bajet setiap kementerian selesai dibahaskan. Terakhir bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Setelah selesai dibahas dan digulung oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seperti amalan biasa akan meminta suara ahli yang bersetuju atau menolak.

Namun menyedari kehadiran Ahli Dewan Rakyat kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang selalu tidak penuh, Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagian dibuat. Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.

Timbul sedikit suasana panik di pihak BN bila cadangan undi belah bahagian diminta kerana jumlah Ahli Dewan Rakyat pembangkang kelihatan begitu ramai dan Anwar sendiri turut hadir sehingga lewat malam.

Setelah loceng panggilan dibunyikan selama dua minit, pengundian dijalankan yang menyaksikan keputusannya 64 suara menyokong bajet untuk KDN diluluskan manakala 63 menolak.

Menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir lewat malam bagi memastikan undi BN mengatasi undi pembangkang.

Setelah itu berlaku pertikaman lidah yang mempertikaikan keputusan undian tetapi Speaker berjaya menteteramkan keadaan.

Panik tidak terhenti setakat itu kerana setelah urusan perbahasan peringkat jawatankuasa selesai, Dewan Rakyat harus mengundi sekali lagi bagi bacaan kali ketiga untuk meluluskan keseluruahn bajet berkenaan.

Sekali lagi pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M.Kulasegaran meminta agar undi belah bahagian dijalankan.

Dalam masa itu beberapa orang Ahli Dewan Rakyat sampai dan menjadikan 66 menyokong bajet 2010 diluluskan manakala yang menolak kekal 63 undi.

Menariknya drama lewat malam itu ialah mengenai masa depan kerajaan.

Berdasarkan amalan, jika bajet tidak diluluskan, dalam bahasa mudahnya, kerajaan sedia ada dianggap telah tumbang dan diganti dengan kerajaan baru.

Melihat betapa besarnya kesan pengundian kepada bajet, maka tidak hairanlah Anwar yang jarang berada di Parlimen hingga lewat malam, kali ini sanggup memastikan seramai mungkin Ahli Dewan Rakyat pembangkang tetap berada di Dewan itu.

Conggaknya mudah sahaja kerana, daripada 137 Ahli Dewan Rakyat BN, 25 adalah Menteri (semua Menteri 30 orang termasuk lima Senator yang merupakan Ahli Dewan Negara dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pengundi di Dewan Rakyat), 33 Timbalan Menteri daripada 40 semuanya termasuk tujuh Senator menjadikan jumlah Ahli Dewan Rakyat BN yang menjadi penyokong seramai 79 orang.

Daripada jumlah tersebut, Menteri dan Timbalan ada yang mempunyai urusan rasmi kerajaan dan tidak boleh hadir ke Dewan Rakyat. Daripada 79 orang penyokong kerajaan, ada yang mempunyai urusan atau sudah berada di luar Dewan.

Senario ini sering menyaksikan kehadiran kadang kala tidak mencecah 50 orang di pihak BN. Beginilah fenomena nya yang selalu di saksikan.

Sedangkan pembangkang mempunyai 82 ahli dan Bebas tiga orang.

Berdasarkan pemantauan dan conggak tersebut, pihak pembangkang mungkin membuat andaian mengikut beberapa pengundian yang dibuat sebelum ini, jumlah Ahli Dewan Rakyat BN yang berada di Dewan kadang kala hampir sama jumlahnya dengan Ahli Dewan Rakyat pakatan pembangkang.

Mungkin atas perkiraan ini, Anwar melihat pengundian lewat malam di Dewan Rakyat merupakan peluang untuk ‘menggulingkan’ kerajaan secara lebih demokratik.

Melihat kepada situasi ini, BN tidak boleh sentiasa merasa selesa kerana setiap peluang yang ada pasti akan diintai oleh pakatan pembangkang.

Apakah selepas ini BN akan lebih serius berhadapan dengan pembangkang di Dewan Rakyat kerana Perdana Menteri dan Timbalannya yang merupakan Ketua Whip BN dapat menyaksikan sendiri bagaimana kelebihan tiga undi yang meluluskan Bajet 2010 telah berjaya menyelamatkan hayat kerajaan BN.

Malah menukar mesyuarat kabinet pada hari Jumaat semasa sidang Dewan Rakyat daripada semangatnya ialah bagi membolehkan Menteri dan Timbalannya sentiasa berada di Parlimen.

Begitu juga halnya dengan wakil rakyat yang menjadi penyokong, kehadiran tidak boleh diambil mudah.

Moga mereka belajar dan sedar kerana landskap politik dan Dewan Rakyat telah berubah.

SUMBER http://sentiasa.blogspot.com/

0 comments: