THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, October 13, 2009

PAKATAN RAKYAT AKAN DIDAFTAR

Pakatan Rakyat ketika ini sedang meneliti dan dalam tahap akhir merangka draf mengenai penggabungannya sebagai sebuah parti di peringkat nasional.

Demikian kenyataan yang disebut oleh Datuk Zaid Ibrahim, salah seorang anggota Sekretariat yang ditubuhkan khusus untuk merangka dan meneliti soal penggabungan Pakatan Rakyat di peringkat nasional. Ini ekoran lampu hijau yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai satu parti politik gabungan yang rasmi.

Selain Zaid, turut menganggotai sekretariat khas itu adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Anthony Loke dari DAP. "Ketika ini pihak sekretariat sedang meneliti semua aspek penting dalam proses gabungan terutamanya mengenai dasar-dasar bersama dan kita akan selesaikan beberapa persoalan pokok sebelum dibawa ke Konvensyen Pakatan Rakyat pada Disember kelak," jelas Zaid semasa dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Salahudin pula berkata, pertemuan terdekat yang akan diadakan oleh sekretariat ini adalah minggu ini atau minggu depan.

Proses mendraf mengenai soal gabungan ini akan disiapkan dalam minggu ini dan selepas itu akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk membuat keputusan dalam konvensyen akan datang.

"Kenyataan daripada ROS amatlah dialukan dan kita berterima kasih,"kata Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.

Sementara itu, salah seorang lagi anggota sekretariat berkenaan, Anthony Loke Siew Fook juga mengalu-alukan kenyataan daripada ROS. "Kenyataan daripada ROS amat dialu-alukan, kita hargai kenyataan sedemikian. Selain itu kita berharap apa yang disebut akan dikota." jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi sambil merujuk kepada soal tujuh anggota yang menjadi halangan sebelum ini.

Selain itu, beliau juga melahirkan harapan agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak bermain kata sebaliknya menunaikan janji sekiranya Pakatan Rakyat telah ditubuhkan sebagai satu gabungan di peringkat nasional kelak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS akan berbincang segera dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat mengenai kenyataan ROS itu.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bahawa Pakatan Rakyat boleh membentuk satu parti jika mereka benar-benar mahu berbuat demikian walaupun hanya ada tiga anggota.

"SPR perlu kota kata-kata mereka...jangan kata tak boleh pula selepas ini,"kata Anthony yang merujuk kepada insiden di Bagan Pinang apabila SPR hanya membenarkan parti bertanding menaikkan bendera dan sepanduk.

Dalam pilihan raya kecil tersebut, selain PAS, parti KeADILan dan DAP telah tidak dibenarkan untuk menaikkan bendera dan sepanduk bagi tujuan kempen atas alasan tidak berdaftar sebagai satu gabungan di peringkat nasional.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Md Alias Kalil sebelum ini dalam satu kenyataan menjelaskan, Pakatan Rakyat boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik. Katanya, syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

"Saya nak jelaskan di sini, syarat itu tak terpakai untuk parti politik sebab mereka sudah bertaraf nasional, tetapi kalau pertubuhan tidak berstatus kebangsaan mahu menjadi pertubuhan kebangsaan mereka perlu ada tujuh wakil dari negeri-negeri," katanya.

Md Alias diminta mengulas laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa pakatan pembangkang boleh membentuk satu parti jika mereka benar-benar mahu berbuat demikian walaupun hanya ada tiga anggota. Kenyataan Wan Ahmad itu rentetan dakwaan bahawa Pakatan tidak boleh berbuat demikian kerana tidak memenuhi syarat iaitu perlu ada tujuh anggota sebelum boleh didaftarkan sebagai sebuah gabungan.

Md Alias juga menolak dakwaan bahawa syarat-syarat pendaftaran yang ada menyukarkan mereka untuk merasmikan pakatan mereka. "Syarat-syaratnya biasa sahaja seperti mesti ada perlembagaan parti seperti BN dan ini mereka kena usahakanlah. Tapi tak adalah menyusahkan seperti yang didakwa mereka. Tapi bagi saya soal ini tidak timbul kerana sehingga kini kami tidak menerima permohonan daripada mereka untuk membentuk satu gabungan," katanya.

Selasa lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyarankan supaya Pakatan Rakyat mendaftarkan gabungan itu dengan ROS bagi membolehkan mereka meletakkan bendera parti masing-masing sebagai tujuan kempen semasa pilihan raya kecil diadakan.
Ini kerana berdasarkan peraturan SPR hanya parti politik yang bertanding sahaja boleh berbuat demikian. Bagaimanapun kenyataan Abdul Aziz mencetuskan kemarahan beberapa pihak yang mendakwa pakatan pembangkang tidak boleh mendaftar dengan ROS kerana tidak memenuhi syarat tujuh anggota.

Pakatan Rakyat dianggotai PAS, PKR, dan DAP.

SUMBER http://www.harakahdaily.net/

0 comments: