THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, October 19, 2009

MESTIKAH JADI PROTAGORAS

Oleh: Megat Sharifudin Ibrahim

Demokrasi lahir dan telah diamalkan di Greek purba lebih dari 2500 tahun tahun dahulu. Dalam bahasa Greek Demos bermaksud rakyat dan kratos bermaksud kuasa. Demokrasi merupakan satu sistem politik dimana rakyat memilih dan menentukan siapa akan memerintah sesebuah negeri atau negeri-bandar (city-state). Pada masa itu sudah banyak negeri-bandar (city-state) di Greek purba seperti Athen yang terkenal, telah mengamalkan sistem politik demokrasi ini.

Selain demokrasi terdapat juga sistem politik yang lain yang diamalkan di Greek pada masa itu iaitu seperti sistem politik monarki dan Oligarchy. Dimana dalam sistem monarki sesebuah daerah diperintah oleh seorang raja atau individu tertentu. Manakala dalam sistem Oligarchy pula sesebuah daerah akan diperintah oleh beberapa orang dari kumpulan tertentu.

Selain dari itu, Greek purba juga terkenal dengan ahli-ahli falsafah yang masyhur seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Plato yang lahir di Athen sekitar empat abad sebelum tahun Masihi, anak murid kepada Socrates, dikatakan seorang ahli falsafah yang ulung yang pernah dilahirkan oleh dunia barat. Beliau sangat mempercayai bahawa akal fikiran manusia boleh menyampaikan manusia kepada hakikat kebenaran dan prinsip-prisnsip moral. Malah Plato mempercayai bahawa manusia keseluruhannya secara rasional boleh bertindak berdasarkan kepada kebenaran dan prinsip-prinsip moral ini bagi membentuk sebuah sistem sosial yang adil dan sejahtera.

Menariknya, pada waktu yang sama di Athens, terdapat juga beberapa ahli-ahli falsafah yang mempunyai aliran pemikiran yang bertentangan dengan aliran pemikiran yang di pelopori oleh Plato. Mereka adalah ahli falsafah dari kelompok Sophist. Sophist mempunyai satu kepercayaan yang meragui keupayaan akal fikiran manusia untuk mencari dan mendapat kebenaran sepertimana yang di ajar oleh Plato. Hasilnya mereka juga turut meragui bahawa wujudnya hakikat kebenaran kepada sesuatu realiti.

Di kalangan kelompok Sophist ini, Protagoras merupakan salah seorang ahli falsafah yang terkenal yang mewakili aliran pemikiran ini pada waktu itu. Berlandaskan pemikiran falsafah Sophist ini, Protagoras mengatakan bahawa tidak ada cara untuk manusia mengenalpasti hakikat (kebenaran) sesuatu realiti, realiti mesti dikatakan mempunyai nilai (qualities) sepertimana yang dimahukan .

Hasil dari kefahaman ini mereka juga turut mengatakan bahawa semua peraturan, undang-undang dalam kehidupan seperti politik dan juga prinsip-prinsip moral yang wujud adalah relatif. Kebenaran bukan suatu yang mutlak dan malah boleh berubah bergantung kepada kepercayaan dan adat sesebuah kumpulan manusia.

Seterusnya wujud juga ahli Sophist yang agak radikal yang mengatakan seseorang hanya perlu mentaati atau mematuhi sesuatu peraturan sekira ianya menguntungkan untuk dirinya. Hatta mereka juga turut mengatakan bahawa kuasa yang ada pada seseorang boleh menjadikan sesuatu perkara (asalnya mungkin salah) benar atau - ‘might makes right’. Dan bagi mereka undang-undang yang digubal hanya untuk melindungi kepentingan pihak pemerintah dan sesiapa yang berkuasa. Oleh itu, mereka turut mengatakan bahawa hanya orang bodoh saja mematuhi undang-undang yang tidak mendatangkan faedah untuk dirinya.

Malaysia adalah di antara negara-negara di dunia yang mengamalkan sistem politik demokrasi. Antara ciri-ciri demokrasi yang digunapakai di Malaysia ialah sistem pilihanraya yang diadakan sekali dalam masa lima tahun. Sistem pilihanraya ini diadakan bagi memboleh semua rakyat memilih secara bebas, telus dan adil calun-calun dari parti politik yang menjadi pilihan mereka ataupun calun bebas yang tidak mewakili mana-mana parti politik. Calun-calun ini dipilih bagi mewakili rakyat di dewan undangan negeri dan dewan rakyat.

Selain dari pilihanraya yang bebas dan adil, kita juga turut mengamalkan sistem pengasingan kuasa iaitu di antara legislative, judiciary dan eksekutif. Semua ini sepatutnya diikuti dan di patuhi bagi menjamin sesebuah negeri atau negara dapat ditadbir dengan adil, saksama dan sejahtera dengan berlandaskan kepada kebenaran dan prinsip-prisnip moral.

Hampir setiap lima tahun negara kita mengadakan pilihanraya umum (PRU) bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih wakil mereka di DUN dan Dewan Rakyat. PRU ke 12 yang telah diadakan pada Mac 2008 telah mencatat beberapa sejarah menarik untuk tanah air kita. Antaranya tentu sekali kekalahan BN di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Seterusnya PRU ke 12 ini juga turut mencetuskan beberapa peristiwa yang menarik dan tak kurang juga yang tragis. Malah berbagai-bagai kemelut politik yang tercetus yang bagaikan tiada berkesudahan khususnya seperti di negeri Perak. Tentunya berbagai perbincangan, pandangan dan analisa untuk dilakukan sekurang untuk memahami semua kemelut ini.

Secara prinsipnya jikalau semua nilai kebenaran, prinsip moral dan peraturan dalam sistem politik demokrasi di hormati dan dipatuhi, kita yakin semua bahwa semua kemelut dan peristiwa-peristiwa yang tragis ini boleh dielakkan. Namun apa yang kita lihat wujud watak-watak seperti Protogaros - Sophist yang menjadi antara sebab kepada semua kemelut ini. Nilai kebenaran dan prinsip-prinsip moral sudah tidak dihormati dan tak dipatuhi. Malah nilai kebenaran dan prinsip-prinsip moral juga turut berubah bergantung kepada kepentingan pihak tertentu. Hasilnya juga sepertimana kita lihat satu demi satu peraturan atau ketetapan dalam sistem politik demokrasi terpaksa dikorbankan semata-mata demi untuk merealiasasi agenda politik masing-masing.

Dalam PRU 12, BN bukan setakat kalah di beberapa buah negeri tetapi turut juga kalah dalam beberapa pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan selepas itu seperti di Permatang Pauh, Kuala Terangganu dan Bukit Gantang. Apa yang dapat di lihat dalam semua PRK ini, sokongan rakyat kepada BN sebenarnya semakin merosot sebaliknya PR menjadi pilihan rakyat contohnya di Kuala Terangganu apabila PR dapat mengalahkan BN di kawasan Parlimen yang telah dimenanginya semasa PRU 12.

Semua ini menyebabkan semua pemimpin dan penyokong PR berada dalam keadaan moral yang tinggi. Beberapa kenyataan yang dibuat oleh PR yang mengatakan beberapa orang ahli Parlimen BN akan lompat ke PR turut menambah lagi semangat dan moral dalam usaha mereka untuk mengambil-alih pemerintahan kerajaan persekutuan dari BN. Tarikh 16 September 2008 yang disasarkan untuk perkara ini berlaku seolah-olah akan menjadi kenyataan tanpa ada banyak masalah kecuali masalah teknikal yang kecil.

Walaupun perbuatan melompat parti ini tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang tetapi tetap menyalahi prinsip-prinsip moral dalam sistem politik demokrasi kerana secara prinsipnya seseorang seorang calun (parti politik) sebenarnya mewakili semua ahli dari parti politiknya bukan dirinya. Oleh itu jika dia mengambil keputusan untuk melompat parti selepas memenangi pililhanraya lebih-lebih kepada parti lawannya, dia sebenarnya telah mengkhianati amanah dan kepercayaan yang diberi oleh ahli dan partinya.

Dalam keghairahan PR untuk mengambilalih pemerintahan kerajaan persekutuan, perbuatan melompat parti ini sudah tidak dikira sebagai sesuatu yang tidak bermoral yang mesti dihentikan tetapi sesuatu yang mesti diraikan dan disokong.

PR mungkin boleh membenarkan perkara ini dengan mengatakan bahawa bahwa perpindahan yang akan dilakukan ahli Parlimen BN sesuatu yang betul kerana ingin berpindah dari buruk kepada baik dan tiada sogokan atau habuan tertentu dibuat kepada ahli Parlimen yang ingin melompat. Ini tentu sekali berdasarkan kepada prestasi pemerintahan BN yang semakin bertambah buruk seperti gejalah rasuah yang seperti sudah tidak dapat dibendung. Tetapi dalam pada masa yang sama untuk mengatakan secara pasti pemeritahan PR akan menjadi lebih baik merupakan satu perkara yang mestikan dibuktikan dahulu.

Namun begitu apa yang menariknya disini ialah kita juga dapat lihat perbuatan melompat parti itu boleh mempunyai nilai yang berbeza malah bertentangan bergantung kepada keadaan yang tertentu. Sebagai contoh dalam kes di Perak secara khususnya apabila semua wakil rakyat PKR dan DAP diminta menandatangani satu surat akujanji yang tak bertarikh yang antara lain mengatakan bahawa kerusi yang telah dimenangi akan dikosongkan sekiranya mereka melompat atau keluar parti. Malah secara umum PAS pula mempunyai peraturan yang lebih tegas kepada semua wakil rakyatnya sekiranya mereka berpaling tadah atau melompat parti. Jelas perbuatan melompat parti dalam keadaan ini mempunyai nilai yang berbeza iaitu sesuatu yang tak bermoral, salah dan mesti dihentikan.

Sepertimana yang diketahui peralihan kuasa yang diwar-warkan oleh PR yang sepatutnya berlaku pada 16 September tidak menjadi kenyatan. Namun begitu sesuatu yang boleh mengembirakan PR iaitu apabila ADUN Bota, Dato’ Nasarudin Hashim, mengisytiharkan untuk keluar dari UMNO dan menyertai PKR pada 25 Januari 2009.

Tetapi senyum dan gembira ini tidak lama kerana berbagai kemelut yang berlaku di Perak hingga akhirnya dua orang ADUN PKR, Osman Jailu (ADUN Changkat Jering) dan Jamaludin Mohd Radzi (ADUN Behrang), dan seorang lagi ADUN DAP, Hee Yit Foong (ADUN Jelapang), mengisytiharkan untuk keluar dari parti masing-masing. Dan mereka bertiga pula kemudian mengambil pendirian untuk menyokong BN. Keadaan menjadi bertambah gawat untuk PR apabila Dato’ Nasarudin pula mengumumkan untuk kembali kepangkuan UMNO.

Bermacam-macam pendapat dan komen diberi dalam usaha untuk memahami krisis politik di Perak ini. Antaranya ialah dua ADUN PKR, Osman dan Jamaludin, terpaksa melompat parti kerana tekanan yang diterima dan masalah peribadi mereka. Ataupun adakah perbuatan Dato’ Nasaruddin ini ikhlas atau hanya sebahagian dari permaianan politik BN iaitu sebagai umpan kepada PR Perak. Tetapi yang jelas BN telah mengunakan kaedah melompat parti ini untuk menguasai Dun Perak tanpa menghirau isu moral lagi.

Dalam kedua-dua kes iaitu PR untuk menguasai kerajaan Persekutuan dan BN untuk menguasai DUN Perak, kaedah melompat parti menjadi senjata ampuh untuk mencapai agenda politik masing-masing. Dalam kedua-kedua kes ini prinsip-prinsip moral dalam demokrasi telah dilupakan atau terpaksa di korbankan kerana ianya tak menguntungkan parti politik masing-masing.

Oleh itu ianya sama seperti pemikiran Protogaros-Sophist iaitu prinsip moral atau sesuatu peraturan tak perlu diikuti sekiranya tak menguntungkan. Persoalannya tidakkah permikiran dan perbuatan sebegini boleh membahayakan sistem demokrasi di negara ini. Bagaimana mungkin kita boleh menwujudkan satu pemerintahan yang stabil dan mantap apabila kita tidak langsung memperdulikan tentang soal kebenaran dan prinsip-prinsip moral dalam memilih pemerintah.

Namun begitu pemikiran ala Protogaros ini tak berhenti setakat ini sahaja, malah krisis politik Perak juga turut menyaksikan kepada kita bahawa ketetapan atau peraturan dalam sistem demokrasi negara kita juga tak dihormati dan tak dipatuhi.

Dalam sistem politik demokrasi di Malaysia Speaker yang telah dilantik secara sah adalah kuasa tertinggi dalam DUN dan segala perintahnya mesti dipatuhi semua ahli DUN samada dari PR atau BN. Inilah peraturan yang mesti dipatuhi untuk memastikan sistem politik demokrasi di Malaysia terus hidup dan memberi manafaat kepada rakyat.

Bagi mengatasi krisis politik di Perak, V Sivakumar, Speaker DUN Perak, telah membuat keputusan supaya DUN Perak di bubarkan. Keputusan ini dibuat bagi memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kepimpinan baru negeri Perak setelah tiada siapa lagi, PR dan BN, mempunyai majority di DUN berikutan 3 kerusi di DUN berkenaan disitiharkan kosong setelah 3 ADUN berkenaan keluar parti (berdasarkan kepada surat akujanji yang di tandatangani mereka bahawa iaitu kerusi mereka di DUN akan dikosongkan sekiranya mereka melompat parti).

Tetapi BN Perak tetap mengatakan mereka mempunyai majoriti di DUN berdasarkan sokongan yang diberi oleh 3 bekas ADUN PR (yang melompat parti) dan seterusnya layak memimpin kerajaan Negeri Perak. Dalam kes ini mungkin sesuatu yang kurang bijak untuk BN mematuhi keputusan DUN Perak ini kerana kalau pilihanraya semula diadakan belum tentu akan di menangi oleh BN.

Walau apa-apa pun perbuatan ini tetap bertentangan dengan keputusan dibuat Speaker DUN Perak supaya DUN dibubarkan. Oleh itu BN Perak bukan sekadar tidak menghormati prinsip moral dengan mengunakan kaedah melompat parti tetapi juga kegagalan BN Perak untuk mematuhi perintah speaker DUN Perak ini jelas melanggari ketetapan atau peraturan dalam sistem politik demokrasi Malaysia.

Dalam sistem politik Demokrasi di Malaysia pula seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan dalam artikel 72 yang menetapkan bahawa keabsahan persidangan di Dewan Undangan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah. Ini jelas untuk memastikan prinsip pengasingan kuasa di antara legislative, eksekutif dan judisri.

Malangnya BN Perak juga telah gagal memghormati prinsip demokrasi ini bila mengheret mahkamah dalam urusan DUN Perak antaranya dalam kes pergantungan Dr. Zambry dan enam orang ADUN BN oleh Speaker DUN Perak yang dipertikaikan oleh BN Perak sebagai tidak sah.

Dalam hal ini juga, dari sudut yang lain, BN dengan kuasa yang ada, juga dilihat cuba mengunakan mahkamah untuk menghalalkan segala tindakan yang telah melanggar prinsip-prinsip demokrasi di Perak khususnya. Tidakkah perbuatan ini juga sama dengan pemikiran Protogaras-Sophist iaitu – ‘might makes rights’.

Apa yang berlaku dalam DUN Perak pada 7 Mei merupakan satu titik hitam dalam sejarah demokrasi di Malaysia. Kekerasan turut digunakan dalam usaha untuk mencapai matlamat. Amat malang bagi demokrasi di Perak bila V Sivakumar, Speaker DUN Perak, di angkat, diheret dan dikurung dengan tanpa ada rasa belas kasihan oleh pihak tertentu dalam usaha untuk melantik Speaker yang baru yang di sokong oleh BN. Terdapat juga beberapa orang ADUN PR yang dikasari oleh kumpulan orang tertentu dalam sidang DUN yang sama.

Kini watak Protogaros telah bertukar menjadi seperti Caesar Borgia, watak seorang hero dalam sebuah buku bertajuk “The Prince” yang ditulis oleh Machiavelli. Buku ini mengisahkan Ceasar Borgia yang bercita-cita besar untuk menjadi pemimpin yang berkuasa dengan mengguna apa cara sekalipun termasuklah menipu, kekerasan dan hatta membunuh. Melalui buku ini, Machiavelli yang lahir di Itali pada tahun 1469, telah mengajar satu seni politik iaitu dalam berpolitik matlamat boleh menghalalkan cara, walaupun cara yang digunakan jelas bertentangan dengan kebenaran dan prinsip-prinsip moral.

Persoalannya mestikah kita menguna cara-cara sebegini ini secara sedar ataupun tidak semata-mata untuk mencapai agenda politik masing-masing. Tidakkah nanti rakyat akan hilang kepercayaan terhadap amalan demokrasi di negara ini sekiranya cara Protogaros atau kaedah Machiavelli terus menjadi pilihan untuk mengekalkan kuasa atau untuk berkuasa.

Mungkinkah juga sekiranya banyak pemimpin kita terutama sekali yang rasuah dan korup yang lahir dengan cara-cara tak bermoral ini mendorong rakyat ke arah mempercayai sistem anarchism - satu lagi doktrin politik yang menganggap kerajaan dan undang-undang negara sesuatu yang tidak diperlukan malah dalam keadaan tertentu menjadi zalim dan tidak berlaku adil. Seterusnya amat malang juga jikalau rakyat memilih kaedah revolusi untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan dan bukan melalui amalan demokrasi. Tentu sekali majoriti daripada rakyat Malaysia tidak bersedia untuk menerima keadaan seperti ini.

Kembali melihat scenario politik negara secara umum, kita masih boleh memperbaiki sistem politik demokrasi yang sedia ada. Antaranya kembali berusaha menghormati kebenaran dan prinsip-prinsip moral dalam berpolitik. Bagi PR, masa yang ada cuba gunakan untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat terutama sekali di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR dengan telus dan ikhlas. Jangan korbankan kebenaran dan prinsip-prinsip moral semata-mata inginkan kemenangan yang cepat seperti dalam kes 16 September. Seterusnya cuba memperkukuhkan PR demi mengwujudkan satu pakatan yang mantap terutama sekali di berbagai kaum dan aliran pemikiran. Sebenar inilah asset yang amat berharga untuk PR.

Tidak dapat dinafikan bahawa BN khususnya UMNO, banyak telah berjasa kepada orang Melayu. Oleh sebab itu UMNO masih kuat berpaut di hati sebahagian orang Melayu.

Namun untuk BN terus jadi relevan, mereka memerlukan taubat nasuha politik. Mula-mula sekali mesti mengakui segala kesilapan yang telah lalu, menyesali segala tindakan tersebut dan berazam tidak akan mengulangi semua tindakan itu. Buang semua sifat-sifat yang dianggap kejam atau buruk oleh rakyat seperti akta ISA dan amalan rasuah politik wang. Kembali menghormati amalan demokrasi yang sihat serta menghormati prinsip–prinsip moral.

Jika ini dapat dilakukan tak mustahil suatu masa nanti negara kita mempunyai parti-parti politik yang senantiasa berjuang di atas landasan yang benar dan seterusnya senantiasa bersaing untuk menawarkan khidmat yang terbaik untuk rakyat. Pada masa itu rakyat bukan lagi memilih antara baik dengan buruk tetapi memilih yang terbaik di antara yang baik.

Tetapi satu persoalan yang mungkin ditanya - Adakah ini mampu dicapai ataupun kita hanya bermimpi disiang hari? Ini disebabkan dalam politik ada pula ‘real politik’. Real politik merupakan satu lagi fahaman dan amalan atau politik yang mula berkembang pada pertengahan abad ke-19 akibat dari pengaruh kemajuan ilmu sains dan teknologi moden pada masa itu. Dalam amalan real politik, kaedah praktikal sangat diutamakan dalam mencapai sesuatu agenda politik. Tetapi masalahnya dengan amalan real politik ini pula ialah dengan adanya pengaruh kebendaan yang kuat dan lemah keimanan dalam agama, semua idealisma dalam teori politik (yang baik) mudah dilupakan malah mungkin terpaksa dikorbankan demi mencapai kehendak politik masing-masing.

Hasilnya kita kembali kepada seperti fahaman Protogaros iaitu kebenaran dan prinsip moral merupakan sesuatu yang relative dan tak perlu diikuti sekiranya tak menguntungkan. Persoalannya dengan mengetahui betapa pentingnya kebenaran dan prinsip moral terhadap manusia terutama sekali dalam konteks Islam dan orang Islam, sanggupkah kita korbankan semua ini semata-mata ingin untuk mencapai kuasa politik.

Oleh itu satu soalan yang mesti dijawab secara jujur dan ikhlas oleh BN dan PR: Mestikah kita menjadi seperti Protogaros?

SUMBER http://wargamarhaen.blogspot.com/

0 comments: