THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday, September 1, 2009

1MALAYSIA, 2 PAS

Oleh Wong Chin Huat

"1Malaysia" yang diuar-uarkan oleh Najib terburai sebelum hari kemerdekaan, menyaksikan kemenangan PAS / Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, negeri Pulau Pinang.

Faktor kekalahan BN / UMNO yang lebih penting, selain berpunca daripada masalah keperibadian calon tersebut, adalah kegagalan UMNO / BN untuk membuktikan nilai kewujudan mereka.

Dalam negara demokrasi, parti politik terpaksa membuat pilihan dalam persaingan untuk memancing undi. Pilihan pertamanya, memberi penekanan kepada "valence issues", yang tidak dibantah parti politik lain, misalnya keberkesanan pentadbiran, integriti, kekayaan, keselamatan dan sebagainya. Perbezaan hanya wujud dari segi kredibiliti dan kemampuan parti politik untuk menyempurnakan tugasnya.

Pilihan keduanya, parti politik akan mengasingkan diri dari musuh politik yang lain dalam "positional issues", misalnya anutan politik kiri-kanan, liberal-konservatif, atau pembangunan-pemeliharaan alam. Terserahlah kepada pengundi untuk membuat pilihan.

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), tragedi kematian Teoh Beng Hock, influenza A dan isu lain-lain menghantui BN. Maka BN tidak berani untuk bersaing dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam "valence issues", lantas menaruh harapan untuk memikat hati rakyat dengan janji-janji pembangunan.

Tetapi, konsep "anak emas kerajaan Persekutuan" hanya didokong dengan kelebihan sebagai parti pemerintah. Mana-mana parti politik yang berpegang kuasa mampu melakukannya. UMNO/BN sebenarnya tidak menawarkan "nilai tambahan".

Pada zaman UMNO kelihatan utuh untuk berkuasa selama-lamanya, walaupun tidak menawarkan nilai tambahan, tetapi strategi ini mungkin mujarab untuk mengaut undi. Ini kerana dari sudut individu, mengemis "kurniaan" UMNO/BN mungkin tindakan yang rasional untuk jangka pendek.

Namun demikian, selepas 8 Mac 2008, pertukaran kerajaan menjadi satu kemungkinan. Seseorang itu sememangnya "bahlul politik" sekiranya masih menyokong UMNO/BN, agar kroni dijulang dan orang yang berbeza pendapat dihukum, sehingga tergadai kebebasan diri.

Dalam "positional issues", BN menyerang sehabis-habisnya, dengan harapan untuk menonjolkan ketidaksepakatan dalam PR. Namun, strateginya adalah membidas PAS bersekongkol dengan DAP untuk mengkhianati perjuangan Islam di kawasan Melayu dan akhbar Melayu, sementara mengecam DAP bersubahat dengan PAS untuk membelot bukan muslim di kawasan Cina dan media Cina.

Ringkasnya, UMNO gagal menentukan sama ada untuk meneruskan kata-kata manis "1Malaysia" oleh Najib, atau melanjutkan serangan "pengkhianat Melayu" oleh Muhyiddin Yassin. UMNO yang berkhayal untuk menang dengan hujah kontradiksi sedemikian ternyata masih belum sedar. UMNO seolah-olah masih berada dalam zaman yang tidak mempunyai internet dan orang Cina tidak fasih bahasa Melayu.

Akhirnya, UMNO / BN gagal mendapat sokongan daripada kedua-dua pihak. Pengundian Melayu yang lebih dipengaruhi kesan daripada penurunan kadar pengundian, memperlihatkan sedikit peningkatan dari 40% kepada 45%, tetapi undi Cina menurun dari 30% kepada 25%.

Loceng maut untuk UMNO

Mengikut kecenderungan sedemikian, pilihan raya kecil ini mungkin merupakan "loceng maut" (death knell) pertama untuk UMNO / BN. Ini kerana walaupun PAS tidak mencalonkan tokoh seperti Mohd Nizar Jamaluddin, malah selepas serangan hebat oleh sayap kanan UMNO dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kawasan yang terdiri daripada tiga perempat Melayu pun dimenangi PAS dengan 65%.

Nyata, UMNO telah ketandusan idea, dan hanya dapat menaruh harapan agar menumpaskan PAS di kawasan yang pengundinya Melayu 90% ke atas, seperti Manek Urai. Tetapi, daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung, hanya 30 kawasan yang terdiri daripada Melayu 90% ke atas.

Sebaliknya, terdapat 51 kawasan yang pengundi bukan Melayunya melebihi 50%, 42 kawasan yang pengundi bukan Melayunya satu pertiga. Seandainya keputusan Permatang Pasir berkekalan, maka hayat UMNO hanya tinggal tiga tahun sahaja.

Dua PAS

Namun, penyakit mental atau schizophrenia bukan hanya dijangkiti UMNO / BN yang gagal memilih antara "1Malaysia" dengan "1Melayu". Dari segi program politik, PAS terbahagi kepada dua. Satu ialah PAS yang ghairah membincangkan "negara Islam" selepas tahun 2001, dan satu lagi ialah PAS yang sedang mengambil pendekatan sederhana, melaungkan "negara kebajikan", "PAS untuk semua" pada pilihanraya tahun 2008.

"PAS negara Islam" hanya mampu memperolehi kira-kira 30% undi Melayu di luar Kelantan pada pilihan raya tahun 2004, usahlah disebut berapa pengundi bukan Melayu yang tertarik dengan PAS. "PAS negara kebajikan" memperolehi kira-kira 60% undi Melayu, malah di kawasan bukan Melayu juga mencatat 60% hingga 70% pada tahun 2008. Yang paling menakjubkan, calon wanita PAS, Siti Mariah Mahmud bukan sahaja menewaskan calon MIC di Kota Raja, kawasan majoriti bukan Melayu, malah peratus undi yang diperolehi menjuarai calon PAS di seluruh negara.

Keputusan pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Permatang Pasir membuktikan bahawa PAS mampu meraih sokongan antara 50% hingga 60% Melayu, sementara sokongan bukan Melayu boleh dilonjakkan ke 70% hingga 80%. Dalam empat pilihan raya kecil selepas PRU ke-12, calon yang diletakkan walaupun bukan daripada aliran "yang memperlihatkan keterbukaan" seperti Mohd Nizar, juga bukan konsevatif yang akan menakutkan orang bukan Melayu. Dengan kata lain, yang bertanding dan yang menang, adalah "PAS negara berkebajikan".

Namun, "PAS Negara Islam" walaupun berpeluk tubuh selepas ketewasan tahun 2004, tetapi mula mencetuskan masalah sekali-kala selepas tahun 2008, seiras dengan mereka yang mendominasi parti selepas kemenangan tahun 1999, yang makin menuju ke penghujung ektrem. "Angkatan moral pegawai masjid" yang dicadangkan Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Hassan Ali, dan penentangan konsert Michael Learns to Rock oleh Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Tantawi adalah tanda-tanda baru kembalinya "PAS Negara Islam".

Seandainya "PAS Negara Kebajikan" gagal menghalang "PAS negara Islam" daripada hijack kemenangannya, ini mungkin membawa padah. Dan pilihan raya kecil Permatang Pasir mungkin umpama kemenangan besar-besaran PAS pada tahun 1999, menjadi ciuman maut kepada pakatan pembangkang.

*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

SUMBER DARI http://www.merdekareview.com


0 comments: