THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, October 22, 2009

PR PERLU 50% SOKONGAN MELAYU?

Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?.
.
"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia."
.
Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)".
Seandainya 40% undi Melayu diperolehi.
.
Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi).
.
Seandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.
.
Pemerhatian Wong terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat."
.
Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.
.
Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya.
.
Seandainya Pakatan Rakyat meretak
Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia.
.
Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya.
.
Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.
.
Sistem negara yang dikuasai Melayu
Ketika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini.
.
Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.
.
Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu".
.
"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong. Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong.
.
Malah, Yong menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud.
.
Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong.
.
*Perbincangan ini mengambil tempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 13 Oktober 2009, dalam satu forum yang bertajukkan PRK Bagan Pinang.
.

0 comments: